MUKADIMAH BUKU NASIHAT UNTUK PARA PEROKOK

Kata Pengantar Syeikh Abu Fairuz ‘Abdul Rahman bin Soekojo Al-Jawi (terhadap risalah terjemahan ini)

Segala puji hanyalah milik Allah Rabb semesta alam, saya bersaksi bahawa tiada sesembahan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu hamba dan Rasul-Nya, semoga selawat dan salam Allah dilimpahkan ke atas baginda dan ahli keluarga baginda.

Amma ba’d,

Sesungguhnya Allah telah menurunkan syariat-Nya dalam rangka merealisasikan kemaslahatan atau memperbanyakkannya dan membatalkan kerosakan atau mengurangkannya dan bahawasanya menghindarkan kerosakan lebih diutamakan daripada mencari kemaslahatan. Dia mengutuskan Rasul-Nya agar memerintahkan manusia kepada segala kebaikan yang murni atau rajih (lebih kuat) dan melarang mereka daripada segala keburukan yang murni atau rajih dalam rangka mencari manfaat yang segera atau akan datang, dan mengelakkan mudarat yang datang sekarang atau nanti.

Termasuk daripada keburukan yang tersebar dan kemudaratan yang banyak ke atas manusia ialah: Merokok. Sungguh para doktor telah menerangkan pelbagai kerosakannya dan para ulama telah bangkit menjelaskan kemudaratannya ke atas agama, jiwa, badan, harta dan selain itu.

Termasuk daripada mereka yang bangkit memberikan peringatan yang jujur terhadap kerosakan-kerosakan ini ialah: Syeikh yang mulia, khatib yang fasih: Abu Malik Sobir bin ‘Abud al-Lahji al-Yamani maka beliau menyampaikan khutbah kepada manusia bertajuk:

“Nasihat Yang Bernilai Untuk Para Perokok”

Sungguh beliau telah menjawab permasalahan ini dan memberikan faedah. Kemudian khutbah tersebut ditranskrip oleh saudara kita yang mulia: Abu Sufyan Mazin Ba Wahal al-Yamani -semoga Allah menjaganya- dan diberikan kata pengantar oleh Fadhilat al-Syaikhayn: Abu ‘Abdil Rahman Radman bin Ahmad al-Habsyi al-Yamani dan Abu Muhammad ‘Abdul Hamid bin Yahya al-Hajuri al-Yamani -semoga Allah تَعَالَى menjaga mereka berdua-.


Disebabkan pentingnya menampilkan nasihat yang indah ini, bangkitlah saudara kita yang mulia, Ustaz Salafi: Abu Ahmad Wan Shahir Husairil bin Wan Perwira al-Malizi al-Qadahi -semoga Allah menjaga dan memeliharanya- menterjemahkan kitab yang bernilai ini ke dalam Bahasa Malaysia dalam rangka menasihati kaum muslimin. Alangkah indahnya usaha beliau menjalankan amal yang mulia ini.

Dan beliau telah meminta daripada saya untuk menyemak terjemahannya ini dengan memberikan sedikit kata pengantar dan sungguh telah saya ketahui bahawa saya tidaklah layak mendapatkan martabat ini namun permintaan beliau berharga dan baik sangka beliau dihargai, semoga Allah membalas beliau dengan sebaik-baik balasan dan mengganjari beliau dengan sebaik-baik ganjaran serta melindungi beliau daripada fitnah-fitnah yang nampak atau yang tersembunyi. Walhamdu lillah Rabb al-‘alamin.

Ditulis oleh:

Al-Faqir ilallah ta’ala,
Abu Fairuz ‘Abdul Rahman bin Soekojo al-Thuri al-Qudsi al-Jawi al-Indunisi وَفَّقَهُ اللهُ تَعَالَى.

Di wilayah Kedah, Malaysia, 27 Muharram 1444H

Kata Pengantar Fadhilat Al-Syaikh Radman bin Ahmad Al-Hubaisyi (terhadap risalah asal)

Segala puji hanyalah milik Allah Yang telah mengurniakan kepada kita afiat dan telah melebihkan kita ke atas seluruh makhluk dengan kewujudan hati. Dia telah memberikan kepada kita harta dan kecantikan. Dia memerintahkan kepada kita untuk bersyukur kepada-Nya dengan ucapan dan perbuatan. Saya bersaksi bahawa tiada sesembahan yang berhak disembah melainkan Allah semata tiada sekutu bagi-Nya. Dia telah menguasakan kita berbagai-bagai nikmat dan kebaikan, Dia telah menganugerahkan kita dengan berbagai-bagai pemberian dan keberkatan. Saya bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya, semoga selawat dan salam Allah yang banyak lagi bertambah dilimpahkan ke atas baginda, ahli keluarga baginda, dan para sahabat baginda semuanya sampai ke hari pembalasan.

Amma ba’d,
Sungguh saya telah melihat kepada transkrip khutbah Jumaat yang bernilai lagi bermanfaat bagi orang yang Allah inginkan untuknya hidayah, bertajuk:

“Nasihat Yang Bernilai Untuk Para Perokok”

Milik saudara kita, Syeikh yang diberkati, pemberi peringatan, pempengaruh yang sangat fasih: Sobir bin ‘Abud al-Lahji semoga rahmat Allah meliputi beliau dan semoga Allah menjadikan syurga sebagai tempat tinggal kita dan beliau, sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Khutbah ini ditransrip oleh saudara yang diberkati, yang berbudi pekerti lagi berakhlak: Mazin Ba Wahal al-Syabawi. Saya memohon kepada Allah agar mengganjarinya dengan kebaikan atas usaha ini dan atas usaha yang baik yang beliau jalankan dalam berkhidmat kepada Islam dan kaum muslimin, sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Transrip khutbah ini selayaknya disebarluaskan, dicetak dan diambil faedah daripadanya, semoga Allah membalas kepada semua dengan kebaikan, kepada Syeikh yang telah pergi: Sobir bin ‘Abud al-Lahji dan juga kepada saudara yang diberkati yang telah mentranskrip khutbah ini: Mazin Ba Wahal.

Sungguh khutbah yang bernilai ini -dengan izin Allah- berisi penjelasan tentang keharaman menghisap rokok, membeli dan menjualnya. Syeikh telah menyebutkan dalil-dalil daripada Al-Quran dan sunnah tentang keharamannya, demikian juga ijmak para imam yang muktabar tentang keharaman rokok dan bahawasanya ia merupakan benda yang keji dengan kesepakatan orang-orang yang memiliki tabiat yang selamat.

Sungguh Syeikh Sobir telah menyebutkan bahawa dalam perbuatan merokok ada natijah-natijah yang buruk, akibat-akibat yang tidak baik dan kemudaratan-kemudaratan yang sangat besar, antaranya:

Menghisap rokok padanya ada kesia-siaan terhadap harta yang sebenar padahal Nabi kita telah melarang daripada mensia-siakan harta.

Demikian juga ia membahayakan kesihatan dengan bahaya yang sangat, kerana ia merupakan pembunuh secara perlahan-lahan padahal Rabb kita telah berfirman di dalam kitab-Nya yang mulia:

وَلَا تَقۡتُلُوٓاْ أَنفُسَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمۡ رَحِيمٗا

“Dan janganlah membunuh diri-diri kamu sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”

[Al-Nisa’: 29]

Dan Nabi telah bersabda:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

“Tidak boleh memudaratkan diri sendiri dan tidak boleh memudaratkan orang lain.”

Disahihkan oleh Imam al-Albani di dalam “Al-Irwa’” pada nombor (1250) daripada hadith Abu Sa’id al-Khudri dan Ibn ‘Abbas.

Di sana terdapat data statistik yang menyebutkan bahawa sesungguhnya 80 juta manusia mati setiap tahun disebabkan rokok -selepas takdir Allah- dari kalangan lelaki, wanita, orang muda dan orang tua, kita memohon kepada Allah keselamatan dan afiat.

Merokok adalah punca utama penyakit kanser paru-paru -semoga Allah melindungi kita dan kaum muslimin daripadanya. Ia juga punca kepada penyakit paru-paru, aterosklerosis, kanser tekak, kanser buah pinggang dan kanser pundi kencing sebagaimana yang telah dibuktikan oleh para doktor -semoga Allah melindungi kita dan kaum muslimin daripadanya-. Maka nasihat kepada kaum muslimin semuanya agar meninggalkan benda keji ini iaitulah rokok, demikian juga nasihat kepada mereka agar meninggalkan daun qat kerana sesungguhnya tidak ada kebaikan sama sekali pada kedua-dua benda ini.

Alangkah baiknya apa yang didendangkan:

وَيُـلقِي فِي نِيَاطِ القَلبِ جَمرًا هُـوَ التَّدخِينُ يَفتِكُ بِالحَنَايَا
يَـرُومُ بِـشُربِـهِ كِـبرًا وَفَخرًا وَيَـبـدَؤُهُ الفَتَى فِي نَوعِ زَهوٍ
وَيَـمـلِـكُ قَـلبَهُ قَيدًا وَأسرًا فَـيَسرِي فِي الدِّمَا يَومًا فَيَومًا
يَـشُقُّ لِنَفسِهِ فِي الأَرضِ قَبرًا فَهَل هُوَ عَاقِلٌ مَن بَاتَ فِعلًا
إِذَا لَـم يُحسِنُوا لِلنَّفسِ زَجرًا فَـاقـبِح بِالصَّنِيعِ صَنِيعَ قَومٍ
وَمَـا انفَكَّت تَرُومُ المَرءَ شَرًّا فَـإِنَّ الـنَّـفسَ مَطلَبُهَا ذَمِيمٌ
وَقَـعـتَ مُكَبَّلًا فَقُهِرتَ قَهرًا فَـحَـاذِر مِـن تَـسَلُّطِهَا وَإِلَّا

Merokok merosakkan seluruh anggota badan,
melemparkan bara api ke dalam urat hati
Anak muda mula menghisapnya kerana kemegahan,
menginginkan keangkuhan dan kebanggaan

Lalu ia mengalir di dalam darah hari ke hari,
menguasai hatinya bak tahanan dan tawanan
Maka adakah berakal orang yang bermalam melakukannya,
menggali untuk dirinya kuburan di dalam bumi
Maka seburuk-buruk perbuatan, perbuatan mereka,
apabila tidak pandai mencegah diri
Kerana sesungguhnya diri itu kemahuannya terkutuk,
terus menerus menginginkan keburukan terhadap tubuh
Maka berjaga-jagalah daripada dikuasainya, kalau tidak,
engkau bakal dibelenggu lalu ditundukkan secara paksa

Yang lain pula mendendangkan:

تَترُكُ التَّدخِينَ فِي لَمحِ البَصَر اِفـتَـحِ الـسَّمعَ وَأَمعِن بِالنَّظَر
وَلِخُبثٍ فِيهِ يُؤذِي مَن حَضَر يَحبِسُ الأَنفَاسَ عَن أَصحَابِهِ

Bukalah pendengaran dan perhatikanlah dengan penglihatan,
nescaya kamu mampu meninggalkan rokok dalam sekelip mata
Manusia menahan nafas [mereka] daripada para perokok,
disebabkan kebusukan padanya, mengganggu orang yang hadir

Maka kepada Allah saya memohon agar membalas dengan kebaikan kepada saudara kami Syeikh yang telah pergi, pemberi peringatan dan pempengaruh: Sobir bin ‘Abud al-Lahji atas nasihat beliau, peringatan dan pesanan beliau terkait benda yang keji ini iaitulah rokok.

Dan semoga Allah membalas dengan kebaikan kepada saudara kami yang diberkati: Mazin Ba Wahal atas upaya beliau mentranskrip bahan ini dan kesungguhan beliau dalam menyebarkannya. Kepada Allah saya memohon agar memberikan manfaat dengannya kepada Islam dan kaum muslimin, sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Ditulis oleh:
Abu ‘Abdil Rahman Radman bin Ahmad
bin ‘Ali al-Hubaisyi al-Nadzari
Yaman, Ibb, 23 Muharram 1444H,
Ahad sebelum solat asar.

Kata Pengantar Fadhilat Al-Syaikh ‘Abdul Hamid bin Yahya Al-Hajuri (terhadap risalah asal)

Segala puji hanyalah milik Allah, semoga selawat dan salam dilimpahkan ke atas Rasulullah.

Amma ba’d,

Sungguh saya telah melihat kepada sejumlah khutbah dan ceramah yang ditranskrip milik Syeikh Sobir al-Lahji semoga Allah merahmati beliau dan meninggikan derajat beliau di kalangan mereka yang mendapatkan petunjuk. Beliau seorang khatib yang sangat mempengaruh lagi fasih yang mana khutbah dan ceramah beliau menggoncangkan hati dan menjadikannya rindu kepada Yang Maha Mengetahui perkara ghaib. Semoga Allah membalas beliau dengan kebaikan atas jasa beliau kepada Islam dan kaum muslimin. Beliau wafat kerana kemalangan jalan raya maka kita berharap agar beliau memperoleh ‘syahadah’. Dan semoga Allah membalas dengan kebaikan kepada saudara kita: Mazin Ba Wahal atas perhatian beliau kepada ilmu Syeikh Sobir dan kita katakan kepadanya: Teruskan usaha ini kerana orang yang menunjukkan kepada kebaikan, baginya pahala pelakunya.

Walhamdu lillah Rabb al-‘alamin.

‘Abdul Hamid bin Yahya al-Zu’kuri
23 Muharram 1444H.