ADA APA DENGAN JEMAAH TABLIGH?

Disebutkan oleh Fadhilah al-Syaikh al-’Allamah Muqbil bin Hadi al-Wadi’i rahimahullah bahawa perkara yang dikritik terhadap Jemaah Tabligh antara lain ialah:

1. Tidak memberikan perhatian kepada permasalahan akidah. Berapa ramai orang yang telah menyertai mereka boleh jadi selama 40 tahun, tetapi kamu melihatnya tetap berada di atas akidahnya yang bidaah atau syirik. Ini menyelisihi sunnah kerana Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam ketika mengutuskan Mu’adz bin Jabal ke Yaman, baginda memerintahkan beliau untuk memulakan dakwahnya dengan kalimah tauhid “La Ilaha Illallah” dan kalimah “Muhammad Rasulullah“. Hadithnya muttafaq ‘alaih dengan makna ini. Maka dakwah hendaklah dimulakan dengan tauhid sebelum permasalahan yang lain. Seseorang yang berserah diri kepada tauhid, dia akan bersedia untuk meninggalkan apa sahaja perkara yang menyelisihi syarak.

2. Tidak memberikan perhatian kepada ilmu, bahkan sebahagian daripada mereka menjauhkan orang yang berminat daripada ilmu dalam keadaan mereka menyangka bahawa ilmu itu melalaikan daripada berdakwah, dan ini adalah pemahaman yang keliru. Kamu boleh melihat sebahagian mereka yang telah menghabiskan mungkin 20 tahun bersama jemaah ini dalam keadaan dia tetap berada di atas kejahilannya. Memandang rendah terhadap ilmu adalah memandang rendah terhadap kebaikan. Imam al-Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan di dalam kitab Sahih mereka sebuah hadith daripada Mu’awiyah bin Abi Sufyan radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan buatnya, Dia akan memahamkannya akan agama.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Seorang pendakwah ke jalan Allah adalah orang yang paling berhak untuk bersungguh-sungguh mendapatkan ilmu yang bermanfaat supaya dia dapat menyeru manusia di atas keterangan. Firman Allah:

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku dan jalan orang-orang yang mengikutiku, menyeru manusia semuanya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah, dan bukanlah aku termasuk dari golongan orang yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.” (Yusuf : 108)

Satu majlis yang disampaikan oleh seorang yang berilmu adalah lebih baik daripada majlis yang disampaikan oleh seratus orang yang jahil.

3. Kurangnya perhatian mereka dalam menyebarkan dakwah dalam beberapa permasalahan dan lalainya mereka daripada kebanyakan perkara syariat. Allah subhanahu wata’ala telah berfirman:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (Al-Baqarah : 208)

Maknanya adalah: “Ambillah agama ini dari segenap sisinya”. Dan sungguh kebanyakan ahli ilmu yang memiliki keutamaan telah lari daripada dakwah mereka disebabkan masalah ini. Dan bukanlah maknanya di sini kita ingin membebankan mereka untuk berbicara tentang perkara yang mereka tidak memiliki ilmu tentangnya dan tidaklah kita membolehkan mereka berbicara tentang perkara yang mereka tidak tahu. Akan tetapi kita katakan bahawa wajib ke atas seorang yang berdakwah ke jalan Allah untuk berbicara dengan keadilan. Ini berdasarkan firman Allah:

Maksudnya: “Dan apabila kamu mengatakan sesuatu maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat dengan kamu.” (Al-An’am : 152)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah memerintahkan Abu Dzar untuk bercakap yang benar walaupun pahit.

Sampai bilakah kita nak bersandiwara di hadapan para penguasa yang berasa tersakiti dengan kalimah yang benar. Dan sampai bilakah kita nak bersandiwara di hadapan masyarakat yang hanya ingin mengambil daripada agama ini perkara yang menepati hawa nafsu dan dunianya sahaja??

4. Kebanyakan mereka terlalu fanatik kepada mazhab Abu Hanifah. Seharusnya ke atas seorang pendakwah ke jalan Allah dan bahkan ke atas setiap muslim untuk tunduk dan patuh hanya kepada dalil. Firman Allah:

Maksudnya: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (Al-Ahzab : 36)

Bagaimana seseorang boleh berdakwah [kepada masyarakat] untuk mengikuti Rasul sementara dia orang pertama yang menyelisihi baginda. Firman Allah:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (Al-Saff : 2-3)

Nabi Syu’aib juga telah bersabda [sebagaimana yang Allah nukilkan di dalam Al-Quran]:

Maksudnya:“Aku tidaklah ingin melakukan sesuatu yang aku sendiri melarang kamu daripada melakukannya. Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.” (Hud : 88)

5. Selalu bercakap menggunakan hadith-hadith yang dhaif (lemah), maudhu’ (palsu) dan bahkan yang tidak ada asalnya sama sekali padahal baginda telah bersabda:

Maksudnya: “Berhati-hatilah kamu semua daripada berbicara tentang aku. Barangsiapa yang berbicara tentang aku, hendaklah dia berbicara dengan kebenaran atau kejujuran. Barangsiapa yang menyandarkan kepadaku suatu ucapan yang aku tidak mengatakannya maka persiapkanlah tempat duduknya di dalam neraka.” (HR Ahmad)

Barangsiapa yang mengatakan: Sesungguhnya para ulama ada yang membenarkan kita untuk berbicara menggunakan hadith dhaif dalam fadilat amalan, maka sebenarnya dia belum lagi menyempurnakan syarat-syarat yang diletakkan oleh para ulama tersebut iaitu pertama: hendaklah kelemahannya tidak terlalu kuat. Kedua: hendaklah ia berada di bawah usul dan ketiga: hendaklah beramal dengannya tidak dimasyhurkan. Walaupun begitu, tetap yang benar adalah tidak boleh menyebutkan hadith melainkan yang benar-benar sabit [daripada baginda]. Barangsiapa yang mendakwa adanya perbezaan di antara syariat maka hendaklah dia mendatangkan keterangan. Sekiranya dia ingin berbicara menggunakan hadith yang dhaif, maudhu’ atau bahkan yang tidak ada asalnya sama sekali, hendaklah dia perjelaskan bahawasanya hadith ini tidak boleh beramal dengannya. Wallahu a’lam.


Sumber: Kitab “Al-Makhraj min al-Fitnah” karangan Syeikh Muqbil bin Hadi al-Wadi’i rahimahullah, halaman 106-108.

Terjemahan: Wan Shahir Wan Perwira

Download kitab “Al-Makhraj min al-Fitnah” di sini (nombor 2).