Keberkatan Merujuk Kepada Orang-Orang Yang Lebih Tua Dan Para Ulama Rasikhun Terutama Dalam Masalah-Masalah Berkaitan Dakwah

Kata Fadhilat al-Syaikh ‘Abd al-Ghani al-‘Umari hafizahullah:

“Ketika Nabi sallallahu ‘alaihi wa’ala alihi wasallam wafat dan telah tersebar berita bahawa baginda telah wafat, berlaku kekejutan, sehinggakan Umar radhiallahu ‘anhu tidak membenarkannya. Umar! Termasuk para ulama senior umat ini, pemimpin kedua dalam negara Islam selepas Nabi kita sallallahu ‘alaihi wasallam, selepas Abu Bakr. Umar menghunuskan pedangnya sambil mencabar sesiapa sahaja yang berani kata Rasul telah wafat. “Rasul belum wafat, baginda pergi sebentar dan akan kembali” [kata beliau].

Lihat bagaimana kepentingan wujudnya ulama, iaitu para ulama “rasikhun” iaitu para ulama yang mengetahui fitnah-fitnah dan memiliki kemahiran untuk memberikan kata putus padanya.

[Kembali kepada kisah Umar] Para sahabat semuanya duduk, Ali, Uthman,Talhah, Anas dan para sahabat yang lain semuanya duduk dalam keadaan Umar menghunuskan pedangnya. “Rasul belum wafat!” Abu Bakr ketika itu berada di dataran tinggi [di luar Madinah], sampai kepada beliau berita [kewafatan Rasul], maka beliau pun turun lalu mereka mengkhabarkan kepada beliau bahawa Rasul telah wafat. Beliau pun masuk bertemu jenazah Rasulullah dalam keadaan jasad beginda ditutup oleh kain burdah dari Yaman. Abu Bakr pun menyingkap kain itu daripada wajah baginda, beliau mengucup wajah baginda, sedikit air mata beliau mengalir kemudian beliau radhiallahu anhu keluar dalam keadaan Umar masih lagi menghunuskan pedangnya. Keadaan pada waktu itu sangat tegang.

Lihat para ulama, bagaimana setelah beliau masuk, terus wujud perdamaian! Tak ada [kekecohan], sekali duduk sahaja, selesai masalah. [Ini tidak!] lepas satu pertemuan, satu pertemuan. Lepas satu pertemuan, satu pertemuan. Ini penyakit! Penyakit, penyakit. Kadang kala kamu duduk bersama sebahagian manusia, kamu boleh rasa bahawa dia bukan alim. Seakan-akan dia langsung tidak memiliki ilmu. Seakan-akan kamu sedang bermuamalah dengan seorang lelaki yang jahil tahap kritikal! Jahil murakkab (bodoh bertingkat). Kita memohon kepada Allah afiat dan keselamatan.

[Kembali kepada kisah tadi] Kemudian Abu Bakr keluar, “Diamlah kamu wahai Umar” Beliau berusaha bercakap dengan Umar, “Wahai Umar!” dalam keadaan Umar tidak peduli. Setelah itu Abu Bakr memandang ke arah manusia lalu berkata:

“Wahai sekalian manusia..”

Kerana keadaan ketika itu sangat berat. [Abu Bakr] alim, alim. Umar menyanjungi beliau dan sangat mencintai beliau. Maka mulailah Umar mendengarkan apa yang akan diperkatakan oleh Abu Bakr. Kata Abu Bakr:

“Wahai sekalian manusia, barangsiapa yang menyembah Muhammad, maka sesungguhnya Muhammad telah wafat.”

Selesai masalah sekarang. Sambung beliau lagi:

“Dan barangsiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah Maha Hidup tidak akan mati.

“Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)?” [Ali Imran: 144].

Beliau membacakan ayat tersebut dan bercakap lagi. Tatkala Umar mendengarnya, beliau kata:

“Seakan-akan saya baru pertama kali membaca ayat ini.”

Lihat bagaimana akan terbuka maklumat-maklumat yang baharu untuk kamu disebabkan ulama. Kadang-kala kamu baca satu ayat, satu ayat, kamu membacanya 20, 30 kali akan tetapi apabila urusan itu sampai kepada ahli yang pakar, mereka membukakan untuk kamu makna-makna yang seumur hidup kamu barangkali tak pernah terdetik di dalam benak kamu. Mereka membukakan [makna-makna] itu untuk kamu. Maka mengembalikan urusan-urusan kepada ahlinya yang pakar sangat penting sekali.

Mengapa kita katakan ini wahai saudara-saudaraku -semoga Allah memberkati kalian-? Apabila ada apa-apa masalah [berkaitan dakwah], kita ada Syeikh Yahya hafizahullah! Sudah tentu tidaklah kita sebutkan Syeikh Yahya kerana kita bertaklid kepada beliau. Tidak! Beliau tidak maksum. Akan tetapi kami telah mengetahui [keteguhan] beliau dalam fitnah-fitnah yang banyak. Beliau diberi taufik oleh Allah dalam fitnah-fitnah itu sejak zaman Syeikh kami Muqbil sehinggalah ke hari ini. Beliau seorang lelaki yang diberikan taufik -dan anugerah ini hanyalah milik Allah-. Bukan semua orang memiliki kemampuan untuk berbuat seperti ini. Ini adalah pemberian-pemberian Allah yang Dia berikan kepada siapa yang Dia kehendaki! Memahami masalah ini sangat penting sekali. Sangat penting sekali.

Di Sana’a ada masalah, orang-orang di Sana’a semuanya sepakat akan keunggulan, penghormatan dan penghargaan terhadap Syeikh kita Yahya hafizahullah. Apabila beliau mengatakan: “Hendaklah kamu semua di sini berdamai.” Mereka semua berkata: “Baik wahai Syeikh, berikanlah kata putus terhadap isu ini.” Beliau pun menulis beberapa perkara kemudian menandatanganinya, selesai masalah. Selesai masalah, mudah sahaja.

Setelah itu, saudara-saudara semuanya berkumpul dari sini dan sana dan di dalam masjid. Mereka semua duduk sekali. Berkata sebahagian mereka: “Dahulu saya melihat mereka dari jauh – Syeikh Fulan, Syeikh Fulan, dan Syeikh Fulan. Subhanallah, baru minggu lepas berlaku pertelingkahan yang luar biasa [sesama mereka], tetapi sekarang semuanya berhimpun pada satu hidangan makanan, makan bersama-sama, saling bertukar senyuman yang indah, dalam suasana yang menyenangkan, sehinggakan saya menangis kerana gembira. Orang itu bergelak ketawa bersama orang ini, Orang ini berbalas senyuman dengan orang itu.

Lihat kepada keberkatan merujuk kepada orang-orang yang lebih tua dan para ulama. Inilah jalan yang sepatutnya ditempuh oleh para penuntut ilmu. Jangan berkelana tanpa tujuan dan jangan buat jalan kamu sendiri lalu berlaku fitnah disebabkan kamu. Berapa banyak ghibah yang akan berlaku disebabkan kamu, kamu yang akan memikul dosa-dosanya. Berapa banyak namimah yang berlaku disebabkan kamu, kamu yang memikul dosa-dosanya. Berapa banyak hubungan yang terputus disebabkan kamu, kamu yang memikul dosa-dosanya. Berapa banyak masalah yang berlaku, kamu yang memikul dosa-dosanya. Berapa banyak ikhtilaf yang berlaku, kamu yang memikul dosa-dosanya. Berapa banyak masa yang terbuang, kamu yang memikul dosa-dosanya.

Jangan menjadi kunci kepada keburukan tetapi jadilah kunci kepada kebaikan. Tutuplah pintu-pintu fitnah, tutuplah pintu-pintu keburukan. Seharusnya ke atas para penuntut ilmu untuk menjadi seperti ini. Ya, ya terutama di dalam dakwah. Jadilah orang yang berlemah lembut, mudah lagi lunak. Saya bersama kamu dan kamu bersama saya. Saya melindungi kamu dan kamu juga melindungi saya, kamu perisai saya dan saya juga perisai kamu. Kamu mendukung saya dan saya mendukung kamu. Apabila saya tertimpa suatu kesedihan, saya menghubungi kamu, saya berbincang bersama kamu, saya meminta pertolongan kepada Allah kemudian kepada kamu, nescaya akan berlaku di sebalik itu semua kebaikan yang banyak dengan izin Allah tabaraka wata’ala.

Tatkala baginda sallallahu ‘alaihi wasallam wafat, muncul pula perselisihan yang baharu. Apa perselisihannya? Di manakah Rasul dikebumikan? Yang itu kata: “Kita kebumikan baginda di sini” Yang itu pula kata: “Kita kebumikan baginda di sana” Berlaku pertelingkahan. Datang Abu Bakr, beliau memberikan kata putus pada permasalahan tersebut maka selesai masalah. [Kata mereka:] “Apa yang kamu miliki wahai Abu Bakr?” Kata beliau: “Saya mendengar Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sesungguhnya para nabi dikebumikan di mana mereka wafat.”

Berakhirlah pertelingkahan dan selesailah masalah. Demikian juga ketika datang orang-orang murtad [setelah kewafatan baginda], berlaku keresahan yang dahsyat. Keresahan di tengah-tengah kaum muslimin. Datang Abu Bakr lalu menyelesaikannya. Tatkala muncul isu berkaitan perlaksaan tentera Usamah radhiallahu ‘anhu, berlaku lagi perselisihan, adakah kaum muslimin hendak meneruskan pergerakan mereka memerangi kaum Romawi ataukah tidak. Datang Abu Bakr lalu beliau menyelesaikannya. Selesai pertelingkahan.

Kesimpulannya, ada di tengah-tengah kita orang-orang yang -perlu kita fahami- bahawa mereka merupakan golongan yang ahli dalam bidang ini, pakar menyelesaikan permasalahan, pakar menyelesaikan isu-isu berbangkit maka kembalikanlah isu-isu yang kamu hadapi kepada mereka.

Sekarang kamu sebagai seorang penuntut ilmu, saya juga penuntut ilmu, kita saling berkasih sayang sesama kita. Kamu syeikh, yang ini syeikh, yang itu syeikh, kita semua mewakili kamu sebagai satu halakah, satu hati, dan satu kecintaan. Kalau terjadi sesuatu kepada kamu, kamu pun kata: “Wahai saudaraku, tolonglah, saya telah benar-benar berusaha untuk menyelesaikan masalah ini, kamu tolonglah selesaikannya dan lepaskan saya dari kejahatan dan balanya, semoga Allah membalas kamu dengan kebaikan.” [Lalu saya berkata:] “Demi Allah, saya melihatnya begini.” [Kamu kata:] “Adakah kamu juga melihatnya begini?” “Ya.”, “Tak ada masalah.” Maka banyak masalah yang dapat diselesaikan. Banyak masalah yang dapat diselesaikan.

Maka kewujudan ulama adalah keamanan. Kewujudan ulama adalah keamanan. Terkadang orang tidak mengetahui fitnah kecuali setelah beberapa ketika. [Dia kata:] “Aduhai, alangkah baiknya kalau dahulu saya mendengar kata-katanya, nescaya saya akan berasa lebih tenang.” Benar kamu akan lebih tenang. Maka yang wajib wahai saudara-saudaraku kerana Allah, untuk kita faham betul-betul permasalahan semisal ini.

Lelaki yang membunuh 99 nyawa, tatkala dia ingin bertaubat, orang ramai menghalakannya kepada seorang rahib. Lelaki itu pergi dan si rahib malah berkata: “Tak ada taubat bagimu.” Lihat bagaimana dia membuat segalanya berantakan kerana dia bukan pakar dalam bidang itu. Dia masuk ke dalam perkara yang bukan bidangnya, bukan kepakarannya maka dia membuat segalanya berantakan dan fatwanya itu menjadi sebab dia dibunuh. Kata lelaki itu: “Sudah, memandangkan saya akan masuk neraka maka saya lengkapkan jumlah mangsa saya menjadi 100 dengan membunuh kamu.” Di tempat kami ada peribahasa [berdasarkan kisah ini:]

“Sama ada kamu menyempurnakan 100 hajat atau kamu terdedah kepada api.”

Kata rahib itu: “Kamu akan masuk neraka.” Maka disebabkan fatwanya ini, [ia menyebabkan kecelakaannya sendiri]. Terkadang tindakan kamu sendiri yang menyebabkan kamu resah, sedih, duka, sempit dan menyebabkan manusia mengata kamu. Setiap masa, kamu sendiri yang membuka pintu [untuk dirimu dicela], tutuplah pintu tersebut semoga Allah menjaga kamu, semoga Allah memberi kamu cahaya, semoga Allah memasukkan kamu ke dalam syurga, semoga Allah menjaga kamu daripada segala kejahatan dan keburukan, saya berharap kepada kamu. Akan tetapi subhanallah, sebahagian manusia tidak memiliki kemampuan untuk memahami dan merenung, dan tidak memiliki gambaran yang tepat terhadap banyak masalah. Maka kamu dapatinya berada di dalam kepenatan, kadang kala dia terhuyung-hayang, kadang kala dia tak boleh tidur dan sebabnya berpunca daripada tindakannya sendiri.”
__

Cuplikan daripada ceramah berjudul “Kepentingan Merujuk Kepada Ulama” yang disampaikan oleh Fadhilat al-Syaikh ‘Abd al-Ghani al-‘Umari hafizahullah pada 18 Rajab 1442 di Dar al-Quran wa al-Hadith, Hasweyn, Maharah, Yaman (Markiz Fadhilat al-Syaikh Abu ‘Amr ‘Abd al-Karim al-‘Umari al-Hajuri hafizahullah)

Terjemahan dengan olahan yang tidak mengubah makna:  Wan Shahir bin Wan Perwira

Ikuti Channel Telegram kamihttps://t.me/maktabahahmad_publisher

Comments (0)


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *