BESARNYA KECINTAAN KAUM MUKMININ KEPADA ALLAH DAN RASULULLAH SERTA PENGORBANAN MEREKA DEMI ALLAH DAN RASUL-NYA

Disebabkan kebaikan-kebaikan Nabi, banyaknya pemberian baginda untuk umat ini dan sebab-sebab yang lain, maka para sahabat dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik mencintai Rasulullah dengan kadar yang lebih besar daripada kecintaan mereka kepada diri mereka sendiri, ahli keluarga mereka dan harta kekayaan mereka.

Termasuk antara yang menunjukkan kepada besarnya kecintaan para sahabat kepada Rasulullah adalah: Khidmat Abu Bakr al-Siddiq kepada baginda ketika hijrah.

Daripada Abu Ishak, daripada al-Bara’ bin ‘Azib, daripada Abu Bakr bahawa beliau bercerita tentang kisah hijrah beliau bersama Rasulullah :

“Kami berjalan sepanjang malam sampai besok hari sehingga tengahari dalam keadaan jalan kosong tidak ada sesiapa yang melaluinya. Lalu tampak di hadapan kami sebuah batu besar yang panjang, padanya ada naungan yang tidak terkena cahaya matahari maka kami singgah di situ. Kemudian saya meratakan dengan tangan saya akan tempat untuk Nabi untuk baginda tidur di atasnya dan saya hamparkan di atasnya tikar kulit. Saya berkata: ‘Tidurlah wahai Rasulullah, saya akan memeriksa dan menjaga kawasan sekeliling anda.’ Lalu baginda tidur dan saya keluar memeriksa dan menjaga kawasan sekeliling baginda, tiba-tiba saya melihat seorang penggembala datang membawa kambing-kambingnya menuju ke batu besar [yang sama], ingin [berteduh] padanya sebagaimana kami. Lalu saya berkata kepadanya: ‘Milik siapakah kamu wahai anak muda?’ Dia berkata: ‘Saya milik seorang lelaki dari penduduk Madinah atau Mekah.’ Saya berkata: ‘Apakah pada kambingmu ini ada susu?’ Dia menjawab: ‘Ya.’ Saya berkata: ‘Kalau begitu, bolehlah kamu memerahnya?’ Dia berkata: ‘Ya, boleh.’ Maka dia mengambil seekor kambing, dan saya katakan kepadanya: ‘Bersihkan puting susunya daripada debu, bulu dan kotoran.’ Kata Abu Ishak (salah seorang perawi hadith ini): ‘Maka aku melihat al-Bara’ memukulkan salah satu tangannya kepada tangan yang satu lagi [menunjukkan contoh] membersihkannya.’ Sambung Abu Bakr: ‘Lalu dia memerah sepenuh bekas daripada susu tersebut dan bersama saya ada sebuah wadah kulit yang saya bawanya untuk Nabi agar baginda dapat meminum daripadanya dan berwuduk. Kemudian saya mendatangi Nabi akan tetapi saya tidak suka untuk membangunkan baginda. Maka saya sampai kepada baginda kebetulan ketika baginda bangun [daripada tidur]. Lalu saya menuangkan air ke atas susu tadi sehingga sejuk bahagian bawahnya. Saya berkata: ‘Minumlah wahai Rasulullah.’ Maka baginda minum sehingga saya berasa puas’.” al-hadith.

(HR al-Bukhari 3615 dan Muslim, 7706).

Demikian juga penyambutan mereka (para sahabat) kepada baginda pada hari kedatangan baginda ke Madinah:

“… Kaum muslimin di Madinah mendengar akan perjalanan keluarnya Rasulullah dari Mekah maka mereka keluar pada setiap pagi menuju ke ‘Harrah’ menunggu kedatangan baginda sehingga terik matahari memaksa mereka pulang. Pada suatu hari, mereka pulang setelah lama menunggu kedatangan baginda. Tatkala mereka telah kembali ke rumah-rumah mereka, salah seorang lelaki dari kalangan yahudi naik ke salah satu benteng mereka kerana suatu hajat yang ingin dilihatnya lalu dia melihat Rasulullah dan para sahabat baginda dalam keadaan [berpakaian] putih, hilang timbul kerana riak sinaran panas. Maka si yahudi tersebut tidak mampu menahan dirinya sehingga dia menjerit sekuat-kuatnya: ‘Wahai orang-orang arab, ini dia kalian yang kalian nanti-nantikan kedatangannya!’ Lalu berseleraklah kaum muslimin mengambil senjata-senjata mereka kemudian pergi menyambut Rasulullah di atas ‘Harrah’ kemudian baginda bersama mereka belok ke arah kanan sehingga sampai ke Bani ‘Amru bin ‘Auf dan kejadian itu berlaku pada hari Isnin daripada bulan Rabi’ al-Awwal. Abu Bakr bangkit menyambut orang ramai sementara Rasulullah duduk mendiamkan diri. Maka mulailah orang-orang Ansar yang belum pernah melihat Rasulullah datang mengucapkan selamat kepada Abu Bakr sehinggalah terik matahari mengenai Rasulullah lalu Abu Bakr menghadap dan menaungi baginda dengan selendangnya maka tahulah orang ramai [yang mana satu] Rasulullah pada ketika itu…” al-hadith.

(HR al-Bukhari, 3906)

Abu Bakr berkata:

“… Kami sampai ke Madinah pada malam hari lalu mereka berselisih, siapakah di antara mereka yang akan mengambil baginda menjadi tetamu mereka. Maka baginda bersabda: ‘Saya akan tinggal di sisi Bani Najjar, bapa-bapa saudara ‘Abd al-Mutthalib, saya akan memuliakan mereka dengan itu.’ Maka orang ramai lelaki dan wanita naik ke atas rumah-rumah sementara anak-anak dan para pembantu berserakan di jalanan sambil menyeru: ‘Wahai Muhammad, wahai Rasulullah. Wahai Muhammad, wahai Rasulullah.’

(HR Muslim, 2009).

Mereka (para sahabat) bersedia untuk membela Nabi dan agama ini dengan harta, jasad dan nyawa mereka. Daripada ‘Abdullah bin Mas’ud, beliau berkata:

“Berkata al-Miqdad pada hari [peperangan] Badar:

‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami tidak akan mengucapkan seperti ucapan Bani Israil kepada [Nabi] Musa: “Pergilah kamu dan Tuhanmu lalu berperanglah kerana sesungguhnya di sinilah kami duduk [menunggu].” Akan tetapi berjalanlah [wahai Rasulullah] dan kami bersama anda.” Maka seakan-akan hal itu menjadikan Rasulullah berasa bahagia.”

(HR al-Bukhari, 4609)

Daripada Anas, beliau berkata: “Ketika hari [peperangan] Uhud, orang ramai terpukul mundur meninggalkan Nabi sementara Abu Talhah ada di hadapan Nabi melindungi baginda dengan perisainya. Adalah Abu Talhah merupakan seorang pemanah yang sangat kuat tarikan tangannya [terhadap panah], beliau pada hari itu telah mematahkan dua atau tiga anak panah. [Tiba-tiba] Ada seseorang yang lalu dan padanya terdapat wadah untuk meletak anak panah lalu baginda bersabda kepadanya: ‘Berikanlah ia kepada Abu Talhah!’ Lalu baginda menjengukkan kepala untuk melihat ke arah musuh maka Abu Talhah berkata: ‘Wahai Nabi Allah, saya menjadikan ayah dan ibu saya sebagai tebusan, janganlah anda menjengukkan kepala supaya panah musuh tidak mengenai anda. Biar leher saya [yang kena] jangan leher anda.’

(HR al-Bukhari, 3811 dan Muslim, 1811)

Daripada ‘Aisyah:

“Bahawa Rasulullah bersabda: ‘Seranglah Quraisy dengan syair kerana sesungguhnya ia lebih menyakitkan mereka daripada lontaran dengan anak panah.’ -sampai kepada ucapan ‘Aisyah-: Lalu saya mendengar Rasulullah bersabda kepada Hassan: Sesungguhnya Ruh al-Qudus sentiasa mendukungmu selama kamu membela Allah dan Rasul-Nya.” Saya mendengar Rasulullah bersabda: ‘Hassan telah menyerang mereka [dengan syair] maka dengan itu dia telah memuaskan [kaum mukminin] dan berasa puas.’ Hassan berkata: “Engkau telah menyerang Muhammad maka aku menjawab untuknya; Di sisi Allah ada ganjaran terhadap jawapan ini, Engkau telah menyerang Muhammad, seorang yang berbakti lagi bertakwa; Rasul Allah, keistimewaannya adalah menunaikan janji, Sesungguhnya bapaku, bapa kepada bapaku dan kehormatanku; Menjadi pelindung untuk Muhammad daripada kalian” al-hadith

(HR Muslim, 2490. Asal hadith ini diriwayatkan oleh al-Bukhari, 4141)

Daripada Abu Hurairah tentang kisah pembunuhan Khabib bin ‘Adi:

“… Ketika mereka keluar dari tanah haram untuk membunuhnya di tanah halal, Khabib berkata kepada mereka: ‘Biarkan aku solat dua rakaat dahulu.’ Maka mereka membiarkannya [solat], lalu beliau solat sebanyak dua rakaat kemudian berkata: ‘Kalau bukan kerana kalian akan menyangka bahawa aku berasa takut [untuk dibunuh] nescaya aku akan memanjangan lagi dua rakaat tersebut.’ Kemudian beliau berkata: ‘Ya Allah, hitunglah jumlah mereka semuanya [dan hancurkanlah mereka]; Tidaklah aku peduli tatkala aku dibunuh sebagai seorang muslim; di tempat mana pun. Kematianku hanyalah untuk Allah; yang demikian itu adalah demi Zat al-Ilah, sekiranya Dia menghendaki, Dia berkati sendi-sendi jasad yang terpotong-potong ini.” Kemudian Ibn al-Harith membunuhnya. Khabib adalah yang mensunnahkan solat dua rakaat bagi setiap muslim yang dibunuh dalam tawanan.”

(HR al-Bukhari, 3045)


Berpisah dengan Rasulullah adalah sebesar-besar kepayahan ke atas mereka. Daripada Abu Sa’id al-Khudri bahawa Rasulullah duduk di atas mimbar lalu bersabda:

“Sesungguhnya ada seorang hamba yang telah diberikan pilihan oleh Allah sama ada untuk diberikan kepadanya daripada perhiasan dunia apa sahaja yang dia kehendaki atau untuk mendapatkan apa yang ada di sisi-Nya, maka dia memilih untuk mendapatkan apa yang ada di sisi-Nya.” Lalu Abu Bakr menangis dan berkata: ‘Kami menjadikan bapa-bapa dan ibu-ibu kamu sebagai tebusan untuk anda.’ Maka kami berasa hairan kepadanya. Sebahagian orang berkata: ‘Lihatlah kepada orang tua itu, Rasulullah mengkhabarkan tentang seorang hamba yang diberikan pilihan oleh Allah sama ada untuk diberikan kepadanya daripada perhiasan dunia apa sahaja yang dia kehendaki atau untuk mendapatkan apa yang ada di sisi-Nya, lalu orang tua ini berkata: ‘Kami menjadikan bapa-bapa dan ibu-ibu kami sebagai tebusan untuk anda.’ Ternyata Rasulullah adalah hamba yang diberikan pilihan tersebut dan ternyata Abu Bakr adalah yang paling mengetahui di antara kami tentang baginda. Rasulullah bersabda: ‘Sesungguhnya orang yang paling banyak jasanya dalam persahabatan dan hartanya kepadaku adalah Abu Bakr. Kalau seandainya aku boleh mengambil seseorang dari kalangan umatku menjadi kekasih, nescaya aku akan mengambil Abu Bakr [sebagai kekasih]. Akan tetapi kasih sayang dalam Islam [itulah yang lebih afdal]. Tidak boleh ada di dalam masjid ini satu pintu pun kecuali pintu Abu Bakr [sahaja]’.”

(HR al-Bukhari, 3904 dan Muslim, 2382)

Daripada ‘Aisyah:

“Datang seorang lelaki kepada Nabi lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, demi Allah sesungguhnya anda lebih saya cintai berbanding diri saya sendiri. Dan sesungguhnya anda adalah lebih saya cintai berbanding isteri dan harta saya dan [anda] lebih saya cintai berbanding anak saya. Sesungguhnya ketika saya berada di rumah lalu saya teringat anda, maka saya tidak sabar sehinggalah saya mendatangi anda lalu melihat anda. Apabila saya mengingati kematian saya dan kematian anda, saya tahu bahawa anda apabila masuk ke dalam syurga akan diangkat bersama dengan para nabi sementara saya sekiranya masuk ke dalam syurga, saya khawatir tidak lagi dapat melihat anda.’

Maka Nabi tidak membalas apa-apa terhadap ucapannya tersebut sehinggalah Jibril turun dengan ayat ini:

“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. (An-Nisa’: 69) al-ayah.

(HR al-Thabrani di dalam “Al-Sagir” nombor 52. Hadith ini adalah hasan lighairih. Lihat “Al-Sahih al-Musnad Fi Asbab al-Nuzul” karangan Imam al-Wadi’i, h. 78-79).

Daripada Mu’adz bin Jabal, beliau berkata

“Tatkala Rasulullah mengutuskan Mu’adz ke Yaman, Rasulullah keluar bersamanya untuk memberikan wasiat dalam keadaan Mu’adz menaiki tunggangan sementara Rasulullah berjalan kaki di bawah tunggangannya. Setelah selesai, baginda bersabda: ‘Wahai Mu’adz, sesungguhnya kamu barangkali tidak akan berjumpa aku lagi setelah tahun ini. Barangkali kamu akan melintasi masjidku ini atau kuburanku.’ Maka Mu’adz menangis kerana sangat sedih untuk berpisah dengan Rasulullah . Kemudian baginda berpaling lalu menghadapkan wajah baginda ke arah Madinah dan bersabda: ‘Sesungguhnya yang paling dekat denganku adalah orang-orang yang bertakwa siapa pun mereka dan di mana pun mereka berada.’

(HR Imam Ahmad, 22052 dan dinilai sahih oleh Imam al-Wadi’i di dalam “Al-Sahih al-Musnad Min Ma Laisa fi al-Sahihain”, 1108)

Tidaklah mereka ditimpa suatu musibah yang lebih besar ke atas hati mereka berbanding [musibah] kewafatan Rasulullah. Daripada ‘Aisyah:

“Bahawa Rasulullah wafat sementara Abu Bakr berada di Sanh -berkata Isma’il (salah seorang perawi): ‘iaitu di dataran tinggi di Madinah’-. Maka ‘Umar bangkit dan berkata: ‘Demi Allah, Rasulullah tidak wafat.’ Kata ‘Aisyah: ‘Umar berkata: ‘Demi Allah tidak ada yang terdetik di dalam diriku kecuali itu. Pasti Allah akan membangkitkan baginda semula lalu baginda memotong tangan-tangan dan kaki-kaki mereka.’ Kemudian datanglah Abu Bakr lalu menyingkapkan kain dari wajah Rasulullah dan mengucup baginda seraya berkata: ‘Aku menjadikan ayah dan ibuku sebagai tebusan, sangat baik kehidupan dan kematianmu. Demi Dzat yang jiwaku ada di tangan-Nya, Allah pasti tidak akan merasakanmu kematian sebanyak dua kali selama-lamanya.’ Kemudian beliau keluar lalu berkata: ‘Wahai orang yang bersumpah, tenanglah dahulu.’ Maka tatkala Abu Bakr berbicara, ‘Umar pun duduk. Lalu Abu Bakr memuji Allah dan menyanjung-Nya lalu berkata: ‘Ketahuilah barangsiapa yang menyembah Muhammad, maka sesungguhnya Muhammad telah wafat. Dan barangsiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah itu Maha Hidup tidak mati. Allah berfirman: Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati. Dan Allah berfirman: Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.Maka orang ramai menangis penuh hiba.”

(HR al-Bukhari, 3667)

Di dalam riwayat yang lain daripada kisah Abu Bakr:

“… Lalu Abu Bakr menuju ke arah Nabi dalam keadaan baginda telah dikafan dengan kain hibarah (iaitu: sejenis kain bergaris dari Yaman) lalu beliau menyingkap wajah baginda kemudian memeluk dan mengucup baginda. Beliau berkata: ‘Aku menjadikan ayahku sebagai tebusan untuk anda wahai Nabi Allah, Allah sama sekali tidak akan menghimpunkan untuk anda dua kematian. Adapun kematian yang telah ditetapkan untuk anda maka sungguh anda telah merasainya.’

(HR al-Bukhari, 1241)

Di dalam riwayat yang lain daripada kisah Umar:

“Bahawa Umar berkata: ‘Demi Allah, tidaklah ia melainkan [setelah] aku mendengar Abu Bakr membacanya, lalu aku tersungkur jatuh sehingga kedua-dua kakiku tidak mampu menopangku dan sehingga aku terlempar ke tanah tatkala aku mendengar beliau membacanya, bahawa Nabi telah wafat.’”

(HR al-Bukhari 4454)

Daripada ‘Aisyah, beliau berkata:

“Pandangan mata baginda terangkat ke atas kemudian baginda bersabda: ‘(Susulkanlah diriku) bersama teman yang tertinggi.’ Sebanyak tiga kali. Kata ‘Aisyah: ‘Maka tidaklah kedua-dua khutbah mereka tersebut melainkan Allah telah memberikan manfaat dengannya. Sungguh ‘Umar telah menakut-nakuti manusia dan sesungguhnya di kalangan mereka itu benar-benar ada kemunafikan lalu Allah mengembalikan mereka [kepada kebenaran] dengan sebab itu. Kemudian sungguh Abu Bakr telah memperlihatkan manusia kepada petunjuk dan telah memperkenalkan kepada mereka kebenaran yang menjadi hujah ke atas mereka dan mereka semua keluar bersama beliau sambil membaca: ‘Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh)” sampai: “Orang-orang yang bersyukur’.”

HR al-Bukhari (3669-3670).

Daripada Anas, beliau berkata:

“Saya menyaksikan baginda pada hari di mana baginda masuk ke Madinah maka saya tidak melihat satu hari pun yang lebih indah dan bercahaya berbanding hari baginda masuk kepada kami. Saya juga telah menyaksikan hari di mana baginda wafat maka saya tidak melihat satu hari pun yang lebih buruk dan gelap berbanding hari baginda wafat.

(HR Ahmad, 14095 dengan sanad yang sahih).

Daripada Abu Hurairah daripada Nabi bahawa baginda bersabda:

“Sungguh benar-benar akan datang kepada salah seorang daripada kamu zaman di mana andaikata dia melihat aku lebih dia cintai daripada dia memiliki semisal keluarga dan hartanya.”

HR al-Bukhari (3589) dan Muslim (2364).

Maka wahai umat Islam! Di manakah kecemburuan kalian terhadap Rasulullah sementara kehormatan baginda telah dihinakan dan agama baginda telah dipersendakan dalam keadaan kamu berada dalam kerehatan di tengah-tengah makanan, minuman dan keluarga?!

Daripada Kharijah bin Zaid bin Thabit, daripada ayahnya, beliau berkata:

“Rasulullah telah mengutusku pada hari peperangan Uhud untuk aku mencari Sa’ad bin al-Rabi’, baginda berkata kepadaku: ‘Sekiranya kamu melihatnya maka sampaikanlah salamku kepadanya dan katakan kepadanya: ‘Rasulullah berkata kepada kamu: Bagaimana kamu mendapati dirimu?’ Maka mulailah aku berkeliling di tengah-tengah orang-orang yang telah dibunuh lalu aku menjumpainya dalam keadaan dia berada pada nafas yang terakhir dan padanya terdapat 70 pukulan berupa tusukan dengan tombak, tikaman dengan pedang dan hunjaman dengan anak panah. Lalu saya berkata kepadanya: ‘Wahai Sa’ad, sesungguhnya Rasulullah mengirimkan salam untuk kamu dan baginda berkata kepada kamu: ‘Khabarkanlah kepadaku bagaimana kamu mendapati dirimu?’ Kata Sa’ad: ‘Semoga keselamatan dicurahkan ke atas Rasulullah dan ke atas kamu. Katakanlah kepada baginda: ‘Wahai Rasulullah, saya mendapatkan bau syurga.’ Katakanlah kepada kaumku golongan Ansar: ‘Tidak ada uzur untuk kamu di sisi Allah sekiranya Rasulullah dicapai [oleh musuh] sementara di tengah-tengah kamu masih ada mata yang berkedip.’ Kemudian dia menghembuskan nafasnya yang terakhir, semoga Allah merahmatinya.”

HR al-Hakim di dalam “Al-Mustadrak”, (4906) dan al-Baihaqi melalui jalur beliau di dalam “Dalail al-Nubuwwah”, (1104).

Daripada Abdullah bin Abi Bakr bin Hazm:

“Bahawa Abu Khaithamah iaitu saudara Bani Salim pulang ke keluarganya pada hari yang panas terik beberapa hari selepas melakukan perjalanan bersama Rasulullah, lalu beliau dapati kedua-dua isteri beliau berada di dalam khemah milik mereka di dalam kebun. Masing-masing daripada mereka telah membersihkan khemahnya dan menyejukkan air untuk beliau di dalam khemah tersebut serta menyiapkan untuk beliau makanan di dalamnya. Tatkala beliau masuk, beliau berdiri di hadapan pintu kedua-dua khemah tersebut lalu beliau melihat kepada kedua-dua isteri beliau dan apa yang telah mereka persiapkan untuk beliau kemudian berkata: ‘Rasulullah berada di bawah panas terik, angin dan kepanasan sementara Abu Khaithamah berada di bawah naungan yang sejuk, air yang nyaman, makanan yang telah dihidang dan isteri yang cantik, di dalam hartanya dia menetap? Sungguh ini tidak adil!’ Kemudian beliau berkata: ‘Tidak demi Allah aku tidak akan masuk ke dalam khemah salah seorang daripada kamu sehinggalah aku menyusul dengan Rasulullah maka persiapkanlah bekalan untukku.’ Lalu mereka berdua persiapkan kemudian beliau mendatangkan kenderaan beliau lalu mengenderainya. Kemudian beliau keluar menyusuli Rasulullah sehinggalah beliau menjumpai baginda di Tabuk ketika baginda turun singgah di situ…” al-hadith.

HR al-Baihaqi di dalam “Dalail al-Nubuwwah”, (1978).

Maka wahai umat Islam! Sekiranya bukan kalian yang bangkit menolong Rasulullah maka selain kalian adalah lebih patut untuk tidak bangkit mengerjakannya.

Sekiranya kalian tidak menolong baginda maka Allah adalah pelindung baginda dan Dia-lah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.

Fadhilat al-Syaikh Soleh al-Fauzan حَفِظَهُ اللَّهُ berkata:

“Wajib ke atas kita semua umat Muhammad untuk menolong baginda, membela baginda, dan membantah ke atas orang-orang yang membenci [baginda] dengan seluruh kelompok mereka. Allah Maha Berkuasa untuk menolong Rasul-Nya dan sungguh Dia telah menolong baginda akan tetapi Dia memerintahkan kita untuk menolong baginda sebagai ujian dan dugaan untuk kita. Jika kita menolong baginda nescaya Allah memberikan ganjaran dan pahala kepada kita atas itu dan jika kita menelantarkan dan tidak menolong baginda maka sesungguhnya Allah tidak akan menolong kita, malah akan menghukum kita di dunia dan akhirat. Rasul tidaklah memerlukan kepada pertolongan kita kerana Allah telah menolong baginda. Firman Allah:

“Sesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu dari kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu.”

(QS: Al-Hijr, 15 : 95)

“Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia.”

(QS: Al-Ma’idah, 4 : 67)

Akan tetapi Allah memerintahkan kita untuk menolong baginda kerana maslahat kita sendiri, agar Dia memberikan pahala kepada kita dan sebagai ujian dan dugaan untuk kita: Adakah kita taat ataukah tidak taat? Adakah kita menjadi para pemberani, tidak peduli dan terpengaruh dengan celaan orang yang mencela ketika berada di jalan Allah, ataukah kita saling mengabaikan pertolongan kepada Nabi , takut kepada kaum musyrikin, takut kepada para penyembah berhala, takut kepada kaum Yahudi dan Nasrani dan terpengaruh dengan celaan orang yang mencela.
Inilah dia hikmah pada permintaan Allah kepada kita agar menolong Rasul-Nya . Kalau tidak, maka Allah Maha Berkuasa untuk menolong baginda. Firman Allah تَعَالَى:

“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: ‘Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.’ Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(QS: Al-Taubah, 9 : 40)

(Selesai nukilan daripada transkrip ceramah Syeikh Soleh al-Fauzan berjudul “Inna Kafainaka al-Mustahziin”, h. 6-7).