Teguran Kepada Para Pelajar Yang Lancang Terhadap Ulama Dan Penjelasan Bahawa Perbuatan Menyombongkan Diri Dengan Meninggalkan Bimbingan Ulama Akan Menyebabkan Huru Hara Dan Memudaratkan Pelakunya

[Disebabkan kualiti rakaman audio yang tak berapa bagus dan ada beberapa ucapan yang tak berapa jelas, maka kalam Syeikh Hasan disimpulkan dalam bentuk poin, semoga bermanfaat]

Kata Fadhilat al-Syaikh Abu ‘Abd al-Salam Hasan bin Qasim al-Raimi hafizahullah:

1) Demikian juga, perlu disebutkan di sini bahawa seorang pelajar itu juga memerlukan kepada adab dalam menuntut ilmu sebelum dia menimba ilmu. Ini -sangat disayangkan- termasuk daripada perkara yang terlalu jarang diperhatikan. Jarang diperhatikan oleh ramai penuntut ilmu. Iaitu tentang permasalahan adab. Berkata salah seorang salaf:

“Dengan adab, seseorang akan mendapatkan ilmu. Dan dengan ilmu, seseorang akan melakukan amalan (yang baik).”

2) Para salaf yang terdahulu mereka mempelajari adab terlebih dahulu sebelum mempelajari ilmu. Adapun sekarang, maka bersikap lancang terhadap ahli ilmu baik dengan hujah itu atau hujah ini [dah jadi biasa bagi sebahagian pihak]. Orang yang ini datang lalu mengatakan: “Mereka lelaki kami juga lelaki.” “Kita tidak bertaklid [kepada mereka]”, “Kita sekian, kita sekian..” atau perkataan-perkataan yang semisal ini. Kalau seandainya orang yang bercakap seperti ini memiliki adab, dan kalau dia mempelajari adab nescaya dia tidak akan sanggup untuk menyetarakan dirinya bersama ahli ilmu.

3) Sebahagian manusia, timbangannya sudah tunggang terbalik maka dia tidak dapat memahami dengan pemahaman yang benar. Keadaannya seperti keadaan ahli bidaah dan kesesatan tatkala mereka mengambil sebahagian nas dan meninggalkan nas-nas yang lain. Puak Khawarij, mereka hanya mengambil nas-nas berkaitan wa’id (ancaman Allah) maka mereka tersesat manakala puak Murjiah pula hanya mengambil nas-nas berkaitan wa’d (janji Allah) maka mereka juga tersesat. Adapun Ahli Sunnah, maka mereka menghimpunkan di antara kedua-dua nas ini maka terselamatlah mereka daripada kesesatan itu. Semoga Allah memberkati kalian semua.

4) Maka sepertimana yang dikatakan oleh seorang penyair:

“Jangan kamu bandingkan penyebutan kami dengan penyebutan mereka (para ulama) kerana tidaklah orang yang sihat apabila dia berjalan, sama seperti orang yang lumpuh.”

Hatta kalaupun kamu datang lalu berkata: “Mereka lelaki kami juga lelaki.” Siapa kamu?! Siapa kamu sehingga nak kata: “Mereka ada ilmu, kami juga ada ilmu!” Siapa kamu untuk berkata-kata dengan ucapan yang seperti ini? Seperti athar yang datang daripada ‘Aisyah radhiallahu ‘anha:

“Semoga Allah memelihara orang yang tahu kadar dirinya.”

5) Ini bukan bererti kamu bertaklid [kepada para ulama itu]! Takrif taklid yang tercela ialah: Mengambil ucapan orang yang bukan hujah tanpa hujah. Tetapi perbuatan kamu mengambil ucapan orang alim dengan dalil maka ini namanya ittiba’ bukan taklid. Bukan taklid!

6) Maka apa yang ingin disampaikan ialah -semoga Allah memberkati kalian- sebahagian manusia datang melalui pintu ini, dia berkata: “Kami begini, kami tidak bertaklid, kami sekian dan sekian..” Kamu sekarang memahami ucapan para ulama yang terdahulu lalu mendakwa: “Kami di atas Al-Kitab dan sunnah dan apa yang dipegang oleh Salafus Soleh.” Baik, sekarang ini adakah kamu sudah berada pada posisi ulama zaman ini sehingga kamu hendak menyetarakan kepala kamu dengan kepala mereka dan beradu lawan dengan mereka?!

7) Sangat menghairankan sikap sebahagian manusia yang lancang [terhadap para ulama] dan kurang adab. Kalau seandainya dia beradab nescaya tidak muncul daripadanya kelancangan ini.

8) Para ulama sunnah adalah orang-orang yang paling keras memperingatkan manusia akan bahaya taklid. Kata Syeikh Muqbil:

“Tidak ada yang bertaklid kepadaku kecuali orang yang gagal.”

9) Demikian juga taasub, para ulama tersebut, mereka tidak reda untuk orang taasub kepada pendapat mereka, akan tetapi ia sebagaimana yang dikatakan oleh Salaf:

“Ambillah dari mana mereka mengambilnya.”

10) Pun begitu, kamu tetap perlu meminta bantuan dengan para ulama yang ada pada zaman ini. Kamu perlu meminta bantuan mereka setelah kamu meminta pertolongan dengan Allah agar memperolehi kefahaman yang betul terhadap isu-isu dan hal-hal nawazil yang muncul dan berlaku ke atas para hamba dengan cara kamu menghubungi para ulama itu, berbincang dengan mereka, mengambil keputusan berdasarkan saranan mereka dan janganlah kamu membina suatu pendapat yang boleh mendatangkan mudarat kepada agama disebabkan kamu lalu dakwah diserang [oleh ahli batil] disebabkan kamu.

11) Demi Allah, kalau seadainya kita memahami ini dengan baik, kalau seandainya kita beradab [nescaya tak akan berlaku huru-hara]. Sekarang cuba lihat kepada para salaf, tak ada kita dengar berlaku banyak fitnah [sesama mereka] seperti keadaan kita pada hari ini. Zaman mereka penuh dengan kebaikan dan ilmu. Jika berlaku sesuatu, sekejap sahaja selesai dan hilang [masalahnya]. Tetapi [hari ini kamu lihat] sebahagian manusia, kamu dapati kerjanya menimbulkan fitnah demi fitnah, masalah demi masalah.

12) Wahai saudaraku, dekat kamu ada ahli ilmu, berbincanglah dengan mereka. Adapun untuk kamu membina suatu pendapat kemudian datang mencari dalil tentang pendapat kamu itu, ini tak layak kamu lakukan.

13) Tidak boleh kamu membina suatu pendapat dari diri kamu sendiri terlebih lagi dengan wujudnya ahli ilmu yang mana mereka itu lebih tua dari kamu umur dan ilmunya dan lebih tua dari kamu pengalamannya.

14) Duduklah dengan mereka dan paparkanlah [kepada mereka] apa yang kamu miliki [berupa hujah dan dalil itu]. Jangan membuka pintu keburukan. Paparkanlah kepada mereka benda-benda yang kamu miliki itu dan berdiskusilah dengan ahli ilmu dengan penuh adab, kemudian ambillah kesimpulan yang mereka berikan.

15) Adapun untuk kamu sendiri membina suatu pendapat lalu kamu membangunkan di atasnya perkara-perkara [yang besar] dan kamu berdalilkan dengan apa yang difahami daripada ucapan: “Penduduk Mekah lebih mengetahui tentang lembah-lembahnya.” dan “Tuan rumah lebih mengetahui tentang isi rumahnya.” Ya betul. Kita pun tidak mengatakan salah bahawa seorang insan itu lebih mengetahui tentang keadaan sekelilingnya dan lebih mengetahui tentang keadaan dakwahnya daripada orang lain, akan tetapi adakah ini bermakna kamu boleh membina pendapat kamu sendiri?! Tidak, paparkanlah ia kepada ahli ilmu, bukan kerana taklid tetapi kerana semangat memelihara ukhuwah (persaudaraan), semangat memelihara dakwah, semangat memelihara kesatuan kalimat yang merupakan salah satu daripada usul Ahli Sunnah.

16) Baik, ucapkanlah kepada para ulama itu bahawa “saya memiliki hujah-hujah ini..” Paparkan ia kepada para ulama dan berbincanglah dengan mereka. Sekarang urusan telah dimudahkan. Boleh kamu menghubungi mereka melalui telefon, atau pergi berziarah kepada mereka atau selain itu sebagaimana yang dilakukan oleh para salaf, mereka berjalan dengan kaki-kaki mereka terkadang sebulan perjalanan [semata-mata kerana mencari ulama].

17) Adapun untuk kamu sekadar duduk di tempat kamu lalu memboikot saudara-saudara kamu dan membina pendapat kamu sendiri kemudian berkata bahawa: “Si fulan begini, si fulan begitu, si fulan memiliki ini, si fulan memiliki itu..” Ini semua tidak layak dilakukan. Ini akan menyebabkan huru-hara.

18) Meninggalkan ulama akan menyebabkan berlaku huru-hara. Meninggalkan ulama adalah seperti seorang anak kecil yang meninggalkan ayahnya. Orang-orang yang meninggalkan ulama adalah seperti anak-anak kecil yang meninggalkan bapa-bapa mereka, padahal mereka masih [memerlukan].

19) Maka para ulama tidak pernah menyeru supaya bertaklid [kepada mereka] -wal’iyadzu billah- dan tidak pernah menyeru supaya taasub [kepada mereka]. Akan tetapi Allah yang memerintahkan kepada kita untuk merujuk kepada mereka

“Oleh itu bertanyalah kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.” [Al-Nahl: 43].

20) Jangan kamu katakan bahawa: “Saya juga termasuk ahli al-zikr.” Sekarang kamu mentazkiah diri kamu sendiri. Kamu mentazkiah diri kamu sendiri. Saya katakan kepada kamu, kalau nyata pada kamu suatu perkara dan perkara itu boleh menyebabkan perpecahan, dan boleh menyebabkan pergaduhan, letakkan ia ke tepi dahulu.

21) Para ulama memiliki kaedah fiqhiyyah iaitu menghindari pintu-pintu kerosakan dan mengutamakan pintu-pintu kemaslahatan. Jika di sana ada satu mafsadah, bahkan katakanlah ada dua mafsadah, maka kaedahnya adalah dengan menolak mafsadah yang lebih besar dengan cara mengambil mafsadah yang lebih kecil. Mengambil mafsadah yang lebih kecil dengan menolak mafsadah yang lebih besar.

22) Kesimpulannya, sebahagian manusia -semoga Allah memperbaiki kita dan juga mereka- memiliki timbangan yang tunggang terbalik. Dia tidak mampu menyusun dalil-dalil itu disebabkan kekurangan ilmunya dan pengalamannya dalam medan dakwah.

23) Rujuklah dan duduklah dengan ahli ilmu. Tawaduklah kepada ahli ilmu, tawaduklah kepada ahli ilmu! Jika para malaikat pun meletakkan sayap-sayap mereka menaungi penuntut ilmu, maka bagaimana dengan orang alim? Telah dijelaskan oleh baginda bahawa orang alim itu, segala yang ada di langit dan bumi memohonkan ampunan kepada Allah untuk mereka.

24) Maka ini menjawab syubhat tentang perbuatan kamu mengambil ucapan alim dengan dalilnya bahawa ini taklid padahal ia bukan taklid. Syubhat ini sebenarnya telah dibawakan oleh Abu al-Hasan al-Ma’ribi al-Misri sebelum ini. Sangat disayangkan, syubhat-syubhat seperti ini sering dikemaskini dari semasa ke semasa dengan cara yang satu atau yang lain. Taklid satu hal, ittiba’ satu hal -semoga Allah memberkati kalian-.

25) Maka yang sepatutnya dilakukan adalah dengan kita sibuk dengan dakwah, duduk dengan ahli ilmu dan memberikan perhatian kepada ilmu sebelum beramal dan memberikan perhatian kepada adab sebelum ilmu… Adab bersama ahli ilmu. Adab menuntut ilmu sangat penting. Mengetahui kadar diri sendiri sangat penting, sangat sangat penting. Sepatutnya seorang insan itu, semakin dia belajar ilmu, semakin dia tawaduk.

“Barangsiapa yang tawaduk kerana Allah, nescaya Allah akan mengangkatnya.”

26) Jangan kamu jadi orang yang mempelajari ilmu hanya pada tahapan yang pertama, sebagaimana yang dikatakan oleh sebahagian ulama:

“Ilmu itu ada tiga tahapan. Tahapan yang pertama, barangsiapa yang masuk kepadanya akan menjadi sombong..”

Ini keadaan sebahagian manusia. Dia melihat dirinya seakan-akan Ibn Taimiyyah zamannya

“..Tahapan yang kedua, barangsiapa yang masuk kepadanya akan menjadi tawaduk. Tahapan yang ketiga, barangsiapa yang masuk kepadanya baru dia tahu yang dia sebenarnya tidak mengetahui apa-apa.”

27) Syeikh al-Albani, dalam satu majlis ceramah yang beliau sampaikan, pengacara majlis ketika itu berbicara dengan memuji beliau dengan pujian-pujian yang banyak yang akhirnya menyebabkan Syeikh al-Albani menangis, menangis. Beliau mengatakan bahawa saya melihat diri saya hanyalah seorang penuntut ilmu. Beliau menangis, semoga Allah merahmati beliau. Lihatlah kepada adab ahli ilmu dan kuatnya rasa takut mereka kepada Allah ‘azza wajalla.

28) Marilah kita bersungguh-sungguh memperbagus adab dalam mengambil ilmu, dalam menuntut ilmu. Marilah kita bersungguh-sungguh mencari ilmu yang bermanfaat dan berdoa kepada Allah agar memberikan kepada kita manfaat daripada apa yang telah kita pelajari dan beramal dengannya. Demikianlah, semoga Allah memberkati kalian.

29) Janganlah kamu menjadi pintu fitnah. Jangan menjadi pintu fitnah. Jangan sampai kamu diperdaya oleh syaitan dengan hujah cemburu terhadap manhaj salafi dan dakwah salafiyyah lalu kamu mengeluarkan fatwa yang tak ada seorang pun dari kalangan ahli ilmu menyetujuinya baik dari kalangan jin atau manusia.

30) Maka perlahan-lahanlah, perlahan-lahanlah. Bertenanglah, bertenanglah… Kalau tidak, kamu hanya akan memudaratkan diri kamu sendiri, kamu hanya akan memudaratkan diri kamu sendiri. Adapun dakwah, maka ia terus berjalan ke hadapan. Semoga Allah memberkati kalian.

31) Berapa banyak orang yang telah tergelincir jatuh? Di manakah Abu al-Hasan? Di manakah ‘Abd Allah al-Raimi? Di manakah Al-Mahdi?.. Di manakah ‘Abd al-Rahman al-‘Adeni? Di manakah Al-Bura’i? Di manakah al-Imam? Semuanya telah tergelincir jatuh dan terbongkar [makar-makar mereka]. Di manakah Muhammad bin Hizam? Semoga Allah memberikan hidayah kepada kita semua. Di manakah si Fulan dan si Fulan? Setiap orang yang cuba nak menentang Dakwah Salafiyyah akan merosakkan dirinya.

32) Maka kesimpulannya, tawaduklah kepada ahli ilmu. Beradablah bersama mereka. Berbincanglah dengan mereka dan paparkanlah kepada mereka [apa yang kamu miliki] sebagai seorang penuntut ilmu terlebih-lebih lagi pada perkara yang boleh menimbulkan fitnah dan perpecahan. Paparkan apa yang kamu tulis kepada ahli ilmu, semoga Allah memberkati kalian. [Sekali lagi] Ini bukan termasuk daripada bab taklid! Tetapi ini termasuk daripada bab [firman Allah]:

“Kami akan menguatkan tenaga dan daya-usahamu dengan saudaramu.” [Al-Qasas: 35]

Kuatkanlah usahamu dengan bantuan saudaramu -semoga Allah memberkati kamu-. Dan firman Allah:

“Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku. [29] “Iaitu Harun saudaraku; [30] “Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku, [31] “Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku, [32] “Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu, [33] “Dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu;” [34]. [Taha: 29-34].

Cuplikan daripada kuliah “Al-Uthul al-Thalathah” yang disampaikan oleh Fadhilat al-Syaikh Abu ‘Abd al-Salam Hasan bin Qasim al-Raimi hafizahullah pada Selasa 24 Jumada al-Akhir 1444 di Masjid Al-Amin, Ambon, Indonesia.

Suntingan audio dan terjemahan dengan olahan yang tidak mengubah makna:  Wan Shahir bin Wan Perwira

Ikuti Channel Telegram kamihttps://t.me/maktabahahmad_publisher

Comments (0)


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *