SURAT IMAM IBN BAZ TENTANG SURAT KHABAR AL-MASAA, MESIR TERKAIT CELAAN KEPADA NABI

Imam ‘Abdul ‘Aziz bin ‘Abdullah bin Baz r berkata:

Saya telah melihat apa yang disebarkan oleh akhbar ‘Saut al-Islam’ di Cairo menukilkan daripada surat khabar ‘Al-Masaa’, Mesir yang dikeluarkan pada 29 Januari lepas berupa kelancangan terhadap sisi yang tinggi dan kedudukan yang agung iaitulah kedudukan sayid dan imam kita: Muhammad bin ‘Abdillah -semoga selawat dan salam yang banyak dilimpahkan ke atas baginda, ahli keluarga baginda dan para sahabat baginda- dengan menggambarkan diri baginda sebagai seekor haiwan yang termasuk haiwan yang paling rendah iaitulah ayam jantan.


Seorang muslim tidaklah sangsi bahawa penggambaran yang seperti ini merupakan perbuatan kufur yang sangat jelas, penyelewengan yang sangat terang dan persendaan yang sangat nyata kepada kedudukan sayid bagi generasi yang pertama dan terakhir, utusan Rabb semesta alam dan pemimpin bagi golongan yang bercahaya wajah dan tangan mereka.

Sesungguhnya ia merupakan suatu kelancangan yang menyedihkan setiap muslim, melukakan hati setiap mukmin dan mengharuskan laknat, cercaan, kekekalan di dalam neraka, kemurkaan Al-‘Aziz (Yang Maha Perkasa) Al-Jabbar (Yang Maha Pemaksa), keluar daripada daerah Islam dan Iman kepada wilayah kesyirikan, kemunafikan dan kekufuran bagi orang yang menuturkannya atau meredainya.

Sungguh kitab Allah yang mulia telah berbicara tentang kufurnya orang yang mempersendakan Rasul yang agung, atau mempersendakan sesuatu daripada kitab Allah yang terang nyata dan syariat-Nya yang penuh bijaksana. Firman Allah z:

“Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya? Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman.”

Maka ayat yang mulia ini merupakan nas yang zahir dan keterangan yang pasti akan kufurnya orang yang mempersendakan Allah Yang Maha Agung atau Rasul-Nya yang mulia atau kitab-Nya yang terang.

Para ulama Islam di setiap masa dan tempat telah ijmak akan kufurnya orang yang mempersendakan Allah atau Rasul-Nya atau kitab-Nya atau sesuatu daripada agama ini. Mereka telah ijmak bahawa barangsiapa yang mempersendakan sesuatu daripada itu dalam keadaan dia pada asalnya seorang muslim, telah menjadi kafir murtad keluar daripada Islam, wajib dihukum bunuh berdasarkan sabda Rasul:

“Barangsiapa yang mengganti agamanya (agama Islam), maka bunuhlah dia.”

Termasuk di antara dalil-dalil yang sangat pasti tentang kufurnya orang yang mempersendakan Allah atau Rasul-Nya atau Kitab-Nya adalah bahawasanya:

Perbuatan mempersendakan itu sendiri adalah satu bentuk perendahan dan penghinaan kepada yang dipersendakan, sementara Allah سُبحَانَهُ, bagi-Nya segala sifat kesempurnaan. Kitab-Nya adalah termasuk daripada kalam-Nya sementara kalam-Nya adalah termasuk daripada kesempurnaan-Nya z. Rasul-Nya Muhammad s adalah makhluk yang paling sempurna, sayid mereka, penutup para rasul dan kekasih Tuhan semesta alam.

Oleh itu, barangsiapa yang mempersendakan Allah atau Rasul-Nya atau Kitab-Nya atau sesuatu daripada agama-Nya maka sungguh dia telah merendahkan dan menghina-Nya sementara perbuatan merendahkan sesuatu daripada hal itu dan menghinanya adalah sebuah kekufuran yang jelas, kemunafikan yang nyata,

permusuhan kepada Rabb semesta alam dan kekufuran kepada Rasul-Nya yang terpercaya. Ahli ilmu yang ramai telah menukilkan ijmak para ulama tentang kufurnya orang yang mencela Rasul yang mulia atau merendahkan baginda dan tentang wajibnya dia dihukum bunuh.

Imam Abu Bakr bin al-Mundzir r berkata:

“‘Awwam para ulama telah ijmak bahawa hukum had ke atas orang yang mencela Nabi s adalah dibunuh. Termasuk di antara yang berpendapat sedemikian: Malik, al-Laith, Ahmad, Ishak dan ia merupakan mazhab al-Syafi’i.” -selesai-

Perkataan beliau ‘Awwam, adalah bentuk ramai bagi perkataan ‘Ammah dan ‘Ammah di sini bermaksud jemaah. Maka yang dimaksudkan oleh beliau r ialah: Jemaah [yang terdiri daripada] para ulama semuanya telah ijmak tentang wajibnya menghukum bunuh orang yang mencela Nabi s.

Dan tidak ada keraguan bahawa celaan itu sendiri beraneka ragam dan tidak ada keraguan juga bahawa mempersendakan baginda s, merendahkan baginda dan menggambarkan diri baginda sebagai seekor haiwan yang hina adalah termasuk seburuk-buruk celaan dan sebesar-besar penghinaan maka orang yang melakukan hal itu adalah kafir, halal darah dan hartanya.

Al-Qadhi ‘Iyadh r berkata:

“Umat telah ijmak tentang hukuman bunuh ke atas orang yang merendahkan baginda dari kalangan muslimin dan orang yang mencela baginda.” -selesai-

Muhammad bin Sahnun, dari kalangan imam mazhab Maliki r berkata:

“Para ulama telah ijmak bahawa orang yang mencerca Nabi s dan orang yang merendahkan baginda adalah kafir. Telah datang ancaman kepadanya berupa azab Allah. Hukumannya di sisi umat ini adalah dibunuh. Barangsiapa yang ragu-ragu tentang kekufurannya dan seksaan untuknya maka dia juga telah kufur.” -selesai-

Syaikh al-Islam Abu al-‘Abbas Ibn Taimiyyah r berkata setelah beliau menukilkan pendapat-pendapat para ulama tentang orang yang mencerca Rasul dan merendahkan baginda di dalam kitab beliau: “Al-Sarim al-Maslul ‘ala Shatim al-Rasul”,

beliau berkata:

“Pendapat yang telah diteliti dalam hal ini ialah: Orang yang mencerca baginda, sekiranya dia sorang muslim, maka dia telah kafir [disebabkan cercaan itu] dan dihukum bunuh tanpa khilaf [di kalangan ulama] dan ia adalah mazhab para imam yang empat dan selain mereka.

Hanbal berkata:

‘Saya mendengar Abu ‘Abdillah berkata:

‘Barangsiapa yang mencerca Rasul atau merendahkan baginda, baik dia seorang muslim atau kafir, maka ke atasnya ditegakkan hukuman bunuh. Saya berpandangan untuk dia terus dibunuh tanpa perlu diminta taubat’.” -selesai-

Perkataan para ulama dalam bab ini adalah sangat banyak dan apa yang telah kami nukilkan daripada mereka sudah cukup bagi yang mahu mencari kebenaran.

Sungguh akhbar “Saut al-Islam al-Qahirah” telah mendapatkan taufik dalam bantahannya ke atas surat khabar ‘Al-Masaa’, Mesir terhadap apa yang ia lakukan berupa perbuatan memerangi Islam, jenayah yang sangat mengerikan dan kemungkaran yang sangat keji kepada hak Al-Mustafa dan syariat baginda. Bantahan tersebut disempurnakan dengan pimpinan ketua redaksi iaitu Syeikh Muhammad ‘Athiyyah Khamis dan sungguh beliau telah mengerjakan kebaikan yang sangat besar dengan mengingkari apa yang dilakukan oleh jurnal tersebut berupa kekufuran yang terang dan persendaan yang nyata kepada ketua para hamba Allah dan Rasul yang teragung. Beliau menyanggah para pemerintah Mesir dan meminta mereka untuk meletakkan hukum had terhadap fitnah ini. Silakan para pembaca melihat kepada beberapa ucapan beliau. Setelah menyebutkan ucapan terdahulu dalam membantah perkataan-perkataan keji yang ditulis oleh sebahagian akhbar berbayar, beliau وَفَّقَهُ اللَّهُ berkata:

‘Maka bukan sesuatu yang menghairankan setelah ini semua, untuk salah seorang wartawan surat khabar “Al-Masaa” dengan beraninya menyindir Rasulullah s dengan memaparkan baginda dalam bentuk karikatur pada edisinya keluaran 29 Januari yang lalu, kemudian dia melukis seorang individu yang berbadan ayam jantan dan menyebutkan keterangan di bawah gambar tersebut:

أهوه ده يا سيدي محمد أفندي اللي منجوز تسع

[Perkataan ini menggunakan loghat Mesir, intinya menyindir Nabi s yang memiliki sembilan orang isteri]

Dengan orang yang jahat sebegini, surat khabar tersebut menyebarkan gambar yang mengandungi sindiran kepada Rasulullah dan syariat Islam. Siapakah yang memiliki sembilan orang isteri selain Rasulullah s? Apakah urusannya telah sampai ke tahap boleh disebarkan lukisan-lukisan yang seperti ini di dalam akhbar harian yang dipimpin oleh parti ‘Al-Ittihad al-Qawmi’ (National Union) sehinggakan ejekan dan sindiran ditimpakan ke atas peribadi Rasulullah dan diberikan nama: “Muhammad Afandi” dan diisyaratkan kepada baginda dengan isyarat yang seperti ini?

Mengapakah si pemeriksa atau si pelukisnya memilih untuk menggunakan nama “Muhammad Afandi” secara zat dan tidak memilih [sebagai contohnya] Ali Afandi atau Sa’id Afandi atau apa jua nama yang lain? Dan kenapakah dia membatasinya dengan jumlah sembilan secara zat dan tidak meletakkan batasan [sebagai contohnya] tujuh belas atau sepuluh atau dua belas? Sesungguhnya kejahatan pelukisnya adalah jelas lagi nyata tidak perlu kepada takwilan dan pencarian uzur untuknya.

Sesungguhnya lukisan yang semisal ini, kalau seandainya ia disebarkan di dalam akhbar Inggeris atau akhbar Amerika atau akhbar Perancis atau bahkan akhbar Israel, nescaya dunia akan bergemuruh dan akan mengangkat senjata penetak untuk menyebarkan propaganda dan mencari populariti. Sekarang [lukisan tersebut] malah disebarkan di dalam salah satu surat khabar umat ini, lalu seluruh mata menjadi tertutup dan [penghinaan tersebut dibiarkan] berlalu begitu sahaja.

Termasuk di antara hal yang mendukacita dan menyakitkan ialah dengan berlakunya [penghinaan] ini di dalam akhbar-akhbar kita sendiri pada waktu di mana para musuh banyak mengambil kira perasaan kita sebagai umat Islam. Amerika dan Itali berhasrat untuk memproduksi filem tentang Rasulullah s lalu mereka kembali kepada masyaikh [Universiti] al-Azhar dan Universiti ‘Arabiyah untuk mengambil pandangan dan persetujuan mereka dalam segala apa yang berkaitan dengan filem tersebut berupa perbualannya, senario yang berlaku dan yang tidak berlaku padahal boleh sahaja kedua-dua negara tersebut menerbitkan filem itu sebagaimana yang mereka kehendaki dan sesuai dengan alur yang bertepatan dengan roh permusuhan mereka kepada kita. Inilah yang berlaku daripada musuh-musuh kita dan ini pula yang berlaku daripada anak-anak umat kita sendiri.

Sampai bilakah orang-orang yang bertanggungjawab mahu mendiamkan diri terhadap jurnal ini? Dan sampai bilakah kita anak-anak umat ini mahu berdiam diri? Adakah kita mahu menunggu sehingga para pengkhianat dan orang-orang yang melakukan kerosakan itu menggunakan kaedah berterus terang sebagai ganti daripada kaedah sindiran [dalam mencela Nabi s]? Adakah kita mahu menunggu sehingga Islam kita ini dipersendakan di jalanan dan laluan? Demi Allah sesungguhnya ini merupakan suatu fitnah yang sangat gelap yang dinyalakan oleh para pekerja yang jahil itu yang mana hal tersebut adalah pemberi peringatan akan malapetaka yang besar sekiranya tidak diletakkan hukuman had padanya.

Sesungguhnya kita tidak mampu lagi berdiam diri setelah adanya usaha yang tiada hentinya dalam memerangi Islam dan akhlak [yang mulia] serta usaha yang tiada hentinya dalam menyindir Rasulullah dan syariat baginda. Umat ini masih lagi mulia dengan agamanya, cemburu demi Rasul-Nya. Sekiranya surat khabar yang suka berlawak jenaka ini mahu mengumumkan peperangan, maka silakan ia mengumumkannya sebagaimana yang diingini akan tetapi [ketahuilah bahawa] kami tidak akan sekadar berdiri sambil menggenggamkan tangan semata-mata. Cukuplah!

Islam kami merupakan tanah air kami, kami tidak memiliki tanah air yang lain selainnya. Islam kami merupakan roh kami, kami tidak memiliki kehidupan yang lain selainnya. Islam kami merupakan rezeki kami, makanan dan minuman tidak memiliki nilai sedikit pun di sisi kami tanpanya. Islam kami merupakan segala sesuatu yang wujud di alam ini untuk kami. Saya mengucapkan ini mewakili lebih daripada 20 juta muslim daripada anak-anak bangsa yang mulia ini. Kami sedang menunggu penjelasan yang rasmi daripada parti “Al-Ittihad al-Qawmi” (National Union) dan apa yang ia perbuat bersama surat khabar ‘Al-Masaa’, para pelukisnya, orang-orang yang bertanggungjawab terhadapnya dan bersama liputan berita kita secara umum sehinggalah kita merasa tenang dengan masa depan agama kita. Allahu akbar, kemuliaan adalah milik Allah, Rasul-Nya dan kaum mukminin.’

Selesai ucapan Syeikh Muhammad ‘Athiyyah Khamis. Sungguh beliau telah berbuat baik, memberikan faedah dan terang-terangan menyatakan kebenaran, semoga Allah membalas beliau dengan kebaikan atas amalan tersebut, menambahkan untuk beliau hidayah dan taufik dan memperbanyak dari kalangan muslimin orang-orang semisal beliau yang [berani] secara terang-terangan menyatakan kebenaran di tengah-tengah mereka yang zalim lagi tercela.

Segala puji bagi Allah yang telah mewujudkan di Mesir, orang yang berani mengucapkan kebenaran dan berani secara terang-terangan membantah orang yang menyimpang darinya. Sekiranya apa yang beliau perbuat ini dapat menunjukkan kepada sesuatu perkara, maka ia hanyalah menunjukkan bahawa: ‘Masih banyak hal yang tersembunyi di pinggiran’ dan bahawa: ‘Masih ada sisa-sisa ketokohan di kalangan para pemuda’.

Tidak diragukan bahawa yang demikian itu merupakan di antara penjagaan Allah kepada agama-Nya dan perlindungan-Nya kepada penutup para nabi dan penghulu bagi orang-orang pilihan-Nya iaitu Muhammad s.

Sungguh Allah سُبحَانَهُ telah mengkhabarkan di dalam Kitab-Nya yang mulia tentang para musuh-Nya dari kalangan orang-orang kafir dan munafik bahawa mereka sememangnya gemar mempersenda dan mentertawakan para rasul dan kaum mukminin. Maka tidaklah menghairankan apabila orang-orang yang menguruskan surat khabar ‘Al-Masaa’ menempuh jalan para pemimpin mereka dari kalangan kaum musyrikin dan munafikin serta berjalan di atas manhaj (metodologi) mereka yang berbahaya dan jalan mereka yang tercela,

“Adakah mereka semua telah berpesan-pesan (dan mencapai kata sepakat) untuk melemparkan tuduhan itu ? Bahkan mereka semuanya adalah kaum yang melampaui batas.”

Firman Allah z:

“Sesungguhnya orang-orang yang derhaka, mereka selalu tertawakan orang-orang yang beriman ۞ Dan apabila orang-orang yang beriman lalu dekat mereka, mereka mengerling dan memejam celikkan mata sesama sendiri (mencemuhnya).”

Dan firman Allah z:

“Sesungguhnya ada sepuak diri hamba-hambaKu (di dunia dahulu) memohon kepadaKu dengan berkata: ‘Wahai Tuhan kami, kami telah beriman; oleh itu ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi rahmat.’ ۞ Maka kamu jadikan mereka ejek- ejekan sehingga ejek-ejekan kamu kepada mereka menyebabkan kamu lupa mengingati balasanKu, dan kamu pula sentiasa tertawakan mereka ۞ Sesungguhnya Aku membalas mereka pada hari ini (dengan sebaik-baik balasan) disebabkan kesabaran mereka; sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang berjaya.”

