Mukadimah:

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Semoga selawat dan salam dilimpahkan ke atas Nabi kita Muhammad yang telah menyampaikan risalah dengan penyampaian yang jelas, ke atas ahli keluarga dan para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik sehinggalah ke hari pembalasan.

Adapun setelah itu;

Maka sesungguhnya ramai dari kalangan manusia yang tidak mengetahui banyak permasalahan yang berkaitan hukum-hakam sujud sahwi di dalam solat. Ada di antara mereka yang meninggalkan sujud sahwi pada tempat yang wajib ia dilakukan. Ada di antara mereka yang sujud pada bukan tempatnya. Ada juga di antara mereka yang melakukan sujud sahwi sebelum salam pada tempat yang seharusnya ia dilakukan setelah salam. Ada juga yang melakukan sujud sahwi selepas salam pada tempat yang seharusnya ia dilakukan sebelum salam.

Oleh kerana itu, memiliki ilmu pengetahuan tentang hukum-hakam berkaitan sujud ini adalah sangat penting terlebih lagi  kepada para imam yang menjadi tauladan bagi sekalian manusia dan memikul tanggungjawab untuk memimpin kaum muslimin dengan menunaikan solat dengan cara yang disyariatkan.

Maka suka untuk saya bentangkan kepada saudara-saudara saya sebahagian daripada hukum-hakam berkaitan permasalahan ini dengan berharap kepada Allah ta’ala untuk memberikan manfaat kepada para hambanya yang beriman dengan risalah ini.

Maka saya katakan dengan memohon pertolongan kepada Allah ta’ala dan memohon ilham daripadanya untuk memberikan taufik dan kebenaran;

Sujud sahwi adalah ungkapan bagi dua sujud yang dilakukan oleh orang yang solat bertujuan untuk menampung ketidaksempurnaan yang terjadi di dalam solatnya disebabkan oleh kelalaian. Dan sebabnya ada tiga iaitu berlaku penambahan, pengurangan dan keraguan.

Penambahan:

Apabila seseorang itu menambahkan sesuatu di dalam solatnya baik itu penambahan berdiri, duduk, ruku’, ataupun sujud dengan sengaja maka solatnya terbatal.

Sekiranya dia menambahkan itu kerana lupa, dan dia tidak sedar akan penambahan tersebut sampailah dia selesai solat, maka hendaklah dia melakukan sujud sahwi dan tidak ada apa-apa yang perlu dia lakukan melainkan itu sahaja dan solatnya sah.

Sekiranya dia sedar akan penambahan tersebut ketika masih lagi di dalam solat, maka hendaklah dia segera menggugurkan penambahan tersebut lalu melakukan sujud sahwi dan solatnya sah.

Contohnya: Ada seseorang yang sedang melakukan solat zuhur -sebagai contohnya- sebanyak lima rakaat dalam keadaan dia tidak sedar akan penambahan tersebut kecuali setelah dia dalam keadaan bertahiyat. Maka hendaklah dia menyempurnakan tahiyatnya tersebut lalu memberikan salam, kemudian hendaklah dia melakukan sujud sahwi dan memberikan salam -sekali lagi-.

Sekiranya dia tersedar akan penambahan tersebut ketika masih di dalam rakaat yang kelima maka hendaklah dia segera duduk ketika itu juga lalu bertahiyat dan memberikan salam, kemudian melakukan sujud sahwi dan memberikan salam -sekali lagi-.

Dalilnya: Hadith Abdullah bin Mas’ud radhiallahu ‘anhu bahawasanya Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam pernah pada suatu ketika menunaikan solat zuhur sebanyak lima rakaat, lalu dikatakan kepada baginda: “Adakah berlaku penambahan di dalam solat?” maka baginda bersabda: ((Dan apakah itu?)). Lalu mereka mengatakan bahawa anda solat sebanyak lima rakaat. Lantas baginda sujud sebanyak dua kali setelah baginda memberikan salam. Di dalam riwayat yang lain disebutkan: “lalu baginda melipat kedua-dua belah kakinya dalam keadaan baginda menghadap kiblat lalu baginda sujud sebanyak dua kali kemudian memberikan salam. Hadith ini diriwayatkan oleh sejumlah para perawi.

Memberikan salam sebelum selesai solat:

Perbuatan memberikan salam sebelum selesai solat adalah termasuk penambahan di dalam solat[1]. Apabila seseorang itu memberikan salam sebelum dia selesai daripada solatnya dengan sengaja maka solatnya terbatal.

Sekiranya dia melakukan itu kerana lupa dan dia tidak sedar kecuali setelah berlalu jangka masa yang lama, maka hendaklah dia mengulangi semula solatnya.

Sekiranya dia tersedar dalam jangka masa yang pendek seperti seminit atau dua minit atau bahkan tiga minit, maka hendaklah dia menyempurnakan solatnya dan memberikan salam. Kemudian dia melakukan sujud sahwi dan memberikan salam -sekali lagi-.

Dalilnya: Hadith Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menunaikan solat zuhur atau asar bersama para sahabat lalu baginda memberikan salam setelah selesai daripada rakaat kedua. Kemudian orang ramai pun bersegera keluar dari pintu-pintu masjid sambil berkata bahawa solat telah dipendekkan. Baginda bangkit lalu menuju ke sebuah kayu yang terletak di dalam masjid dan bersandar di situ seakan-akan baginda sedang marah.

Lalu bangkitlah seorang lelaki lalu berkata: “Wahai Rasulullah, adakah anda terlupa ataukah solat telah dipendekkan?” Baginda bersabda: ((Saya tidak lupa, dan solat tidak dipendekkan)). Maka lelaki itu pun mengatakan: “Bahkan anda telah terlupa”. Baginda lalu berkata kepada para sahabat yang lain: ((Adakah benar apa yang dikatakan ini?)). Mereka mengatakan: “Ya”.

Lalu baginda pun berdiri dan melangkah ke hadapan dan menyempurnakan semula apa yang tertinggal daripada solatnya kemudian baginda memberikan salam, kemudian baginda sujud sebanyak dua kali kemudian baginda memberikan salam -sekali lagi-. Hadith ini disepakati kesahihannya oleh Imam Bukhari dan Muslim.

Apabila seorang imam itu memberikan salam sebelum selesai daripada solatnya dan di kalangan makmum ada yang tertinggal sebahagian rakaat (iaitu: masbuk) lalu mereka bangun untuk mengganti rakaat yang tertinggal, kemudian imam baru tersedar bahawa ada kekurangan rakaat di dalam solatnya tadi lalu dia bangun untuk menyempurnakan semula solatnya;

Maka dalam keadaan ini para makmum yang telah bangun untuk menggantikan rakaat yang tertinggal tadi mempunyai dua pilihan, sama ada untuk meneruskan penggatian rakaat yang tertinggal tersebut dan melakukan sujud sahwi ataupun pilihan yang kedua adalah mereka kembali bersama imam lalu mereka mengikutinya. Apabila imam memberikan salam, mereka pun bangun untuk menggantikan rakaat yang tertinggal tadi, dan melakukan sujud sahwi selepas salam, dan inilah yang lebih utama dan lebih berhati-hati.

Pengurangan:

Pengurangan Rukun:

Apabila seseorang  itu mengurangkan suatu rukun di dalam solatnya, sekiranya rukun yang ditinggalkan tersebut adalah takbiratul ihram, maka tidak ada solat baginya baik dia meninggalkan itu kerana sengaja atau lalai kerana solatnya belum lagi terikat (iaitu terikat dengan takbir yang merupakan pintu masuk bagi solat)

Sekiranya rukun yang ditinggalkan itu adalah selain takbiratul ihram, sekiranya dia meninggalkan itu kerana sengaja, maka terbatal solatnya.

Sekiranya dia meninggalkan itu kerana lalai, apabila dia sudah sampai ke tempat yang sama pada rakaat yang berikutnya maka hendaklah dia mengabaikan rakaat yang dia tertinggal rukun tersebut dan jadilah rakaat yang berikut itu sebagai pengganti bagi rakaat tadi.

Sekiranya dia belum lagi sampai ke tempat yang sama pada rakaat yang berikutnya, maka wajib baginya untuk kembali kepada rukun yang tertinggal tadi dan melaksanakannya serta melaksanakan rukun-rukun yang berikutnya setelah itu.

Di dalam kedua-dua keadaan ini, wajib baginya untuk melakukan sujud sahwi setelah memberikan salam.

Contohnya: Ada seseorang yang terlupa untuk melakukan sujud yang kedua daripada rakaat yang pertama, kemudian dia tersedar dalam keadaan sedang duduk di antara dua sujud pada rakaat yang kedua. Maka hendaklah dia mengabaikan rakaat yang pertama tadi dan jadilah rakaat kedua menduduki tempatnya. Maka hendaklah dia menganggap bahawa rakaat keduanya tadi sebagai rakaat pertama lalu dia menyempurnakan solatnya, memberikan salam kemudian melakukan sujud sahwi dan memberikan salam -sekali lagi.

Contoh lain: Ada seseorang yang terlupa duduk di antara dua sujud dan sujud yang kedua daripada rakaat yang pertama. Kemudian dia tersedar itu setelah dia bangun daripada ruku’ (iktidal) daripada rakaat kedua. Maka hendaklah dia segera kembali ke rukun yang tertinggal tadi iaitu duduk di antara dua sujud dan sujud setelahnya kemudian hendaklah dia menyempurnakan solatnya seperti biasa dan memberikan salam. Setelah itu hendaklah dia melakukan sujud sahwi dan memberikan salah -sekali lagi-.

Pengurangan Kewajipan-Kewajipan Solat:

Apabila seseorang itu meninggalkan salah satu daripada kewajipan-kewajipan solat dengan sengaja, maka terbatallah solatnya.

Sekiranya dia meninggalkan itu kerana lupa dan dia tersedar dalam keadaan dia belum lagi berpisah daripada tempatnya pada ketika itu, maka hendaklah dia kembali melakukan kewajipan yang tertinggal tersebut dan tidak perlu dia melakukan sujud sahwi.

Sekiranya dia tersedar dalam keadaan dia telah berpisah daripada tempatnya pada ketika itu tetapi belum lagi sampai kepada rukun yang berikutnya, maka hendaklah dia kembali dan melakukan kewajipan yang tertinggal tersebut kemudian menyempurnakan solatnya dan memberikan salam. Kemudian hendaklah dia melakukan sujud sahwi dan memberikan salam -sekali lagi-.

Sekiranya dia tersedar dalam keadaan dia telah sampai kepada rukun yang berikutnya, maka gugurlah baginya kewajipan tersebut dan tidak perlu untuk dia berpatah balik untuk melaksanakannya. Hendaklah dia meneruskan solatnya dan melakukan sujud sahwi sebelum dia memberikan salam.

Contohnya: Ada seseorang yang bangun daripada sujud yang kedua daripada rakaat yang pertama untuk dia berdiri ke rakaat yang ketiga dalam keadaan dia terlupa untuk duduk tahiyat awal lalu dia teringat itu sebelum sempat naik. Maka dalam keadaan ini, hendaklah dia tetap duduk lalu bertahiyat awal kemudian menyempurnakan solatnya seperti biasa dan tidak perlu untuk dia melakukan sujud sahwi.

Sekiranya dia teringat setelah dia naik tetapi belum sempat untuk dia berdiri tegak, maka hendaklah dia kembali lalu duduk untuk tahiyat awal kemudian menyermpurnakan solatnya dan memberikan salam. Kemudian melakukan sujud sahwi dan memberikan salam -sekali lagi-.

Sekiranya dia teringat setelah dia tegak berdiri maka gugurlah ke atasnya kewajipan tersebut dan tidak perlu untuk dia kembali melakukannya. Hendaklah dia menyempurnakan solatnya seperti biasa dan melakukan sujud sahwi sebelum dia memberikan salam.

Dalilnya: Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan selainnya daripada Abdullah bin Buhainah radhiallahu ‘anhu: bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam pada suatu hari solat zuhur bersama mereka, lalu baginda bangun pada rakaat yang kedua dalam keadaan baginda tidak duduk (iaitu duduk tahiyat awal). Maka orang-orang pun bangun bersama baginda sehinggalah ketika sudah sampai di penghujung solat, dan orang-orang semuanya sedang menunggu baginda memberikan salam, tiba-tiba baginda bertakbir dalam keadaan duduk, lalu baginda sujud sebanyak dua kali sujud sebelum memberikan salam lalu baharulah baginda memberikan salam.

Keraguan:

Keraguan adalah kegoncangan dan sikap teragak-agak di antara dua perkara, yang manakah yang sebenarnya terjadi. Keraguan ini hendaklah diabaikan di dalam urusan-urusan ibadat pada tiga keadaan:

  1. Sekiranya ia adalah semata-mata khayalan (wahm) yang tidak ada hakikatnya seperti kewaswasan.
  2. Sekiranya keraguan itu terlalu sering terjadi bagi seseorang itu dari segi tidaklah dia dapat melakukan apa-apa ibadat pun melainkan pasti akan datang keraguan padanya.
  3. Sekiranya keraguan itu terjadi setelah seseorang selesai daripada ibadat-ibadat yang dia lakukan, maka tidak perlu untuk dia memberikan perhatian kepada keraguan tersebut selama dia sendiri tidak yakin. Sekiranya dia yakin, hendaklah dia beramal sesuai dengan apa yang dia yakini.

Contohnya: seseorang yang menunaikan solat zuhur. Setelah selesai solat, tiba-tiba datang keraguan adakah dia solat tiga rakaat ataukah empat rakaat. Dalam keadaan ini, tidak perlu untuk dia berikan perhatian kepada kepada keraguan tersebut kecuali sekiranya dia yakin memang dia tidak solat kecuali hanya tiga rakaat sahaja. Maka dalam keadaan ini hendaklah dia menyempurnakan solatnya sekiranya jangka waktunya masih tidak lama kemudian memberikan salam dan melakukan sujud sahwi dan memberikan salam -sekali lagi-.

Sekiranya dia tidak teringat akan kekurangan rakaat tersebut melainkan setelah jangka masa yang panjang, hendaklah dia mengulangi semula solatnya daripada awal.

Adapun keraguan yang berlaku pada selain tiga keadaan ini, maka ia adalah keraguan yang diambil kira (iaitu yang perlu diberikan perhatian dan tidak boleh diabaikan).

Keraguan yang berlaku di dalam solat tidak terlepas daripada dua keadaan:

Keadaan Pertama: iaitu apabila seseorang memiliki kecenderungan yang lebih kepada salah satu perkara, maka dia beramal sesuai dengan kecenderungannya tersebut. Dia menyempurnakan solatnya dan memberikan salam, kemudian melakukan sujud sahwi dan memberikan salam -sekali lagi-.

Contohnya: Ada seseorang yang sedang menunaikan solat zuhur mengalami keraguan pada satu rakaat adakah ia rakaat yang kedua ataukah rakaat yang ketiga? Akan tetapi, kecenderungannya lebih menghala ke arah rakaat yang ketiga. Maka hendaklah dia menjadikan rakaat itu rakaat yang ketiga lalu mendatangkan satu lagi rakaat setelah itu dan memberikan salam. Kemudian melakukan sujud sahwi dan memberikan salam -sekali lagi-.

Dalilnya: Hadith yang sabit di dalam As-Sahihain dan selainnya daripada hadith Abdullah bin Mas’ud radhiallahu ‘anhu bahawsanya Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: ((Apabila salah seorang daripada kamu ragu-ragu di dalam solatnya maka hendaklah dia berusaha mencari yang tepat, sempurnakanlah ia dan berikanlah salam. Kemudian hendaklah dia sujud sebanyak dua kali)) Ini adalah lafaz Imam Bukhari.

Keadaan Kedua: Apabila seseorang itu tidak dapat memiliki kecenderungan yang lebih kepada salah satu daripada dua perkara tersebut, maka hendaklah dia beramal dengan yang dia yakin iaitu bilangan yang sedikit lalu dia menyempurnakan solatnya dan melakukan sujud sahwi sebelum dia memberikan salam kemudian baharulah memberikan salam.

Contohnya: seseorang yang sedang menunaikan solat asar lalu timbul keraguan pada satu rakaat adakah ia rakaat yang kedua ataukah yang ketiga? Sedang dia tidak memiliki kecenderungan yang lebih kepada salah satu daripada dua rakaat tersebut adakah ia rakaat yang kedua ataukah yang ketiga. Maka dalam keadaan ini, hendaklah dia menjadikan rakaat itu rakaat yang kedua, lalu dia bertahiyat awal dan mendatangkan setelah itu dengan dua rakaat lagi. Kemudian melakukan sujud sahwi dan memberikan salam.

Dalilnya: Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Sa’id Al-Khudri radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: ((Apabila salah seorang daripada kamu ragu-ragu di dalam solatnya yang menjadikan dia tidak tahu berapa rakaatkah yang telah dia solat, tiga rakaat ataukah empat rakaat? Maka hendaklah dia menghilangkan keraguan tersebut dan membina (bilangan rakaat) di atas apa yang dia yakini kemudian hendaklah dia bersujud sebanyak dua kali sebelum dia memberikan salam. Jika ternyata dia solat sebanyak lima rakaat maka dua sujudnya telah menggenapkan solatnya. Dan jika ternyata sememangnya dia solat sebanyak empat rakaat, maka dua sujudnya tersebut adalah sebagai penghinaan bagi syaitan))

Di antara contoh-contoh lain yang berkaitan dengan keraguan di dalam solat adalah: Apabila seseorang itu datang dalam keadaan imam sedang ruku’, kemudian dia bertakbir dengan takbiratul ihram dalam keadaan dia tegak berdiri, kemudian dia ruku’. Maka ini tidak akan terlepas daripada tiga keadaan:

Yang Pertama: Dia yakin bahawa dia telah mendapatkan kebersamaan dengan imam ketika ruku’ sebelum imam tersebut berdiri. Maka dengan itu dia telah mendapatkan rakaat dan gugurlah ke atasnya pembacaan surah Al-Fatihah.

Yang Kedua:  Dia yakin bahawa imam telah bangun sebelum dia dapat ruku’ bersama. Maka dengan itu dia tidak mendapatkan rakaat tersebut.

Yang Ketiga: Dia ragu-ragu sama ada dia mendapatkan ruku’ bersama imam ataukah tidak. Sekiranya dia mempunyai kecenderungan kepada salah satu daripada dua perkara tersebut, hendaklah dia beramal dengannya, menyempurnakan solatnya dan memberikan salam. Kemudian dia melakukan sujud sahwi dan memberikan salam -sekali lagi. Kecuali sekiranya dia tidak terlepas apa-apa pun daripada solatnya, maka tidak perlu baginya untuk melakukan sujud sahwi ketika itu.

Sekiranya dia tidak memiliki kecenderungan yang lebih kepada salah satu daripada dua perkara tersebut, hendaklah dia beramal dengan yang dia yakin (iaitu bahawa rakaat tersebut telah terlepas daripadanya), lalu menyempurnakan solatnya dan melakukan sujud sahwi sebelum dia memberikan salam kemudian baharulah dia memberikan salam.

Faedah: Sekiranya dia ragu-ragu di dalam solatnya lalu dia beramal dengan apa yang dia yakini atau apa yang dia lebih cenderung kepadanya sesuai dengan perincian yang disebutkan di atas, kemudian nyata baginya bahawa apa yang dia lakukan tersebut bertepatan dengan kenyataan iaitu tidak berlaku sebarang penambahan atau pengurangan pun di dalam solatnya, maka pendapat yang lebih terkenal di dalam Mazhab (iaitu mazhab Imam Ahmad bin Hanbal) adalah sujud sahwi tersebut telah gugur daripadanya (iaitu tidak perlu dilakukan) disebabkan telah hilangnya perkara yang mengharuskan sujud sahwi iaitu keraguan.

Ada juga yang berpendapat bahawa sujud sahwi tersebut tidak gugur daripadanya (iaitu perlu juga dilakukan) bertujuan untuk menghinakan syaitan berdasarkan sabda baginda sallallahu ‘alaihi wasallam:

((Sekiranya dia telah solat dengan sempurna, maka dua sujud tersebut adalah untuk menghinakan syaitan)). Juga disebabkan dia telah menunaikan sebahagian daripada solatnya tersebut dalam keadaan ragu-ragu, dan pendapat inilah yang lebih rajih.

Contohnya: Ada seseorang yang melakukan solat lalu timbul keraguan di dalam satu rakaat solatnya, adakah yang kedua ataukah ketiga? Dan dia tidak memiliki kecenderungan yang lebih kepada salah satu daripada dua perkara tersebut, lalu dia pun menjadikannya rakaat yang kedua dan menyempurnakan solatnya. Kemudian, nyata baginya bahawa rakaat tersebut sememangnya rakaat yang kedua, maka tidak perlu baginya untuk melakukan sujud sahwi berdasarkan pendapat yang masyhur di dalam mazhab (iaitu mazhab Imam Ahmad bin Hanbal). Jika berdasarkan pendapat kedua yang kami rajihkan tadi, hendaklah dia melakukan sujud sahwi sebelum memberikan salam.

Sujud Sahwi Atas Makmum

Apabila seorang imam itu lalai di dalam solatnya, maka wajib ke atas makmum untuk mengikutinya dalam melakukan sujud sahwi berdasarkan sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam:

((Hanyalah imam itu dijadikan adalah untuk diikuti maka janganlah kamu berselisih tentangnya)) sampai kepada ucapan baginda:

((Apabila dia sujud, maka hendaklah kamu semua sujud bersamanya)). Hadith ini disepakati kesahihannya oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada hadith Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu.

Sama saja hukumnya baik imam tersebut melakukan sujud sahwi sebelum salam ataukah selepasnya, wajib ke atas makmum untuk mengikutinya kecuali sekiranya seseorang itu masbuk iaitu terlepas daripadanya beberapa rakaat maka tidak perlu dia mengikuti imam dalam melakukan sujud sahwi selepas salam disebabkan adanya keuzuran kerana tidak mungkin seorang yang masbuk untuk memberikan salam bersama imamnya.

Oleh kerana itu, hendaklah dia terus menggantikan rakaat yang telah terlepas daripadanya dan memberikan salam. Kemudian melakukan sujud sahwi dan memberikan salam -sekali lagi-.

Contohnya:  Seorang lelaki masuk solat bersama imam pada rakaat yang terakhir dalam keadaan imam perlu melakukan sujud sahwi selepas salam. Maka apabila imam telah memberikan salam, hendaklah dia bangun untuk menggantikan rakaat yang terlepas daripadanya dan janganlah dia melakukan sujud sahwi bersama imam. Apabila dia telah selesai menggantikan rakaat yang terlepas dan memberikan salam, hendaklah dia melakukan sujud sahwi selepas salam.

Apabila seorang makmum itu yang lalai di dalam solat bukan imam, dalam keadaan dia tidak terlepas apa apa pun daripada solatnya (iaitu: tidak masbuk) maka tidak perlu untuk dia melakukan sujud sahwi kerana kalau dia sujud, itu akan menjadikan dia berselisih dengan imamnya dan akan berlaku percanggahan di dalam mengikuti imam.

Tambahan pula, para sahabat radhiallahu ‘ahnum telah meninggalkan tahiyat awal ketika baginda sallallahu ‘alaihi wasallam terlupa untuk melakukannya. Mereka bangkit bersama baginda dan tidak duduk untuk melakukan tahiyat sebagai bentuk penjagaan terhadap mengikuti imam dan tidak berselisih dengannya.

Sekiranya seseorang itu terlepas sesuatu daripada solatnya (iaitu: makbuk) lalu dia terlupa ketika bersama imamnya atau ketika dia sedang menggantikan rakaat yang terlepas daripadanya, maka tidaklah gugur daripadanya kewajipan melakukan sujud sahwi. Hendaklah dia melakukan sujud sahwi tersebut setelah dia menunaikan rakaat yang terlepas daripadanya, baik sebelum salam atau selepas salam sesuai dengan perincian yang telah lalu.

Contohnya: Seorang makmum terlupa untuk mengucapkan “subhana rabbial ‘azhim” ketika ruku’ dalam keadaan dia tidak terlepas apa-apa pun daripada solatnya, maka dalam kes ini tidak ada sujud sahwi ke atasnya.

Sekiranya dia terlepas satu atau lebih rakaat di dalam solatnya, maka hendaklah dia menyempurnakan rakaat yang terlepas tersebut kemudian melakukan sujud sahwi sebelum salam.

Contoh lain:  Seorang makmum solat zuhur bersama imamnya. Tatkala imam bangkit untuk menunaikan rakaat yang keempat, makmum tersebut duduk dengan sangkaannya bahawa ini adalah rakaat yang terakhir. Maka ketika dia sudah mengetahui bahawa imam telah bangkit, dia pun bangkit.

Dalam keadaan ini, sekiranya dia bukanlah orang yang masbuk, maka tidak ada sujud ke atasnya. Tetapi sekiranya dia adalah orang yang masbuk yang telah terlepas satu atau lebih rakaat di dalam solatnya, hendaklah dia menunaikan rakaat yang terlepas tersebut kemudian memberikan salam, setelah itu sujud sahwi dan memberikan salam -sekali lagi-. Sujud ini adalah disebabkan tambahan duduk yang dia lakukan ketika imam bangkit untuk rakaat keempat.

Kesimpulan

Peringatan: Jelas daripada pembahasan yang telah lalu bahawa sujud sahwi ini terkadang dilakukan sebelum salam dan terkadang selepas salam. Sujud sahwi dilakukan sebelum salam pada dua keadaan:

  1. Sekiranya terdapat kekurangan berdasarkan kepada hadith Abdullah bin Buhainah radhiallahu ‘anhu bahawasanya Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam melakukan sujud sahwi sebelum salam ketika baginda terlupa untuk tahiyat awal. Telah berlalu penyebutan hadith tersebut dengan lafaznya.
  2. Sekiranya ada keraguan yang seseorang itu tidak dapat memiliki kecenderungan yang lebih kepada salah satu daripada dua perkara. Ini berdasarkan hadith Abu Sa’id Al-Khudri radhiallahu ‘anhu tentang siapa yang ragu-ragu di dalam solatnya sehingga dia tidak tahu berapa rakaatkah yang telah dia solat? Tiga atau empat? Di mana Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan dia untuk melakukan dua sujud sebelum memberikan salam dan telah berlalu penyebutan hadith tersebut dengan lafaznya.

Sujud sahwi dilakukan selepas salam pula pada dua keadaan:

  1. Sekiranya ada penambahan. ini berdasarkan kepada hadith Abdullah bin Mas’ud radhiallahu ‘anhu ketika baginda solat zuhur sebanyak lima rakaat lalu para sahabat menyebutkan itu kepada baginda setelah salam. Kemudian baginda sujud sebanyak dua kali kemudian memberikan salam. Baginda tidak menjelaskan bahawa sujudnya setelah salam itu adalah disebabkan baginda tidak tahu akan penambahan melainkan setelah salam. Maka ini menunjukkan akan keumuman hukum iaitu sujud sahwi yang disebabkan oleh adanya penambahan hendaklah dilakukan setelah salam sama saja baik seseorang itu menyedari akan penambahan yang berlaku tersebut sebelum salam atau selepas salam. Termasuk daripada pembahasan ini juga adalah apabila seseorang itu memberikan salam sebelum selesai solat kerana lupa kemudian dia menyedarinya lalu dia pun menyempurnakan solatnya. Dalam keadaan ini dia telah melakukan penambahan di dalam solatnya (iaitu penambahan memberikan salam) maka hendaklah dia sujud setelah salam berdasarkan hadith Abu Hurairah radhiuallahu ‘anhu ketika baginda memberikan salam setelah dua rakaat daripada solat zuhur atau asar kemudian para sahabat menyebutkan itu kepada baginda lalu baginda pun menyempurnakan solatnya dan memberikan salam kemudian melakukan sujud sahwi dan memberikan salam -sekali lagi- dan telah berlalu penyebutan hadith ini dengan lafaznya.
  2. Sekiranya ada keraguan yang seseorang itu dapat memiliki kecenderungan yang lebih kepada salah satu daripada dua perkara. Ini berdasarkan kepada hadith Abdullah bin Mas’ud radhiallahu ‘anhu bahawasanya Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan kepada sesiapa sahaja yang ragu-ragu di dalam solatnya untuk dia berusaha menepati kebenaran lalu menyempurnakan solatnya kemudian memberikan salam dan melakukan sujud sahwi dan telah berlalu penyebutan hadith ini dengan lafaznya. Faedah: Sekiranya terkumpul pada seseorang itu dua sebab untuk melakukan sujud sahwi, yang satu tempatnya sebelum salam dan yang satu lagi tempatnya setelah salam maka para ulama telah menyebutkan bahawa hendaklah dia memenangkan yang tempatnya sebelum salam. Contohnya: Seseorang menunaikan solat zuhur lalu dia bangkit untuk rakaat ketiga dalam keadaan dia tidak duduk untuk tahiyat awal. Kemudian dia duduk pada rakaat ketiga dengan sangkaan bahawa itu adalah rakaat kedua. Kemudian dia teringat bahawa rakaat itu adalah rakaat yang ketiga maka hendaklah dia bangun dan mendatangkan lagi satu rakaat (iaitu: rakaat keempat) dan melakukan sujud sahwi kemudian baharulah memberikan salam. Keterangan: Orang yang seperti ini, dia meninggalkan yang pertama yang mana sujud sahwinya adalah dilakukan sebelum salam. Dia juga menambahkan perbuatan duduk pada rakaat yang ketiga yang mana sujud sahwinya adalah dilakukan setelah salam. Dalam keadaan ini hendaklah dimenangkan yang tempatnya sebelum salam. Wallahu a’lam.

Penutup

Hanya kepada Allah sahajalah saya memohon agar Dia memberikan taufik kepada kami dan kepada saudara-saudara kami kaum muslimin untuk memahami Kitab-Nya dan Sunnah Rasul-Nya sallallahu ‘alaihi wasallam dan untuk beramal dengan kedua-duanya secara zahir mahupun batin di dalam perkara akidah, ibadah dan muamalah. Saya juga memohon agar Dia memperelokkan penghujung hidup kita semuanya, sesungguhnya Dia adalah Maha Pemurah lagi Maha Mulia.

Dan segala puji hanyalah milik Allah Tuhan sekalian alam. Semoga selawat dan salam Allah dilimpahkan ke atas Nabi kita Muhammad, ahli keluarganya serta seluruh para sahabatnya.

Tulisan: Syeikh Muhammad bin Soleh Al-Uthaimeen, 4/3/1400 H

Terjemahan: Abu Ahmad Wan Shahir bin Wan Perwira

24/12/2019 M bersamaan 27/3/1441 H


[1] Dikatakan ianya penambahan di dalam solat adalah kerana dia telah menambahkan pemberian salam di tengah-tengah solatnya.