Ciri-Ciri Ghulat (Golongan Pelampau)

Kata Fadhilat al-Syaikh ‘Adnan bin Husain al-Masqari hafizahullah di dalam risalah beliau yang berjudul “Al-Ghuluw wa al-Radd ‘ala al-Ghulah” halaman 7-9:

“Termasuk daripada tanda-tanda puak ghulat dan haddadiyyah -walaupun sebahagian ghulat tidak mengucapkan beberapa tanda ini akan tetapi barangsiapa yang mengucapkan atau melakukan salah satu daripada tanda-tanda berikut, maka adalah dia dari kalangan ghulat-:

  1. Terburu-buru dalam mengeluarkan hukum. Barangkali mereka menghukum kafir ahli bidaah yang tidak berhak dihukum kafir dan menghukum bidaah orang fasik yang tidak berhak mendapatkan hukum itu, kerana kezaliman dan kesombongan mereka.
  2. Mereka melampau dalam mencela dan memuji tanpa ada keadilan dan tanpa melazimi kebenaran.
  3. Mereka berpandangan akan bolehnya seorang pelajar yang tidak kukuh untuk mendahului ahli ilmu dalam mengeluarkan hukum bidaah, kufur dan hajr (boikot) ke atas orang yang menyelisihi padahal mereka bukan ahli dalam ilmu dan bukan juga ahli dalam mengeluarkan hukum.
  4. Mereka keras dalam menghajr orang yang tidak berhak mendapatkannya dalam kalangan Ahli Sunnah.
  5. Mereka menyelisihi fatwa ahli ilmu dan mendahului para ulama dalam membantah dan menghajr serta memandang diri mereka ahli [dalam hal itu].
  6. Berpanjangan dalam menjarh tanpa warak dan tanpa ilmu yang kukuh, amal dan dakwah bahkan mereka berlebih-lebihan kerana menyangka mereka ahli dalam manhaj salafi dan ittiba’.
  7. Mereka berjalan di atas kaedah “Kita meruntuhkan ahli ilmu dan sunnah dan tidak meluruskan ahli ilmu dan sunnah” apabila jalan mereka diselisihi.
  8. Mereka berjalan di atas kaedah “Kita membongkar dan menjarh dan tidak menasihati setiap orang yang melakukan kesalahan” walaupun orang itu dari kalangan Ahli Sunnah dan kebenaran serta memiliki usaha yang baik sebelum itu.
  9. Mereka berjalan di atas kaedah “Setiap orang yang melakukan kesalahan dari kalangan ahli ilmu dan sunnah, kita tidak melihat kepada keutamaan, ilmu dan kekananannya (senioriti)”. [Menurut mereka] apa jua kesalahan walaupun kesalahan yang kecil boleh dimalukan dan dibantah.
  10. Mereka berjalan di atas kaedah “Mencari kesalahan-kesalahan seorang alim yang sunni dan menunggu mereka jatuh” berbanding nasihat dan tidak berpihak.
  11. Mereka berjalan di atas kaedah “Bantahan ke atas Ahli Sunnah dan selain mereka tidak khusus kepada para ulama dan orang-orang yang kukuh dalam ilmu sahaja”, tetapi barangsiapa yang ingin membantah, maka sila membantah walaupun dia tidak berbincang dengan ahli ilmu [tentang itu] dan walaupun para ulama tidak membenarkannya untuk melakukan yang demikian.
  12. Menuduh irja’ kepada para ulama Ahli Sunnah seperti Syeikh al-Albani, Syeikh al-Fauzan, Syeikh Muqbil dan mereka suka masuk ke dalam permasalahan iman yang mana para salaf terdahulu tidak masuk ke dalamnya.
  13. Mereka mencela para ulama Islam yang tergelincir dalam sebahagian masalah akidah seperti Ibn Hajar, al-Nawawi, al-Khattabi dan selain mereka. Para ulama Ahli Sunnah yang insaf dan para ulama rabbani telah mengingkari ke atas para imam tersebut dalam masalah-masalah yang mereka tergelincir padanya seperti masalah tabaruk atau takwil sebahagian sifat sambil menerima ilmu mereka dan mengambil faedah daripada kebaikan mereka dan apa yang telah mereka persembahkan berupa kebaikan untuk kaum muslimin, nyata keikhlasan, kejujuran dan sifat mereka mencintai manfaat untuk kaum muslimin serta kukuhnya kedudukan-kedudukan mereka dalam ilmu dan khidmat mereka untuk kaum muslimin.
  14. Mereka membakar kitab-kitab para ulama yang telah disebutkan ciri-ciri mereka tadi.

Maka dengan kaedah-kaedah asasi di sisi mereka ini -mereka menyangka bahawa ia termasuk daripada manhaj salaf padahal salaf mereka dalam masalah ini ialah para ghulat, bukan salaf al-hudah (yang mendapatkan petunjuk)-. Maka tersesatlah mereka lagi menyesatkan orang lain. Mereka menyelisihi dan melampaui batas akan tetapi Ahli Sunnah sentiasa mengawasi mereka -segala puji dan anugerah adalah milik Allah-.

Perkara terbesar yang dapat membelah mereka dan ia umpama petir yang menyambar mereka adalah ucapan ulama: “Bahawa masalah takfir dan tabdi’ -ke atas Ahli Sunnah atau orang yang terkenal dengan sunnah- adalah khas untuk para ulama.” Tidak boleh ke atas orang-orang awam dan mereka yang tidak kukuh dari kalangan para penuntut ilmu kecuali menolong ahli ilmu yang menyuarakan hujah-hujah tanpa taklid dan tamyi’ kerana puak ghulat ini suka agar ditinggalkan untuk mereka ruang menjarh masyaikh dan para ulama Ahli Sunnah seorang demi seorang dengan hujah cemburu terhadap sunnah kerana dapat menemukan kesalahan-kesalahan yang didustakan atas nama ulama dan masyaikh tersebut.”

Kata beliau lagi di dalam risalah yang sama pada halaman: 17-18:

“Larangan kami daripada penyakit ghuluw ini tidaklah bermaksud agar seorang muslim itu tamayyu’ (lembik) di dalam agamanya lalu dia meninggalkan keteguhan dan sunnah.

Sungguh Allah ‘azza wajalla telah memerintahkan [kita semua] agar istiqamah di atas agama dan Dia telah melarang daripada ghuluw dan melampau, Dia juga melarang daripada tamyi’ (lembik) dan tadhyii’ (meninggalkan kebenaran). Sikap tamyi’ adalah sikap sambaléwa terhadap perintah Allah. Fitnah tamyi’ merupakan fitnah yang besar yang mana ramai dari kalangan muslimin terutamanya yang bersama ahli hawa nafsu dan penyimpangan terfitnah dengannya. Mereka bermujalasah dengan ahli batil, menyelisihi ahli agama dan berusaha untuk sampai kepada apa yang mereka dakwa sebagai wasatiyyah padahal ianya adalah sikap sambaléwa dalam agama Allah.

Tamayyu’ adalah seperti diam terhadap ahli batil, bermujalasah dengan ahli bidaah dan membenarkan mazhab-mazhab ahli hawa nafsu seperti golongan Hizbiyyin dan Rafidhah. Berjaga-jagalah wahai hamba Allah daripada bermujalasah atau bersahabat dengan orang yang boleh memudaratkan kamu pada agama kamu… Istiqamah dan pertengahan itu adalah dengan kamu menjauhi mujalasah dengan ahli ghuluw dan orang-orang yang boleh memudaratkan kamu pada agama kamu.”


Terjemahan: Wan Shahir bin Wan Perwira

Ikuti Channel Telegram kamihttps://t.me/maktabahahmad_publisher

Comments (0)


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *