Penuntut Ilmu Hendaklah Bersikap Warak Dalam Masalah Tabdi’ Dan Takfir

Ditanyakan kepada Fadhilat al-Syaikh Abu ‘Amr ‘Abd al-Karim bin Ahmad al-Hajuri hafizahullah:

“Adakah disyaratkan kepada orang yang dikira sebagai ahli bidaah untuk ada pada dirinya salah satu daripada usul-usul ahli bidaah ataukah disyaratkan untuk ada pada dirinya seluruh usul ahli bidaah barulah dia dikira sebahagian daripada mereka? Contohnya: Orang yang berfahaman Asy’ari atau Asya’irah, adakah kita katakan bahawa seseorang itu menjadi Asy’ari dan berada di atas akidah Asya’irah, walaupun dia hanya mengucapkan satu usul sahaja daripada usul-usul mereka (Asya’irah).”

Beliau menjawab:

“Masalah ini hendaklah dihukumkan oleh ahli ilmu -para ulama-

“Apabila mereka didatangi suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, mereka pun menyiarkannya. Kalaulah mereka merujuknya kepada Rasul dan Ulil Amri dalam kalangan mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenaran (akan dapat) mengetahuinya dari mereka (iaitu Rasul dan Ulil Amri).” [An-Nisa’: 83]

Maka hal ini dikembalikan kepada ulama. Tatkala bangkit sebahagian penuntut ilmu yang sebahagian mereka memiliki kebolehan memberikan faedah dan sebahagian yang lain tingkatannya lebih bawah daripada itu, dia telah mempelajari sebahagian ilmu-ilmu alat dan dia memandang dirinya memiliki keahlian dalam masalah tabdi’ dan seumpamanya dan orang-orang yang tidak reti mula menonjolkan diri, maka berlakulah kekacauan dan kekeliruan terhadap banyak masalah. Berlaku juga banyak perselisihan dan pergaduhan sehingga terkadang sampai ke tahap orang yang mengucapkan ini menjadi… Kita memohon kepada Allah keselamatan dan afiat.

Dahulu berlaku perselisihan dalam kalangan jemaah tentang sesuatu permasalahan. Yang itu menghukum bahawa ini fahaman irja’, yang ini pula tidak menghukum bahawa ia irja’. Mereka semua itu saya kenal belaka. Setelah itu kami berusaha mendamaikan di antara mereka. Mereka dari negara lain dan menelefon berjam-jam [tentang masalah ini]. Syaitan menarik mereka perlahan-lahan dalam keadaan kami menasihati mereka: Perkara ini tinggalkanlah ia kepada orang yang ahli, [iaitu] ahli ilmu dan mintalah fatwa mereka tentang itu. Hal ini berlanjutan sampai ke tahap mereka menghukum bidaah Al-Hafiz dan Al-Nawawi! Berlalu beberapa hari tiba-tiba mereka menghukum kafir Al-Syaukani!, menghukum sesat Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah!, menghukum kafir Ibn Hazm!

Maka hal yang seperti ini, seorang penuntut ilmu itu walaupun dia memiliki kebaikan namun seorang insan hendaklah bersikap warak dalam masalah tabdi’ dan takfir. Perkara ini [tabdi’ dan takfir] bukan untuk setiap orang. Hendaklah seorang insan bersikap warak dan bertanya kepada orang yang lebih berilmu daripadanya. Ini bukanlah keaiban pada kamu, untuk kamu bertanya atau apabila hal-hal yang seperti ini membuat dirinya keliru maka elakkanlah ia dan tak usah ikut campur. Tidak lazim untuk kamu menghukum terhadap sesuatu bahawa ia bidaah, kecuali apa yang zahir. Bersamaan dengan itu, apa yang dikatakan oleh ahli ilmu, maka ya.

Adapun asal permasalahan ini, maka ya. Apabila seseorang itu jatuh ke dalam salah satu daripada usul-usul bidaah, atau ke dalam bidaah atau ke dalam sesuatu yang boleh membidaahkannya, jika terpenuhi syarat-syaratnya dan ternafikan penghalang-penghalangnya maka dia dibidaahkan walaupun hanya dalam satu perkara. Adapun jika muncul daripadanya lebih daripada satu perkara, maka begitu juga [hukumnya].

Kita cukupkan sampai di sini, walhamdu lillah Rabb al-‘Alamin, wabarakallahu fiikum”


Disampaikan oleh Fadhilat al-Syaikh Abu ‘Amr ‘Abd al-Karim bin Ahmad al-Hajuri hafizahullah di Dar al-Quran wa al-Hadith, Hasweyn, Yaman pada 22 Jumada al-Ula 1442

Terjemahan dengan olahan yang tidak mengubah makna: Wan Shahir bin Wan Perwira

Ikuti Channel Telegram kamihttps://t.me/maktabahahmad_publisher

Comments (0)


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *