Penuntut Ilmu Hendaklah Melazimi Dahan Para Ulama Terutama Pada Masa Berlaku Fitnah Dan Janganlah Dia Meremehkan Nasihat Dan Bimbingan Para Ulama Terhadap Fitnah Yang Berlaku

Kata Fadhilat al-Syaikh ‘Abd al-Hamid bin Yahya al-Zu’kuri hafizahullah:

“Mengikat manusia dengan para ulama mereka termasuk daripada perkara yang sangat penting. Yang demikian adalah kerana Allah telah memerintahkan kita untuk itu. Firman Allah:

“Oleh itu bertanyalah kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.” [Al-Nahl: 43].

Dan firman Allah:

“Apabila mereka didatangi suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, merekapun menyiarkannya. Kalaulah mereka merujuknya kepada Rasul dan Ulil Amri dalam kalangan mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenaran (akan dapat) mengetahuinya daripada mereka (iaitu Rasul dan Ulil Amri). Kalau tidaklah kerana kurniaan dan rahmat Allah kepada kamu, tentulah kamu telahpun mengikut syaitan, kecuali sedikit sahaja (dalam kalangan kamu).” [An-Nisa’: 83]

Dan firman Allah ‘azza wajalla:

“Dan tiap-tiap orang yang berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang lebih mengetahui.” [Yusuf: 76]

Dan tidaklah dakwah Ahli Sunnah Wal Jamaah selamat daripada bidaah dan khurafat, daripada ghuluw dan kekerasan kecuali dengan melazimi dahan ahli ilmu, kalau tidak maka sungguh benda-benda bidaah dan yang menyalahi syarak tidak akan pernah habis.

Lihatlah setelah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam wafat, muncul sekelompok manusia yang mendakwa diri mereka ahli ilmu dan mereka meyakini itu pada diri mereka kemudian mereka menghukum kafir para sahabat dan memberontak ke atas para sahabat kerana tertipu dengan jalan yang mereka tempuhi itu, [sabda baginda:]

“Kamu merendahkan solat kamu berbanding solat mereka dan puasa kamu berbanding puasa mereka..”

Bersamaan dengan itu, mereka sesat jalan kerana memahami ayat-ayat Al-Quran bukan dengan pemahaman yang diinginkan [oleh Allah dan Rasul]. Ibn ‘Abbas berdebat dengan mereka sehinggalah beliau mengalahkan mereka manakala ‘Ali bin Abi Talib radhiallahu ‘anhu pula memerangi mereka.

Jadi kedudukan seorang alim itu sangat besar, umpama seorang ayah di rumahnya. Dia memiliki kemahiran, kefahaman, pengetahuan serta diberikan taufik dan ketepatan oleh Allah ‘azza wajalla.

Maka saya menasihatkan kepada diri saya sendiri dan kepada saudara-saudara saya, agar kita mendorong manusia untuk mengikat diri mereka dengan para ulama yang memberikan nasihat, yang memiliki tamayyuz (perbezaan) pada dakwah dan tariqah mereka [dengan ahli bidaah dan hawa nafsu].

‘Umar bin ‘al-Khattab radhiallahu ‘anhu telah melarang daripada ketergelinciran para pemuda kerana para pemuda itu mudah tergelincir. Jika seorang anak muda itu mudah tergelincir maka bagaimana dengan pelajar yang baru mula belajar, atau pelajar yang belum kukuh lagi ilmu dan amalnya sampailah dia menjadi seorang alim yang cemerlang, adil, tidak berat sebelah dan sentiasa mengikuti kebenaran.

Maka inilah dakwah kami, asasnya adalah dengan mengikuti Kitab Rabb kita dan sunnah Nabi kita sallallahu ‘alaihi wasallam dengan pemahaman Salaf kita yang soleh. Kita menghormati, menyanjungi dan mengambil faedah daripada para ulama kita serta tidak melanggar batasan mereka, tidak mencela kefahaman atau jalan mereka selama di atas jalan yang benar mereka berjalan. Wallah al-musta’an.

Masalah ini sangat penting, saya selalu mengulang-ulang nasihat ini.

Apabila kamu melihat bahawa diri kamu sudah di atas para ulama atau kamu rasa dah menjadi seperti para ulama padahal kamu sebenarnya masih lagi memerlukan [bantuan pengetahuan dan pemahaman] maka ketahuilah bahawa ini adalah salah satu daripada jalan masuk syaitan untuk ia masuk ke atas kamu sehingga menjadikan kamu tidak lagi mahu menerima nasihat dan bimbingan daripada para ulama bahkan barangkali kamu bersangka buruk kepada mereka, kepada bimbingan-bimbingan serta nasihat-nasihat mereka. Wallah al-musta’an.

Sudah berapa banyak musibah yang menimpa dakwah disebabkan orang-orang yang terkena fitnah lagi mencetuskan fitnah itu. Lihatlah kepada Mahmud al-Haddad, dia memberontak ke atas para ulama umat sehinggakan para ulama mutaqaddimin turut tidak selamat daripada [celaannya]. Demikian juga Fauzi al-Athari al-Bahraini, Falih al-Harbi dan yang terakhir di Yaman: Muhammad al-‘Amudi. Puak mereka ini langsung tidak mengambil endah dan peduli terhadap orang alim dan tidak berjaga-jaga daripada berbuat zalim kepada orang-orang yang istiqamah dan kepada para pendakwah yang ikhlas.

Jika demikian, maka hal-hal seperti ini tak akan pernah habis dan rantaian ini akan terus bersambung. Oleh itu jalan keluar daripada fitnah-fitnah ini adalah dengan melazimi para ulama. Yang demikian itu bukanlah taklid kerana sesungguhnya orang alim itu memahami fitnah ketika ia mendatang manakala orang jahil pula memahaminya setelah ia berlalu pergi.

Sebagaimana kita mengambil faedah daripada para ulama kita dalam bab akidah, tauhid, fiqah dan bab muamalat maka demikianlah kita seharusnya mengambil faedah daripada mereka dalam bab ini iaitu bab dakwah kepada Allah ‘azza wajalla.

Hendaklah kita memelihara hak mereka, mengambil faedah daripada bimbingan-bimbingan mereka, tidak keras kepala ke atas mereka sedikit atau banyak. [Perlu diketahui bahawa] Balasan sesuai dengan amalan.

Orang yang derhaka kepada ibu dan bapanya adalah tercela. Orang yang derhaka kepada alimnya adalah lebih tercela lagi. Orang yang derhaka kepada ibu dan bapanya mengganggap bahawa mereka tidak ada nilai sama sekali, mereka tidak faham, mereka tidak tahu, mereka tidak memiliki hak.

Demikian juga orang yang derhaka kepada para ulama. Dia mengganggap bahawa orang alim itu tidak faham, tidak tahu, hanya berpura-pura, suka mengambil hati [orang yang cenderung kepadanya], berdiam diri dari menolong kebenaran, “Kita lebih faham daripadanya, kita lebih tahu daripadanya..” Tidak, tidak, tidak, ini tidak mungkin. Orang alim, Allah ‘azza wajalla telah memujinya,

“Hanyalah yang sebenarnya takut kepada Allah dari kalangan hamba-hambaNya adalah orang-orang yang berilmu.” [Fatir: 28]

Baginda telah mengkhabarkan kepada kita bahawa antara sebab kebinasaan umat adalah kerana mengambil ketua-ketua agama dari kalangan orang-orang yang jahil. Bukan bermakna ketua agama itu langsung tak ada ilmu sama sekali. [Tidak,] dia ada ilmu, cedok dari sini sedikit, dari sana sedikit, dia kumpul dan kumpul, akan tetapi dia jahil. Jahil di dalam kecuaiannya, jahil di dalam ketidaktahuannya. Oleh sebab itu Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu itu dengan sekali cabutan daripada dada-dada [manusia], akan tetapi Allah mencabut ilmu dengan kematian para ulama. Sehinggalah apabila tidak ada lagi orang alim yang tersisa, manusia pun mengambil ketua-ketua agama mereka dari kalangan orang-orang yang jahil lalu mereka memberikan fatwa dengan tanpa ilmu -di dalam riwayat yang lain: “dengan pendapat peribadi mereka”- akhirnya mereka tersesat lagi menyesatkan orang lain.”

Ini masalah yang penting. Sebagaimana kita mempelajari akidah yang sahih maka semestinya juga kita mempelajari cara faham [yang betul] dengan ahli ilmu, mengambil faedah daripada ahli ilmu serta menghargai sumbangan ahli ilmu.

“Sesungguhnya, Allah mengutuskan pada awal setiap abad seseorang yang akan memperbaharui agama umat ini.”

“Seseorang yang memperbaharui agama umat ini” Ini yang dimaksudkan semestinya orang yang alim terhadap apa yang Allah maksudkan, terhadap apa yang Rasul-Nya sallallahu ‘alaihi wasallam maksudkan. Jika demikian, maka urusan ini bukanlah untuk setiap orang. Urusan ini bukan untuk setiap orang kerana kalau tidak, tak adalah kerusi-kerusi [yang ditempati oleh Syeikh] ini, tak adalah markiz-markiz ini dan seumpamanya kalau dah semua orang boleh bercakap dan berbuat [sesuka hatinya]. Tidak! [Jika berlaku demikian, nescaya] kamu akan mendapati kekacauan dan huru-hara dari sudut ilmu dan dakwah.

Maka sewajibnya kita melazimi dahan alim yang mengikuti Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, yang berpegang teguh dengan sunnah, yang menerangkan keadaan ahli bidaah, yang berdakwah dengan kelembutan pada babnya dan dengan kekerasan ke atas orang-orang yang menyelisihi agama Rabb al-‘alamin pada babnya, yang berdakwah kepada ilmu dan amal, wallah al-musta’an.

Kita memohon kepada Allah agar memberikan kita taufik kepada ketaatan dan keredaan-Nya serta memberikan kita ketepatan pada setiap ucapan dan perbuatan.”


Disampaikan oleh Fadhilat al-Syaikh ‘Abd al-Hamid bin Yahya al-Zu’kuri hafizahullah pada Selasa 16 Dzu al-Qa’dah 1441 di Masjid al-Sahabah, Ghaidhah, Maharah, Yaman.

Terjemahan dengan olahan yang tidak mengubah makna:  Wan Shahir bin Wan Perwira

Ikuti Channel Telegram kamihttps://t.me/maktabahahmad_publisher

Comments (0)


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *