Sesungguhnya orang-orang kafir apabila mereka mencela Nabi maka tidak ada lagi perjanjian untuk mereka dan hendaklah mereka dihukum bunuh. Firman Allah تَعَالَى:

“Dan jika mereka mencabuli sumpah mereka sesudah mengikat perjanjian setia, dan mereka pula mencela agama kamu, maka perangilah ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin kaum yang kafir itu, kerana sesungguhnya mereka tidak menghormati sumpah janjinya, supaya mereka berhenti (dari kekufuran dan bertaubat).”

(QS: Al-Taubah, 9 : 12)

Imam al-Qurthubi berkata:

“Sebahagian ulama berdalilkan dengan ayat ini akan wajibnya menghukum bunuh setiap orang yang mencela agama [Islam] kerana dia telah kafir. Celaan itu ialah dengan menisbahkan sesuatu yang tidak layak kepada baginda atau menolak dengan cara menganggap remeh sesuatu yang merupakan sebahagian daripada agama ini yang telah sabit dengan dalil yang pasti akan kebenaran dasar-dasarnya dan kelurusan cabang-cabangnya.

Ibn al-Mundzir berkata:

“Keumuman ahli ilmu telah ijmak bahawa barangsiapa yang mencela Nabi maka baginya hukuman bunuh.” -selesai-

Antara yang berpendapat demikian ialah Malik, al-Laith, Ahmad, Ishak dan ia merupakan mazhab al-Syafi’i …”

-sampai kepada ucapan beliau-:

“Adapun kafir dzimmi, apabila dia mencela agama ini maka terbatallah perjanjiannya menurut pendapat yang masyhur di dalam mazhab Malik berdasarkan kepada firman Allah:

“Dan jika mereka mencabuli sumpah mereka…”

Maka Allah memerintahkan untuk menghukum bunuh dan memerangi mereka. Inilah mazhab al-Syafi’i.

Abu Hanifah berpendapat dalam hal ini bahawa hendaklah orang yang mencela Nabi diminta taubat kerana semata-mata celaan tidaklah membatalkan perjanjian kecuali jika disertai pelanggaran [janji], kerana Allah hanyalah memerintahkan untuk mereka dihukum bunuh apabila wujudnya dua syarat; yang pertama: Mereka membatalkan perjanjian dan yang kedua: Mereka mencela agama.

Kami katakan:

Sekiranya mereka melakukan sesuatu yang menyelisihi perjanjian maka terbatallah perjanjian mereka. Penyebutan dua pekara tersebut (iaitu: celaan kepada agama dan pelanggaran janji) tidak mengharuskan terhentinya peperangan kepada mereka melainkan setelah wujud kedua-duanya kerana semata-mata melanggar penjanjian telah membolehkan mereka diperangi berdasarkan akal dan syarak.

Maka takdir bagi ayat ini menurut kami ialah: ‘Sekiranya mereka melanggar perjanjian maka halal memerangi mereka. Dan sekiranya mereka tidak melanggar perjanjian akan tetapi mencela agama ini sambil memenuhi janji, maka halal juga memerangi mereka.’

-sampai kepada ucapan beliau-:

“Majoriti ulama berpendapat bahawa barangsiapa yang mencela Nabi dari kalangan ahli dzimmah, atau menyindir baginda atau meremehkan kedudukan baginda atau mensifati baginda dengan sesuatu yang tidak sampai ke tahap kufur, maka tetap dia dihukum bunuh kerana kita tidak memberikan kepadanya dzimmah atau perjanjian untuk itu. Kecuali Abu Hanifah, al-Thauri dan pengikut mereka berdua dari kalangan ahli Kufah yang berpendapat bahawa ia tidak dihukum bunuh kerana apa yang ada padanya berupa dosa syirik itu lebih besar [namun tidak sampai dihukum bunuh]. Akan tetapi hendaklah ia diadab dan dihukum dengan keras. Bantahan ke atas pendapat ini ialah firman Allah تَعَالَى:

“Dan jika mereka mencabuli sumpah mereka…”

Dan sebahagian ulama membantah pendapat tersebut dengan perintah baginda untuk membunuh Ka’ab bin al-Asyraf sedangkan dia merupakan seorang mu’ahad (kafir yang diberikan perjanjian damai).”

(Al-Jami’ Li Ahkam al-Qur’an, j. 8, h. 82-83)

Imam Ibn Kathir berkata:

“Allah تَعَالَى menyatakan bahawa sekiranya kaum musyrikin itu melanggar perjanjian yang telah kamu berikan kepada mereka dalam jangka masa tertentu dan mencela agama kamu, iaitu mengaibkannya dan merendahkannya. Dari sinilah diambil hukum bunuh ke atas orang yang mencela Rasul atau orang yang mencela agama Islam atau yang menyebutkannya dengan kekurangan. Oleh itu Allah berfirman:

“Maka perangilah ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin kaum yang kafir itu, kerana sesungguhnya mereka tidak menghormati sumpah janjinya, supaya mereka berhenti (dari kekufuran dan bertaubat).”

Iaitu: kembali daripada kekufuran, kedegilan dan kesesatan.”

(Tafsir al-Qur’an al-‘Azhim, j. 4, h. 116)

Di sana terdapat beberapa hadith yang menunjukkan kepada hukuman bunuh ke atas orang yang mencela atau merendahkan Nabi :

Hadith Pertama

“Daripada Jabir bin ‘Abdillah , beliau berkata bahawa Rasulullah bersabda: ‘Siapakah yang boleh menyelesaikan Ka’ab bin al-Asyraf? Kerana sesungguhnya dia telah mengganggu Allah dan Rasul-Nya.’ Kemudian bangunlah Muhammad bin Maslamah lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, apakah anda suka untuk saya membunuhnya?’ Baginda menjawab: ‘Ya.’ Dia berkata lagi: ‘Kalau begitu, izinkanlah saya untuk mengatakan beberapa perkara [kepada Ka’ab bin al-Asyraf].’ Baginda bersabda: ‘Katakanlah.’ Kemudian Muhammad bin Maslamah mendatangi Ka’ab bin al-Asyraf lalu berkata: ‘Sesungguhnya orang ini (iaitu: Nabi Muhammad) telah meminta daripada kami sedekah dan sesungguhnya dia telah membebankan kami. Maka saya datang kepada kamu untuk meminta pinjaman.’ Kata Ka’ab: ‘Dan juga -demi Allah- kamu semua telah berasa jemu dengannya.’ Kata Muhammad bin Maslamah: ‘Sesungguhnya kami telah mengikutinya maka kami tidak suka untuk meninggalkannya sehinggalah kami melihat apakah yang akan berlaku pada urusannya. Kami ingin untuk kamu meminjamkan kepada kami satu wasaq atau dua wasaq [kurma].’ Kata Ka’ab: ‘Boleh, berikanlah kepadaku satu barang cagaran.’ Mereka berkata: ‘Barang apakah yang kamu mahu?’ Kata Ka’ab: ‘Cagarlah kepadaku isteri-isteri kamu.’ Mereka berkata: ‘Bagaimana kami boleh mencagarkan kepada kamu isteri-isteri kami sedangkan kamu adalah orang arab yang paling tampan.’ Kata Ka’ab: ‘Kalau begitu cagarlah kepadaku anak-anak kamu.’ Mereka berkata: ‘Bagaimana kami boleh mencagar kepada kamu anak-anak kami, nanti mereka akan diejek dengan dikatakan kepada mereka: ‘Ini adalah budak yang dicagarkan dengan harga satu wasaq atau dua wasaq.’ Ini adalah aib yang besar bagi kami. Akan tetapi kami akan mencagarkan kepada kamu senjata.’ Kemudian Muhammad bin Maslamah berjanji kepada Ka’ab untuk mendatanginya. Lalu beliau datang kepadanya pada waktu malam dan bersamanya adalah Abu Nailah yang merupakan saudara susuan Ka’ab. Maka Ka’ab memanggil mereka untuk masuk ke dalam benteng lalu dia turun untuk bertemu dengan mereka kemudian isterinya berkata: ‘Ke manakah kamu hendak keluar pada waktu sebegini?’ Ka’ab berkata: ‘Mereka hanyalah Muhammad bin Maslamah dan saudaraku Abu Nailah.’ Isterinya berkata: ‘Saya mendengar suara seakan-akan ia adalah suara darah yang menitis daripada orang itu.’ Ka’ab berkata: ‘Mereka hanyalah saudaraku Muhammad bin Maslamah dan saudara susuanku Abu Nailah. Sesungguhnya orang yang mulia itu tetap akan menyahut panggilan di malam hari walaupun untuk ditusuk.’ Kemudian masuklah Muhammad bin Maslamah bersama dua orang lelaki [ke dalam benteng Ka’ab]. Dikatakan bahawa yang bersama dengan beliau adalah: Abu ‘Abs bin Jabr, al-Harith bin Aus dan ‘Abbad bin Bisyr. Muhammad bin Masalamah berkata kepada mereka: ‘Apabila Ka’ab datang, aku akan memegang rambutnya dan menghidunya. Maka apabila kamu semua melihat aku telah menguasai kepalanya maka hendaklah kamu pancung kepalanya.’ Kemudian Ka’ab turun bertemu mereka dengan mengenakan pakaiannya dalam keadaan semerbak harum baunya. Lalu Muhammad bin Maslamah berkata: ‘Aku tidak pernah melihat seperti hari ini, bau yang tersangat wangi.’ Ka’ab berkata: ‘Aku memiliki wanita arab yang paling wangi dan paling sempurna.’ Muhammad bin Maslamah berkata: ‘Apakah kamu mengizinkan aku untuk menghidu [keharuman kepalamu]?’ Ka’ab berkata: ‘Silakan.’ Lalu Muhammad bin Maslamah menghidunya dan menghidukannya kepada kawan-kawannya. Kemudian dia berkata lagi: Boleh aku hidu lagi?’ Ka’ab menjawab: ‘Boleh.’ Maka tatkala Muhammad bin Maslamah telah menguasai [kepala]nya, dia berkata: ‘Pancunglah dia.’ Setelah itu mereka membunuhnya kemudian mereka mendatangi Nabi lalu mengkhabarkan hal itu kepada baginda.”

(HR al-Bukhari, 4037 dan Muslim, 1801)

Syaikh al-Islam berkata:

“Pendalilan menggunakan kisah pembunuhan Ka’ab bin al-Asyraf adalah daripada dua sisi:

Pertama: Bahawa Ka’ab dahulunya adalah seorang kafir yang telah diberikan perjanjian damai dan hal ini tidak ada khilaf di kalangan ulama maghazi (peperangan) dan sirah dan ia di sisi mereka merupakan satu pengetahuan umum yang tidak memerlukan kepada penukilan khusus.

