BEBERAPA HAK RASULULLAH KE ATAS ORANG-ORANG YANG BERIMAN (BAHAGIAN 4)

YANG KELAPAN: Menghormati Ahli Keluarga Baginda

Sesungguhnya Allah telah memuliakan ahli keluarga Nabi s di dalam sejumlah ayat daripada Al-Quran, antaranya:

“Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah solat serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – wahai “Ahlul Bait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).

(QS: Al-Ahzab, 33 : 32-33)

Daripada Zaid bin Arqam r, beliau berkata:

“Rasulullah s berdiri di tengah-tengah kami pada suatu hari menyampaikan khutbah di sebuah mata air yang dinamakan Ghadir Khum di antara Mekah dan Madinah, lalu baginda memuji Allah dan menyanjungi-Nya serta memberikan nasihat dan peringatan. Kemudian baginda bersabda: ‘Amma ba’du, ketahuilah wahai sekalian manusia, tidaklah aku ini melainkan seorang manusia, sudah hampir kedatangan utusan Tuhanku lalu aku menyahut panggilannya. Aku meninggalkan untuk kamu semua dua perkara yang berat (thaqalain) iaitu: Yang pertama: Kitab Allah, di dalamnya terdapat petunjuk dan cahaya. Maka ambillah kitab Allah dan peganglah ia dengan erat.’ Baginda memberikan dorongan untuk berpegang teguh dengan kitab Allah dan memberikan semangat kepada orang ramai untuk itu, kemudian baginda bersabda: ‘Dan ahli keluargaku. Aku peringatkan kamu semua dengan nama Allah akan ahli keluargaku. Aku peringatkan kamu semua dengan nama Allah akan ahli keluargaku. Aku peringatkan kamu semua dengan nama Allah akan ahli keluargaku’.”

(HR Muslim, 2408)

Imam Ibn al-Uthaimin r berkata:

“Para isteri Nabi s merupakan isteri-isteri baginda di dunia dan akhirat dan sebagai ibu bagi kaum mukminin. Bagi mereka kehomatan dan pengagungan sesuai dengan kedudukan mereka sebagai isteri-isteri kepada penutup para Nabi.

Maka mereka semua adalah sebahagian daripada ahli keluarga baginda yang suci lagi disucikan, bersih lagi dibersihkan, bebas lagi dibebaskan daripada segala kejahatan yang mencacatkan maruah serta tempat tidur mereka kerana para wanita yang baik adalah untuk para lelaki yang baik, dan para lelaki yang baik adalah untuk para wanita yang baik pula.

Semoga Allah meredai mereka semua dan menjadikan mereka reda. Semoga selawat Allah dan salamnya dilimpahkan ke atas Nabi-Nya yang jujur lagi terpercaya.”

(Majmu’ al-Fatawa Wa Rasail, j. 36, h. 53)

Maka menghormati para isteri serta zuriat keturunan baginda adalah wajib. Barangsiapa yang mencaci salah seorang daripada mereka atau mencelanya, maka sungguh dia telah menyakiti Nabi s dan menentang Allah تَعَالَى.

Syaikh al-Islam r berkata:

“Puak Rafidhah melemparkan tuduhan kepada isteri-isteri para Nabi, ‘Aisyah dan isteri kepada Nabi Nuh bahawa mereka telah melakukan dosa yang keji, maka mereka (Rafidhah) telah mengganggu Nabi kita s dan selain baginda dari kalangan para Nabi dengan gangguan yang setara dengan gangguan kaum munafikin yang mendustakan para Rasul.”

(Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah, j. 4, h. 190)

Firman Allah تَعَالَى:

“Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang seperti ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.”

(QS: Al-Nur, 24 : 17)

Imam al-Qurthubi r berkata:

“Firman Allah تَعَالَى:

“Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang seperti ini selama-lamanya”,

Iaitu: Tentang ‘Aisyah kerana

‘perbuatan yang seperti itu’

tidaklah ia melainkan setanding dengan ucapan yang sedang dibicarakan tentangnya ini (iaitu: tentang ‘Aisyah), atau tentang orang yang berada pada martabat beliau dari kalangan para isteri Nabi s [yang lain] kerana di dalamnya mengandungi gangguan ke atas Rasululllah s pada maruah dan ahli keluarga baginda. Yang demikian itu adalah suatu kekufuran daripada pelakunya.”

-sampai kepada ucapan beliau-

“Orang-orang yang membawa berita dusta itu telah melemparkan kepada ‘Aisyah yang disucikan dengan tuduhan yang keji lalu Allah تَعَالَى membebaskan beliau [daripada tuduhan itu]. Oleh itu, barangsiapa yang mencela beliau dengan suatu celaan yang mana Allah telah membebaskan diri beliau daripadanya, maka adalah dia seorang yang mendustakan Allah. Barangsiapa yang mendustakan Allah maka dia telah kafir.”

(Al-Jami’ Li Ahkam al-Qur’an, j. 12, h. 205)

Firman Allah تَعَالَى:

“Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar; Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan. Pada hari itu Allah akan menyempurnakan untuk mereka balasan (azab seksa) yang berhak mereka mendapatnya, dan mereka pula akan mengetahui bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Adil, lagi nyata keadilanNya.”

(QS: Al-Nur, 24 : 23-25)

Imam Ibn Kathir r berkata:

“Ini adalah ancaman daripada Allah تَعَالَى ke atas mereka yang melemparkan tuduhan terhadap para wanita yang terpelihara, tidak terlintas [di benak mereka] untuk melakukan kekejian -secara amnya- lagi beriman. Maka ibu-ibu bagi kaum mukminin adalah lebih layak untuk masuk ke dalam sifat ini berbanding setiap wanita yang terpelihara, terutamanya wanita yang menjadi sebab turunnya ayat ini iaitulah ‘Aisyah binti al-Siddiq r.

Para ulama semuanya r telah ijmak bahawa barangsiapa yang mencela beliau setelah ini dan menuduh beliau dengan tuduhan yang mereka lemparkan itu setelah apa yang disebutkan di dalam ayat ini, maka sungguh dia telah kafir kerana dia telah menentang Al-Quran.

Adapun tentang para isteri Nabi yang lain [selain ‘Aisyah] maka terdapat dua pendapat, pendapat yang paling sahih ialah hukum mereka juga sama seperti beliau, wallahu a’lam.”

(Tafsir al-Qur’an al-‘Azhim, j. 6, h. 31-32)

Syaikh al-Islam r berkata tentang akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah:

“Dan mereka setia kepada para isteri Rasulullah s, ibu bagi orang-orang yang beriman dan mereka (Ahli Sunnah) beriman bahawa mereka semua adalah isteri-isteri baginda di akhirat terutama Khadijah r, ibu bagi kebanyakan anak-anak baginda, yang pertama sekali beriman kepada baginda dan yang selalu memberikan dukungan dalam urusan baginda. Beliau memiliki kedudukan yang tinggi di sisi baginda. Demikian juga al-Siddiqah binti al-Siddiq r yang disabdakan oleh Nabi tentangnya:

“Sesungguhnya keutamaan ‘Aisyah ke atas para wanita yang lain bagaikan keutamaan tharid ke atas seluruh makanan.”

Dan mereka (Ahli Sunnah) berlepas diri daripada jalan puak Rafidhah yang membenci para sahabat dan mencela mereka, demikian juga mereka berlepas diri daripada jalan puak Nawasib yang menyakiti ahli bait baik dengan ucapan mahupun perbuatan.”

(Majmu’ al-Fatawa, j. 3, h. 154)

YANG KESEMBILAN: Menghormati Para Sahabat Baginda

Sesungguhnya dalil-dalil tentang keutamaan para sahabat Rasulullah s adalah sangat banyak, antaranya: Firman Allah تَعَالَى:

“Nabi Muhammad ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat pada muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.”

(QS: Al-Fath, 48 : 29)

Dan firman Allah تَعَالَى:

“Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); Maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya.”

(QS: Al-Fath, 48 : 18)

Dan firman Allah تَعَالَى:

“(Pemberian itu hendaklah diuntukkan) kepada orang-orang fakir yang berhijrah, yang telah diusir keluar dari kampung halamannya dan harta bendanya (kerana berpegang teguh kepada ajaran Islam), untuk mencari limpah kurnia dari Allah dan keredaanNya, serta menolong (agama) Allah dan RasulNya; mereka itulah orang-orang yang benar (imannya dan amalnya). Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.”

(QS: Al-Hasyr, 59 : 8-9)

Dan firman Allah تَعَالَى:

“Maka kalau mereka beriman sebagaimana kamu beriman (dengan Kitab-kitab Allah dan Rasul-rasulnya), maka sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman) maka sesungguhnya mereka akan tinggal berkekalan dalam perbalahan dan permusuhan (dengan kamu); oleh itu (janganlah engkau khuatir wahai Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu (dan umatmu) dari kejahatan mereka; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(QS: Al-Baqarah, 2 : 137)

Dan firman Allah تَعَالَى:

“Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat),

Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”

(QS: Al-Taubah, 9 : 100)

Dan firman Allah تَعَالَى:

“Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.”

(QS: Al-Nisa’, 4 : 115)

Daripada al-Irbadh bin Sariyah r, beliau berkata:

“Rasulullah s pernah solat mengimami kami pada suatu hari, kemudian baginda berpaling menghadap kami lalu memberikan kepada kami nasihat yang sangat mendalam sehingga menitiskan air mata dan menggentarkan hati. Lalu berkata seseorang: ‘Wahai Rasulullah s, seakan-akan ini nasihat orang yang akan berpisah, maka apakah dia perjanjian yang anda ambil daripada kami?’

Baginda bersabda:

‘Aku mewasiatkan kamu semua untuk bertakwa kepada Allah, mendengar dan taat (kepada pemerintah) meskipun yang memerintah itu adalah seorang hamba Habsyah, kerana barangsiapa di antara kamu yang hidup sepeninggalku nanti, pasti dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka wajib ke atas kamu semua untuk berpegang dengan sunnahku dan sunnah para pengganti yang mendapatkan bimbingan dan petunjuk (Khulafa’ Al-Rasyidin Al-Mahdiyyin). Berpegang teguhlah dengannya dan gigitlah ia dengan gigi-gigi geraham kamu. Berjaga-jagalah kamu daripada setiap perkara yang baharu di dalam agama kerana sesungguhnya setiap perkara baharu di dalam agama itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu adalah kesesatan’.”

(HR Abu Daud, 4607 dan dinilai hasan oleh Imam al-Wadi’i di dalam “Al-Sahih al-Musnad”, 921).

Daripada Abu Qatadah r, beliau berkata bahawa Rasulullah s bersabda:

“Sekiranya mereka mentaati Abu Bakr dan ‘Umar, nescaya mereka akan mendapatkan bimbingan.”

(HR Muslim, 681)

Daripada Abu Musa r, beliau berkata:

“Kami pernah menunaikan solat Maghrib bersama Rasulullah s kemudian kami berkata: ‘Seandainya kita duduk sehingga kita dapat menunaikan solat Isyak bersama baginda, (nescaya itu lebih baik). Lalu kami pun duduk. Kemudian baginda keluar menemui kami lalu bersabda: ‘Kamu semua masih di sini?’ Kami berkata: ‘Wahai Rasulullah, kami telah menunaikan solat Maghrib bersama anda kemudian kami berkata: ‘Kalau seandainya kami duduk sehingga kami dapat menunaikan solat Isyak berama anda (nescaya yang demikian itu lebih baik).” Baginda bersabda: ‘Bagus apa yang kamu lakukan’ atau ‘Benar apa yang kamu lakukan.’ Kemudian baginda mengangkat kepala baginda ke langit -dan adalah baginda merupakan seorang yang selalu mengangkatkan kepala ke langit- lalu bersabda: ‘Bintang-bintang ialah penjaga bagi langit. Apabila bintang-bintang telah pergi, akan datang kepada langit apa yang dijanjikan kepadanya. Aku adalah penjaga bagi para sahabatku. Apabila aku telah pergi, akan datang kepada para sahabatku apa yang dijanjikan kepada mereka. Para sahabatku adalah penjaga bagi umatku. Apabila para sahabatku telah pergi, akan datang kepada umatku apa yang dijanjikan kepada mereka’.”

(HR Muslim, 2531)

Daripada ‘Abdullah bin Mas’ud, bahawa Nabi s bersabda:

“Sebaik-baik manusia ialah kurunku, kemudian yang setelah mereka, kemudian yang setelah mereka.”

(HR al-Bukhari, 2652 dan Muslim, 2533)

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r, beliau berkata bahawa Rasulullah s bersabda:

“Akan datang kepada manusia suatu zaman, di mana pada ketika itu diutuskan sebuah pasukan (untuk berperang) lalu mereka berkata: ‘Lihatlah, apakah didapati ada di kalangan kamu seseorang yang merupakan sahabat Nabi s?’ Lalu didapatkan orang itu maka mereka pun diberikan kemenangan disebabkannya. Kemudian diutuskan pula pasukan yang kedua, lalu mereka berkata: ‘Lihatlah, apakah ada di kalangan mereka seseorang yang pernah melihat para sahabat Nabi s?’ Maka mereka pun diberikan kemenangan disebabkannya. Kemudian diutuskan pula pasukan yang ketiga, lalu dikatakan: ‘Lihatlah, apakah kamu melihat ada di kalangan mereka seseorang yang pernah melihat orang yang pernah melihat para sahabat Nabi s?’ Kemudian diutuskan pula pasukan yang keempat lalu dikatakan: ‘Lihatlah, apakah kamu melihat ada di kalangan mereka seseorang yang pernah melihat orang yang pernah melihat orang yang pernah melihat sahabat Nabi s?’ Lalu didapatkan orang itu maka mereka diberikan kemenangan disebabkannya.”

(HR Muslim, 2532)

Sesungguhnya para sahabat r memiliki jasa yang besar ke atas umat ini.

Imam Ibn Kathir r berkata:

“Sungguh para sahabat r dari sisi keberanian, ketundukan kepada perintah Allah dan perlaksanaan apa yang diperintahkan oleh Allah kepada mereka, memiliki bahagian yang tidak pernah dimiliki oleh sesiapapun dari kalangan umat dan generasi yang telah berlalu sebelum mereka dan tidak pula dimiliki oleh sesiapapun dari kalangan orang-orang yang datang setelah mereka.

Kerana sesungguhnya mereka -dengan keberkatan Rasul, semoga selawat dan salam dilimpahkan ke atas baginda dan ketaatan mereka kepada baginda dalam apa yang baginda perintahkan kepada mereka-, telah membuka hati-hati serta wilayah-wilayah timur dan barat dalam jangka masa yang singkat bersamaan dengan sedikitnya jumlah mereka berbanding pasukan-pasukan yang ada di wilayah-wilayah yang lain seperti pasukan Romawi, Parsi, Turki, Slav, Barbar, Habsyah, puak berkulit hitam, orang-orang Koptik dan kelompok manusia yang lain.

Mereka (para sahabat) telah mengalahkan semuanya sehingga tinggi kalimah Allah, menang agama-Nya ke atas agama-agama yang lain dan terbentang luas kerajaan Islam di bahagian timur bumi ini dan di bahagian baratnya dalam jangka masa kurang daripada 30 tahun.

Semoga Allah meredai mereka semua dan menjadikan mereka semua reda serta menghimpunkan kita semua ke dalam rombongan mereka, sesungguhnya Dia Maha Pemurah lagi Maha Memberi.”

(Tafsir al-Qur’an al-‘Azhim, j. 4, h. 72)

Maka barangsiapa yang merendah-rendahkan mereka, atau mencela mereka, atau mencerca mereka maka sesungguhnya dia merupakan orang yang sesat bahkan kafir sebagaimana yang dikatakan oleh para ulama. Firman Allah تَعَالَى:

“Nabi Muhammad ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya.

Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat pada muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya.

(Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu.

(Muhammad, 48 : 29)

Imam Ibn Kathir r berkata:

“Daripada ayat ini, Imam Malik r -berdasarkan satu riwayat daripada beliau- menyatakan akan kafirnya puak Rafidhah yang membenci para sahabat. Beliau berkata:

‘Hal itu kerana mereka marah dan benci kepada para sahabat. Barangsiapa yang marah dan benci kepada para sahabat maka dia telah kafir berdasarkan ayat ini.’

Perkataan beliau ini telah dipersetujui oleh sekelompok ulama [yang lain].”

(Tafsir al-Qur’an al-‘Azhim, j. 7, h. 362)

Imam Ahmad bin Muhammad bin Hanbal r berkata:

“ … Maka barangsiapa yang mencela para sahabat Rasul s -atau salah seorang daripada mereka- atau merendah-rendahkan mereka atau mencerca mereka atau menyindir kekurangan mereka atau mencemarkan maruah salah seorang daripada mereka, maka dia merupakan seorang ahli bidaah (mubtadi’), Rafidhi yang jahat lagi menyelisihi [kebenaran]. Allah tidak akan menerima daripadanya amalan yang wajib mahupun amalan yang sunat.”

(Thabaqat al-Hanabilah, j. 1, h. 29)

Imam al-Qurtubi r berkata dalam menyebutkan kewajipan menghormati para sahabat:

“Kerana tidak ada khilaf tentang wajibnya menghormati mereka dan haramnya mencela mereka. Demikian juga tidak ada khilaf bahawa barangsiapa yang mengatakan para sahabat dahulunya berada di atas kekufuran atau kesesatan, maka dia telah kafir dan hendaklah dihukum bunuh kerana dia telah mengingkari sesuatu yang telah diketahui secara pasti daripada syariat ini. Dia telah mendustakan Allah dan Rasul-Nya dalam apa yang telah dikhabarkan oleh kedua-duanya tentang mereka.

Demikian juga hukum ke atas mereka yang menghukum kafir salah seorang khalifah yang empat atau menghukum sesat mereka. Adakah hukumnya seperti hukum orang yang murtad sehingga perlu diminta taubat daripadanya ataukah seperti hukum zindik sehingga tidak perlu diminta taubat daripadanya dan terus dihukum bunuh dalam segala keadaan? Hal ini termasuk antara perkara yang diperselisihkan.
Adapun orang yang mencela mereka dengan selain itu, maka sekiranya celaan tersebut dalam hal yang menuntut adanya hukuman had seperti tuduhan berzina maka harus ditegakkan hukuman had ke atasnya kemudian dihukum pula dengan hukuman yang keras seperti dipenjarakan, membiarkannya kekal di dalam penjara dan dihinakan. Kecuali tuduhan terhadap ‘Aisyah r kerana orang yang melemparkan tuduhan zina kepada beliau hendaklah dihukum bunuh kerana dia telah mendustakan apa yang datang di dalam Al-Quran dan sunnah berupa pembebasan beliau daripada tuduhan tersebut. Ini pendapat Imam Malik dan selain beliau …”

(Al-Mufhim, j. 11, h. 20)

Barangsiapa yang mencela para sahabat maka sungguh dia telah mencela Rasulullah s.

Syaikh al-Islam r berkata:

“Kerana sesungguhnya celaan terhadap generasi terbaik yang telah menemani Rasul merupakan celaan terhadap Rasul itu sendiri s sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Malik dan selain beliau dari kalangan imam ilmu:

‘Mereka telah mencela para sahabat Rasulullah r dan tidaklah mereka mencela para sahabat baginda melainkan supaya ada yang mengatakan:

‘Orang yang jahat akan mendapatkan sahabat-sahabat yang jahat. Kalau seandainya dia orang yang baik, nescaya sahabat-sahabatnya juga baik.’

Demikian juga para sahabat, merekalah yang membawa Al-Quran, Islam dan syariat-syariat Nabi s dan mereka jugalah yang menukilkan keutamaan-keutamaan ‘Ali dan selain beliau. Maka celaan kepada mereka menuntut untuk tidak dipercayai apa yang telah mereka nukilkan daripada agama ini . Maka pada ketika itu, tiadalah satu keutamaan pun yang sabit.”

(Majmu’ al-Fatawa, j. 4, h. 328-329)

Imam Ibn al-Qayyim r berkata:

“Adapun Rafidhah, maka celaan dan cercaan mereka adalah pada dasar yang kedua iaitu persaksian bahawa Muhammad Rasulullah s meskipun mereka menampakkan kesetiaan kepada ahli bait Rasul dan menampakkan kecintaan kepada mereka.

Berkata sekelompok ulama, antaranya Imam Malik bin Anas dan selain beliau:

‘Mereka itu ialah kaum yang ingin mencerca Rasulullah s namun hal itu tidak memungkinkan mereka melakukannya maka mereka mencerca para sahabat supaya ada yang berkata:
‘Dia (Muhammad) merupakan seorang yang jahat oleh itu dia memiliki sahabat-sahabat yang jahat juga. Kalau seandainya dia merupakan seorang yang baik, nescaya sahabat-sahabatnya juga baik-baik belaka.’

(Al-Sawa’iq al-Mursalah, j. 4, h. 1405)

Imam Ibn al-Uthaimin r berkata:

“Hakikatnya, sungguh celaan kepada para sahabat r sama sekali bukan semata-mata kecaman kepada para sahabat r sahaja bahkan ia adalah celaan kepada para sahabat, sekaligus kepada Nabi s, syariat baginda dan Zat Allah z.

Adapun celaan kepada para sahabat, maka hal itu jelas.

Adapun celaan kepada Rasulullah ss, maka itu kerana hal tersebut menggambarkan seakan-akan para sahabat baginda, orang-orang yang baginda percayai dan para pengganti setelah baginda merupakan di antara makhluk yang paling jahat. Dan di dalamnya terdapat celaan kepada Rasulullah s dari sudut yang lain iaitu mendustakan baginda terhadap apa yang baginda khabarkan tentang keutamaan dan kebaikan mereka.

Adapun celaan kepada syariat Allah, maka hal itu kerana yang menjadi perantara di antara kita dan Rasulullah s dalam menukilkan syariat ini adalah para sahabat. Apabila jatuh kejujuran (‘adalah) mereka, maka tidak tersisa lagi kepercayaan dalam apa yang mereka nukilkan daripada syariat ini.

Adapun celaan kepada Allah سُبحَانَهُ maka itu kerana hal tersebut menggambarkan seakan-akan Allah mengutuskan Nabi-Nya kepada sejahat-jahat makhluk dan memilih mereka untuk menemani baginda, memikul agama ini dan menukilkannya kepada umat baginda.

Maka lihatlah betapa besar malapetaka yang terkandung di dalam perbuatan mencela para sahabat r.

(Majmu’ Fatawa Wa Rasail Ibn ‘Uthaimin, j. 61, h. 78)

Google trends: india hina nabi muhammad, kisah pendek nabi muhammad, hari lahir nabi muhammad 2022, kurniakanlah dapat melihat wajah mulia nabi muhammad, hari kelahiran nabi muhammad 2022, keturunan nabi muhammad, doa nabi muhammad kepada ibnu abbas, tema maulidur rasul 2022, keturunan nabi muhammadd ke-40, maulidur rasul 2022, pakcik nabi muhammad, cicit nabi muhammad, hina nabi muhammad, selawat maulidur rasul