Nasihat Kepada Para Penuntut Ilmu Agar Tidak Menyendiri Dengan Meninggalkan Para Ulama Salafi Zamannya Dan Meletakkan Ucapan Para Salaf Dan Para Ulama Bukan Pada Tempatnya Yang Betul

Ditanyakan kepada Fadhilat al-Syaikh ‘Abd Allah bin Ahmad al-Iryani hafizahullah:

“Apakah pandangan anda tentang orang yang meletakkan kalam Syeikh Muqbil ‘alaihi rahmatullah “Saya tidak peduli dengan fatwa si fulan mahupun fatwa si fulan! Fatwa orang yang menyimpang, saya menjadi lawan bagi orang yang berfatwa dengan fatwa-fatwa yang menyimpang.” Apakah pandangan anda tentang orang yang meletakkan ucapan ini pada orang yang tidak bersetuju dengan tabdi’ kepada sebahagian Ahli Sunnah?”

Beliau menjawab:

“Wahai saudara-saudaraku kerana Allah -semoga Allah memberikan kita taufik kepada apa yang dia cinta dan reda- Nasihat [kami] kepada mereka yang lancang mentabdi’ orang yang tidak ditabdi’ oleh seorang pun dari kalangan ahli ilmu; Nasihat kepada mereka adalah untuk bertakwa kepada Allah tabaraka wata’ala, memohon perlindungan kepada Allah daripada syaitan yang direjam, berhati-hati daripada hasutan-hasutan hati, berjaga-jaga daripada sifat ‘ujub (bangga diri), ghurur (terpedaya dengan diri sendiri) dan taasub kepada pendapat peribadi dan berjaga-jaga daripada menuruti hawa nafsu sebagaimana kami nasihatkan kepada mereka juga agar merujuk kepada para ulama dan mendapatkan bantuan dengan kefahaman dan ilmu mereka.

Yang dimaksudkan dengan para ulama ialah para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah, masyaikh sunnah yang mulia, para pemberi nasihat, orang-orang yang soleh lagi penuh amanah yang mana mereka itu menguasai permasalahan serta mengetahui benda-benda bidaah dan mengetahui hukum-hakam berkaitannya.

Kami nasihatkan mereka agar jangan menuruti hawa nafsu kerana sesungguhnya seseorang itu boleh digoda oleh syaitan, wallah al-musta’aan. Terkadang seseorang itu berpegang pada suatu pendapat yang dia sangka ianya benar lalu dia pun taasub kepada pendapat tersebut kemudian mulailah dia menimbulkan keraguan terhadap orang yang menyelisihinya dalam pendapat tersebut.

Dia menimbulkan keraguan kepada semua yang menyelisihinya, dia kata bahawa “Mereka itu, sama ada orang-orang yang jahil atau orang-orang yang tidak dapat melihat dengan baik dan tidak faham atau sama ada mereka itu orang-orang mumayyi’ (lembik manhaj) dan bukan orang-orang thabit (teguh dan kukuh di atas kebenaran). Setelah itu dia berpindah pula kepada tahapan yang berikutnya dan berikutnya sehinggalah dia sampai kepada suatu pemikiran yang jauh lagi bertentangan dengan apa yang ditempuh oleh Salafus Soleh ridhwanullah ‘alaihim.

Ini dari satu sisi, sisi kedua pula adalah apa yang dia pegang berupa menghukum tabdi’ seseorang yang tidak ditabdi’ oleh para ulama maka dia berpindah daripada tahapan mentabdi’ si fulan kepada tahapan mentabdi’ pula orang-orang yang taasub kepada si fulan. Si fulan sudah tentu memiliki kerabat dan keluarga, sahabat-sahabat, murid-murid dan kawan-kawan, maka semata-mata mereka mendapati hukum semisal ini ke atas orang [yang mereka kasihi] itu keluar daripada seseorang yang tidak memiliki keahlian, sudah tentu mereka akan taasub kepada si fulan dan mereka akan membelanya.

Maka dia berpindah pula kepada tahapan mentabdi’ orang-orang yang berdiri bersama si fulan dan taasub kepadanya. Kemudian setelah itu dia berpindah pula kepada tahapan yang ketiga iaitulah menghukum orang-orang yang tidak mengambil pendapatnya itu bahawa mereka tidak memiliki thabat (keteguhan pada manhaj), mereka itu memiliki tamyi’ (kelembikan pada manhaj).

Dari sisi ketiga: Dia akan mula menimbulkan keraguan pada ucapan para pemberi nasihat dan orang-orang soleh dengan cara yang satu atau yang lain. Barangkali dia mengatakan: “Saya tidak menganggap ucapan mereka itu, lemparkanlah ucapan mereka itu ke dinding!” Walaupun yang berbicara itu adalah para ulama.

Barangkali juga apabila dia dinasihati untuk kembali merujuk kepada para ulama, dia berkata: “Ini taklid, ini dakwah kepada taklid.” Maka dia menamakan perbuatan merujuk kepada para ulama pemberi nasihat dan orang-orang soleh yang memahami urusan-urusan ini dan yang telah diperintahkan oleh Rabb al-‘alamin jalla wa’ala untuk kita merujuk kepada mereka pada setiap zaman bahawa ini taklid.

Kemudian, mulailah dia mengambil kata-kata yang sememangnya kata-kata yang benar lalu meletakkannya pada bukan tempatnya. Dia meletakkan kata-kata yang benar pada bukan tempatnya sebagaimana yang disebutkan oleh ‘Ali bin Abi Talib radhiallahu ‘anhu tentang puak Khawarij:

“Ucapan yang benar tetapi yang mereka inginkan adalah kebatilan.”

Barangkali dia mendendangkan bahawa: “Taklid haram!” Ini kata-kata yang benar tetapi [perlu difahami bahawa] taklid satu hal, merujuk kepada ulama satu hal yang lain. Maka tidak boleh dia membuat talbis (tipu daya) [ke atas manusia].

Barangkali juga dia mendendangkan: “Al-Jama’ah adalah apa yang menepati kebenaran meskipun kamu bersendirian.” Ini kata-kata yang benar akan tetapi pendirian kamu ini daripada awal lagi dah batil, bukan di atas kebenaran. Semua ulama mengatakan bahawa hendaklah kamu menarik kembali pendirian kamu itu, betulkan pendirian kamu dan rujuklah kepada para ulama.

Barangkali juga dia mendendangkan: “Cukuplah saya bersendirian, walaupun semua orang menyelisihi saya. Cukuplah saya bersendirian, cukuplah saya bersendirian.” Maka dikatakan [kepadanya] bahawa ini kata-kata yang benar diucapkan oleh seorang alim besar yang bijaksana dalam memegang kebenaran dan [mendalam] pengetahuannya tentang itu. Akan tetapi orang ini pula, tidak sah dan tidak dapat diterapkan kata-kata ini pada keadaannya.

Kamu itu seorang penuntut ilmu, pendek pemahaman kamu, dan kamu juga memiliki kesalahan-kesalahan dan pendirian-pendirian yang langsung tidak tepat. Para ulama semuanya tidak bersetuju dengan kamu, lalu bagaimana kamu mendakwa bahawa cukuplah kamu bersendirian?! Para ulama semuanya dalam satu saf manakala kamu pula duduk di tebing. Kamu duduk di tebing.

Berlindunglah kepada Allah daripada syaitan yang direjam. Sesungguhnya apa yang kamu buat ini termasuk daripada perbuatan memecah belah dan jauh daripada pendirian orang-orang yang teguh di atas kebenaran (thabitin).

Barangkali juga dia mendendangkan: “Saya tidak bersama para ulama zaman sekarang, mereka itu para ulama mutaakhirin (terkemudian). Saya bersama para ulama mutaqaddimin (terdahulu).” Ucapan ini -wahai saudara-saudaraku- sama sekali tidak benar. Ucapan ini bermaksud bahawa seluruh ulama mutaakhirin tidak berada di atas kebenaran, dan ia mensifatkan bahawa seluruh ulama mutaakhirin di atas kesalahan. Ini -‘iyadzan billah- adalah kesesatan, iaitu ketika dia mentohmah seluruh ulama mutaakhirin bahawa mereka berada di atas kesesatan. Kemudian dia berkata: “Saya bersama para ulama mutaqaddimin!” Ini sebenarnya talbis (pengeliruan) juga ke atas para ulama mutaqaddimin kerana para ulama mutaqadimin tersebut mewasiatkan kita untuk apa? Untuk merujuk kepada para ulama pemberi nasihat pada setiap zaman, baik ketika mereka hidup atau setelah mereka wafat.

Maka barangsiapa yang berbeza dan menyendiri dengan penyendirian yang malang seperti ini, pada hakikatnya dia tidak bersama para ulama zaman sekarang dan tidak pula dia bersama para ulama terdahulu.

Allah tabaraka wata’ala telah memerintahkan kita dan kita sekarang ini diperintahkan dengan perintah Allah tersebut untuk merujuk kepada para ulama. Siapakah para ulama yang kita seharusnya merujuk kepada mereka itu? Iaitu hendaklah kita merujuk kepada para ulama kita, para ulama muslimin yang terkenal dengan thabat (keteguhan), tauhid, sunnah dan manhaj salafi.

Antara apa yang mereka dendangkan juga -semoga Allah memberkati kalian- adalah apa yang dinukilkan oleh sebahagian mereka daripada Syeikh kami Al-‘Allamah al-Imam al-Wadi’i ‘alaihi rahmatullah pada ucapan beliau: “Fatwa orang alim yang besar dan fatwa penuntut ilmu yang kecil di sisi saya adalah sama. Hanyalah yang menjadi timbangan itu adalah dalilnya. Dan saya akan menjadi lawan kepada para mufti yang menyimpang.”

Ini ucapan yang benar daripada Syeikh Muqbil ‘alaihi rahmatullah yang mana dengan ucapan ini beliau membantah ke atas ahli bidaah dan hawa nafsu pada zaman beliau dan membantah ke atas orang-orang yang jahil dan orang-orang yang suka menggunakan hujah yang tidak betul pada zaman beliau.

Ini ucapan yang benar diucapkan oleh seorang alim rabbani dan mujaddid sunnah dan tauhid, akan tetapi keadaan ini tidak boleh diterapkan apabila yang bercakap dan berbicara itu adalah orang yang mengeluarkan hukum tabdi’ secara bersendirian, kerana dia sebenarnya ingin menjadikan kata-kata ini ditujukan kepada siapa? Kepada para ulama sunnah dan para masyaikh sunnah yang teguh di atas kebenaran, para pemberi nasihat.

Hanyalah Syeikh kami Muqbil mengucapkan kata-kata ini ke atas siapa? Ke atas orang-orang yang menyimpang. Ke atas orang-orang yang menyimpang, ke atas ahli bidaah dan hawa nafsu, ke atas ulama yang menggunakan hujah yang tidak betul, bukan ke atas para masyaikh sunnah.

Dahulu Syeikh kami Muqbil ‘alaihi rahmatullah adalah seorang yang menyanjung para ulama, memuliakan para masyaikh sunnah dan mengetahui besarnya kadar mereka meskipun kalau mereka tersalah sebagaimana telah tersalah Al-Syaikh al-‘Allamah Ibn Baz ‘alaihi rahmatullah dan Al-Syaikh al-‘Allamah al-Albani ‘alaihi rahmatullah dalam masalah pilihanraya (di Algeria).

Syeikh kami Muqbil ‘alaihi rahmatullah membantah mereka dalam keadaan beliau juga memuji mereka dan memelihara kedudukan mereka rahmatullah ‘alaihim. Antara apa yang diucapkan oleh Syeikh kami Muqbil ‘alaihi rahmatullah:

“Al-Syaikh al-‘Allamah Ibn Baz, saya telah membantah beliau di dalam beberapa kaset rakaman dalam keadaan saya mengetahui besarnya kadar dan keutamaan beliau dan kesalahan beliau itu tidaklah mengurangi keutamaan, kemuliaan dan kedudukan beliau yang tinggi.”

Antara apa yang beliau sebutkan juga ‘alaihi rahmatullah:

“Al-Syaikh Ibn Baz, Al-Syaikh Al-‘Uthaimin dan Al-Syaikh Al-Albani kesemua mereka para ulama yang mulia. Dan seorang alim itu apabila tersalah dalam keadaan keutamaannya sangat banyak, maka para ulama mengatakan bahawa kesalahan tersebut seharusnya ditenggelamkan di bawah keutamaan-keutamaannya.”

Kata beliau:

“Maka inilah ucapan ahli ilmu zaman berzaman.”

Maksudnya sejak zaman Salafus Soleh baik dari kalangan para ulama mutaqaddimin mahupun mutaakhirin. Antara yang diucapkan oleh Syeikh kami Muqbil ‘alaihi rahmatullah:

“Orang yang sunni, yang asal pada manhajnya itu sunnah lalu berlaku daripadanya bidaah, maka hendaklah kamu katakan bahawa dia telah melakukan bidaah dan jangan kamu namakannya sebagai mubtadi’ (ahli bidaah). Jangan kamu namakannya mubtadi’.”

Kata beliau:

“Sebagaimana yang berlaku kepada ‘Uthman bin ‘Affan radhiallahu ‘anhu pada azan pertama hari Jumaat. Azan pertama ini telah disebutkan oleh ‘Abd Allah bin ‘Umar radhiallahu ‘anhuma bahawa ia bidaah dan tidak ada seorangpun yang berani mengatakan bahawa ‘Uthman radhiallahu ‘anhu seorang mubtadi’.”

Kata beliau lagi:

“Maka melazimi keadilan dan meletakkan manusia pada tempatnya yang betul adalah satu perkara yang sangat penting sekali.”

Inilah manhaj Salafus Soleh sebagaimana yang diterangkan oleh Syeikh kami al-‘Allamah al-Imam al-Mujaddid al-Wadi’i ‘alaihi rahmatullah. Maka berjaga-jagalah seorang penuntut ilmu itu daripada tafarrud (menyendiri) kerana syaitan sentiasa menggoda dirinya lalu dia pun mengambil kata-kata yang seperti ini yang sememangnya kata-kata yang benar lalu dia meletakkan kata-kata tersebut pada tempat yang tidak sesuai, bukan pada tempatnya. Bukan pada tempatnya.

Tujuannya adalah untuk memenangkan dirinya dan membela pendapatnya itu dalam keadaan dia sebenarnya tidak tahu bahawa dia sedang memperkecilkan para ulama baik dia sedar atau tidak.

Dia mengurangi kadar para ulama dan membuat manusia lari daripada para ulama dan menyebabkan manusia tidak lagi mendengar nasihat-nasihat dan bimbingan-bimbingan mereka maka dengan itu dia menyelisihi prinsip yang agung daripada prinsip-prinsip dan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan dia tidak mengembalikan manusia kepada para ulama mereka ketika berlakunya fitnah dan ketika berlakunya kejadian-kejadian yang besar yang mana manusia memerlukan kepada fatwa-fatwa berkaitan isu-isu nawazil.

Maka disebabkan itu dia terhuyung-hayang di dalam kekeliruan yang banyak dan tidak reti menguruskannya dengan baik dalam keadaan dia menyangka bahawa dia sedang mencari kemurnian dan kesucian [manhaj]!

Maka nasihat [kami] wahai saudara-saudara yang mulia agar seorang pelajar itu mengetahui kadar dirinya sendiri dan memperbanyakkan doa dan rayuan kepada Rabb al-‘alamin tabaraka wata’ala agar Allah memberikan hidayah kepada hatinya dan kembali kepada para ulama yang memberikan nasihat, para ulama rabbani dan para masyaikh yang teguh [di atas manhaj salafi] sehinggalah Allah memberikan hidayah kepada hatinya itu. Dan janganlah dia banyak berbicara tentang masalah ini. Manusia sudahpun mengetahui apa yang kamu bicarakan dalam keadaan tak ada seorang ulama pun yang membenarkan kamu.

Maka jika demikian, bersabarlah sehinggalah kamu mendapatkan petunjuk ataupun kamu menjauhi urusan ini, tak usah kamu menyibukkan diri kamu sendiri dan tak usah kamu menyibukkan orang lain. Tak usah kamu menimbulkan fitnah kepada manusia, tak usah kamu menyiasat, memeriksa dan menguji mereka.

Tak usah kamu memisah-misahkan manusia yang berada di dalam satu saf menurut hawa nafsu kamu, “Yang ini thabit, yang itu tidak thabit, yang ini mumayyi’, yang ini sekian, yang itu sekian..” Maka dengan itu kamu terhuyung-hayang tanpa arah, kamu mencemarkan kehormatan manusia secara batil dan kamu mempermainkan diri kamu sendiri dan dakwah kamu lalu akhirnya kamu pun terjatuh.

Kita memohon kepada Allah ‘azza wajalla agar memberikan kita taufik kepada apa yang Dia cinta dan reda, dan agar Dia meneguhkan kita di atas kebenaran, cahaya dan petunjuk. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa ke atas itu, semoga Allah memberkati kalian semua dan membalas kalian dengan kebaikan, walhamdu lillah Rabb al-‘alamin.”


Disampaikan oleh Fadhilat al-Syaikh ‘Abd Allah bin Ahmad al-Iryani hafizahullah pada Ahad 14 Safar 1444 di Markiz Banjarnegara, Indonesia.

Suntingan audio dan terjemahan dengan olahan yang tidak mengubah makna:  Wan Shahir bin Wan Perwira

Ikuti Channel Telegram kamihttps://t.me/maktabahahmad_publisher

Comments (0)


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *