Seorang Pendakwah Ke Jalan Allah Seharusnya Jauh Daripada Persangkaan-Persangkaan Yang Buruk Terhadap Saudaranya

[Huraian bagi hadith riwayat Al-Bukhari (2035) dan Muslim (2175)]

Kata Fadhilat al-Syaikh ‘Abd al-Hamid bin Yahya al-Zu’kuri hafizahullah:

“Di dalam hadith ini ada faedah berkaitan dakwah yang seharusnya difahami betul-betul oleh para pendakwah ke jalan Allah iaitulah apa yang dinyatakan di dalam ucapan baginda:

“Bertenanglah kamu berdua, sesungguhnya dia ini Safiyyah.”

Kerana sesungguhnya persangkaan-persangkaan itu barangkali terdetik [di dalam hati seorang insan] dan syaitan barangkali melemparkan persangkaan-persangkaan yang buruk terhadap para pendakwah ke jalan Allah ‘azza wajalla ke dalam hati ramai kaum mukminin apatah lagi selain mereka dari kalangan orang-orang yang berpaling.

Oleh itu, tindakan yang perlu diambil adalah dengan menjauhkan diri dari tempat-tempat yang boleh mendatangkan tohmahan terlebih dahulu. Kedua, -jika perlu- adalah untuk segera memberikan penjelasan pada masalah yang telah diterima dan dibicarakan oleh manusia.

Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam telah berasa bimbang ke atas dua orang lelaki dalam kalangan para sahabat baginda agar jangan sampai syaitan melemparkan keburukan dan persangkaan buruk ke dalam hati mereka berdua.

Jika sekiranya syaitan barangkali mampu untuk melemparkan persangkaan-persangkaan buruk itu terhadap Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, maka bagaimana pula dengan selain baginda? Dan bagaimana pula dengan kita pada zaman mutakhir ini yang kebanyakan manusia berada di atas persangkaan-persangkaan yang buruk -kecuali yang dirahmati oleh Allah, dan alangkah sedikitnya mereka-.

Maka persangkaan-persangkaan [buruk] mereka itu tidak akan tercabut dan tidak akan berhenti bahkan orang-orang yang bersangka buruk itu sendiri tidak hanya berhenti sebatas persangkaan-persangkaan itu sahaja, tetapi mereka akan melampauinya dengan cara bercakap. Mereka akan melampauinya dengan cara menulis. Mereka akan melampauinya dengan cara mengumpat (ghibah).

Syaikh al-Islam telah menyebutkan bahawa mengumpat orang-orang yang soleh adalah lebih besar dosanya berbanding mengumpat orang-orang biasa. Maka hendaklah orang yang berwaspada itu berhati-hati.

Kita tidak diperintahkan untuk menghukum ke atas manusia berdasarkan persangkaan-persangkaan kita tetapi kita diperintahkan untuk menghukum ke atas manusia berdasarkan apa yang zahir daripada perbuatan dan ucapan mereka. Sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam:

“Jauhilah persangkaan kerana sesungguhnya persangkaan itu adalah ucapan yang paling dusta.”

Sebelum itu, firman Allah ‘azza wajalla:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari persangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.” [Al-Hujurat: 12]

Maka tindakan yang perlu dilakukan ke atas setiap orang yang terkena persangkaan-persangkaan yang buruk itu adalah untuk dia memberikan penjelasan dan untuk dia menjauhi tempat-tempat yang boleh mendatangkan tohmahan [ke atas dirinya].

Adapun ke atas orang yang lain, maka wajib ke atasnya untuk bertakwa kepada Allah ‘azza wajalla dan jangan terburu-buru bersangka buruk kepada kaum muslimin tetapi hendaklah bersangka baik dahulu sehinggalah muncul daripada mereka atau daripada ucapan mereka atau perbuatan mereka atau selain itu yang menunjukkan kepada kerosakan yang ada pada mereka. Maka ketika itu, apabila hukum dikeluarkan, maka bukan lagi berdasarkan persangkaan tetapi berdasarkan apa yang nampak, nyata dan jelas.

Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda tentang seorang wanita yang telah menampilkan keburukan:

“Kalau seandainya saya mahu merejam seseorang tanpa bukti, nescaya saya akan merejam wanita ini.”

Pun begitu, baginda tidak merejamnya bersamaan dengan jelasnya tanda-tanda kerosakan yang ada padanya, namun tidak sabit secara syarak apa yang wanita itu lakukan maka diberlakukan ke atasnya hukum syarak.

Antara faedah yang terkandung di dalam hadith ini juga adalah bahawa seorang pendakwah ke jalan Allah itu hendaklah mempersiapkan dirinya bagi menghadapi orang-orang yang suka bersangka buruk. Jika sekiranya Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam telah berasa bimbang daripada perbuatan syaitan melemparkan keburukan ke dalam hati kaum mukminin terhadap baginda, maka bagaimana pula dengan selain Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dari kalangan mereka yang berjalan di atas jalan baginda, menempuh laluan baginda dan mengambil tariqah baginda?

Kerana sesungguhnya syaitan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencemarkannya di dalam hati-hati manusia sehingga mereka memandang rendah terhadap kebaikannya, memandang rendah terhadap ilmunya, memandang rendah terhadap nasihatnya dan memandang rendah terhadap bimbingannya dan kalau seandainya seseorang [yang berpenyakit] itu mampu untuk memalingkan manusia daripada seorang pendakwah ke jalan Allah, nescaya dia akan memalingkan mereka. Dan kalau dia mampu untuk menggunakan kebaikan yang dia miliki untuk menimbulkan dan menampilkan persangkaan yang buruk kepada pendakwah ke jalan Allah, nescaya dia akan melakukannya.”


Disampaikan oleh Fadhilat al-Syaikh ‘Abd Hamid bin Yahya al-Zu’kuri hafizahullah pada Ahad 3 Syawwal 1444 di Masjid al-Sahabah, Ghaidhah, Maharah, Yaman.

Terjemahan dengan olahan yang tidak mengubah makna:  Wan Shahir bin Wan Perwira

Ikuti Channel Telegram kamihttps://t.me/maktabahahmad_publisher

Comments (0)


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *