Wasilah Untuk Menyerang Dakwah Salafiyyah: Mencemarkan Gambaran Dakwah Dengan Takfir Dan Tabdi’ Yang Melampau

Kata Syeikh ‘Adnan bin al-Husain al-Masqari hafizahullah:

“Berkata Syeikh kami Yahya hafizahullah:

“Wasilah Ketujuh Daripada Wasilah-Wasilah Tersembunyi Untuk Menyerang Dakwah Salafiyyah:

Mencemarkan gambaran dakwah sama ada dengan takfir atau melampau dalam tabdi’ atau tafsiq tanpa hak dan seumpama itu yang muncul dari puak Haddadiyyah dan sejenis mereka. Oleh itu, hal ini dimanfaatkan oleh musuh-musuh Dakwah Salafiyyah untuk membuat lari manusia daripadanya dan jadilah ia termasuk daripada wasilah-wasilah tersembunyi yang terbesar untuk menyerang Dakwah Salafiyyah.

Tidak mustahil orang-orang yang seperti mereka itu telah disusup masuk untuk menjalankan tujuan-tujuan tertentu kerana sesungguhnya kami telah mengamati sebahagian mereka yang tinggal di bawah pengasuhan orang-orang kafir di Britain dan selainnya daripada negara-negara barat, mereka bangkit membuat beberapa letupan di tengah-tengah mereka yang mana akhirnya hal itu dimanfaatkan oleh orang-orang kafir untuk menyerang Islam, menindas para pemeluknya dan merampas banyak daripada sumber kekayaan mereka sebagai balasan daripada letupan-letupan itu. Ini satu contoh yang menunjukkan kepada agenda-agenda para musuh kebenaran.”

Taklik Syeikh ‘Adnan hafizahullah:

“Syeikh telah berkata benar -demi Allah-. Alangkah baiknya jika Ahli Sunnah berjaga-jaga daripada wasilah yang tersembunyi lagi jahat seperti ini. Demi Allah ia adalah wasilah yang jahat dan ia masih wujud sehingga ke hari ini. Telah kita lalui bersama pada wasilah yang keenam bahawa mereka menyibukkan manusia dengan lafaz-lafaz yang mujmal, “amalan itu syarat kesempurnaan iman atau syarat sah iman? Syarat sah atau syarat kesempurnaan?” Masalah-masalah yang baharu sebenarnya, lalu mereka menguji manusia dengan itu dan membina di atasnya al-wala’ wa al-bara’. Mereka memasukkan masalah-masalah ini yang -demi Allah- barangsiapa yang masuk ke dalam jeratnya tidak akan keluar daripadanya kecuali dalam keadaan sakit. Hatta walaupun dia seorang sunni, apabila dia masuk ke dalam perkara yang tidak dimasuki oleh para Salaf, dia akan keluar dalam keadaan sakit. Wasilah ini lebih kurang sama atau berkaitan dengan wasilah yang sebelumnya. Iaitu bahawa sebahagian manusia telah mencemarkan gambaran Dakwah Salafiyyah padahal dia berada di tengah-tengah dakwah itu.

Kita tidak berasa aman bahawa mereka itu sebenarnya orang-orang yang disusup masuk ke dalam dakwah, masuk di tengah-tengah Ahli Sunnah tiba-tiba berkata: “Si Fulan kafir!”, “Si Fulan ahli bidaah!”, “Si fulan fasik!” Dia sibuk dengan menjarh dan menta’dil padahal dia -demi Allah- tidak setara dengan bawang merah sekalipun [bak kata pepatah]. Dia tidak memiliki apa-apa daripada ilmu kecuali perdebatan. Dia tidak memiliki apa-apa daripada fiqah kecuali bantahan sahaja. Dia tidak reti kecuali itu sahaja. Sangat menyeronokkan dirinya apabila berlaku fitnah. Sangat menyeronokkan dirinya apabila masalah-masalah yang seperti ini bergejolak. Sebahagian manusia bergembira dengan hal itu. Kenapa?

Kerana dia akan mula bantah-membantah, mula berdebat kerana barang perbekalan mereka hanya ini, bantah-membantah dan berdebat. Jika tidak ada masalah-masalah seperti ini maka tidak ada perdebatan dan tidak ada bantah-membantah. Maka mereka mencemarkan Ahli Sunnah dengan perkara ini.

Sebahagian manusia yang dahulunya di Dammaj dan sekarang telah terpesong dari kebenaran, sekarang mereka memusuhi saudara-saudara mereka, kamu semua tahu, dahulu mereka selalu membantah ahli bidaah dan hizbiyyah-hizbiyyah namun di dalam satu muka surat [sahaja daripada bantahannya itu]: “Wahai si gila!”, “Wahai si tolol!”, “Wahai si bodoh!”, “Wahai si keldai!”, “Wahai si fasik!”. Dalam satu muka surat sahaja. Kami diberitahu bahawa sebahagian orang-orang hizbi telah membeli kitab ini dengan wangnya sendiri. Kenapa dia membelinya? Kenapa? Untuk dia edarkannya kepada manusia, [sambil berkata:] “Lihatlah! Lihatlah Ahli Sunnah di Dammaj bagaimana cara mereka berbicara.”

Sehinggakan sebahagian saudagar yang dahulunya biasa memberikan bantuan harta kepada Dammaj menangis. Demi Allah Syeikh Zayid memberitahu kami bahawa saudagar tersebut menangis. Dia kata: “Beginikah ahli Dammaj?” “Beginikah Syeikh [Yahya]? Beliau reda dengan hal ini?”

Sementara si penulis kitab itu, barangkali disusup masuk. Sekarang dia telah menjadi orang yang tidak berguna, sekarang dia menjadi orang yang memusuhi Dakwah Salafiyyah. Maka yang semisal mereka ini sebenarnya penyakit dalam dakwah. Dia terburu-buru menghukum seseorang ahli bidaah, “Si Fulan ahli bidaah” “Ahli bidaah!”, “Si Fulan murji’!” Sekarang “Si Fulan kafir”. Mereka menghukum kafir sebahagian ahli bidaah. Ya orang itu ahli bidaah, benar tetapi mereka menghukumnya kafir. Kenapa? Kerana dia mengucapkan sekian dan sekian.

Kamu jahil wahai saudaraku. Siapa kamu sehingga nak menghukum orang itu ahli bidaah? Siapa kamu sehingga nak menghukum orang ini murji’? Siapa kamu sehingga nak mengeluarkan hukum-hukum ini? Kamu jahil. Barangkali kamu tidak mampu membaca Al-Quran dengan pembacaan yang baik. Kalaupun kamu mampu membaca Al-Quran dan mampu meluruskan bacaan, kamu tidak mampu menghafal sunnah atau menyebutkan hadith-hadith dengan cepat. Dan kami bimbang kamu sebenarnya disusup masuk. Benar. Kami bimbang kamu sebenarnya disusup masuk.

Lihatlah kepada para ulama Ahli Sunnah, adakah mereka mengucapkan ucapan ini? Adakah Syeikh kamu ada mengucapkannya? Lalu kenapa kamu mendahului Syeikh kamu? Kenapa kamu menjadikan diri kamu seakan-akan kamu seorang sahaja yang bersemangat membela dakwah ini sementara orang lain semuanya tidak memilki semangat untuk membela dakwah?

Ucapan Syeikh Yahya [di dalam wasilah ini]:

“Tidak mustahil orang-orang yang seperti mereka itu telah disusup masuk untuk menjalankan tujuan-tujuan tertentu..”, dan ucapan beliau: “…dari puak Haddadiyyah dan sejenis mereka…”

Benar. Jalan ini ialah jalan Haddadi. Terburu-buru menghukum seseorang ahli bidaah dan terburu-buru menghukum seseorang hizbi. Ini jalan puak Haddadiyyah. Seorang sunni itu yang pertama sekali ialah dia mencari kebenaran dan matlamatnya adalah menjadikan manusia puas dengan kebenaran dan mengembalikan manusia kepada kebenaran. Bukan matlamatnya untuk mengeluarkan seorang sunni daripada Ahli Sunnah. Inilah keinginan Ahli Sunnah akan tetapi sebahagian manusia matlamatnya adalah melihat kepada Ahli Sunnah dan dia ingin mengeluarkan orang [dari daerah Ahli Sunnah]. Dia kata: “Telah nampak pada si Fulan sekian dan sekian.” “Si Fulan berkata sekian dan sekian.” “Ucapan sekian diucapkan oleh si Fulan.” Matlamatnya ialah mencari kesalahan-kesalahan Ahli Sunnah dalam keadaan dia sendiri tidak melihat dirinya berada di dalam kebatilan yang besar, bak kata pepatah:

“Dia melihat kotoran pada mata saudaranya tetapi tidak melihat lidi pada matanya sendiri”

Maksudnya lidi ada bersangkut pada matanya, dia tak nampak tetapi boleh pula dia melihat kotoran pada mata saudaranya. Perumpamaannya adalah seperti lalat, tidak hinggap kecuali pada luka dan tidak mencari kecuali luka.


Cuplikan daripada kelas kitab “Al-Wasail al-Khafiyyah li Dharb al-Da’wat al-Salafiyyah” karya Fadhilat al-Syaikh Yahya bin ‘Ali al-Hajuri, disampaikan oleh Fadhilat al-Syaikh ‘Adnan bin al-Husain al-Masqari hafizahullah di Dar al-Hadith, Dar al-Salam, Tanzania.

Terjemahan dengan olahan yang tidak mengubah makna:  Wan Shahir bin Wan Perwira

Ikuti Channel Telegram kamihttps://t.me/maktabahahmad_publisher

Comments (0)


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *