Bahaya Golongan Yang Ingin Membuang Ulama Daripada Bidang Ilmu Jarh Wa Ta’dil

Ditanyakan kepada Fadhilat al-Syaikh ‘Abd al-Hamid al-Zu’kuri hafizahullah:

Soalan: Adakah disyaratkan dalam permasalah tabdi’ dan tafsiq persaksian para ulama? Ataukah ia pensyaratan yang batil sebagaimana yang diperkatakan oleh sebahagian orang atas alasan syarat ini tidak ada di dalam Al-Kitab dan sunnah? [Kata mereka] Apa jua syarat yang tidak ada di dalam Al-Kitab dan sunnah maka ia batil.

Jawapan: Orang ini jahil. Barangsiapa yang mengatakan bahawa pensyaratan [wujudnya] ilmu dalam masalah tabdi’ dan tafsiq bukan syarat yang muktabar dan ia tidak ada di dalam Al-Kitab dan sunnah, maka orang tersebut jahil. Lebih jahil daripada seekor keldai. Dan dia [sebenarnya] tidak faham manhaj salaf dan tidak faham hakikat ilmu yang agung ini. Wajib ada ilmu dalam setiap bidang agama, antaranya ilmu Jarh wa Ta’dil.

“Apabila mereka didatangi suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, mereka pun menyiarkannya. Kalaulah mereka merujuknya kepada Rasul dan Ulil Amri dalam kalangan mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenaran (akan dapat) mengetahuinya dari mereka (iaitu Rasul dan Ulil Amri).” [An-Nisa’: 83]

Kalau seandainya setiap orang mengetahui itu, nescaya tidak perlu untuk dikembalikan kepada para ulama dan kepada ulil amri yang telah Allah anugerahkan kepada mereka ilmu dan petunjuk yang dengannya dapat dibezakan di antara orang yang soleh dan yang tidak soleh, yang dengannya juga dapat dibezakan di antara sunni dan mubtadi’, pihak yang benar dan pihak yang batil.

Demikianlah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dan demikianlah para sahabat ridwanullah ‘alaihim. Urusan mereka semuanya di atas ilmu. Baik di dalam bab ini atau selainnya.

Lihatlah kepada para sahabat ridhwanullah ‘alaihim tatkala mereka menjarh Malik bin Dukhsyum radhiallahu ‘anhu. Mereka menjarh beliau atas apa yang zahir daripada beliau kerana mujalasah beliau dengan kaum munafikin. Kata mereka:

“Kami tidak melihat keakraban dan percakapannya kecuali bersama orang-orang munafikin.”

Lalu Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Tidakkah kalian melihat bahawa dia telah mengucapkan ‘la ilaha illallah’ kerana mengharapkan dengannya akan wajah Allah?”

Maka terkadang hukum itu berbeza-beza kerana beberapa faktor yang diterapkan ke atas individu atau jemaah. Demikian juga ‘Abd Allah bin Mas’ud, beliau keluar untuk solat subuh tiba-tiba Abu Musa ada di hadapan pintu beliau. Abu Musa merupakan salah seorang daripada para ulama Islam dan para imam Islam. Bersamaan itu, beliau berkata:

“Wahai Abu ‘Abd al-Rahman, saya melihat suatu perkara dan saya tidak melihat kecuali kebaikan.”

Kata Ibn Mas’ud:

“Apa yang kamu lihat?”

Kata beliau:

“Saya melihat [ada jemaah] di Masjid Bani Hanifah dan salah seorang daripada mereka mengucapkan: “Bertasbihlah 100 kali, bertakbirlah 100 kali, bertahmidlah 100 kali.”

Maka ‘Abd Allah bin Mas’ud menangguh sebentar solat subuh dan beliau pergi kepada mereka. Beliau berdiri di hadapan mereka sambil berkata:

“Hitunglah kejahatan-kejahatan kamu! kerana sesungguhnya aku menjamin atas nama Allah tidak akan hilang sedikitpun daripada kebaikan-kebaikan kamu. Ini pakaian-pakaian Nabi sallahu ‘alaihi wasallam belum lagi lusuh, wadah-wadah baginda belum lagi pecah sedang kalian telah membuat perkara baharu -demi Allah-.

Sama ada kalian berada di atas jalan yang lebih mendapatkan petunjuk daripada jalan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam atau kalian sedang berada di atas bidaah yang penuh kegelapan.”

Yang sebenarnya adalah mereka berada di atas bidaah yang penuh kegelapan.

Maka orang-orang yang menyeru untuk dibuang para ulama daripada bidang ilmu Jarh wa Ta’dil yang sebenarnya ia adalah ilmu untuk para ulama dan ilmu yang datang dari para ulama juga. Golongan ini ingin meragut manusia, menelantarkan dan mensia-siakan bidang ilmu yang mulia ini yang termasuk bidang ilmu terpenting.

Hanyalah yang menonjol dalam bidang ilmu ini beberapa kerat sahaja daripada para ulama salaf. Berapa ramai muhaddithun (ahli hadith)? Berapa ramai juga musannifun (pengarang kitab)? Tetapi yang menonjol dalam bidang ilmu Jarh wa Ta’dil boleh dibilang dengan jari. Dan berterusan para ulama yang terdahulu dan sekarang mengatakan: “Para imam al-Jarh wa Ta’dil”, “Ulama al-Jarh wa Ta’dil”. Wallahu al-Musta’an.


Disampaikan oleh Fadhilat al-Syaikh ‘Abd Hamid bin Yahya al-Zu’kuri hafizahullah di Masjid Al-Sahabah, Ghaidhah, Yaman pada Selasa 23 Muharram 1443

Terjemahan dengan olahan yang tidak mengubah makna:  Wan Shahir bin Wan Perwira

Ikuti Channel Telegram kamihttps://t.me/maktabahahmad_publisher

Comments (0)


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *