Antara Taklid Dan Mengambil Ucapan Ulama Dalam Masalah Dakwah

Kata Fadhilat al-Syaikh ‘Abd al-Razzaq bin Soleh al-Nahmi hafizahullah:

“Tidaklah termasuk taklid, [mengambil ucapan alim dalam masalah dakwah] -sebagaimana yang difahami oleh sebahagian orang bahawa ini taklid. Taklid satu hal dan mengambil fatwa alim terkait permasalahan dakwah adalah satu hal yang lain. Masalah dakwah ialah masalah yang kritikal. Masalah dakwah ialah masalah-masalah yang mana dakwah berjalan di atasnya. Maka tidak dikatakan taklid dalam hal ini. Apa itu taklid? Takrif taklid ialah mengikuti yang bukan hujah tanpa hujah. Jelas, ini taklid. Akan tetapi mengambil ucapan ulama, ucapan alim dalam masalah-masalah dakwah yang kritikal [maka ini bukanlah taklid] kerana Allah telah membimbing kita untuk itu.

“Apabila mereka didatangi suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, mereka pun menyiarkannya. Kalaulah mereka merujuknya kepada Rasul dan Ulil Amri dalam kalangan mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenaran (akan dapat) mengetahuinya dari mereka (iaitu Rasul dan Ulil Amri).” [An-Nisa’: 83]

Ini masalah yang penting. Firman Allah:

“Dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan, mengetahui apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itulah yang benar serta yang memimpin ke jalan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji.” [Saba’: 6]

Seorang alim itu mengetahui isu-isu yang kritikal. Ditanyakan kepada Imam ‘Abd al-Rahman bin Mahdi: Bagaimanakah kalian menghukum atas hadith ini bahawa ia sahih atau dhaif? Kata beliau: “Pengetahuan kami tentang ilmu ini adalah kahanah (kebolehan meramal) menurut orang jahil.”

Sebahagian ulama juga mengatakan: “Kita mengetahui [status] sesuatu hadith itu berdasarkan baunya.” Hadith adakah ia memiliki bau? Tidak ada padanya bau yang dapat dihidu. Mereka itu para imam. Oleh sebab itu para imam hadith, -lihat saja kepada apa yang dikatakan oleh para ulama kita pada zaman ini, kata mereka:- “Apabila para imam al-Jarh wa al-Ta’dil telah berbicara tentang sesuatu hadith maka berserah dirilah.” “Apabila mereka telah berbicara tentang seorang lelaki, maka berserah dirilah.” Itu kerana mereka lebih tahu, lebih alim dan lebih faham.

Maka kata ‘Abd al-Rahman bin Mahdi tadi: “Pengetahuan kami tentang ilmu ini adalah kahanah (kebolehan meramal) menurut orang jahil.”

Demikianlah. Dakwah Syeikh Yahya adalah dakwah Syeikh Muqbil. Salah sesiapa yang cuba membezakan di antara kedua-duanya. Salah. Syeikh Muqbil pada zamannya telah mengeluarkan hukum terhadap beberapa individu. Pada awal kemunculannya, Syeikh Muqbil telah melihat bahawa jalan mereka terpesong. Kata beliau: “Mereka itu di atas kesalahan.” “Pada mereka ada hizbiyyah.” sementara manusia mengingkari beliau. Mereka mengatakan: “Bagaimana kamu boleh berbicara tentang manusia yang merupakan ahli ibadah dan zuhud?” Syeikh Muqbil terus menerus mengatakan: “Ini hizbiyyah!” “ini hizbiyyah mughallafah (yang dibalut).”

Berlalu beberapa waktu, ternyata mereka sendiri mengeluarkan kenyataan berjudul: Hizb (Kelompok) Sekian Sekian. Mereka berterus terang (mengaku sebagai hizbi). Maka ketika itu manusia pun ingat. Mereka kata: “Semoga Allah merahmati Syeikh Muqbil, dahulu kita mengingkari beliau.”

Maka saya ingin mengisyaratkan kepada sesuatu yang penting iaitulah bahawa taklid satu hal, mengambil ucapan alim satu hal yang lain. Jangan kamu katakan yang ini taklid. Tidak. Imam Ahmad, Imam Yahya bin Ma’in dan para imam terdahulu, mereka menjarh dan menta’dil dalam keadaan manusia mengambil dengan kalam mereka. Kita sekarang pun mengambil dengan kalam mereka juga.

Demikian juga tidak dikatakan bahawa “penduduk sesuatu negeri itu lebih mengetahui.” Kamu sekarang mendahului ulama. Kamu mendahului ulama. Pada zaman dahulu, mereka tidak memiliki [teknologi-teknologi] seperti yang dimiliki oleh zaman kita sekarang. Adapun pada zaman ini, [walaupun berjauhan] tetapi seakan-akan kamu wujud [berdekatan]. Pada zaman kita ada media-media sosial hatta telefon-telefon pintar dan hubungan-hubungan melalui telefon yang mana dapat diketahui dengannya tentang keadaan seseorang, tentang jalannya, tentang tariqahnya, tentang dakwahnya.

Maka yang saya maksudkan di sini adalah di sana ada syubhat terkait dengan isu taklid dan syubhat kedua terkait dengan kaedah “penduduk sesuatu negeri lebih mengetahui.”

Apa yang saya inginkan daripada ini adalah: Jangan mendahului ulama. Jangan mendahului alim. Jangan mendahului. Orang yang mendahului ulama akan menyesal setelah itu, akan menyesal. Dia akan menyesal dan bersedih hati. Barangkali selepas itu dia menyimpang. Barangkali selepas itu dia berpatah balik ke belakang. Barangkali juga sampai ke tahap dia memiliki sifat ghuluw dalam mengeluarkan hukum kemudian tak lama selepas itu dia berpatah balik ke belakang. Ini semua adalah akibat daripada mendahului para ulama. Mendahului kalam ulama.

Kita tidak mengatakan bahawa para ulama itu maksum. Tidak, tidak akan tetapi urusan ini terikat dengan Al-Kitab dan sunnah, dengan dalil. Kita katakan bahawa hal ini terikat dengan dalil kerana mentaati para ulama itu hukumnya wajib dalam hal ketaatan kepada Allah. Kata ahli tafsir tentang firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah, taatlah kepada Rasul dan kepada Ulil Amri dalam kalangan kamu.” [An-Nisa’: 59].

bahawa mentaati ulama hukumnya wajib. Lihatlah di dalam tafsir Al-Syaukani dan selain beliau, mereka mengatakan tentang ayat ini bahawa termasuk ulil amri ialah para ulama dan umara maka mentaati mereka adalah wajib dalam hal ketaatan kepada Allah azza wajalla. Sebagaimana ulim amri (pemerintah) hendaklah ditaati dalam hal yang bukan kemaksiatan kepada Allah maka begitu jugalah alim ulama hendaklah ditaati dalam hal yang bukan kemaksiatan kepada Allah azza wajalla.

Saya berharap masalah ini dapat difahami di sisi saudara-saudara kita-semoga Allah menjaga mereka semua-.”


Disampaikan oleh Fadhilat al-Syaikh Abu Bakr ‘Abd al-Razzaq bin Soleh al-Nahmi hafizahullah di Banjarnegara, Indonesia pada Ahad 26 Rabi’ al-Akhir 1444

Terjemahan dengan olahan yang tidak mengubah makna: Wan Shahir bin Wan Perwira

Ikuti Channel Telegram kami: https://t.me/maktabahahmad_publisher

Comments (0)


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *