Orang Yang Taasub Kepada Pendapat Peribadinya Hakikatnya Sedang Menyeru Manusia Agar Bertaklid Kepada Dirinya
[Rakaman ini adalah sambungan audio Syeikh ‘Abd Allah al-Iryani sebelum ini]
Kata Fadhilat al-Syaikh ‘Abd Allah bin Ahmad al-Iryani hafizahullah:
“Maka [kesimpulannya: Yang pertama:] kita bukanlah muqallidah (ahli taklid) tetapi kita orang-orang yang mengikuti para ulama. Kita orang-orang yang mengikuti para ulama yang mereka memiliki hujah.
Yang kedua: Kita berada di atas hukum asal pada memelihara kehormatan seorang muslim dan bahawa dia termasuk Ahli Sunnah.
Yang ketiga: Bukanlah semua yang terjatuh ke dalam bidaah, dihukum sebagai mubtadi’ (ahli bidaah). Barangsiapa yang mendakwa bahawa semua yang terjatuh ke dalam bidaah maka dia mubtadi’, maka dialah yang sebenarnya telah menempuh jalan ahli bidaah dan terkesan dengan pemikiran Jemaah Takfir. Yang demikian itu adalah kerana para salaf ‘alaihim rahmatullah semuanya sepakat bahawa bukanlah semua yang terjatuh ke dalam suatu bidaah dinamakan pelakunya itu mubtadi’.
Syeikh kami Imam al-Wadi’i, seorang mujaddid rahimahullah menegaskan hal ini dengan berkata:
Demikianlah wahai saudara-saudaraku, barangsiapa yang kata bahawa ‘Uthman mubtadi’ maka dialah yang sebenarnya mubtadi’. Kenapa dia mubtadi’? Kerana dia berada di atas pemikiran ghuluw dan ghuluw itu sendiri bidaah. Dan juga kerana dia telah keluar daripada manhaj Salafus Soleh dan ijmak umat Islam bermula dari zaman sahabat, tabiin, tabi’ tabiin sampailah ke hari ini dalam melontarkan tohmahan kepada ‘Uthman bin ‘Affan bahawa beliau mubtadi’.
Akhir sekali dikatakan kepada orang ini: “Kamu ini wahai si pembohong besar! Wahai si pentohmah orang-orang yang baik, soleh lagi mendapatkan petunjuk untuk mengikuti para ulama bahawa mereka muqallidah (ahli taklid) atau mumayyi’ah (orang-orang yang lembik manhaj), kamulah yang sebenarnya taasub kepada pendapat peribadi kamu sendiri.”
Kata Syeikh kami Al-‘Allamah al-Imam al-Wadi’i ‘alaihi rahmatullah:
Ini sebenarnya adalah dakwah kepada pendapat peribadinya sendiri dan dakwah agar manusia bertaklid buta kepadanya. Padanya ada talbis (pengelabuan [kepada orang ramai]) bahawa mengikuti para ulama adalah taklid. Sedangkan tidak ada di dalam dakwah Ahli Sunnah Wal Jamaah talbis [yang seperti ini].
Mengikuti para ulama tidak dinamakan taklid hatta walaupun para ulama tersebut menjarh seseorang dalam keadaan tidak menyebut kepada kita bukti keterangan atau hujah, mereka hanya menyebutkan: “Berhati-hatilah daripada orang ini”. Kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang memberikan nasihat lagi amanah maka mereka memberikan kepada kita kepakaran dan sisi pandang mereka. Mereka mengatakan: “Berhati-hatilah daripada orang ini.”
Hal ini [analoginya adalah] seperti kamu masuk ke dalam pasar [sebagai contohnya] lalu kamu bertanya kepada orang lama di situ yang mana dia adalah seorang yang amanah lagi memberikan nasihat: “Apakah pendapat anda? Adakah baik kalau saya berinteraksi dengan orang ini ataukah tidak?” Dia pun menjawab: “Tidak.” [Atau kamu bertanya kepadanya:] “Adakah baik kalau saya membeli barangan jenis ini ataukah barangan jenis yang lain?” [Atau kamu bertanya kepadanya:] “Adakah baik kalau saya beli makanan di restoran ini ataukah restoran itu?” Dia akan memberikan kepada kamu jawapan berdasarkan kepakaran [dan pengalaman] yang dia miliki. Dia duduk di tengah-tengah pasar itu. Tidak lazim untuk dia [menerangkan jawapannya itu dengan] berkata: “Saya telah bermuamalah dengan orang ini, pada hari sekian, pada jam sekian lalu dia menipu saya. Kemudian saya bermuamalah lagi pada hari sekian dan sekian, maka dia melakukan sekian dan sekian, dia menipu saya dan …” Dia menyebutkan kepada kamu sejarahnya dan pengalamannya bersama mereka. Tidak lazim untuk dia menyebutkan itu semua. Cukup dengan dia berkata: “Ini nasihat saya, kamu datang meminta nasihat daripada saya maka saya menasihati kamu berdasarkan ilmu dan kepakaran, pergaulan dan pengalaman yang saya miliki bersama mereka itu.”
Demikianlah seorang Syeikh dan seorang alim, dia lebih mengetahui tentang murid-muridnya. Seorang alim itu lebih mengenali para pelajarnya sebagaimana seorang ayah lebih mengenali anak-anaknya. Maka seorang alim itu berkata: “Pelajar yang ini sunni salafi.”, “Pelajar yang itu pula ada kesalahan.”, “Mereka semua saling bersaudara kerana Allah, berlaku di antara mereka hasutan syaitan..” [Perlu diketahui bahawa] Kesalahan dan penyelisihan syariat itu adalah kesalahan dan penyelisihan syariat tetapi jangan sampai hukum ke atas perbuatan itu atau ke atas pelakunya melampaui batas atau melebihi had [yang sepatutnya].
Oleh sebab itu, wahai saudara-saudara saya yang mulia, dan orang-orang yang saya kasihi kerana Allah, kita kembali kepada apa yang kita bincang pada permulaan ceramah ini iaitulah tentang menuntut ilmu dan kukuh dalam menuntut ilmu. Kukuh! Kerana sesugguhnya seorang pelajar itu apabila dia tidak kukuh, akan berlaku daripadanya fitnah-fitnah yang banyak tatkala dia menonjolkan dirinya. Para ulama semuanya sepakat bahawa orang yang seperti ini tidak berhikmah, tidak berakal [baik] dan tidak bijaksana. Orang yang menonjolkan dirinya terhadap sesuatu yang dia tidak reti melakukannya dengan baik, mudaratnya akan lebih banyak daripada manfaatnya. Orang-orang yang bijaksana dan para ulama dahulunya telah berkata:
Apabila dia itu seorang penuntut ilmu, maka dia sebenarnya masih memerlukan.. Apabila dia menulis [sebagai contohnya] beberapa lembaran kertas, untuk dia memaparkannya kepada para ulama dan masyaikh dan berkata: “Tolong lihat, adakah ucapan-ucapan saya di dalam lembaran ini baik?”, “Berikanlah sedikit kata pengantar, berikanlah sedikit pujian bahawa apa yang saya ucapkan di dalam lembaran ini baik.” Ini hanya beberapa lembaran kertas maka bagaimana pula dengan perbuatan mencemarkan kehormatan seorang muslim yang sunni dan mengeluarkan hukum ke atasnya bahawa dia bukan lagi termasuk Ahli Sunnah Wal Jamaah, bukan termasuk Al-Firqah al-Najiyah, bukan termasuk Al-Thaifah al-Mansurah dan bahawa dia termasuk daripada mereka yang [diancam] untuk masuk neraka?! Dan boleh pula dia berkata: “Saya tak peduli lagi dengan sesiapa yang menyelisihi saya dari kalangan ulama, tak kisah siapa pun dia!” Kekarutan apakah ini?! Ucapan seperti ini tidak pernah dikenal di dalam manhaj salafi.
Kesimpulannya, bukan semua yang boleh mengarang kitab itu dikira faqih dan bukan semua yang menghafal Al-Quran boleh menjadi faqih dan boleh menonjolkan diri untuk mengeluarkan hukum pada keseluruhan hukum-hakam syariat, menjadi hakim ke atas manusia menurut apa yang nampak pada pandangan dan pendapatnya. Maka wajib merujuk kepada ahli ilmu. Wajib merujuk kepada ahli ilmu.
Wahai saudara-saudara saya kerana Allah, menuntut ilmu adalah taufik daripada Rabb al-‘alamin dan kemuliaan daripada Arham al-rahimin subhanahu wata’ala,
Kita memuji Allah atas nikmat markiz ilmiah ini yang mana ia adalah markiz pertama yang kami ketahuinya di Indonesia dan markiz pertama yang kami singgah. Ini masjid sunnah, markiz sunnah dan orang-orang yang mengelolanya juga Ahli Sunnah. Tidak dikatakan bahawa mereka ini mumayyi’ah (orang-orang yang lembik manhajnya) ataupun muqallidah (ahli taklid). Bahkan mereka semua orang-orang soleh dan para pemberi nasihat. Mereka mengikuti para ulama, berpendirian sesuai dengan pendirian para ulama dan melazimi dahan ahli ilmu. Maka hendaklah mereka disyukuri atas itu, semoga Allah membalas mereka dengan kebaikan.
Kita memohon kepada Allah agar memelihara, memberkati dan membalas kalian semua dengan kebaikan dan meneguhkan kita semua di atas petunjuk Nabi kita Muhammad sallallahu ‘alaihi wa’ala alihi wasallam dan menutup kehidupan kita semua dengan kebaikan.”
Cuplikan daripada ceramah yang disampaikan oleh Fadhilat al-Syaikh ‘Abd Allah bin Ahmad al-Iryani hafizahullah pada 11 Jumada al-Ula 1444 di Masjid ‘Umar bin Khattab, Cibeber, Cianjur, Jawa Barat, Indonesia.
Suntingan audio dan terjemahan dengan olahan yang tidak mengubah makna: Wan Shahir bin Wan Perwira
Ikuti Channel Telegram kami: https://t.me/maktabahahmad_publisher
Comments (0)