Pencerahan Yang Terang-Benderang Tentang Tabdi’, Mubtadi’ Dan Impak Di Sebalik Hukum Mubtadi’ Yang Dilemparkan Kepada Seseorang Yang Pada Asalnya Sunni Salafi. [Bahagian 2]

[Rakaman ini adalah sambungan audio Syeikh ‘Abd Allah al-Iryani sebelum ini]

Kata Fadhilat al-Syaikh ‘Abd Allah bin Ahmad al-Iryani hafizahullah:

[Fasal 5: Penyebutan Dalil-Dalil Akan Bahaya Melakukan Pencerobohan Ke Atas Kehormatan Seorang Muslim Apatah Lagi Seorang Sunni Salafi Tanpa Hak]

“Wahai saudara-saudaraku kerana Allah -semoga Allah memberikan kita taufik kepada apa yang Dia cinta dan reda-, setelah penjelasan yang ringkas ini, kita berpindah pula kepada menjelaskan besarnya bahaya apabila seorang insan itu salah dalam hukumnya dan menzalimi saudara muslimnya yang lain. Kerana seorang insan itu, setinggi apa pun martabat yang telah dia capai, sungguh dia tidak maksum. Bahkan para imam juga kadang-kala keliru dalam beberapa permasalahan, maka bagaimanakah agaknya dengan seorang penuntut ilmu?! Subhanallah, lagi-lagilah adakalanya dia benar adakalanya dia salah, bahkan kesalahan pada haknya itu lebih patut lagi tatkala para ulama semuanya berada di dalam satu saf manakala dia pula berada di saf yang lain di dalam masalah ini.

Oleh sebab itu, kita akan menyebutkan -semoga Allah memberkati kalian- beberapa dalil tentang pentingnya berhati-hati daripada berbuat kezaliman terhadap kehormatan seorang muslim. Ini termasuk daripada bab [firman Allah]:

“Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.” [Al-Dzariyat: 55]

Rabb al-‘alamin jalla wa’ala telah memerintahkan kita agar berlaku adil dan Dia telah melarang kita daripada berbuat kezaliman dan pencerobohan. Firman Allah jalla wa’ala:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kalian berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.” [Al-Nahl: 90]

Dan firman Allah ‘azza wajalla:

“Dan apabila kamu mengatakan sesuatu maka hendaklah kamu berlaku adil..” [Al-An’am: 152]

Wajib ke atas kamu berusaha berbuat adil sebaik mungkin dan apabila kamu tak mampu maka kembalilah kepada para ulama dan rujuklah [kepada mereka] dalam perkara itu serta mintalah pedoman kepada Allah tabaraka wata’ala (istikharah) berulang-ulang kali [sehinggalah kamu mendapatkan jalan keluar].

Nabi kita sallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

“Dan aku telah diperintahkan untuk berlaku adil di antara kamu.”

Firman Allah ‘azza wajalla:

“Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa.” [Al-Maidah: 8]

Wahai saudara-saudaraku kerana Allah, wahai saudara-saudara yang saya kasihi kerana Allah, ingatlah dan dengarkanlah hadith yang agung ini. Ia diriwayatkan oleh Imam Al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah, daripada hadith Abu Bakrah radhiallahu ‘anhu. Hadith ini sahih. Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Tidak ada suatu dosa yang lebih layak -di dalam Musnad Imam Ahmad: “lebih patut”- untuk Allah mempercepatkan hukuman ke atas pelakunya di dunia bersamaan dengan apa yang telah Dia simpan -di dalam riwayat yang lain: “bersamaan dengan apa yang telah disimpankan”- untuknya pada hari kiamat, selain daripada dosa kezaliman dan memutuskan silaturahim.”

Maka saya memohon kepada Allah agar melindungi kalian semua daripada fitnah yang nampak dan yang tersembunyi. Wahai saudara-saudaraku kerana Allah -semoga Allah memberikan kita semua taufik kepada apa yang Dia cinta dan reda-.

Apabila suatu persaksian itu tidak jujur maka ia bermaksud persaksian yang diberikan tersebut adalah persaksian yang palsu. Para ulama yang penuh amanah, merekalah yang bertugas menyemak setiap ucapan [yang keluar tentang suatu permasalahan] sebagaimana mereka menyemak hujah-hujah dan bukti-bukti keterangan, sebagaimana mereka menyemak sanad-sanad hadith, mereka memberikan hukum dan kata putus ke atasnya.

Merekalah juga yang akan memeriksa hukum [di dalam permasalahan] ini, adakah ia hukum yang tepat, adil dan sesuai pada tempatnya ataukah tidak. Merekalah juga yang akan memeriksa hujah-hujah dalam mentabdi’ seseorang, adakah orang tersebut layak mendapatkan hukum tabdi’ tersebut ataukah tidak?! Merekalah juga yang memeriksa sanad-sanad lalu memberikan kata putus, adakah sanad ini boleh dijadikan hujah ataukah ada padanya ‘illah (penyakit) walaupun secara zahirnya ia kelihatan sahih.

Maka lagi sekali kami tekankan kepentingan merujuk kepada ulama terlebih-lebih lagi kita sekarang ini sedang berhadapan dengan sebuah perkara yang sangat besar dan salah satu daripada prinsip-prinsip agama ini ke atas seseorang dari kalangan muslimin yang mana hukum asal padanya adalah suci, kehormatannya suci, lebih suci daripada kehormatan kaabah yang mulia. Maka hal-hal yang seperti ini bukanlah suatu perkara yang mudah, bukanlah suatu perkara yang ringan. Ia sebuah perkara yang besar lagi penuh bahaya -Demi Allah!-

Walaupun sekiranya seorang pelajar itu memiliki ilmu, tetap [dia perlu ingat bahawa] para ulama itu adalah yang lebih tahu, lebih faham, lebih berakal

“Dan tiap-tiap orang yang berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang lebih mengetahui.” [Yusuf: 76]

Telah datang ancaman yang sangat keras -wahai saudara-saudaraku yang mulia- terkait dengan persaksian palsu sehinggakan ianya digandingkan dengan perbuatan mensyirikkan Allah tabaraka wata’ala di dalam Al-Quran dan sunnah. Firman Allah jalla wa’ala:

“Maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh penyembahan berhala, serta jauhilah ucapan yang palsu.” [Al-Hajj: 30]

Di dalam al-Sahihain, daripada hadith Abu Bakrah radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

“Mahukah kalian aku khabarkan tentang dosa besar yang paling besar?” Mereka berkata: “Sudah tentu wahai Rasulullah.” Sabda baginda: “Mensyirikkan Allah dan menderhakai ibu bapa.” Pada awalnya baginda sedang bersandar kemudian baginda duduk dan bersabda lagi: “Ketahuilah dan juga ucapan yang palsu, dan persaksian yang palsu.” Kata Abu Bakrah: “Terus menerus baginda mengulanginya sehingga kami berharap agar baginda berhenti berucap (kerana kasihkan baginda).”

Di dalam Sahih Imam al-Bukhari, daripada hadith Samurah bin Jundub radhiallahu ‘anhu, bahawa Nabi kita sallalahu ‘alaihi wasallam menceritakan kepada kita tentang orang yang diazab di dalam kuburnya disebabkan ucapan dustanya yang menjalar sampai ke seluruh ufuk dunia dan tersebar luas di sekelilingnya, sabda baginda:

“Maka dikoyakkan bahagian tepi mulutnya [menggunakan cangkuk besi] sampai ke belakang tengkuknya, dikoyakkan bahagian lubang hidungnya sampai ke belakang tengkuknya dan dikoyakkan bahagian matanya sampai ke belakang tengkuknya.” Berkata malaikat Jibril dan Mikail: “Dilakukan kepadanya seperti ini sampailah ke hari kiamat.”

Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, di dalam sebuah hadith yang sahih daripada ‘Abd Allah bin ‘Umar radhiallahu ‘anhuma, sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam:

“Barangsiapa yang mengucapkan tentang seorang mukmin sesuatu yang tidak ada padanya, nescaya Allah akan menempatkannya di dalam Radghat al-Khabal. Tahukah kalian apa itu Radghat al-Khabal? Perahan cairan ahli neraka, sampailah dia mencabut ucapannya itu.”

Maka untuk apa kita mempertaruhkan diri kita dalam perkara yang berbahaya ini? Berdiri sahajalah di mana para ulama berdiri, tunggu sahajalah apa yang dikatakan oleh para ulama. Kita sentiasa bersama para ulama kita, para masyaikh kita dan para imam kita.

Wahai saudara-saudaraku kerana Allah -semoga Allah memberikan kita semua taufik kepada apa yang Dia cinta dan reda-. Dengarkanlah peringatan yang agung yang disebutkan oleh Nabi kita sallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana di dalam Musnad Imam Ahmad dan Sunan Imam Abu Daud, daripada hadith Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, dan hadith ini sahih. Sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam:

“Tatkala aku diangkat (mi’raj) ke langit, aku melewati suatu kaum yang memiliki kuku-kuku yang diperbuat daripada cairan tembaga yang mana dengan itu mereka mencakar-cakar wajah-wajah dan dada-dada mereka.” Maka aku berkata: “Siapakah mereka ini wahai Jibril?” Kata Jibril ‘alaihissalam: “Mereka ini ialah golongan yang memakan daging-daging manusia (mengumpat) dan mencemarkan kehormatan-kehormatan manusia yang lain.”

Maksudnya dengan cara yang batil. Maka seorang mukmin itu sepatutnya berjaga-jaga dengan dirinya. Bukanlah satu aib untuk seseorang itu menunggu kalam ulama. Bukanlah itu satu kekurangan pada haknya. Bukan juga hal itu satu kelemahan pada pegangan salafiyyah-nya, pendiriannya dan keteguhannya, sama sekali tidak demi Allah! Bahkan itu menunjukkan kepada kesempurnaan dan kekukuhan akalnya.

Wahai saudara-saudaraku kerana Allah -semoga Allah memberikan kita semua taufik kepada apa yang Dia cinta dan reda-. Telah diriwayatkan di dalam Sahih Muslim daripada hadith Jabir bin ‘Abd Allah, dan di dalam al-Sahihain daripada hadith ‘Abd Allah bin ‘Umar radhiallahu ‘anhuma, sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam:

“Kezaliman adalah kegelapan-kegelapan pada hari kiamat.”

Rabb al-‘alamin tabaraka wata’ala telah berfirman:

“Dan sesungguhnya telah rugi dan hampalah orang yang menanggung dosa kezaliman.” [Taha: 111]

Maka inilah ayat-ayat Al-Quran yang mulia dan hadith-hadith Nabi yang sahih yang menerangkan serta memperingatkan akan bahaya perbuatan menceroboh [terhadap hak seorang muslim], kezaliman, persaksian palsu dan bahaya mencemar kehormatan seorang muslim.

Oleh sebab itulah para ulama menegaskan dan menegaskan serta mengulang-ulang penegasan bahawa bab tabdi’ adalah bab yang sangat-sangat berbahaya. Ia sangat perlu kepada semakan yang teliti (tathabbut), pertimbangan serta tidak tergesa-gesa dan rujukan di dalam masalah ini ialah para ulama yang berilmu dan beramal dengan dalil-dalil dan hujah-hujah yang kuat.

[Fasal 6: Taklik Syeikh ‘Abd Allah al-Iryani Terhadap Wasiat Syeikh Yahya al-Hajuri hafizahumallah Terkait Seorang Saudara Di Perancis Yang Mentabdi’ Seseorang Yang Tidak Ditabdi’ Oleh Para Ulama]

[Wasiat Syeikh ini telah kami terjemahkan secara sempurna disertai rakaman suara Syeikh di pautan ini: https://t.me/maktabahahmad_publisher/1324 ]

Kita sebut pula -semoga Allah memberkati kalian- wasiat dan nasihat daripada Syeikh kami Al-‘Allamah al-Muhaddith al-Nasih al-Amin Yahya bin ‘Ali al-Hajuri hafizahullah. Nasihat ini sebenarnya sebuah nasihat yang umum tetapi sebab keluarnya nasihat ini adalah khusus berkaitan dengan seorang lelaki di Perancis yang mentabdi’ seseorang yang tidak ada siapa pun yang mentabdi’-nya. Dia mentabdi’ seseorang yang tidak ditabdi’ oleh ahli ilmu. Lalu apakah jawapan Syeikh kami hafizahullah wara’ah? Dan apakah wasiat beliau? Dan apakah nasihat beliau?

Tatkala dikatakan kepada beliau bahawa ada seorang lelaki daripada Perancis yang mentabdi’ seseorang yang tidak ada ditabdi’ oleh seorang pun dari kalangan ahli ilmu, beliau mengatakan:

“Ini termasuk daripada perbuatan huru-hara kerana urusan tafsiq dan tabdi’ kembali kepada dalil-dalil dengan pemahamannya yang sahih lagi mematuhi disiplin ilmu yang teratur di atas tariqah Salaf ridhwanullah ‘alaihim. Orang yang memahami urusan ini adalah para ulama sebagaimana Allah telah memberikan tazkiah kepada mereka (para ulama) untuk itu dengan firman-Nya:

“Dan misal-misal perbandingan yang demikian itu Kami kemukakan kepada umat manusia, dan hanya orang-orang yang berilmu yang dapat memahaminya.” [Al-‘Ankabut: 43].

Dan firman-Nya:

“Oleh itu bertanyalah kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.” [Al-Nahl: 43].

Dan firman-Nya:

“Apabila mereka didatangi suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, mereka pun menyiarkannya. Kalaulah mereka merujuknya kepada Rasul dan Ulil Amri dalam kalangan mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenaran (akan dapat) mengetahuinya dari mereka (iaitu Rasul dan Ulil Amri).” [An-Nisa’: 83].”

Maka seluruh yang kamu lihat berupa pujian-pujian ini, perintah untuk menghalakan manusia kepada ahli ilmu dan penjelasan bahawa merekalah yang memahami urusan-urusan [agama] dan misal-misal perbandingan; Semuanya menunjukkan bahawa urusan ini (takfir dan tabdi’) adalah urusan ahli ilmu dan juga menunjukkan bahawa apabila masalah-masalah ini dihalakan kepada yang bukan ahli ilmu, nescaya akan berlaku kekaburan, kekeliruan, kegagalan dalam menyelesaikan masalah dan kegagalan untuk mengeluarkan [sesuatu hukum] dengan cara yang diredai Allah ‘azza wajalla.

Orang-orang yang cemburu terhadap agama Allah sememangnya ramai; Para ulama, orang-orang awam, para penuntut ilmu dan seluruh kaum muslimin. Barangkali kamu mendapati pada diri seorang insan itu terdapat kecemburuan yang sangat besar [terhadap agama Allah] sehingga mendorongnya untuk membenci suatu kemungkaran dan melampau (ghuluw) dalam membenci. Sifat ghuluw yang keluar daripadanya itu akan memudaratkan masyarakat dan akan memudaratkan kaum muslimin..”

Kata beliau lagi:

“Seorang alim yang bijaksana, yang mendukung ucapannya dengan dalil-dalil, dialah yang akan menyelesaikan masalah ini. Kemudian juga, orang yang alim itu adalah lebih memiliki rasa takut kepada Allah ‘azza wajalla berbanding orang biasa sebagaimana tazkiah Allah kepada ahli ilmu,

“Hanyalah yang sebenarnya takut kepada Allah dari kalangan hamba-hambaNya adalah orang-orang yang berilmu.” [Fatir: 28]

Maka rasa takutnya kepada Allah, kemampanannya dalam ilmu yang telah Allah berikan kepadanya, bersamaan dengan sifatnya yang sentiasa memohon perlindungan dengan Allah ‘azza wajalla ditambah lagi dengan kebijaksanaan akalnya sebagaimana yang disebutkan di dalam Al-Quran,

“Dan hanya orang-orang yang berilmu yang dapat memahaminya.” [Al-‘Ankabut: 43]

Ditambah pula lagi dengan keupayaannya menyimpulkan permasalahan serta sifat kehati-hatiannya dalam membuat kesimpulan -maksudnya dia bertenang dan tidak tergesa-gesa-; Semua ini dan perkara-perkara lain lagi yang berkaitan dengannya..”

Taklik Syeikh ‘Abdullah al-Iryani:

“Maksudnya ada lagi perkara-perkara yang lain yang wajib terpenuhi pada seorang alim dalam masalah tabdi’.”

Sambung Syeikh Yahya:

“..akan membawanya mengucapkan suatu ucapan yang dengan izin Allah akan mendatangkan manfaat dan tidak mendatangkan mudarat.”

Kata beliau lagi:

“Manakala orang yang bukan alim baik dari kalangan orang-orang awam atau para penuntut ilmu atau yang semisal mereka, apabila dia berbicara tentang suatu permasalahan; Selain dia tidak mendapatkan kepercayaan manusia, sangat jarang untuk dia dapat memenuhi kriteria-kriteria [yang diperlukan] untuk berbicara tentang masalah-masalah ini. Kalaupun beberapa kriteria dapat dipenuhi, itu hanyalah sebahagiannya sahaja bukan semuanya; Maksudnya dari sudut warak, rasa takut kepada Allah (khauf dan khashyah), [upaya] menyelesaikan masalah dengan dalil-dalilnya, [kebolehan] memahami permasalahan [dengan baik] dan [upaya] menyimpulkan permasalahan dari segala sisinya. Oleh sebab itu, kami mewasiatkan kepada diri kami..”

Taklik Syeikh ‘Abd Allah al-Iryani:

“Ini wasiat. Wasiat para ulama Salafi dan para pemikul Dakwah Salafiyyah di alam ini.”

Sambung Syeikh Yahya:

“Oleh sebab itu, kami mewasiatkan kepada diri kami dan para pendengar agar kita semua berpegang kepada prinsip yang asal ini iaitulah dengan menghalakan urusan-urusan ini kepada ahlinya dengan dalil. Adapun saudara kita ini dan juga selainnya..”

Taklik Syeikh ‘Abd Allah al-Iryani:

“Maksudnya nasihat ini mencakup semua, baik orang Perancis, Indonesia, Yaman, atau selainnya.”

Sambung Syeikh Yahya:

“.. jika sekiranya dia mendapatkan ucapan ahli ilmu dalam mentabdi’ seseorang, maka silakan dia mengambilnya dan boleh dia menyebarkannya dalam rangka ta’awun (saling tolong menolong) di atas kebaikan dan takwa serta dalam rangka membela agama Allah terlebih lagi apabila ucapan [tentang orang tersebut] telah didukung dengan hujah-hujahnya yang kuat.”

Taklik Syeikh ‘Abd Allah al-Iryani:

“Kemudian beliau hafizahullah mewasiatkan bahawa apabila seseorang itu tidak mendapatkan apa-apa kalam orang alim [tentang seseorang], dalam masa yang sama dia melihat kemungkaran, maka hendaklah dia menyebutkan kemungkaran itu dengan dalil-dalilnya lalu memaparkan hal itu kepada para ulama, merujuk kepada para ulama dan hendaklah dia mendengarkan kalam para ulama.”

Sambung Syeikh Yahya:

“Barangkali orang alim itu dapat membantunya melihat sesuatu yang dia tidak melihatnya [kerana cetek ilmunya]. Atau orang alim itu dapat membimbingnya kepada perkara yang tidak dapat dicapai [oleh pemahamannya]. Atau orang alim itu dapat memahamkannya apa yang tidak dia fahami..”

Sambung Syeikh Yahya:

“Masyarakat tidak akan ketandusan orang yang menegakkan hujah kerana Allah. Kebaikan akan terus ada, agama Allah ‘azza wajalla akan terus ditolong, kecemburuan terhadap agama akan terus memenuhi hati-hati kaum mukminin serta segala kebaikan akan dapat ditemukan -walillahi al-hamd-..”

Taklik Syeikh ‘Abd Allah al-Iryani:

“Selesai kalam beliau hafizahullah. Maka alangkah indahnya nasihat-nasihat yang berharga, wasiat-wasiat yang agung serta prinsip-prinsip Salafiyyah ini.

Maka wahai anak-anakku, wahai saudara-saudaraku dan wahai orang-orang yang saya kasihi. Jika kita tidak mengambil pinsip-prinsip Salafiyyah dan nasihat-nasihat yang teguh ini maka nasihat apa lagi yang akan kita ambil? Jika kita tidak berjalan di atas manhaj yang lurus terkait dengan bab tabdi’ ini, maka di atas manhaj apa lagi yang akan kita tempuh? Semoga Allah menjaga, memelihara, menyelamatkan dan melindungi kalian semua.”


Cuplikan daripada ceramah berjudul: “Bahaya Tergesa-gesa Dalam Mentabdi’ Dan Penjelasan Bahawa Mengembalikan Urusan Ini Kepada Para Ulama Adalah Ittiba’ Bukan Taklid Mahupun Tamyi'” yang disampaikan oleh Fadhilat al-Syaikh ‘Abd Allah bin Ahmad al-Iryani hafizahullah pada Sabtu 14 Rabi’ al-Thani 1443 di Masjid As-Sunnah Al-Amin, Parepare, Indonesia.

Suntingan audio dan terjemahan dengan olahan yang tidak mengubah makna:  Wan Shahir bin Wan Perwira

Ikuti Channel Telegram kamihttps://t.me/maktabahahmad_publisher

Comments (0)


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *