Nasihat Untuk Kembalikan Urusan Kepada Ulama Agar Tidak Timbul Fitnah Dan Perpecahan
Ditanyakan kepada Fadhilat al-Syaikh Muhammad bin ‘Abd Allah Ba Jammal hafizahullah:
Soalan: “Adakah disyaratkan penegakan hujah sebelum tabdi’ secara mutlak ataukah ada perincian?”
Jawapan: “Wajib menegakkan hujah. Mengeluarkan hukum ke atas sesuatu bahawa ia bidaah satu hal, dan mengeluarkan hukum ke atas orang yang jatuh ke dalam bidaah itu pula hendaklah dilihat adakah [dia jatuh] berdasarkan ilmu dan telah mengetahui permasalahan ataukah tidak. Jika berdasarkan ilmu, maka yang zahir adalah boleh dihukumkan bidaah ke atasnya, kalau tidak maka hendaklah dia diajari.
Adakah disyaratkan kepada orang yang menegakkan hujah itu mestilah dari kalangan ulama? atau boleh sesiapa sahaja walaupun dari kalangan penuntut ilmu? Masalah-masalah ini berbeza-beza, dan isu-isu yang berlaku juga berbeza-beza. Sebahagian permasalahan itu samar dan ia termasuk perkara “nawazil” (isu baharu) maka ini hendaklah dikembalikan kepada ahli ilmu, orang-orang yang kukuh dalam ilmunya.
Adapun jika permasalahannya telah maklum dan fatwa ulama tentangnya juga jelas lagi nyata, maka ini tak perlu sampai ianya dinaskan oleh seorang alim bahawa si fulan bin fulan mubtadi’. Dari mana setiap orang dapat mengetahui orang alim? Ini susah. Maka masalah yang seperti ini, boleh diterapkan fatwa [ulama] ke atasnya jika sememangnya dia begitu.
Demikian juga berbeza jika orang yang dijatuhkan hukum itu, atau orang yang dikritik itu adalah dari kalangan mereka yang memiliki usaha keras dalam dakwah dan dia memiliki kemasyhuran dan dikenali di sisi ahli ilmu, maka yang seperti ini hendaklah dikembalikan kepada ahli ilmu yang mampu menilai permasalahan ini dengan kadarnya. Adapun jika dia dari kalangan orang yang tidak dikenali dan tidak diketahui siapa dia, maka hukumnya seperti itu juga kerana dia tidak termasuk dari kalangan mujtahidin.
Oleh itu, perkara-perkara ini hendaklah dikembalikan kepada ahli ilmu disertai nasihat bahawa seorang muslim dan penuntut ilmu itu hendaklah memaparkan urusannya kepada ahli ilmu dalam hal-hal yang mengelirukan dan membingungkan supaya tidak berlaku fitnah, tambahan-tambahan dan barangkali berlaku perpecahan. Apabila dia memaparkan urusannya itu kepada ahli ilmu dan dia berkata kepada alim itu:
“Wahai Syeikh kami, atau wahai Abu Fulan. Si fulan bin fulan berlaku daripadanya sekian dan sekian. Kami telah menasihatinya tetapi dia tidak menerima nasihat, maka kami inginkan bimbingan anda.”
Dan setelah itu, alim itulah yang bertanggungjawab menasihati dengan cara-cara tertentu kerana yang seperti ini lebih menyatukan kalimah. Tatkala [bimbingan] itu dengan kalam alim, nescaya ia lebih menyatukan kalimah. Berapa banyak perselisihan yang berlaku sebelum ini dan juga sekarang, tatkala yang berbicara adalah ahli ilmu yang mana urusan-urusan itu dikembalikan kepada mereka, maka masalah-masalah itu dapat ditangani dengan baik dan juga dengan itu dapat diketahui siapakah yang sebenarnya menginginkan kebaikan dan perdamaian dan siapakah yang sebenarnya menginginkan fitnah, pemesongan, keburukan dan kerosakan.
Oleh sebab itu, maka nasihat [kami] untuk para penuntut ilmu agar mengembalikan urusan mereka kepada ahli ilmu dan agar mereka memaparkan masalah-masalah mereka kepada ahli ilmu dan jangan terburu-buru mengeluarkan hukum, berdebat, [melayan] khabar-khabar angin terlebih lagi sekarang dengan wujudnya internet, media-media sosial sehingga setiap orang menuliskan apa saja yang ada dalam kepalanya. Ini semua -demi Allah- tidak akan membuahkan apa-apa kecuali perpecahan.
Kita tidak mengatakan bahawa penuntut ilmu tidak boleh mengingkari kemungkaran. Tidak. Seorang penuntut ilmu yang memiliki keahlian boleh mengingkari kemungkaran yang telah dijelaskan dan diterangkan oleh para ulama.
Akan tetapi, agar munculnya keamanan dan keselamatan, jika dia merujuk kepada ahli ilmu dalam masalahnya itu atau jika dia memiliki sesuatu bantahan lalu dia memaparkannya kepada ahli ilmu agar mereka menyemaknya dan memberinya semangat [untuk itu] atau tidak, nescaya itu lebih baik, termasuk daripada bab menutup pintu-pintu kerosakan, menolong orang yang menyelisihi untuk terus berada di atas istiqamah dan kebaikan, dan [memperingatkan] orang yang terpedaya dengannya agar memperbaiki urusannya dan tidak mengikutinya di atas kebatilannya, wallahu a’lam.”
Disampaikan oleh Fadhilat al-Syaikh Muhammad bin ‘Abd Allah Ba Jammal hafizahullah di Masjid Al-Furqan, Hautah, Hadramaut, Yaman pada 28 Syawwal 1441
Terjemahan dengan olahan yang tidak mengubah makna: Wan Shahir bin Wan Perwira
Ikuti Channel Telegram kami: https://t.me/maktabahahmad_publisher
Comments (0)