PENJELASAN BUAT PEMIMPIN DAN MASYARAKAT MUSLIM BAHAWA DAKWAH SALAFIYYAH BUKANLAH DAKWAH YANG EKSTREM

Sering kita mendengar sebahagian manusia cuba mengaitkan dakwah yang mengikuti jalan Salafus Soleh dengan keganasan. Berbagai gambaran buruk diberikan kepada pemimpin dan masyarakat bahkan kepada pihak yang menjaga keselamatan negara. Mereka yang mengaku Salafi dilabelkan sebagai kumpulan ekstrem, cuba mengambil alih tampuk pemerintah negara dengan cara kekerasan dan menghalalkan darah umat Islam. Sebahagian daripada musuh-musuh golongan Salafiyun ini mencurahkan segala usaha dan tenaga mereka untuk memburuk-burukkan kelompok tersebut melalui penulisan, ceramah dan jawatan yang mereka miliki. Maka ramailah yang terpedaya kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang agama dan prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar, prinsip yang telah dipegang oleh ulama sunnah sejak dari zaman awal Islam sehingga ke hari ini. Prinsip dan pegangan tersebut telah ditulis oleh mereka di dalam kitab-kitab dan risalah. Ianya merupakan apa yang berlandaskan kepada dalil daripada Al-Quran dan hadis dan menjadi perkara yang disepakati oleh ulama sunnah keseluruhannya. Tidak menyelisihi prinsip tersebut melainkan golongan yang menyimpang daripada jalan Ahli Sunnah. Di dalam risalah ini saya akan menyatakan serba sedikit bukti bahawa golongan Salafiyun bukanlah golongan ekstremis atau pengganas berdasarkan dalil dan bukti seperti yang disebutkan oleh ulama sunnah tentang prinsip – prinsip tersebut. Semoga keterangan ringkas ini dapat menyedarkan masyarakat Islam dan membuka minda mereka agar tidak mempunyai prasangka buruk kepada golongan Salafiyun.

MEMAHAMI MAKNA SALAFI

Perkataan “Salaf” menurut bahasa arab membawa makna kumpulan yang mendahului generasi yang sebelum mereka. Kata Ibn Mandzur di dalam kamus “Lisan al-‘Arab“: “Salaf: Kelompok terdahulu”. Kata penulis kamus “al-Wasith“: “Kesemua manusia yang mendahului kamu di kalangan bapa, datuk dan kaum kerabat dari segi umur dan kelebihan”. Adapun pada istilah yang diguna pakai oleh ulama Islam, ia membawa maksud generasi terawal bagi umat ini di kalangan sahabat, tabiin (pengikut sahabat) dan atba’ tabiin (pengikut tabien). Mereka juga digelar Salafus Soleh. Mereka merupakan sebaik-baik umat Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam berdasarkan dalil yang banyak. Antaranya sabda Rasulullah bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah mereka yang hidup di kurunku. Kemudian orang-orang yang mengikuti mereka. Kemudian orang-orang yang mengikuti mereka.” (HR al-Bukhari dan Muslim). Perkataan ini dapat kita temui di dalam hadis Rasulullah dan kata-kata generasi Salaf seperti sabda Rasulullah kepada Fatimah radhiallahu ‘anha bermaksud: “Sebaik-baik Salaf adalah aku untuk dirimu.” (HR al-Bukhari dan Muslim). Kata Imam al-Bukhari : “Bab apa yang disimpan oleh generasi Salaf di dalam rumah mereka daripada makanan dan ketika bermusafir” (Sahih al-Bukhari/ Kitab al-Ath’imah). Daripada istilah Salaf ini maka orang yang mengikuti jalan generasi Salaf di dalam beragama dipanggil Salafi. Kata al-Hafidz al-Dzahabi di dalam kitab “Siyar A’lam al-Nubala“: “Kalimah salafi bermaksud orang yang berada di atas mazhab salaf”- (Nukilan daripada kitab “Irsyad al-Bariyyah” karangan Syeikh Hasan bin Qasim al-Raimi hafizahullah. Apabila kita merujuk kepada Al-Quran dan hadis maka kita dapati banyak nas yang menyuruh umat Islam mengikuti jalan Salafus Soleh seperti firman Allah:

Maksudnya: “Golongan mendahului yang terawal dikalangan Muhajirin dan Anshar dan juga orang-orang yang mengikuti mereka dengan kebaikan, Allah reda dengan mereka dan mereka reda dengan Allah dan Allah sediakan buat mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Yang demikian itu merupakan kejayaan yang besar.” (Al-Taubah : 100)

Kesimpulannya: Salafi bermaksud orang yang mengikuti jalan generasi terawal yang digelar Salafus Soleh pada prinsip dan pegangan mereka.


KENAPA ISTILAH SALAFI, BUKAN SUNNI?

Mungkin ada yang bertanya kenapakah istilah ini diguna pakai oleh kelompok tersebut? Tidak cukupkah kita menggunakan kalimah Sunni atau Ahli Sunnah Wal Jamaah? Sememangnya istilah Sunni dan Ahli Sunnah merujuk kepada kelompok yang berada di atas kebenaran. Namun di zaman mutakhir ini ramai orang menggunakan istilah tersebut akan tetapi pegangan mereka jauh menyimpang daripada sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat. Istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah umpama jenama yang dipakai sebagai bahan pelaris bagi menarik umat Islam kepada pemikiran sebahagian manusia walaupun pemikiran tersebut bertentang dengan pegangan Salafus Soleh. Oleh itu digunakan istilah Salaf untuk merujuk kepada kelompok yang menjadikan pegangan Salafus Soleh sebagai rujukan dan ikutan mereka. Dengan ini akan nyata kepada masyarakat Islam siapakah Ahli Sunnah sebenar yang berjalan di atas sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat baginda.


PRINSIP DAN PEGANGAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH (SALAFIYUN)

Apabila umat Islam memahami prinsip dan pegangan Salafus Soleh yang menjadi ikutan Salafiyun, mereka akan dapat membezakan manakah Salafiyun yang sebenar dan manakah golongan yang sekadar berpura-pura dengan mengaku sebagai Salafi. Wujudnya golongan yang mengaku sebagai Salafiyun akan tetapi membawa pemikiran ahli bidaah seperti Khawarij merupakan ujian besar terhadap Salafiyun yang sebenar. Salafiyun dituduh sebagai pengganas dan pencetus huru-hara di dalam masyarakat disebabkan jenayah yang dilakukan oleh kelompok berfikiran khawarij tersebut. Oleh itu saya menyeru umat Islam mengenali siapakah Salafiyun sejati dengan memahami prinsip-prinsip dan pegangan mereka agar anda tidak keliru dan tidak lagi meletakkan sangkaan buruk terhadap mereka.

1) Ketahuilah bahawa di antara prinsip yang menjadi pegangan Salafiyun adalah taat kepada pemerintah dalam perkara yang makruf, bersabar dengan kezaliman mereka dan tidak bangkit menentang mereka walaupun mereka melakukan kezaliman. Prinsip ini disebutkan oleh para ulama di dalam kitab-kitab mereka seperti al-Ajurri di dalam kitab “al-Syari’ah“, Abu Jaafar al-Tahawi di dalam kitab “al-‘Aqidah al-Tahawiyah“, Ibn Abi al-Izz di dalam syarahan kitab “al-‘Aqidah al-Tahawi“, Imam al-Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim dan ramai lagi. Inilah juga apa yang disebutkan oleh ulama sunnah pada zaman ini seperti Syeikh Abdul ‘Aziz bin Baz, Syeikh al-Albani, Syeikh Muqbil al-Wadi’i, Syeikh Muhammad bin ‘Uthaimin, Syeikh Yahya al-Hajuri dan yang lainnya rahimahumullah ajma’in. Nukilan daripada ulama sunnah khususnya mereka yang hidup di zaman ini yang dilabelkan sebagai Wahhabi oleh musuh mereka akan saya nyatakan di dalam tulisan ini insyaAllah. Ianya merupakan bukti yang jelas bahawa golongan Salafiyun bukanlah pengganas yang cuba menimbulkan kekacauan dan huru hara di dalam masyarakat.

– Kata Imam Abu Bakr Muhammad bin al-Husain al-Ajurri (meninggal tahun 360 hijrah) di dalam kitabnya “Al-Syari’ah“: “Bab mendengar dan taat kepada orang memegang urusan umat Islam, bersabar dengan mereka walaupun mereka melakukan kezaliman dan tidak bangkit menentang mereka selagi mereka menunaikan solat.” (jilid 1/Cetakan Muassasah Qurtuba)

Kata beliau lagi: “Aku telah menyebutkan tentang peringatan daripada fahaman khawarij apa yang disampaikan buat orang yang dilindungi daripada mazhab tersebut dan tidak menyetujui pandangan mereka, bersabar dengan kezaliman pemimpin dan penguasa dan tidak mengangkat senjata menentang mereka…

-Kata Imam Abu Jaafar Ahmad bin Muhammad al-Tahawi (meninggal dunia tahun 321 hijrah): “Kami tidak berpandangan boleh bangkit menentang pemimpin-pemimpin kami walaupun mereka melakukan kezaliman. Kami tidak mendoakan keburukan ke atas mereka dan tidak menarik tangan daripada mentaati mereka. Kami berpandangan taat kepada mereka merupakan ketaatan kepada Allah sebagai satu kewajipan selagi mana mereka tidak menyuruh kepada kemaksiatan dan kami mendoakan buat mereka kebaikan dan kesejahteraan.

– Kata Imam Abu al-Hasan Ali bin Ali yang dikenali dengan Ibn Abi al-‘Izz al-Hanafi (meninggal dunia tahun 772 hijrah) di dalam syarahan kitab “Al-‘Aqidah al-Tahawiyah“: “Adapun berterusan mentaati mereka walaupun mereka melakukan kezaliman adalah kerana bangkit menentang mereka akan mengakibatkan berlakunya kerosakan yang berlipat kali ganda lebih teruk daripada keburukan yang wujud disebabkan kezaliman mereka.” (Jilid 2/Cetakan Muassasah al-Risalah).

– Kata al-Lalakai di dalam kitab “Syarh Usul I’tiqad Ahli Sunnah”: “Tidak halal bagi sesiapa pun memerangi penguasa atau bangkit menentangnya. Siapa yang berbuat demikian maka dia seorang pelaku bidaah tidak berada di atas sunnah dan jalan (yang benar).” (Nukilan daripada kitab Fatwa Ulama Kibar karangan saudara Abdul Malik al-Jazairi, halaman 28)

– Kata Ibn Bathah al-Ukbari di dalam kitab “Al-Ibanah“: “Selepas itu menahan diri dan tidak terjebak di dalam fitnah (kekacauan). Tidak mengangkat senjata untuk menentang pemimpin walaupun mereka berlaku zalim.” (Nukilan daripada kitab al-Jazairi).

– Kata al-Muzani anak murid Imam al-Syafi’i: “Dan tidak bangkit ketika mereka melampaui batas dan melakukan kezaliman dan bertaubat kepada Allah agar Dia menjadikan mereka berlembut terhadap rakyat mereka.” (Kitab al-Jazairi, halaman 31).

– Kata Imam al-Nawawi di dalam kitab Syarahan Sahih Muslim: “Adapun bangkit menentang dan memerangi mereka, ia adalah haram dengan ijmak ulama Islam walaupun pemimpin merupakan orang yang fasik lagi zalim. Dalil-dalil daripada hadis amat banyak menunjukkan kepada apa yang aku nyatakan. Ahli Sunnah sepakat bahawa penguasa tidak terlucut daripada jawatannya disebabkan kefasikan.” (Kitab al-Imarah).

Dinukilkan juga di sini kata-kata ulama sunnah zaman ini yang menjadi rujukan golongan Salafiyun (ulama yang dilabel sebagai bapak Wahabi oleh musuh-musuh sunnah) untuk menyanggah tohmahan manusia yang sering mencerca ulama Salafiyun. Ianya merupakan bukti bahawa Salafiyun sejati tidak mengajak kepada keganasan dan pemberontakan.

– Kata Syeikh Abdul ‘Aziz bin Baz rahimahullah (mantan mufti Arab Saudi): “Nas-nas daripada sunnah menjelaskan tentang ini (kewajipan taat kepada pemimpin) dan menunjukkan bahawa ketaatan adalah dalam perkara yang makruf. Wajib ke atas umat Islam taat kepada pemimpin dalam perkara yang makruf. Apabila disuruh kepada perkara yang berbentuk maksiat maka tidak boleh ditaati. Namun tidak boleh bangkit menentang mereka disebabkan kemaksiatan tersebut…” (Kitab al-Jazairi, halaman 69).

– Kata beliau lagi : “Tidak selayaknya bagi pemuda atau selain mereka meniru kumpulan Khawarij dan Muktazilah. Bahkan wajib bagi mereka berjalan di atas mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah berdasarkan dalil-dalil syarak. Mereka berhenti bersama nas sebagaimana ia datang. Tidak boleh bagi mereka bangkit menentang pemerintah disebabkan kemaksiatan yang mereka lakukan. Bahkan hendaklah menasihati dengan penulisan dan secara terus dengan cara yang baik lagi berhikmah, berhujah dengan cara terbaik sehingga berjaya atau berkurangan keburukan dan bertambah kebaikan.” (Kitab al-Jazairi, halaman 73).

– Kata Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani rahimahullah : “Kami sentiasa menyatakan dan selama-lamanya menyatakan bahawa bangkit menentang pemerintah walaupun diyakini kekufurannya tidaklah disyariatkan…” (Kitab al-Jazairi, halaman 81)

Kata beliau lagi: “Kesemua jemaah yang mendakwa sebagai Salafi, sekiranya tidak mengikuti cara Salafus Soleh -di antaranya permasalahan mengkafirkan pemerintah dan bangkit menentang mereka- dakwaan mereka hanyalah dakwaan semata-mata.” (Kitab al-Jazairi, halaman 98)

– Kata Syeikh Muhammad bin ‘Uthaimin rahimahullah : “Kewajipan kita adalah menasihati sekadar yang mampu. Adapun menzahirkan persaingan (untuk merebut tampuk pemerintahan) dan bantahan secara terang-terangan, ianya menyelisihi petunjuk Salafus Soleh. Kamu telah mengetahui sekarang perkara ini (perkumpulan penduduk Algeria di masjid untuk menyatakan bantahan terhadap pemerintah) tiada kaitan dengan syariat Islam dan tidak mendatangkan kebaikan. Ianya hanyalah memudaratkan.” (Kitab al-Jazairi, halaman 140)

Kata beliau lagi ketika ditanya tentang memerangi negara-negara Islam lebih utama daripada memerangi negara kafir kerana negara islam telah murtad: “Ini adalah kaedah Khawarij yang membunuh orang Islam dan membiarkan orang kafir. Ia adalah kaedah yang batil.” (Kitab al-Jazairi, halaman 146)

– Kata Syeikh Muqbil al-Wadi’i rahimahullah: “Orang yang menyeru kepada pemberontak dan rampasan kuasa merupakan penyeru kepada kerosakan, penyeru kepada pertumpahan darah umat Islam. Walaupun pemerintah yang aku anggap dia telah kufur, aku katakan: “Sesungguhnya tidak boleh bertembung dengan pemerintah dengan besi dan api (senjata) yang mengenai kepala orang-orang miskin dan menumpahkan darah umat Islam di sana sini.

– Kata beliau lagi: “Kami merupakan orang pertama yang mengingkari pengeboman. Orang yang mula-mula mengingkari penyeru-penyeru kepada pemberontakan dan rampasan kuasa. Kerajaan kami (Yaman) mengetahui tentang perkara ini.

– Kata Syeikh Yahya al-Hajuri hafizahullah yang merupakan pengganti Syeikh Muqbil di Darul Hadis Dammaj ketika ditanyakan pendirian beliau tentang Jemaah Jihad: “Pendirian kami terhadap Jemaah Jihad dan yang selain mereka di kalangan orang-orang yg menimbulkan kerosakan di dalam negara Islam adalah jelas. Mereka bukan sebahagian daripada kami dan kami bukan dikalangan mereka. Kami berlepas diri daripada mereka. Kami menganggap bahawa mereka orang-orang yang jahil, sesat, pelaku bidaah yang menimbulkan fitnah dan huru-hara.

2) Manhaj Salafi tidak menjadikan tampuk pemerintahan sebagai matlamat dakwah mereka. Asas dakwah mereka adalah mengajak manusia kepada mentauhidkan Allah dan mengikut ajaran Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam yang terkandung di dalam Al-Quran dan hadis. Umum mengetahui bahawa kebanyakan fitnah dan kekacauan yang melanda kebanyakan negara berpunca daripada golongan yang mempunyai matlamat menegakkan apa yang mereka gelar Daulah Islamiyyah atau Negara Islam. Inilah perbezaan ketara di antara Salafiyun dengan kelompok tersebut. Apabila mereka menjadikan tampuk pemerintahan sebagai matlamat perjuangan maka sudah tentu segala usaha mereka tertumpu kepada menjatuhkan pemerintah yang ada. Dari sinilah lahirnya kekacauan dan huru hara sama ada cepat atau pun lambat. Realiti yang berlaku di dalam dunia Islam merupakan bukti yang tidak dapat disangkal bahawa kelompok tersebut merupakan punca berlakunya fitnah dan pertumpahan darah. Adapun Salafiyun, mereka hanya memfokuskan kepada tauhid dan mengajak manusia tunduk dan patuh kepada perintah Allah serta berpegang teguh dengan ajaran Rasulullah. Menasihati rakyat dan pemerintah berdasarkan ilmu wahyu yang terkandung di dalam kitab Allah dan sunnah Rasulullah. Mereka tidak membentuk kumpulan yang mempunyai kepimpinan tersendiri yang perlu ditaati selain daripada pemerintah yang ada. Mereka tidak mempunyai gerakan rahsia atau ala tentera. Apa yang mereka lakukan hanyalah membuat majlis ilmu untuk mengajar Al-Quran dan hadis serta kitab kitab ulama sunnah. Mereka dididik untuk menghafal Al-Quran dan hadis serta mengkaji kitab kitab warisan dari ulama dahulu dan sekarang. Siapa yang pergi ke markaz mereka mengetahui tentang perkara ini. Mereka dilarang daripada terlibat dengan demonstrasi dan menyebar keaiban pemimpin. Apakah golongan yang mempunyai ciri-ciri seperti ini layak dilabelkan sebagai pengganas atau kumpulan ekstrem? Anda boleh merujuk kepada risalah yang ditulis oleh Syeikh Zaid al-Wusabi hafizahullah, pembimbing Dar Al-Quran Wal Hadis tentang markaz kami untuk memahami prinsip dakwah Salafiyun.

3) Golongan Salafiyun tidak sewenang wenangnya menghalalkan darah saudara mereka yang mengucap dua kalimah syahadah. Mereka tidak mengkafir sesama Islam tanpa ada hujah dan bukti yang jelas daripada Al-Quran dan sunnah. Apa yang digambarkan oleh sebahagian manusia bahawa golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai Salafi suka menghalalkan darah orang Islam dan membunuh sesama Islam merupakan kesalahan di dalam menisbahkan perbuatan mereka kepada manhaj Salafi. Tidak semua yang mengaku sebagai Salafi dan membaca kitab ulama Salafiyun merupakan Salafi yang sebenar. Selagi mereka tidak berpegang dengan prinsip Salafi yang sebenar maka mereka bukanlah Salafi. Sila rujuk kata-kata Syeikh al-Albani yang saya nyatakan di atas. Adalah satu kesalahan besar apabila melabelkan golongan pemberontak seperti Jamaah Jihad, Al-Qaeda dan seumpamanya sebagai Salafi Jihadi. Adalah satu kesalahan besar melabelkan golongan Daesh dan semisal mereka yang menghalalkan darah umat Islam sebagai Salafi Jihadi. Mereka bukanlah Salafi. Di dalam istilah yang digunakan oleh ulama mereka digelar Khawarij. Menisbahkan golongan Khawarij tersebut kepada Salafi merupakan jenayah terancang untuk memburuk burukkan dakwah Salafiyah yang sebenar. Musuh musuh Islam dan musuh sunnah inginkan agar umat ini takut mendekati dakwah yang mengajak kepada kefahaman Islam yang murni. Kejayaan memburuk burukkan golongan Salafi merupakan kejayaan menjauhkan masyarakat Islam daripada mendapat kefahaman sebenar tentang Islam. Akhirnya jadilah umat Islam umat yang lemah dan berpecah belah seterusnya mudah diperkotak katik oleh musuh mereka.

4) Salafiyun tidak menghalalkan darah bukan Islam yang mempunyai perjanjian dengan pemerintah muslim. Prinsip ini berdasarkan sabda Rasulullah bermaksud: “Siapa yang membunuh orang yang mempunyai perjanjian maka dia tidak dapat mencium bau syurga.” (HR al-Bukhari). Orang yang melakukan kekacauan dengan membunuh bukan Islam, mengebom hotel dan bas pelancong bukanlah Salafiyun. Hanya kerana pengganas tersebut berjanggut, berjubah dan belajar sebahagian kitab ulama sunnah maka mereka dianggap sebagai Salafiyun. Perlu dibezakan di antara Salafiyun yang sebenar dan Khawarij bertopeng Salafi berdasarkan prinsip perjuangan dan cara dakwah. Apabila anda memahami hal ini maka anda tidak akan bersangka buruk terhadap Salafiyun.

5) Ulama sunnah bersepakat bahawa jihad hanya dilancarkan di bawah panji pemerintah, bukan dengan menubuhkan kelompok sendiri dan kepimpinan sendiri. Sesiapa yang melancarkan jihad bukan di bawah panji pemerintah maka mereka adalah Khawarij seperti kumpulan Daesh.


TIADA SALAFI JIHADI

Istilah di atas tidak wujud di dalam kamus ulama sunnah. Ianya merupakan rekaan musuh Islam dan sunnah untuk memberikan gambaran buruk terhadapnya golongan Salafiyun. Salafi hanya satu iaitu yang mengikut prinsip dan pegangan Salafus Soleh. Tiada istilah Salafi Ilmi atau Salafi Jihadi. Siapa yang tidak mengikuti jalan Salafus Soleh maka dia bukanlah Salafi. Mana mungkin golongan yang membawa pemikiran Khawarij digelar Salafi walaupun mereka mengaku Salafi. Salafiyun merupakan kelompok yang amat mengasihani manusia dan sentiasa mengajak kepada kesejahteraan dan keamanan berdasarkan petunjuk Al-Quran dan hadis. Mereka menjadikan Salafus Soleh sebagai panduan dalam memahami agama. Perumpamaan golongan Khawarij yang mengaku Salafi adalah seperti kumpulan penjenayah yang memakai baju polis dan mendakwa mereka merupakan anggota polis. Pada waktu yang sama mereka melakukan jenayah. Orang yang berfikiran waras tidaklah mengatakan institusi keselamatan negara adalah jahat semata-mata perbuatan penjenayah tersebut kerana pihak polis mempunyai etika dan tertakluk kepada undang-undang. Sekiranya ada di kalangan anggota polis yang turut serta dalam jenayah maka mereka akan disingkirkan dan dihukum sebagai penjenayah. Begitulah juga mereka yang mengaku sebagai Salafi akan tetapi keluar daripada prinsip dan pegangan Salafus Soleh dengan melancarkan jihad yang bertentangan dengan ajaran Islam, mereka bukan lagi Salafi. Mereka digelar Khawarij. Mereka yang berfikir secara waras dan tanpa dorongan hawa nafsu pasti menyedari bahawa keganasan berpunca daripada matlamat dan prinsip perjuangan yang salah. Sekiranya kita benar benar memahami perjuangan dan dakwah Salafiyah maka tiada sebab yang membolehkan golongan Salafiyun dilabelkan sebagai pengganas atau kelompok ekstrem. Berlaku adillah dalam menghukum agar anda tidak menzalimi manusia yang ingin berpegang dengan kebenaran atau menjadi penolong kepada musuh-musuh Islam dan sunnah untuk memadamkan cahaya kebenaran. Semoga Allah memberikan kebaikan pada penulisan yang ringkas ini dan menyedarkan semua peringkat masyarakat tentang hakikat dakwah Salafiyah yang sering ditohmah dan dimusuhi.


Ditulis oleh: Ustaz Zulhizam bin Mohd. Hashim

Olahan semula: Wan Shahir Wan Perwira