Wasilah Untuk Menyerang Dakwah Salafiyyah: Menjadi Bala Tentera Syaitan Dengan Bekerja Membuat Hasutan Di Tengah-Tengah Saf Salafi

Kata Fadhilat al-Syaikh ‘Adnan bin al-Husain al-Masqari hafizahullah:

[Berkata Syeikh kami Yahya hafizahullah:]

“Wasilah yang pertama ialah: Tahrisy (hasutan) yang dilakukan oleh para penentang Dakwah Salafiyyah di antara para pemikul Dakwah Salafiyyah, para ulama dan para pendakwah, maka para penentang tersebut menyebarkan hasutan di tengah-tengah mereka. Ini bukanlah perkara baharu akan tetapi ia sesuatu yang telah lama berlaku sejak zaman Imam Al-Bukhari dan Syeikh beliau Muhammad bin Yahya al-Zuhli. Sejak zaman Imam Malik dan Ibn Ishak. Sejak zaman ‘Abbas bin ‘Abdul ‘Azim, ‘Abd al-Razzak dan para imam yang terdahulu. Ini merupakan usaha syaitan.”

[Taklik Syeikh ‘Adnan hafizahullah:]

Maka yang pertama ialah: Tahrisy (menghasut). Mereka mengirimkan orang untuk membuat hasutan di antara para pendakwah dan para ulama. Dia menghasut dan apabila dia dapati bahawa si fulan tersebut lemah, boleh menerima hasutan, boleh menerima perosakan, boleh menerima [bisikan-bisikan fitnah yang boleh] memanaskan dadanya terhadap saudaranya, mereka akan memburunya, mengambilnya dan mengerahkannya sehinggalah dia merosakkan dirinya sendiri dan merosakkan Dakwah Salafiyyah.

Lalu apakah jalan penyelesaian apabila didapati wujudnya tahrisy? [Jalan keluarnya ialah:] Seorang insan itu janganlah dia menerima ucapan para penghasut tetapi hendaklah dia meneruskan persaudaraan dengan saudaranya itu, teruskan bersamanya, tidak membuat makar ke atasnya, tidak membiarkannya terlantar, tidak membantu untuk menjatuhkannya dan tidak menerima celaan kepadanya. -selesai.

[Sambung Syeikh Yahya hafizahullah:]

“Imam Muslim meriwayatkan di dalam Sahih beliau hadith Jabir bin ‘Abdillah radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sesungguhnya syaitan telah berputus asa untuk ia disembah oleh orang-orang yang menunaikan solat di tanah arab, akan tetapi [ia berusaha] untuk membuat hasutan di antara mereka.”

Maksudnya: Ia berusaha menghasut, bekerja keras menghasut, bersungguh-sungguh menghasut, tidak berhenti menghasut sehinggalah dia membuat hasutan di antara seorang saudara dengan saudaranya yang lain, di antara seorang ayah dengan anaknya. Dia menempatkan singgahsananya di tengah laut dan mengerahkan bala tenteranya untuk menghasut di antara manusia. Lalu datang syaitan yang mengkhabarkan kepadanya bahawa dia telah menghasut di antara si fulan dan si fulan maka hal itu tidak mengagumkannya sehinggalah datang syaitan yang berkata: “Aku sentiasa mendampingi si fulan dan si fulan sampai dia memisahkan isterinya.” Lalu Iblis berkata kepadanya: “Engkaulah yang terbaik.” Lalu ia dipakaikan mahkota.”

[Taklik Syeikh ‘Adnan hafizahullah:]

Maksudnya: Iblis memakaikan kepadanya mahkota kerana dia berjaya memisahkan di antara seorang lelaki dengan isterinya. Maka sebagaimana yang telah kamu dengar, terkadang para penghasut itu mendapati seseorang yang lemah jiwanya yang boleh menerima hasutan. Terkadang mereka mendapati orang-orang yang bersaudara, hati-hati mereka satu, jalan mereka satu, persaudaraan mereka satu, maka para penghasut tidak mampu menghasut [di antara mereka].

Walaupun barangkali mereka berjaya menghasut selama beberapa hari, tetap urusan tersebut akan kembali seperti sedia kala dengan izin Allah dan seseorang itu akan terus mencintai saudaranya kerana dia telah mengetahui bahawa ucapan-ucapan tersebut adalah dusta belaka. Ini masalah terkait seorang insan dengan saudaranya.

Adapun masalah orang yang menghasut di antara para pelajar terhadap Syeikh mereka. Maka apakah jalan keluarnya? Jalan keluarnya: Hendaklah pelajar tersebut mendustakan [si penghasut] dan mengatakan: “Saya tidak menerima celaan kepada Syeikh saya, tidak kepada guru saya. Saya tidak mahu menerima apa-apa celaan.

Saya sendiri yang akan pergi kepada guru saya dan bertanya tentang perkara ini, adakah benar? Adakah sabit perkara ini kepada anda wahai Syeikh?” Dia akan menasihati Syeikhnya sekiranya dia dapati ada kesalahan. Adapun untuk dia menerima celaan terhadap pengajarnya dan gurunya, maka ini merupakan pintu fitnah ke atasnya dan merupakan perbuatan mengingkari kebaikan, ‘iyadzan billah.

Apabila celaan itu dituju kepada saudara kamu, maka janganlah menerima celaan terhadap saudara kamu sehinggalah kamu sendiri yang pergi dan bertanya kepadanya. Apabila berlaku hasutan di antara kamu dengan isteri kamu, maka janganlah kamu menerimanya sehinggalah kamu yakin. Janganlah menerima hasutan syaitan atau bala tentera syaitan. Alangkah banyaknya para penghasut dengan kebatilan.

Adapun orang yang datang dan menukilkan kepada kamu berita yang benar: “Si fulan berkata begini dan begitu tentang kamu.” Yang seperti ini bukanlah penghasut. Yang seperti ini dia ingin memperbaiki keadaan. Sebagai contohnya:

Seorang ayah tinggal bersama anak-anaknya di dalam sebuah rumah kemudian salah seorang anak melihat saudaranya menyaksikan kemungkaran dan maksiat, dia derhaka kepada Allah dan tidak menyertai solat [berjemaah] lalu dia pergi kepada ayahnya dan mengatakan: “Saudara saya berbuat keharaman sekian dan sekian..” Maka ayahnya bangkit menjalankan apa yang telah diwajibkan oleh Allah dengan cara menasihatinya atau barangkali memulaukannya dan mengherdiknya. Adakah si anak [yang melaporkan] tadi telah menghasut? Ataukah dia sekadar menyampaikan sesuatu yang mungkar kepada ulil amri-nya untuk diperbaiki?

Fahamilah ini. Sebahagian orang [mudah] mengatakan: “Mereka itu para penghasut” Tidak, kerana penghasut ialah orang yang menukilkan kebatilan dan ingin berbuat kerosakan. Adapun yang menginginkan perbaikan maka sungguh telah datang Ibn Mas’ud [kepada Rasulullah] dan berkata: “Wahai Rasulullah, si fulan mengatakan bahawa pembahagian ini tidak diinginkan dengannya akan wajah Allah.” Maka berubah wajah baginda kerana marah dan baginda tidak pula mengatakan: “Wahai Ibn Mas’ud, kenapakah kamu menyampaikan ini kepadaku?” Kalau seandainya Ibn Mas’ud radhiallahu ‘anhu berbuat maksiat kepada Allah dengan penukilan beliau terhadap ucapan tersebut, nescaya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam akan mengingkarinya dengan wahyu daripada langit. Sudah tentu baginda akan mengatakan: “Tidak boleh kamu menukilkan hal ini kepadaku..” Akan tetapi Rasulullah mengkhabarkan bahawa si fulan itu adalah bala dan akan keluar daripada zuriat keturunan orang yang mengucapkan itu orang-orang Khawarij dan baginda sallallahu ‘alaihi wasallam mentahzir daripada mereka.

Tidak ada seorang alim pun dari kalangan ulama sunnah melainkan mereka ditohmah oleh orang-orang hizbi bahawa mereka membenarkan si fulan dan si fulan, tiga orang atau empat orang [dari kalangan para penghasut], menerima ucapan mereka dan menerima hasutan mereka. Mereka mentohmah Syeikh Muqbil dengan tohmahan ini. Mereka mengatakan bahawa Syeikh Muqbil membenarkan orang-orang [yang menghasut]. Mereka juga mentohmah Syeikh Yahya. Mereka mengatakan bahawa Syeikh Yahya membenarkan si fulan dan si fulan dari kalangan Hajuriyyun dan bahawa merekalah yang telah merosakkan Syeikh Yahya. Seakan-akan mereka menyangka bahawa seorang alim itu kanak-kanak sehingga boleh dipengaruhi oleh sesiapapun. Tidak! Seorang alim adalah orang yang berakal. Walaupun datang kepadanya empat atau lima orang [mengkhabarkan kepadanya sesuatu berita], dia akan berfikir dan memastikan [terlebih dahulu] dalam setiap permasalahan. Dia akan memastikan dan tidak terburu-buru [mengeluarkan hukum], kerana dia alim. Dia juga seorang yang sangat berakal. Dia akan memastikan, mengesahkan, berbincang dan tidak akan menerima [berita] daripada orang ini sehinggalah dia dengar dahulu daripada orang itu, dia tidak menerima [berita] daripada orang itu sehinggalah dia dengar dahulu daripada orang ini.

Maka apabila dia telah istikharah (memohon pedoman) kepada Allah dan berbincang, setelah itu baharulah dia mengucapkan sesuatu yang dapat mendekatkan dirinya kepada Allah. Wallahu a’lam. -selesai.


Cuplikan daripada kelas kitab “Al-Wasail al-Khafiyyah li Dharb al-Da’wat al-Salafiyyah” karya Fadhilat al-Syaikh Yahya bin ‘Ali al-Hajuri, disampaikan oleh Fadhilat al-Syaikh ‘Adnan bin al-Husain al-Masqari hafizahullah di Dar al-Hadith, Dar al-Salam, Tanzania.

Terjemahan dengan olahan yang tidak mengubah makna:  Wan Shahir bin Wan Perwira

Ikuti Channel Telegram kamihttps://t.me/maktabahahmad_publisher

Comments (2)


AbuHaafidz
AbuHaafidz
May 30, 2023

JazākAllāhu khayr wa bārakAllahu feekum

maktabahahmadpublisher
maktabahahmadpublisher
May 31, 2023

Ameen waiyyakum ya akhi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *