Seruan Kami Tidak Bertaklid Kepada Ulama, Kadang Kala Seruan Yang Benar Tetapi Bermaksud Kebatilan

Kata Fadhilat al-Syaikh Abu Anas ‘Abd al-Khaliq al-‘Imad hafizahullah:

“Apakah kedudukan alim?

Kedudukan alim ialah kedudukan yang tinggi. Para ulama ialah pewaris para nabi. Allah azza wajalla telah meletakkan mereka pada kedudukan yang tinggi yang mana ia tidak sama dengan selain mereka.

“Katakanlah: ‘Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?'” [Al-Zumar: 9]

Allah meninggalkan jawapan pada ayat tersebut kerana telah diketahui. Jawapannya telah maklum. Maksudnya tidak sama. Tidak akan sama [kedudukan] seorang alim dengan seorang yang bukan alim. Demikian juga firman Allah azza wajalla:

“Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat.” [Al-Mujadilah: 11]

Dan firman Allah subahanahu wataala:

“Hanyalah yang sebenarnya takut kepada Allah dari kalangan hamba-hambaNya adalah orang-orang yang berilmu.” [Fatir: 28]

Dan firman Allah subhanahu wataala:

“Dan tidak ada yang dapat memahaminya [misal-misal perbandingan kami] kecuali orang-orang yang berilmu.” [Al-‘Ankabut: 43]

Maka para ulama memiliki kedudukan yang agung dan taraf yang tinggi. Memuliakan mereka dengan pemuliaan yang menepati syarak dikira sebagai menjalankan kewajipan-kewajipan syarak dan termasuk mengagungkan kemuliaan-kemuliaan Allah. Di dalam hadith Abu Musa:

“Sesungguhnya memuliakan orang Islam yang lebih tua terutama yang beruban, menghormati pembawa Al-Quran yang tidak bersikap melampau dan cuai terhadap Al-Quran itu dan menghormati sultan yang adil, semuanya adalah penghormatan kepada Allah.”

Allah memerintahkan para hamba untuk bertanya kepada para ulama dalam apa-apa perkara yang mengelirukan daripada urusan-urusan agama mereka.

“Oleh itu bertanyalah kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.” [Al-Nahl: 43]

Allah memerintahkan kita untuk merujuk kepada para ulama dalam isu-isu nazilah yang menimpa manusia.

ÔÇťApabila mereka didatangi suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, mereka pun menyiarkannya. Kalaulah mereka merujuknya kepada Rasul dan Ulil Amri dalam kalangan mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenaran (akan dapat) mengetahuinya dari mereka (iaitu Rasul dan Ulil Amri).” [An-Nisa’: 83]

Maka para ulama memiliki keutamaan yang sangat besar. Orang yang tidak mengetahui kadar alim dan tidak bermuamalah dengan mereka dengan muamalah yang menepati syarak akan diuji -kita memohon kepada Allah afiat dan keselamatan-. Janganlah dia berasa aman ke atas dirinya daripada penyimpangan dan pemesongan. Oleh sebab itu kata Ibn al-Mubarak:

“Barangsiapa yang memusuhi para ulama, dia akan merugikan agamanya.”

Jika seseorang itu termasuk daripada orang-orang yang mempelajari ilmu tetapi dia gagal mengaplikasikan ilmunya dan melihat dirinya lebih tinggi daripada ulama, maka inilah musibah yang sangat besar. Oleh sebab itu orang-orang jenis ini dinamakan “Muta’alim” (Orang yang berlagak tahu semua). Puak ini barangkali melihat diri mereka lebih berilmu daripada ulama. Ini musibah besar ke atasnya.

Sifat itu muncul daripadanya melalui jalan ‘ujub (berasa kagum dengan diri sendiri) dan ghurur (terpedaya dengan diri sendiri), sehingga membawa dirinya untuk menyombongkan diri ke atas ahli ilmu yang mana hal itu nantinya akan menjadi penyebab kegagalannya kerana sesungguhnya kesombongan adalah termasuk punca kegagalan, penyimpangan dan pemesongan.

“Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayatKu.” [Al-A’raf: 146]

Barangkali sebahagian mereka menghafal beberapa ucapan yang sebenarnya ia termasuk daripada bisikan-bisikan syaitan. Kata mereka:

“Kita tidak bertaklid kepada ulama.”

Benar, kita pun tidak bertaklid kepada ulama dan para ulama sendiripun tidak menyuruh kamu bertaklid kepada mereka. Para ulama sunnah tidak menyeru sesiapapun untuk bertaklid kepada mereka namun ini adalah ucapan yang benar tetapi bermaksud kebatilan.

Allah memerintahkan kamu supaya kembali kepada para ulama kenapa? Jika apa yang dikatakan oleh para ulama itu menepati hawa nafsu di dalam diri kamu, kamu pun memuji dan menyanjung mereka dan jika apa yang mereka katakan menyalahi hawa nafsu di dalam diri kamu kamu pun kata:

“Tidak, kami tidak bertaklid kepada ahli ilmu..”

“Para ulama tidak maksum..”,

“Terkadang mereka tahu terkadang mereka tak tahu, terkadang mereka betul terkadang mereka salah..”

Ini semua ucapan yang benar tetapi bermaksud kebatilan.

Seorang insan itu hendaklah mengetahui kadar dirinya sendiri dan sedar bahawa dengan kata-katanya dan apa yang dia tunjukkan kepada manusia, dia telah meletakkan dirinya pada suatu kedudukan yang layak ke atas dirinya. Sebagaimana yang dikatakan oleh Imam al-Syafi’i:

“Barangsiapa yang meletakkan dirinya melebihi kadar yang sepatutnya, nescaya Allah akan mengembalikan dirinya kepada kadarnya yang sebenar.”

Walaubagaimanapun kamu berusaha mengangkat diri kamu atau menyombongkan diri kamu ke atas ilmu dan para ulama dan kamu menjadikan diri kamu seakan-akan kamu begini dan begitu, akhir sekali kamu tidak akan sampai kecuali pada suatu martabat yang kamu layak mendapatkannya.

Oleh sebab itu, wajib ke atas kita semua untuk mengetahui kadar ahli ilmu, dan untuk kita beradab dengan adab yang menepati syarak terhadap para ulama.

Kamu akan dapati sebahagian manusia mengatakan:

“Ayuh kita kembalikan permasalahan ini kepada ahli ilmu.”

Lalu apabila permasalahan tersebut dikembalikan kepada ahli ilmu, dia tidak menerimanya. Dia mahu alim itu yang mengikutinya, dia tidak mahu alim itu yang berbicara berdasarkan apa yang dilihat benar menurut dalil-dalil syarak, Al-Kitab dan sunnah. Tidak. Yang dia mahukan adalah si alim itu yang menuruti hawa nafsunya.

Wahai saudaraku, bertakwalah kepada Allah. Perbetulkanlah hati kamu, tawaduklah kepada Allah dan janganlah menyombongkan diri kerana sesungguhnya seorang insan itu apabila dia telah berasa kagum dengan dirinya sendiri nescaya dia akan binasa sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

“Sekiranya kamu tidak melakukan dosa, nescaya aku bimbang ke atas kamu sesuatu yang lebih besar daripada itu: ‘Ujub, ‘Ujub (kagum dengan diri sendiri, kagum dengan diri sendiri).”

Ini merupakan perkara yang dapat membinasakan seorang insan itu, iaitu untuk dia berasa kagum dengan dirinya sendiri, dia melihat dirinya lebih cemburu terhadap agama Allah berbanding ahli ilmu dan bahawa pemahamannya lebih tinggi daripada mereka dan apabila kamu mendatangi penerapan kaedah-kaedah yang mereka buat, kamu dapati semuanya hampas belaka. Dia langsung tidak memiliki penerapan kaedah, dalam keadaan dia ingin meletakkan dirinya sebagai imam al-Jarh wa al-Ta’dil, semua orang mesti tunduk kepada ucapannya dan tak boleh tolak. Penuh kontradiksi.

Yang penting, nasihat [kami] hendaklah kita semua berusaha menghormati ahli ilmu dan hendaklah kita mengetahui kadar ahli ilmu. Dan yang dimaksudkan dengan ahli ilmu ialah ahli ilmu yang telah dikenali dengan sunnah, teguh di atas sunnah dan yang telah dikenali dengan usaha menepati kebenaran, dan menasihati manusia. Kita memohon kepada Allah agar meneguhkan kita di atas agamanya.”


Disampaikan oleh Fadhilat al-Syaikh Abu Anas ‘Abd al-Khaliq al-‘Imad hafizahullah pada Ahad 22 Safar 1444 di Dar al-Hadith al-Salafiyyah Qisyn (Masjid al-Furqan), Maharah, Yaman.

Terjemahan dengan olahan yang tidak mengubah makna:  Wan Shahir bin Wan Perwira

Ikuti Channel Telegram kamihttps://t.me/maktabahahmad_publisher

Comments (0)


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *