TAKLID BUTA DIBENARKAN SYARAK?

Kata Fadhilat al-Syaikh Muhammad bin ‘Abdullah Ba Jammal hafizahullah:

“Dari mana kita dapatkan bahawa taklid dibenarkan oleh syarak? Dari mana? Ini memerlukan kepada dalil bahawa syarak berkata kepada kita: “bertaklidlah” padahal Allah ‘azza wajalla telah berfirman:

“Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan”. [Al-A’raf: 3]

Dan firman-Nya:

“Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui [43] tentang keterangan-keterangan yang jelas nyata dan Kitab-kitab Suci.” [Al-Nahl: 43-44]

Dan firman-Nya:

“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya.” [Al-Hasyr: 7]

Dan firman-Nya:

“Jika kamu berbantah-bantah dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah dan RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik, dan lebih elok pula kesudahannya.” [Al-Nisa’: 59]

Dan firman-Nya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan RasulNya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” [Al-Hujurat: 1]

Dan firman-Nya:

“Apa jua perkara yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali.” [Al-Syura: 10]

Maka taklid tidak boleh. Taklid tidak boleh. Barangsiapa yang merupakan orang awam, maka baginya satu jenis ijtihad, iaitu dari sisi dia mendengar kepada yang ini dan mendengar kepada yang itu kemudian dia lihat siapakah di antara kedua-duanya itu yang fatwanya lebih banyak berpegang kepada dalil. Dan orang awam apabila bertanya, dia bertanya dan meminta dalil daripada orang yang ditanya itu maka dengan itu dia belajar.

Baiklah, orang awam apa yang dia lakukan apabila ingin membeli kereta? Dalam keadaan dia tidak memiliki pengetahuan yang mendalam tentang kereta. Adakah jika dia melihat orang lain membeli suatu jenis kereta dia pun turut sama membeli kereta yang sama? sudah tentu tidak. Pasti dia akan bertanya, mencari informasi, dan berbincang. Demikian juga jika dia mahu membeli suatu mesin. Adakah dia akan terus turun ke kedai dan membeli mesin? Ataukah dia akan bertanya dahulu? Pasti dia akan pulang dahulu dan berbincang dengan orang-orang yang berpengalaman tentang itu. Ini sebenarnya satu jenis ijtihad sesuai dengan batas kemampuannya.

Adapun taasub, maka di kalangan ahli ilmu ada yang berkata bahawa sekiranya taasub kepada batil, taasub kepada bidaah, taasub kepada kabilah maka ini tercela. Sekiranya dia taasub kepada kebenaran, taasub kepada Al-Quran dan sunnah, maka ini boleh.

Oleh itu para ulama mengatakan: ‘Si Fulan merupakan seorang yang taasub kepada sunnah.’ Walaupun pengitlakan yang seperti ini sedikit iaitu pengitlakan perkataan taasub untuk kebenaran kerana selalunya perkataan taasub ini merujuk kepada celaan. Dan makna taasub kepada kebenaran ialah: berpegang teguh dengan kebenaran. ‘Si Fulan seorang yang teguh’, ‘Si fulan seorang yang keras di atas sunnah’, dan ibarat-ibarat yang semisal itu.”

____________________

Audio asal: https://t.me/bajmaal/5678

Terjemahan: Wan Shahir bin Wan Perwira