Kedudukan Ulama Dan Penjelasan Bahawa Orang Yang Tidak Reti Menguruskan Masalah Dakwah Dengan Baik Akan Menyebabkan Keresahan Umat
Kata Fadhilat al-Syaikh ‘Abd al-Ghani al-‘Umari hafizahullah:
“Kita memohon kepada Allah azza wajalla agar membalas Al-Syaikh al-Fadhil Abu ‘Amr ‘Abd al-Karim al-‘Umari hafizahullah dengan sebaik-baik kebaikan serta memberkati beliau, ilmu beliau, usaha yang telah beliau jalankan dalam berdakwah kepada Allah tabaraka wata’ala, mengajar saudara-saudara beliau, menasihati mereka dan membimbing mereka. Kita bersyukur kepada beliau atas akhlak beliau yang baik yang membuatkan kami berasa malu, senyuman beliau dan keceriaan pada wajah beliau. Saya memohon agar Allah meninggikan martabat beliau di dunia dan akhirat dan saya juga memohon kepada Allah agar Dia menjaga kalian semua daripada segala kejahatan dan keburukan.
Ucapan yang beliau sampaikan pada kesempatan yang singkat ini tadi adalah ucapan yang sangat menarik, kamu dapati di sebaliknya semangat, cinta, kesetiaan, dedikasi, dan ketabahan untuk mereka yang sedang menempuh di jalan ini, iaitulah jalan sunni salafi yang mana kita sangat perlu kepada saling dukung mendukung, dan saling bantu membantu dalam menempuh dan terus teguh di atas jalan yang baik ini dan di atas jalan yang diberkati ini yang merupakan jalan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa’ala waalihi wasallam dan jalan para sahabat baginda yang mulia ridhwanullah ‘alaihim.
Demikianlah para ulama dan para penuntut ilmu. Kewujudan mereka di sesebuah negara dan kewujudan mereka di tengah-tengah masyarakat adalah keamanan. Manusia tidak boleh tidak, pasti memerlukan kepada kewujudan ulama serta orang-orang yang baik dan memiliki keutamaan. Tatkala Allah tabaraka wataala menyebutkan ulama di dalam Kitab-Nya dan memuji mereka di dalam banyak sekali ayat-ayat Al-Quran, bukanlah ia bertujuan untuk kita mendengar tentang mereka sahaja, akan tetapi supaya kita tahu dengan pengetahuan yang yakin bahawa kedudukan ulama sangat tinggi maka kita mengangkat sesiapa yang diangkat oleh Allah dan kita merendahkan sesiapa yang direndahkan oleh Allah tabaraka wata’ala.
Termasuk antara mereka yang diangkat oleh Allah tabaraka wataala dan meninggikan kedudukan mereka adalah para ulama. Firman Allah tabaraka wataala di dalam Kitab-Nya yang mulia:
Di dalam ayat ini ada ketinggian [dan kemuliaan] untuk para ulama dan juga kedudukan mereka. Di dalamnya ada ketinggian [dan kemuliaan] terhadap apa yang mereka berada di dalamnya dan di atasnya berupa kebaikan, sunnah, tauhid, menasihati manusia, mengajarkan mereka dan membimbing mereka. Firman Allah:
Allah tidak mengatakan “dan sebahagian malaikat”. Tidak, tetapi Allah mengatakan: “dan para malaikat.” Kata para ulama bahawa yang demikian itu kerana para malaikat semuanya ulama. Tak ada dalam kalangan mereka malaikat yang jahil. Kesemua mereka mengenali Rabb mereka maka mereka menyembah-Nya dan tidak menderhakai-Nya. Tetapi tatkala Allah menyebutkan manusia, Dia memilih sekelompok daripada mereka iaitulah para ulama. Allah tabaraka wata’ala tidak mengatakan:
Tetapi Allah mengatakan:
Maka Allah memilih sekelompok daripada keseluruhan manusia iaitulah orang-orang yang diberikan ilmu. Mereka itulah yang berhak untuk diangkat disebabkan apa yang mereka miliki berupa kedudukan yang tinggi. Mereka adalah perisai dan pelindung umat. Mereka juga adalah keamanan untuk umat apabila mereka menjalankan apa yang diwajibkan oleh Allah tabaraka wataala ke atas mereka.
Firman Allah tabaraka wataala di dalam Kitab-Nya yang mulia:
Maka Allah mengangkat para ulama sebanyak dua kali. Kali yang pertama adalah kerana mereka dari kalangan orang-orang yang beriman.
Bukankah para ulama termasuk dari kalangan mukminin? Jawapannya sudah tentu. Kemudian Allah mengangkat mereka untuk kali yang kedua kerana mereka tergolong dalam kalangan ulama. Maka Allah mengangkat mereka sebanyak dua kali.
Maka Allah tabaraka wataala meninggikan kedudukan para ulama. Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Allah subhanah mengangkat mereka, meninggikan kedudukan mereka, la ilaha illa hu. Maka wajib ke atas manusia, wajib ke atas para pemimpin, wajib ke atas orang-orang muda, wajib ke atas orang-orang tua, wajib ke atas orang-orang kaya, wajib ke atas orang-orang fakir dan wajib ke atas seluruh manusia untuk mengangkat sesiapa yang diangkat oleh Allah tabaraka wataala. Manusia memerlukan kepada ulama dan kepada kewujudan ulama di tengah-tengah mereka. Tidaklah berlaku perubahan di dalam saf umat dan di tengah-tengah umat sama ada di peringkat politik, ekonomi, atau sosial, kecuali sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh kegagalan untuk mengangkat mereka yang telah diangkat oleh Allah tabaraka wataala dan kegagalan untuk merujuk kepada mereka dalam hal-hal yang berbangkit.
Firman Allah taala:
Perhatikan ayat ini sama-sama. Sangat banyak masalah yang dapat diselesaikan dalam kehidupan kita, sangat banyak isu yang dapat diselesaikan dalam kehidupan kita apabila urusan-urusan itu dikembalikan kepada ahlinya, dan kepada orang-orang yang pakar dalam menyelesaikannya.
Kalau kamu sakit, kamu tak akan pergi kepada jurutera dan mekanik kereta atau kepada juruelektrik kereta. Kalau kamu sakit, kamu tak akan pergi kepada petani di ladangnya agar dia melakukan diagnosis terhadap penyakit kamu dan memberikan kamu ubat. Kalau kamu sakit, kamu tak akan pergi kepada kapten kapal terbang, dan kamu tak akan pergi kepada pemandu kereta tetapi kamu akan pergi kepada doktor pakar untuk dia memeriksa kamu dan melakukan diagnosis terhadap penyakit kamu, memberikan kamu ubat dan hasil diagnosis tersebut.
Umat pada hari ini, sangat disayangkan, jalan mereka telah tunggang terbalik iaitu dengan mereka mengembalikan seluruh urusan mereka atau kebanyakan daripada urusan-urusan mereka kepada orang-orang yang tidak pakar maka disebabkan itu, umat pun jatuh tergelincir, bergoncang dan fitnah-fitnah menimpa mereka dengan deras sebagaimana yang kamu dengar pada hari-hari ini di pelbagai tempat di dunia Islam.
Tatkala kamu pergi membawa kereta kamu -sebagai contohnya- kepada seorang lelaki yang tidak pakar terhadap hal-hal berkaitan kereta sama ada juruelektrik atau mekanik lalu kamu menyerahkan kereta kamu kepadanya padahal dia tidak memiliki kepakaran, nescaya dia akan merosakkan kereta kamu tersebut. Dan kalau kamu membawa kereta kamu pula kepada orang lain [yang juga tidak pakar], dia juga akan merosakkannya. Kamu hantar kereta itu dalam keadaan baik dan berfungsi dengan bagus, hanyalah kamu mengadu tentang bunyi yang muncul padanya. Maka tatkala kamu meletakkan kereta kamu di sisi orang itu yang sebenarnya dia tidak pakar [membaiki], nescaya dia tidak akan mengendalikannya dengan baik. Elok-elok kereta itu berfungsi dengan baik, langsung tak boleh bergerak kerana yang membaiki itu bukan orang yang pakar.
Inilah keadaan sebahagian manusia -‘iyadzan billah-. Mereka telah menjadi pasif dan tidak lagi mengambil inisiatif untuk mengemudi, mengangkat, atau melakukan tindakan sendiri. Sebaliknya, mereka kini diarahkan [atau dikendalikan oleh orang lain]. Dengan kewujudannya, berlakulah kelemahan serta berlakulah perselisihan dan konflik. Alangkah perlunya kita kepada memahami makna ini.
Apabila wujud seorang doktor yang pakar di sesebuah tempat, yang memahami permasalahan lagi mahir di dalam bidangnya, nescaya dia dapat memulihkan hospital, kewangan hospital dan ekonominya. Orang ramai akan datang berpusu-pusu dari seluruh pelosok tempat dan memujinya dengan pujian yang tinggi, [mereka akan kata:] “Ada di hospital sekian seorang doktor yang mahir lagi berpengetahuan yang telah merawat si fulan dan si fulan. Doktor [di hospital lain] turut berterima kasih kepadanya. Doktor di kota sekian dan sekian juga merekomendasikannya. Saya dah pergi ke negara sekian dan ternyata doktor fulan di hospital sekian merekomendasikan saya kepada doktor itu juga.” Maka [dengan itu] terserlah reputasi doktor tersebut. Dia merawat manusia -dengan anugerah Allah tabaraka wata’ala-, dia dapat menemukan penyakit-penyakit yang serius [pada pesakitnya], dia merawat manusia, dia menghilangkan sakit dan penyakit pada manusia [dengan izin Allah], tiba-tiba kamu terkejut dengan sebuah hospital yang walaupun para pemiliknya tidak memiliki sumber yang mencukupi untuk memulihkan [reputasi] hospital itu, namun disebabkan wujudnya seorang doktor yang pakar dan mahir di dalam bidangnya, maka [reputasi] hospital itu pun semakin membaik dari hari ke hari.
Terkadang datang pula doktor yang lain ke sesebuah hospital, dia memiliki stetoskop seperti yang digunakan oleh doktor pakar itu, dia memakai pakaian dan gerak geri yang sama dengan doktor itu, dan apabila kamu mendatanginya, pen ada di tangannya sambil dia menulis beberapa ucapan dalam Bahasa Inggeris, dia katakan kepada kamu: “Kena buat pemeriksaan.” Maka kamu pun buat pemeriksaan. Setelah itu kamu pergi ke makmal dan hasil pemeriksaan pun keluar, kemudian kamu pergi semula ke doktor itu [dan menyerahkan hasil pemeriksaan kepadanya], dia pun melihatnya dan membelek-beleknya ke kanan dan ke kiri [kemudian dia kata:] “Kamu ada sakit jantung!”. Padahal kamu tak ada sakit apa pun baik sakit jantung atau sakit perut atau sakit usus. Kamu sebenarnya sihat akal dan badan akan tetapi doktor itu tidak memiliki kemahiran mendiagnosis [penyakit] yang betul, hasilnya dia membuat kamu terkejut, membuat kamu sakit, membuat kamu letih. Inilah keadaan ramai yang bergelar “doktor” pada hari ini. Dia meletihkan dan melelahkan kamu. Letih! Diagnosisnya meletihkan kamu, kewujudannya meletihkan kamu, kehidupan kamu melelahkan. Di mana saja doktor itu singgah, dia akan meletihkan orang -wal’iyadzu billah-
Sehinggakan ada seorang lelaki yang mana dia merasakan sedikit kesakitan pada bahagian dadanya pergi berjumpa seorang doktor. Doktor tersebut berkata kepadanya setelah membuat pemeriksaan: “Kamu ada sakit jantung, insyaAllah kamu boleh sembuh dengan makan ubat-ubatan ini.” Doktor tersebut memberikan ubat-ubatan kepadanya.
Perhatikan sama-sama, sekarang kita ada beberapa masalah di tengah-tengah dakwah [kita]. Biarkan kita bercakap secara terus-terang sesama kita. Ada beberapa masalah di tengah-tengah dakwah. Kalau seandainya kita mengembalikan urusan-urusan ini kepada orang-orang yang pakar, sudah tentu rawatannya juga mudah, mungkin satu dua biji ubat sahaja [selesai masalah]. Hanya dengan selembar kertas yang kecil sahaja, boleh diselesaikan masalah tersebut. Akan tetapi apabila urusan-urusan [dakwah] ini dipegang oleh orang-orang yang tidak memiliki kepakaran [dan kemahiran], -setiap orang memiliki bidangnya yang tersendiri, wajib kita faham hal ini. Jangan kamu himpunkan diri kamu di dalam sesuatu yang bukan bidang kamu. Jangan kamu masuk ke dalam suatu perkara yang kamu sebenarnya tak reti melakukannya dengan baik. Kamu akan menyebabkan keresahan.-
[Kembali kepada kisah lelaki dengan doktor tadi]. Lelaki tadi pun bawa balik plastik berisi ubat-ubatan [yang diberikan oleh doktor tersebut]. Kamu tahu bagaimana orang-orang Yaman, [makan sahaja ubat yang diberikan] kalau tidak berkesan untuk sakit ini, barangkali berkesan untuk sakit itu, kalau tidak mujarab untuk sakit itu, mungkin mujarab untuk sakit ini. Maka yang sepatutnya hanya jantung yang sakit, sakit pula paru-paru, sakit pula kolon, sakit pula hati, sakit pula limpa, sakit pula pankreas. Setelah itu setiap hari kamu makin melemah, makin melemah, [kesihatan kamu] semakin merosot. -Lihat bagaimana realiti dakwah sekarang, di sebahagian negara penuh masalah. Setiap kali kita kata: “Semoga masalah ini dapat diselesaikan.” Hari-hari itu pula berkata: “Ini baru permulaannya.”- Sakit semakin tenat, sakit semakin tenat, akhirnya mereka berikan ubat paramol, ubat voltaren, rawatan-rawatan [yang lain lagi], mereka berusaha merawatnya tetapi tidak berjaya. Kenapa? Kerana masalah itu diuruskan oleh tangan-tangan yang tidak amanah untuk menyelesaikan isu-isu seperti ini dengan keikhlasan dan kemampanan. Dan apabila orang yang hendak menyelesaikan itu tidak memiliki kemampanan dan keikhlasan, dia akhirnya akan menghalakan masalah itu kepada orang lain. Dia kata: “Demi Allah, saya dah tak mampu, pergilah kepada doktor fulan atau kepada alim fulan atau pergi kepada si fulan dan si fulan kerana di sana dapat diselesaikan banyak daripada isu-isu kita.”
Lelaki tersebut sakit dan balik ke rumah dalam keadaan bermasalah emosinya, “Saya sakit, saya sakit.”Isterinya berkata kepadanya: “Ada apa dengan kamu?” Dia kata: “Habislah, doktor kata saya sakit jantung.” Maka mulailah isterinya bermuamalah dengannya seolah-olah dia terkena sakit jantung. Demikian juga anak-anaknya, mula bermuamalah dengannya seolah-olah ayah mereka ada sakit jantung. Mereka memanjakannya dan menuruti [segala kemahuannya], mereka menidurkannya di atas tilam, memberikannya ubat-ubatan, “Jangan meninggikan suara kepadanya, biarkan dia bertenang, berehat, bergembira.” Setiap kali ada orang datang melawatnya, keluarganya berkata: “Tak mengapa, si fulan sakit. Alhamdulillah dia akan sembuh [insyaAllah]” dan mulailah mereka menenangkannya.
Seluruh kejadian yang berlaku ini sebabnya ialah diagnosis doktor yang tidak pakar. Habis dia menyebabkan satu rumah resah. Satu rumah resah. Akhir sekali, lelaki itu memutuskan agar anak-anaknya membawannya ke Mesir [untuk berubat]. Setelah sampai ke Mesir, dia pun masuk bertemu doktor pakar sakit jantung. Doktor tersebut buat beberapa pemeriksaan ke atasnya. Lelaki tersebut turut membawa plastik ubat-ubatan yang dia dapatkan di Yaman sebelum ini [dan memberikannya kepada doktor pakar tersebut]. Doktor itu pun terkejut.
Lelaki itu bekata: “Kenapa doktor?” Kata doktor: “Kamu mana ada sakit jantung, siapa yang kata kamu sakit jantung?” Dia kata: Doktor [Yaman] tu yang kata, saya sakit.” Doktor itu kata: “Kamu tak ada sakit jantung dan tak ada juga sakit-sakit yang lain. Kamu sihat, tak ada apa-apa sakit sama sekali.”
Lihat bagaimana perbezaan diagnosis. Orang yang tidak reti mendiagnosis [permasalahan] akan meletihkan kamu, melelahkan kamu, memenatkan kamu, menghalangi [hak kamu], mengazab kamu sebagaimana kita sekarang ini tersiksa disebabkan masalah-masalah yang mudah, sangat mudah -demi Allah-, lebih mudah daripada memisahkan biji gandum. Akan tetapi di sana tak ada orang yang ahli untuk menyelesaikannya, maka disebabkan itu ia membuat orang ramai resah. Padahal masalahnya mudah sahaja.
[Kembali kepada kisah lelaki dengan doktor tadi] Doktor itu berkata: “Kamu tak ada sakit apa-apa.” Rawatan kamu di dalam pita ini ada 20 biji tablet. Makanlah ia dan bersenam. Itu saja. Lelaki itu pun pergi membawa plastik ubat tadi, bersenam dan makan ubat yang diberikan walhamdulillah tak ada sakit jantung, tak ada sakit pankreas, tak ada sakit tekak. Benar, dia sihat akal dan badan. Inilah hasilnya apabila wujud diagnosis yang betul.
Maka para ulama, kewujudan mereka di tengah-tengah kita adalah suatu perkara yang sangat penting. Dapat diselesaikan banyak sekali isu dengan cara merujuk kepada mereka, bahkan isu-isu yang sangat sukar, bahkan isu-isu yang telah melelahkan kamu lagi menyakitkan kamu. Apabila kamu kembali kepada mereka (para ulama) kamu akan mendapatkan jalan keluarnya dengan izin Allah. Setiap orang ada bidang kepakarannya sendiri. Wajib kamu mengetahui masalah ini.”
Cuplikan daripada ceramah berjudul “Kepentingan Merujuk Kepada Ulama” yang disampaikan oleh Fadhilat al-Syaikh ‘Abd al-Ghani al-‘Umari hafizahullah pada 18 Rajab 1442 di Dar al-Quran wa al-Hadith, Hasweyn, Maharah, Yaman (Markiz Fadhilat al-Syaikh Abu ‘Amr ‘Abd al-Karim al-‘Umari al-Hajuri hafizahullah)
Terjemahan dengan olahan yang tidak mengubah makna: Wan Shahir bin Wan Perwira
Ikuti Channel Telegram kami: https://t.me/maktabahahmad_publisher
Comments (0)