Dan firman Allah z tentang Rasul-Nya Nuh bersama kaumnya:

“Dan Nabi Nuh pun membuat bahtera itu, dan tiap-tiap kali sepuak dari kaumnya melalui tempat ia membina bahteranya, mereka mengejek-ejeknya. Nabi Nuh pun menjawab: ‘Jika kamu memandang kami bodoh (kerana membuat bahtera ini), maka sesungguhnya kami juga memandang kamu bodoh (kerana keingkaran kamu), sebagai (balasan) ejekan kamu. ۞ Maka kamu akan mengetahui siapakah yang akan didatangi azab yang menghinakannya di dunia, dan yang akan ditimpakan pula dengan azab yang kekal pada hari akhirat kelak.”

Dan firman Allah تَعَالَى:

“Orang-orang (munafik) yang mencela sebahagian dari orang-orang yang beriman mengenai sedekah-sedekah yang mereka berikan dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang tidak mendapatkan kecuali sekadar kemampuannya, serta mereka mengejek-ejeknya, – Allah akan membalas ejek-ejekan mereka, dan bagi mereka (disediakan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

Maka di dalam ayat-ayat yang jelas dan bukti-bukti yang nyata ini terdapat keterangan yang zahir dan hujah yang menang bahawa perbuatan mempersendakan para rasul dan kaum mukminin merupakan sifat orang-orang kafir, munafikin, musyrikin dan merupakan permusuhan mereka yang sangat nyata dan kekufuran mereka yang sangat zahir [terhadap Islam dan kaum muslimin].

Sungguh sebahagian orang yang menjadi pengelola akhbar di Cairo, Mesir pada zaman ini telah berakhlak dengan akhlak mereka (orang-orang kafir dan munafik), berjalan di atas jalan mereka dan menempuh manhaj mereka, maka mereka (para pengelola akhbar tersebut) akan mendapatkan hukum yang sama [seperti orang-orang kafir dan munafik] di dunia dan akhirat. Telah sabit daripada Al-Mustafa s bahawa baginda bersabda:

“Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka ia termasuk daripada kaum tersebut.”

Maka tidak ada keraguan bagi sesiapa yang memiliki sedikit bahagian daripada ilmu dan petunjuk bahawa barangsiapa yang menyerupakan Rasul s dengan sesuatu haiwan yang hina maka sungguh dia telah merendahkan baginda dan menghina baginda. Barangsiapa yang melakukan hal itu atau meredainya baik dia seorang hakim atau wartawan atau selain itu, maka sungguh dia telah kafir, mulhid, halal darah dan hartanya.

Di sini ada satu perkara besar yang selayaknya diberikan perhatian, iaitu: Apakah rahsia surat khabar ‘Al-Masaa’, Mesir dalam menyerupakan Rasul s dengan ayam jantan dan bukan haiwan-haiwan yang lain? Sungguh sebabnya sangat jelas bagi sesiapa yang meneliti.

Tidaklah ia melainkan upaya untuk menentang kenabian baginda, mengingkari risalah baginda dan membuat tuduhan bahawa baginda merupakan seorang yang sangat liar syahwat, yang tidak memiliki apa-apa matlamat melainkan untuk memuaskan keghairahan terhadap para wanita. Ini adalah kekufuran yang sangat keterlaluan, ejekan dan penghinaan yang sangat membuak-buak terhadap sisi yang agung dan kedudukan yang tinggi s.

Semoga laknat Allah menimpa sesiapa yang merendahkan baginda atau melemparkan kepada baginda suatu tuduhan yang baginda berlepas diri daripadanya.
Semoga Allah memerangi surat khabar ‘Al-Masaa’, Mesir dan para pengelolanya yang reda dengan ejekan ini. Betapa besarnya sikap lancang mereka dengan kebatilan dan betapa buruknya perbuatan mereka dengan penghinaan dan ejekan ini.

Sungguh Allah telah melindungi Rasul-Nya s dan telah memelihara baginda daripada apa yang diperkatakan oleh ahli batil dan dituduhkan oleh para pendusta itu kerana sungguh baginda merupakan seorang manusia yang paling berbudi luhur, paling setia kepada Allah, paling menasihati untuk para hamba-Nya, paling tinggi kemuliaannya, paling mulia jiwanya, paling kuat kesabarannya, paling menegakkan akan hak Allah dan penyampaian risalah-Nya, paling takut kepada Allah, paling bertakwa kepada-Nya dan paling zuhud dalam setiap apa yang mungkin mengotori kedudukan baginda yang agung atau yang mungkin menghalangi baginda daripada tugas jihad, nasihat dan tabligh (menyampaikan).

Tidaklah baginda berkahwin dengan para wanita melainkan seperti sunnah para rasul yang telah terdahulu daripada baginda sebagaimana yang Allah سُبحَانَهُ firmankan:

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul- rasul sebelummu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan”

Di dalam perkahwinan baginda dengan sembilan orang wanita terdapat banyak sekali hikmah dan rahsia yang indah serta maslahat yang agung. Antaranya: [Hal itu dapat] membantu memelihara kehormatan mereka dan dapat berbuat ihsan kepada mereka.

Antaranya: Supaya mereka dapat belajar daripada baginda s akan dasar-dasar syariat dan hukum-hakamnya serta mengajarkannya kepada manusia sepeninggal baginda sebagaimana yang sememangnya terjadi. Sungguh rumah setiap isteri baginda dahulunya telah menjadi madrasah bagi kaum muslimin dan muslimat. Mereka mendatanginya untuk belajar dan minum daripada mata air yang suci seteguk demi seteguk. Mereka bertanya kepada Ummahat al-Mukminin tentang kehidupan baginda s, budi pekerti baginda, akhlak baginda dan amalan baginda baik di dalam mahupun di luar rumah.

Antara maslahat perkahwinan baginda dengan ramai wanita ialah: [Hal itu dapat] melembutkan hati dan dapat saling membantu di atas kebaikan dan takwa, menyampaikan Al-Quran dan sunnah dengan perantaraan kerabat baginda dan orang-orang yang berhubungan dengan mereka. Itu kerana isteri-isteri baginda semuanya datang daripada kabilah yang berbagai-bagai. Hal itu sudah tentu dapat lebih memberikan kesan kepada kedudukan dakwah dan melembutkan hati serta dapat lebih memberikan manfaat untuk umat dan lebih sempurna dari sudut penyampaian dan pengajaran.

Antara maslahat lain dalam perkahwinan baginda dengan ramai wanita ialah: Hal itu dapat memberikan ketenangan dan kesenangan untuk baginda kerana Allah سُبحَانَهُ telah menjadikan diri baginda cintakan kepada para wanita dan wangi-wangian serta telah menjadikan penyejuk hati baginda pada ibadah solat. Telah sahih daripada baginda s bahawa baginda bersabda:

“Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasannya ialah wanita yang solehah.”

Sungguh Allah telah menjadikan fitrah kaum lelaki untuk cintakan para wanita dan cenderung kepada mereka. Dia telah menjadikan para wanita sebagai ketenangan bagi kaum lelaki sebagaimana firman-Nya z:

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berfikir.”

Allah telah memberikan kepada Nabi-Nya s di dalam hal itu berupa kesempurnaan kelelakian dan kekuatan untuk menguruskan hal ehwal para isteri dan hak-hak mereka, sesuatu yang tidak diberikan kepada ramai orang sebelum baginda.
Perkara ini bukanlah sesuatu yang layak diingkari ke atas para nabi s kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang paling sempurna kelelakiannya, yang paling menjaga kehormatan kemaluan dan yang paling menegakkan hak Allah dan hak para hamba-Nya.

Dahulu Nabi Daud juga memiliki isteri-isteri yang ramai demikian juga anak baginda, Nabi Allah Sulaiman bin Daud. Sungguh Allah telah memberikan kepada mereka berdua kekuatan untuk mendatangi isteri-isteri mereka berdua secara bergilir-gilir dan menegakkan hak-hak mereka. Lalu bagaimana hal ini dianggap ganjil bagi Nabi yang lebih afdal daripada mereka berdua dan lebih tinggi kedudukannya iaitulah Muhammad s untuk Allah menghalalkan bagi baginda sembilan orang wanita bersamaan dengan banyaknya maslahat yang terkandung di dalam hal tersebut yang telah berlalu sebahagiannya. Semuanya kembali kepada umat dengan kebaikan, ihsan dan manfaat yang menyeluruh.

Sungguh Allah telah mengkhususkan Nabi-Nya s dengan keistimewaan-keistimewaan yang agung dan memberikan kepada baginda sifat-sifat yang mulia maka Dia mengutuskan baginda kepada keseluruhan manusia, menjadikan baginda sebagai rahmat untuk semesta alam, memilih baginda menjadi kekasih-Nya sebagaimana Dia memilih Ibrahim menjadi kekasih-Nya, mengangkat kedudukan baginda pada syurga yang tertinggi iaitu Al-Wasilah, menjadikan baginda sebagai sayid bagi anak-anak Adam keseluruhannya, memberikan kepada baginda kedudukan yang terpuji (al-Maqam al-Mahmud) dan syafaat teragung (al-Syafa’ah al-‘Uzhma) pada hari kiamat kelak, memberikan pertolongan kepada baginda dengan menimpakan perasaan takut di dalam hati para musuh sejauh sebulan pejalanan, melapangkan dada baginda, mengampuni dosa baginda, meringankan beban baginda dan meninggikan penyebutan baginda sehingga tidaklah Dia سُبحَانَهُ disebut melainkan disebutkan juga baginda bersama-Nya sebagaimana di dalam khutbah, tasyahud, iqamat dan azan.

Keistimewaan dan budi pekerti baginda s adalah sangat banyak sekali. Lalu bagaimana setelah [penjelasan] ini semua, dengan beraninya surat khabar ‘Al-Masaa’, Mesir dan para pengelolanya mengejek baginda, menjatuhkan kemuliaan baginda dan menggambarkan baginda dengan haiwan yang termasuk daripada haiwan terhina dan terendah sebagai bentuk penghinaan yang melampau dan ejekan yang keterlaluan. Subhanallah, betapa besarnya kemuliaan-Nya. Allahu akbar, betapa luasnya kesabaran-Nya:

“Demikianlah Allah meteraikan hati orang-orang yang tidak mahu menerima jalan mengetahui (kebenaran).”

Tidaklah kekufuran yang jelas, kemunafikan yang terang, ejekan yang nyata kepada hamba Allah yang paling mulia yang dengannya Allah mengeluarkan para hamba daripada kegelapan menuju cahaya ini merupakan sesuatu yang ganjil untuk ia keluar daripada akhbar-akhbar lucah yang tidak memiliki rasa malu, suara kekufuran dan penyelewengan, mimbar kezaliman dan pencerobohan serta peperangan terhadap akhlak yang mulia dan seruan kepada akhlak yang keji lagi hina.

Bukanlah hal itu merupakan sesuatu yang ganjil bagi sebahagian pengelola akhbar-akhbar Cairo yang telah menjual diri mereka sendiri kepada syaitan dan berpaling daripada apa yang didatangkan oleh para rasul dan diturunkan dengan sebabnya Al-Quran. Mereka lebih memberikan perhatian kepada para firaun, orang-orang yang melakukan penyelewengan (ilhad) dan para penyembah salib. Mereka telah mempersiapkan sebahagian akhbar dan jurnal mereka untuk memerangi Islam, menghapuskan syiar-syiarnya yang agung, menyesatkan [manusia] dan membuat pengelabuan ke atas orang-orang yang lemah pandangannya dan dungu akalnya.

Kemudian saya katakan: Bukanlah ini sahaja jenayah akhbar-akhbar Cairo. Betapa banyaknya jenayah yang mereka lakukan. Betapa banyaknya kehinaan mereka. Betapa banyaknya perbuatan mereka yang boleh menjerumuskan kepada kekufuran dan membatalkan keislaman. Bukankah mereka ini yang mengumumkan di dalam akhbar-akhbar mereka akan seruan kepada ajaran sosialisme yang kafir dan ajaran komunisme merah yang mengandungi kezaliman kepada para hamba …”

(Majmu’ Fatawa al-Syaikh Ibn Baz, j. 6, h. 258-260)

Google trends: india hina nabi muhammad, kisah pendek nabi muhammad, hari lahir nabi muhammad 2022, kurniakanlah dapat melihat wajah mulia nabi muhammad, hari kelahiran nabi muhammad 2022, keturunan nabi muhammad, doa nabi muhammad kepada ibnu abbas, tema maulidur rasul 2022, keturunan nabi muhammadd ke-40, maulidur rasul 2022, pakcik nabi muhammad, cicit nabi muhammad, hina nabi muhammad, selawat maulidur rasul