Termasuk di antara hal yang tidak ada keraguan padanya di sisi ahli ilmu ialah apa yang telah kami kedepankan sebelum ini bahawasanya Nabi tatkala baginda tiba di Madinah, baginda telah membuat perjanjian kepada seluruh kelompok Yahudi: Bani Qainuqa’, Bani al-Nadhir dan Bani Quraizhah. Kemudian Bani Qainuqa’ membatalkan perjanjian baginda lalu baginda memerangi mereka. Kemudian Ka’ab bin al-Asyraf daripada Bani al-Nadhir membatalkan perjanjian baginda dan ini nyata bahawa mereka dahulunya telah berdamai dengan Nabi.

Hanyalah mereka membatalkan perjanjian [damai] itu tatkala baginda keluar memohon bantuan mereka untuk membayar diat dua orang lelaki yang telah dibunuh oleh ‘Amru bin Umayyah al-Dhamri dan hal itu berlaku setelah pembunuhan Ka’ab bin al-Asyraf. Telah kami sebutkan riwayat khusus bahawa Ka’ab bin al-Asyraf dahulunya telah ada perjanjian damai dengan Nabi kemudian Nabi mengeluarkan hukum bahawa Ka’ab telah membatalkan perjanjian disebabkan syair celaan yang dia lemparkan kepada baginda dan gangguannya terhadap baginda dengan lisannya secara khusus.
Dan dalil yang menunjukkan bahawa Ka’ab telah membatalkan perjanjian hanya semata-mata hal itu (iaitu: semata-mata syair celaan dan gangguan dengan lisan) ialah sabda Nabi:

‘Siapakah yang boleh menyelesaikan Ka’ab bin al-Asyraf? Kerana sesungguhnya dia telah mengganggu Allah dan Rasul-Nya.’

Maka baginda mengasung manusia untuk membunuhnya disebabkan gangguannya kepada baginda. Gangguan yang mutlak ialah dengan lisan sebagaimana firman Allah تَعَالَى:

“Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu. Dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati.”

Dan firman Allah تَعَالَى:

“Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti (perasaan kamu dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas).”

Dan firman Allah:

“Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang- orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: “Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya).”

Dan firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi) yang telah mencaci Nabi Musa, lalu Allah membersihkannya dari segala cacian yang mereka katakan.”

Dan firman Allah:

Dan janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan Nabi.” -sampai kepada firman-Nya:- Dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah dan tidak boleh berkahwin dengan isteri- isterinya sesudah ia wafat selama-lamanya…”

Kemudian Allah menyebutkan selawat dan salam ke atas baginda sebagai bentuk pengkhabaran dan perintah dan hal itu termasuk daripada amal perbuatan lisan. Kemudian Allah berfirman:

“Sesungguhnya orang-orang yang mengganggu Allah dan Rasul-Nya … -sampai kepada firman-Nya:- … Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman.”

Dan sabda Nabi dalam apa yang baginda riwayatkan daripada Rabb-Nya:

“Anak Adam telah mengganggu-Ku. Dia mencela masa sedangkan Aku-lah (Pencipta) masa.”

Dan yang semisal ini adalah banyak.

Telah berlalu bahawa (الأَذَى) (gangguan) ialah kata nama bagi suatu kejahatan yang sedikit dan keburukan yang ringan berbeza dengan (الضَّرَرُ) (mudarat). Oleh itu lafaz (الأَذَى) (gangguan) diitlakkan kepada ucapan kerana ia pada hakikatnya tidak memudaratkan pihak yang diganggu.

Dan juga, baginda telah menjadikan mutlak gangguan kepada Allah تَعَالَى dan Rasul-Nya itu sebagai sesuatu yang mengharuskan pembunuhan ke atas seorang lelaki yang memiliki perjanjian. Telah diketahui bahawa cacian kepada Allah dan cacian kepada Rasul-Nya merupakan gangguan kepada Allah dan kepada Rasul-Nya. Dan apabila suatu sifat itu menyusuli suatu hukum dengan perantaraan huruf ‘faa’, maka ia menunjukkan bahawa sifat itu merupakan ‘illah (alasan) kepada hukum tersebut. Terlebih-lebih lagi apabila ia sememangnya munasabah.

Yang demikian itu menunjukkan bahawa Allah dan Rasul-Nya merupakan ‘illah terhadap dorongan kepada kaum muslimin untuk membunuh orang yang melakukan hal itu dari kalangan mereka yang memiliki perjanjian damai.

Ini merupakan dalil yang zahir akan terbatalnya perjanjian disebabkan gangguan kepada Allah dan Rasul-Nya sedangkan cacian itu adalah sebahagian daripada bentuk gangguan kepada Allah dan Rasul-Nya dengan kesepakatan kaum muslimin, bahkan ia adalah jenis gangguan yang paling khusus.

Dan juga, sungguh telah kami kedepankan pada hadith Jabir yang lalu, bahawa sebab pertama yang membatalkan perjanjian Ka’ab bin al-Asyraf adalah qasidahnya yang dibacakan setelah kepulangannya ke Madinah yang mana dengan qasidah itu dia menyerang Rasulullah dengan celaan. Dan Rasulullah tatkala diserang dengan qasidah ini, telah mendorong [kaum muslimin] untuk membunuhnya.

Ini sahaja sudah cukup menjadi dalil bahawa terbatalnya perjanjian Ka’ab bin al-Asyraf adalah disebabkan oleh serangannya dengan celaan [kepada Rasulullah] bukan dengan kepergiannya ke Mekah…”

(Al-Sarim al-Maslul, j. 1, h. 77)

Ini adalah bantahan ke atas orang yang mendakwa bahawa Ka’ab bin al-Asyraf tidaklah dibunuh hanya semata-mata kerana serangannya dengan syair celaan [kepada Rasulullah] tetapi kerana dorongannya kepada Quraisy untuk memerangi Rasulullah. Imam Ibn al-Qayyim rahimahullah telah menyebutkan syubhat ini kemudian beliau membantahnya ke atas orang yang mendakwa [demikian].

Imam Ibn al-Qayyim berkata:

“Telah terkumpul pada Ibn al-Asyraf itu beberapa dosa, antaranya: Dia meratapi [kematian] orang-orang Quraisy yang terbunuh, mendorong mereka untuk berperang dengan Nabi dan berkomplot bersama mereka untuk itu, membantu mereka untuk berperang dengan baginda dengan memberitahu bahawa agama mereka lebih baik daripada agama baginda, menyerang Nabi dan kaum muslimin dengan syair celaan.

Kami katakan:

Jawapannya dari beberapa sisi: Yang pertama: Bahawa Ka’ab ini dahulunya memiliki perjanjian damai dengan Nabi kemudian Nabi menghukuminya telah membatalkan perjanjian tersebut dengan syair-syair celaannya dan gangguan dengan lisannya [kepada baginda].

Yang kedua: Sungguh telah kami utarakan di dalam hadith Jabir bahawa sebab pertama yang membatalkan perjanjian damai dengannya ialah qasidah yang dia kumandangkan dalam rangka menyerang Rasulullah dan bahawa Rasulullah tatkala baginda diserang dengan qasidah tersebut, baginda mendorong [kaum muslimin] untuk membunuhnya…”

(Ahkam Ahl al-Dzimmah, h. 270)

Hadith Kedua

“Daripada al-Bara’ bin ‘Azib, beliau berkata: ‘Rasulullah mengutus beberapa orang lelaki dari kalangan Ansar kepada Abu Rafi’ al-Yahudi dan baginda melantik ‘Abdullah bin ‘Atik sebagai pemimpin [rombongan] mereka. Adalah Abu Rafi’ seorang yang selalu mengganggu Rasulullah dan memberikan bantuan [kepada orang lain] untuk mengganggu baginda. Dia berada di benteng miliknya di bumi Hijaz. Maka tatkala mereka sudah semakin mendekati benteng tersebut dalam keadaan matahari sudah pun terbenam dan manusia sudah pulang dengan haiwan ternakan mereka, berkatalah ‘Abdullah kepada sahabat-sahabatnya: ‘Duduklah di tempat kamu kerana sesungguhnya aku akan berangkat dan perlahan-lahan mendekati penjaga pintu itu barangkali aku dapat memasukinya.’ Maka beliau pun pergi sehinggalah mendekati pintu kemudian beliau menutupi kepala dengan baju seakan-akan sedang membuang hajat dalam keadaan orang ramai sudah masuk [ke dalam]. Ternyata penjaga pintu itu memanggil beliau: ‘“Wahai hamba Allah, kalau kamu hendak masuk maka masuklah [segera] kerana sesungguhnya aku hendak menutup pintu ini.’ Kata ‘Abdullah: ‘Maka saya pun masuk dan bersembunyi. Tatkala manusia semuanya telah masuk, penjaga itu menutup pintu kemudian menggantungkan kunci-kuncinya di atas sebuah batang kayu.’ Kata ‘Abdullah: ‘Maka saya bangkit menuju jambakan kunci tersebut dan mengambilnya lalu membuka pintu. Adalah Abu Rafi’ merupakan seorang yang mana orang ramai selalu bergadang di sisinya di dalam sebuah bilik yang agak tinggi. Maka tatkala orang-orang yang bergadang di tempatnya itu pergi meninggalkannya, saya pun naik [ke rumahnya]. Setiap kali saya membuka pintu, saya terus menutupinya dari dalam. Saya berkata [di dalam hati]: ‘Sekiranya mereka menyedari akan kedatanganku, nescaya mereka tidak akan dapat menangkapku sehinggalah aku membunuhnya.’ Maka saya pun sampai di tempatnya dan ternyata dia sedang berada di dalam sebuah bilik yang gelap di tengah-tengah keluarganya, saya tidak tahu di manakah dia dari sudut rumah tersebut. Lalu saya memanggil: ‘Wahai Abu Rafi’.’ Dia berkata: ‘Siapakah ini?’ Maka saya menuju ke arah suara tadi dan memukulnya dengan satu pukulan menggunakan pedang dalam keadaan saya terperanjat dan ternyata pukulan tersebut tidak mengena apa-apa. Lalu dia menjerit dan saya keluar dari rumah tersebut dan menunggu di tempat yang tidak jauh dari situ kemudian saya masuk kepadanya dan berkata: ‘Suara apakah ini wahai Abu Rafi’?’ Dia berkata: ‘Celakalah ibumu, sesungguhnya ada seorang lelaki di dalam rumah ini yang telah memukulku dengan pedang sebentar tadi.’ Kata ‘Abdullah: ‘Lalu saya memukulnya dengan satu pukulan yang melukakannya tetapi saya belum lagi [berjaya] membunuhnya. Kemudian saya menusukkan mata pedang ke dalam perutnya sehingga menembusi belakang badannya maka tahulah saya bahawa saya telah membunuhnya. Kemudian saya mula membuka pintu-pintu itu satu persatu sehinggalah saya sampai di tangga miliknya lalu saya meletakkan kaki saya dalam keadaan saya menyangka bahawa saya sudah memijak tanah, dan ternyata saya jatuh pada malam yang disinari [cahaya] rembulan sehingga patah betis saya maka saya membalutnya dengan serban. Kemudian saya berangkat sehingga saya duduk di atas pintu dan berkata: ‘Aku tidak akan keluar pada malam ini sehinggalah aku tahu bahawa aku telah membunuhnya.’ Maka tatkala ayam telah berkokok, bangkitlah penyampai berita kematian berdiri di atas tembok lalu berkata: ‘Saya mengumumkan berita kematian Abu Rafi’, pedagang ahli Hijaz!’ Kemudian saya berangkat menuju ke para sahabat saya lalu berkata: ‘Ayuh pergi! Sungguh Allah telah membunuh Abu Rafi’.’ Sehinggalah saya sampai kepada Nabi lalu mengkhabarkan kepada baginda lalu baginda bersabda: ‘Bentangkan kakimu.’ Lalu saya bentangkan kaki saya kemudian baginda mengusapnya maka seakan-akan saya tidak pernah merasakan kesakitan sama sekali.”

(HR al-Bukhari, 4039)

Syaikh al-Islam berkata:

“Termasuk di antara yang disebutkan bahawa dia telah dibunuh disebabkan gangguan kepada Nabi adalah Abu Rafi’ bin Abi al-Haqiq al-Yahudi dan kisahnya makruf dan telah tersebar luas di sisi para ulama.”

(Al-Sarim al-Maslul, j.1, h. 157)

Hadith Ketiga

“Daripada Ibn ‘Abbas: Bahawa ada seorang buta yang memiliki ‘umm al-walad’ (iaitu: hamba sahaya yang melahirkan anak untuk tuannya) yang selalu mencaci Nabi dan mencela baginda. Si buta itu telah melarangnya namun dia tidak mahu berhenti dan mengherdiknya namun dia tidak mahu tunduk. Kata Ibn ‘Abbas: ‘Pada suatu malam, mulailah wanita tersebut mencela Nabi dan mencaci baginda. Lalu lelaki buta itu mengambil sebilah pisau kemudian meletakkannya di perut wanita itu lalu bersandar padanya sehingga membunuhnya. Maka jatuhlah di antara kedua-dua kaki wanita itu seorang bayi berlumuran darah. Tatkala tiba waktu pagi, disebutkan hal itu kepada Nabi lalu baginda menghimpunkan manusia dan bersabda: ‘Aku meminta dengan nama Allah agar orang yang melakukan apa yang dia lakukan, -aku memiliki hak ke atasnya- untuk berdiri.’ Kata Ibn ‘Abbas: ‘Maka bangkitlah lelaki buta itu melangkah orang ramai dalam keadaan bergetar, sehinggalah dia duduk di hadapan Nabi lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, sayalah pemiliknya. Dia selalu mencaci dan mencela anda lalu saya melarangnya namun dia tidak berhenti dan saya mengherdiknya namun dia tidak peduli. Saya memiliki dua orang anak bagaikan dua biji permata daripadanya dan dia seorang yang berlemah lembut kepada saya. Malam tadi, mulailah dia mencaci dan mencela anda lalu saya mengambil sebilah pisau dan saya meletakkannya di atas perutnya, kemudian saya bersandar padanya sehingga membunuhnya.’ Maka Nabi bersabda: “Ketahuilah, persaksilanlah bahawa darahnya telah batal.”

(HR Abu Daud, 4361, al-Baihaqi di dalam “Al-Kubra”, j.7, h. 60, dan selain mereka berdua dan ia dinilai sahih oleh Imam al-Wadi’i di dalam “Al-Jami’ al-Sahih Min Ma Laisa fi al-Sahihain, 2170).

Al-Baihaqi berkata:

“Bab Keharusan Membunuh Orang Yang Mencaci Baginda Atau Menyerang Baginda Dengan Syair, Perempuan Atau Lelaki.”

(Al-Sunan al-Kubra, j. 7, h. 60)

Imam al-Syinqithi berkata:

“Ini menunjukkan bahawa barangsiapa yang mencaci Allah, mencaci agama, mencaci Rasul maka terbatal darahnya dan pembunuhnya tidak dihukum qisas.”

(Syarh Zad al-Mustaqni’, j. 14, h. 90)

Al-‘Allamah al-Mawardi berkata:

“Adapun mencaci Rasulullah maka ia termasuk perkara yang membatalkan ikatan perdamaian dan ikatan dzimmah. Demikian juga cacian kepada Al-Quran.”

(Al-Hawi fi Fiqh al-Syafi’i, j. 14, h. 383)

Ibn Syas -termasuk ulama mazhab Maliki- berkata:

“Sekiranya salah seorang daripada mereka menyindir Rasulullah atau selain baginda dari kalangan para nabi عَلَيهِمُ الصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ dengan celaan, maka wajib ke atasnya hukuman bunuh kecuali jika dia memeluk Islam.”

(Al-Taj wa al-Iklil li Mukhtasar Khalil, j. 5, h. 266)

Muhammad al-Khirasyi al-Maliki berkata:

“Demikian juga dihukum bunuh orang yang melaknat seorang nabi atau malaikat dengan cara perbuatan atau selainnya atau dia menginginkan kemudaratan menimpa seorang nabi atau mengaibkannya iaitu: Menyandarkan suatu keaiban kepadanya sementara apa yang disandarkan itu berlawanan dengan sesuatu yang dianggap baik secara akal atau secara syarak atau secara adat kebiasaan pada akhlak atau agama. Atau dia melemparkan tuduhan kepada seorang nabi dengan menyandarkannya kepada perbuatan zina atau dia menafikan nasab seorang nabi daripada ayahnya atau dia meremehkan haknya dengan berkata kepada orang yang menegurnya ‘Nabi melarang daripada melakukan kezaliman’: ‘Aku tidak peduli dengan larangannya.’ Atau [ucapan] yang semisal itu, atau dia mengubah sifat baginda seperti [mendakwa bahawa baginda seorang yang] hitam atau pendek atau yang semisal itu.

Demikian juga dihukum bunuh orang yang menyandarkan suatu kekurangan kepada seorang nabi atau malaikat dengan menyebutkan sesuatu yang menunjukkan kepada kekurangannya walaupun bukan pada badannya tetapi pada agamanya. Bahkan walaupun pada badan atau perwatakan baginda iaitu: Ciri-ciri khas dan tabiat baginda yang telah diciptakan baginda di atasnya. Atau dia mengurangi baginda daripada martabat baginda atau daripada banyaknya ilmu baginda atau kezuhudan baginda. Atau dia menyandarkan kepada baginda sesuatu yang tidak boleh [disandarkan] kepada baginda seperti tidak menyampaikan [risalah] atau dia menyandarkan kepada baginda sesuatu yang tidak layak dengan kedudukan baginda dengan cara mencela seperti menafikan daripada baginda sifat kezuhudan atau dia berkata: ‘Baginda bukan orang Mekah’ atau ‘bukan orang Hijaz’; kerana mensifati baginda dengan selain sifat baginda yang telah maklum adalah perbuatan menafikan dan mendustakan baginda. Ini semua adalah ijmak para ulama dan para imam agama dan fatwa sejak zaman sahabat sehinggalah setelah itu.

Demikian juga dihukum bunuh orang yang apabila dikatakan kepadanya: ‘Dengan hak Rasulullah’ lalu dia melaknat dan berkata: ‘Yang saya maksudkan dengan Rasulullah (utusan Allah) adalah kala jengking ini, kerana ia diutuskan kepada apa yang akan ia sengat.’ Tidak diterima daripadanya takwilan ini.

(Syarh Mukhtasar Khalil, j. 23, h. 138-139)

Imam al-San’ani berkata:

“Hadith ini adalah dalil bahawa dihukum bunuh orang yang mencela Nabi dan terbatal darahnya. Sekiranya dia seorang muslim, maka celaannya kepada baginda adalah kemurtadan maka hendaklah dia dihukum bunuh. Ibn Batthal berkata: ‘[iaitu] tanpa diminta taubat.’ Dinukilan oleh Ibn al-Mundzir daripada al-Auza’ie dan al-Laith bahawa ia diminta taubat. Sekiranya dia dari kalangan kafir yang memiliki perjanjian damai, maka dihukum bunuh kecuali jika dia memeluk Islam. Dinukilkan oleh Ibn al-Mundzir daripada al-Laith, al-Auza’ie, al-Syafi’i, Ahmad dan Ishak bahawa ia dihukum bunuh juga tanpa perlu meminta taubat sementara golongan al-Hanafiyyah (mazhab Hanafi) berpandangan bahawa kafir yang memiliki perjanjian damai hendaklah dipukul [sekiranya dia mencela Nabi] dan tidak dibunuh. Al-Thahawi berhujah dengan mengatakan bahawa baginda tidak membunuh si yahudi yang mengatakan:

‘kebinasaan ke atasmu’

Kalau seandainya hal tersebut keluar daripada seorang muslim, nescaya ia kemurtadan. Dan kerana apa yang mereka (orang-orang kafir) berada di atasnya berupa kekufuran adalah lebih berat berbanding celaan.

Saya katakan:

Yang mendukung [pendapat] ini adalah bahawasanya kekufuran mereka terhadap baginda membawa maksud bahawa baginda seorang yang sangat pendusta. Dan celaan apakah yang lebih keji daripada ini sementara mereka telah diakui untuk itu (iaitu diizinkan untuk menetap di negeri muslimin dalam keadaan mengkufuri dan mendustakan baginda). Kecuali barangkali boleh dijawab bahawa nas yang ada pada hadith hamba sahaya perempuan tadi diqiaskan padanya ahli dzimmah.

Adapun pandangan [yang mengatakan] bahawa darah mereka hanyalah dipelihara kerana adanya perjanjian damai sementara tidak ada pada perjanjian damai tersebut [persetujuan] bahawa mereka boleh mencela Nabi; maka barangsiapa yang mencela baginda dari kalangan mereka, terbatallah perjanjian damainya lalu dia menjadi kafir tanpa perjanjian, maka terbatal darahnya.

Pandangan ini dijawab:

Bahawasanya perjanjian mereka mengandungi pengakuan mereka mendustakan baginda dan ia adalah sebesar-besar celaan, kecuali barangkali boleh dikatakan: Pendustaan kepada baginda dikhususkan, tetapi celaan-celaan yang lain tidak. وَاللَّهُ أَعلَم.

(Subul al-Salam, j. 5, h. 480-481).

Ini adalah jawapan Imam al-San’ani kepada kemusykilan-kemusykilan yang ditimbulkan oleh para pengikut mazhab Hanafi. Akan datang juga jawapan-jawapan daripada para imam yang lain seperti berikut:

Syaikh al-Islam berkata:

“Sekiranya dikatakan: ‘Ahli dzimmah, telah kita akui mereka untuk terus berada di atas agama mereka dan termasuk daripada agama mereka adalah menghalalkan celaan kepada Nabi. Maka jika mereka mengucapkan [celaan] itu, mereka tidaklah mengucapkan selain daripada apa yang telah kita persetujui mereka terhadapnya.’ Inilah dia inti ucapan orang yang menyelisihi [dalam masalah ini].

Maka kita katakan:

Termasuk di antara agama mereka juga adalah menghalalkan peperangan ke atas kaum muslimin, merampas harta mereka dan memerangi mereka dengan segala cara, bersamaan dengan itu, tidak boleh bagi mereka untuk melakukan hal tersebut selepas adanya perjanjian. Apabila mereka melakukannya maka terbatallah perjanjian kerana meskipun kita akur untuk mereka tetap di atas apa yang mereka yakini dan menyembunyikan apa yang mereka sembunyikan, kita tidaklah akur untuk mereka menzahirkan hal itu dan berbicara dengannya di tengah-tengah kaum muslimin.

Kita tidaklah mengeluarkan dakwaan bahawa perjanjian orang yang mencela terbatal sehingga kita mendengarnya mengucapkan itu atau ia disaksikan oleh kaum muslimin. Apabila berlaku itu (iaitu kita mendengarnya sendiri atau disaksikan oleh muslim yang lain) bermakna dia telah menzahirkannya dan mengumumkannya. Jawapan yang benar: Bahawa dua ucapan yang telah lalu [penyebutannya] itu adalah batil.

Adapun ucapannya: ‘Telah kita akui mereka (ahli dzimmah) untuk terus berada di atas agama mereka..’,

Maka jawapannya:

Kalau seandainya kita mengakui mereka atas seluruh apa yang mereka beragama dengannya, nescaya mereka berada pada kedudukan saudara seagama mereka yang merupakan kafir harbi. Kalau seandainya kita mengakui mereka atas seluruh apa yang mereka beragama dengannya, nescaya mereka tidak akan dihukum kerana menzahirkan agama mereka dan menampakkan cercaan terhadap agama kita sementara tidak ada khilaf bahawa mereka dikenakan hukuman kalau melakukan hal itu.

Kalau seandainya kita mengakui mereka atas seluruh apa yang mereka beragama dengannya secara mutlak, nescaya kita akan akur kepada perbuatan mereka merobohkan masjid, membakar mushaf dan membunuh para ulama dan orang-orang soleh. Sesungguhnya apa yang mereka beragama dengannya yang mengganggu kaum muslimin itu banyak sementara suatu kesalahan [yang mereka lakukan] sekiranya ia disembunyikan, tidak akan membahayakan sesiapapun kecuali pelakunya sendiri.

Kemudian, tidak ada khilaf bahawa mereka tidak diakui terhadap semua yang disebutkan tadi. Hanyalah kita mengakui mereka -sebagaimana kata Gharfah bin al-Harith- bahawa kita membiarkan mereka melakukan sesama mereka apa yang mereka inginkan dengan tidak mengganggu kaum muslimin dan tidak membahayakan mereka. Kita tidak mengapa-apakan mereka dalam perkara yang tidak zahir kerana suatu kesalahan itu sekiranya disembunyikan, ia tidak akan membahayakan sesiapapun kecuali pelakunya sendiri. Akan tetapi sekiranya ia diumumkan lalu tidak diingkari, nescaya itu akan membahayakan masyarakat awam.

Kita mensyaratkan ke atas mereka untuk tidak melakukan apa-apa yang boleh mengganggu dan membahayakan kita, sama sahaja baik mereka menghalalkan itu atau tidak menghalalkannya. Apabila mereka mengganggu Allah dan Rasul-Nya, maka sungguh mereka telah membatalkan perjanjian. Kita mensyaratkan ke atas mereka untuk beriltizam dengan hukum Islam meskipun mereka memandang bahawa hal itu tidak lazim ke atas mereka di dalam agama mereka. Kita mensyaratkan ke atas mereka untuk membayar jizyah meskipun mereka berkeyakinan bahawa perbuatan mengambil jizyah daripada mereka adalah haram. Kita mensyaratkan ke atas mereka untuk menyembunyikan agama mereka maka tidak boleh mereka melantangkan suara [dalam membaca] kitab mereka, [ketika mengusung] jenazah-jenazah mereka dan tidak boleh juga memukul ‘naqus’. Kita mensyaratkan ke atas mereka untuk tidak meninggi terhadap kaum muslimin dan hendaklah gaya mereka menyelisihi gaya kaum muslimin pada sisi yang dapat dibezakan dan menjadi hina dalam perbezaan tersebut; dan selain itu daripada syarat-syarat yang mereka yakini ia tidak wajib ke atas mereka di dalam agama mereka.

Maka diketahuilah bahawa kita telah mensyaratkan ke atas mereka untuk meninggalkan banyak perkara yang mereka yakini sebagai agama bagi mereka, sama ada ia perkara yang harus atau wajib. Dan kita mensyaratkan ke atas mereka untuk melakukan banyak perkara yang mereka yakini ia bukan daripada agama mereka maka bagaimana kemudian dikatakan: ‘Kita akui mereka utuk terus berada di atas agama mereka secara mutlak?’.”

(Al-Sarim al-Maslul, j. 1, h. 245-246)

Imam al-Syaukani berkata:

“… Darah mereka tidaklah dipelihara melainkan dengan perjanjian damai sementara tidak ada di dalam perjanjian tersebut [persetujuan] bahawa boleh bagi mereka untuk mencela Nabi. Maka barangsiapa yang mencela baginda bermaksud dia telah melanggar perjanjian maka terbatallah perjanjian itu sehingga jadilah ia kafir yang tidak memiliki perjanjian, terbatal darahnya kecuali dengan dia memeluk Islam.

Yang mendukung [pendapat] ini adalah bahawa kalau seandainya segala apa yang mereka yakini tidak boleh dihukum disebabkannya, nescaya sekiranya mereka membunuh seorang muslim, tidak boleh dibalas bunuh terhadap mereka, kerana termasuk daripada keyakinan mereka adalah halalnya darah kaum muslimin. Bersamaan dengan itu, kalau salah seorang daripada mereka membunuh seorang muslim, nescaya dia dihukum bunuh.

Sekiranya dikatakan: ‘Hanyalah ia dibunuh disebabkan seorang muslim kerana hukuman qisas, dengan dalil dia dibunuh disebabkan itu. Kalau seandainya dia masuk Islam, meskipun dia mencela Nabi lalu baru masuk Islam, nescaya dia tidak dihukum bunuh.’

Kita katakan:

Perbezaan di antara kedua-dua perkara ini ialah: Pembunuhan kepada seorang muslim itu berkaitan dengan hak manusiawi maka darahnya tidak terbatal. Adapun celaan, maka kewajipan menghukum bunuh disebabkannya kembali kepada hak agama sehingga ia dapat digugurkan dengan pelakunya memeluk Islam. Yang zahir adalah bahawa meninggalkan hukuman bunuh kepada si yahudi (yang mengucapkan kepada baginda):

‘kebinasaan ke atasmu’

hanyalah demi maslahat melunakkan hati atau kerana mereka tidak mengumumkannya atau kerana kedua-dua [alasan] itu sekaligus dan ini [pandangan] yang lebih utama sebagaimana yang disebutkan oleh Al-Hafiz [Ibn Hajar].

(Nail al-Authar, j. 7, h. 209)

Ibn Hazm berkata:

“Maka telah kami renungkan makna yang dengannya diwajibkan pembunuhan ke atas kafir dzimmi jika dia mencela Allah تَعَالَى atau Rasul-Nya atau melakukan peremehan terhadap sesuatu daripada agama Islam, maka kami dapati hal itu kerana dia telah membatalkan jaminan keamanan [yang diberikan], kerana dia hanyalah diberikan jaminan keamanan dan dipelihara darahnya disebabkan dia membayar jizyah dalam keadaan hina. Firman Allah تَعَالَى:

“Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada hari akhirat, dan mereka pula tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah -sampai kepada firmannya:- Dengan keadaan taat dan merendah diri.”

Dan firman Allah تَعَالَى:

“Dan jika mereka mencabuli sumpahnya sesudah mengikat perjanjian setia, dan mereka pula mencela agama kamu, maka perangilah ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin kaum yang kafir itu…”

Maka kedua-dua ayat ini adalah nas yang sangat jelas yang tidak mengandungi takwil dalam menerangkan makna yang telah kami sebutkan iaitu bahawa Ahli Kitab diperangi dan dibunuh sehinggalah mereka memberikan jizyah. Dan jika mereka telah diberikan perjanjian damai dan telah sempurna perjanjian tersebut lalu mereka mencerca agama kita, maka sungguh mereka telah membatalkan perjanjian mereka sendiri dan telah melanggar sumpah perdamaian lalu hukum memerangi mereka kembali seperti sedia kala.

Berdasarkan kepastian pancaindera dan penyaksian tahulah kita bahawa sekiranya mereka mengumumkan celaan kepada Allah تَعَالَى atau celaan kepada Rasulullah atau sesuatu daripada agama Islam atau [mencela] seorang muslim dengan sesuatu yang melanggar kehormatan manusia; maka sungguh mereka telah berpisah daripada kehinaan [yang diwajibkan ke atas mereka] bahkan mereka yang telah menghinakan kita, merendahkan kita dan mencerca agama kita maka sungguh mereka telah melanggar perjanjian damai mereka disebabkan itu dan membatalkan jaminan keamanan mereka. Sekiranya mereka membatalkan jaminan keamanan mereka, maka sudah tentu menjadi halal darah mereka, tawanan mereka dan harta mereka.”

(Al-Muhalla, j. 11, h. 864-865)

Imam Ibn al-Qayyim berkata:

“Tiada keraguan bahawa barangsiapa yang menzahirkan celaan kepada Rasulullah dari kalangan ahli dzimmah, maka sungguh dia telah memarahkan kaum mukminin dan menyakiti mereka melebihi perbuatan menumpahkan darah sebahagian mereka dan merampas harta mereka; kerana sesungguhnya hal tersebut akan membangkitkan kemarahan kerana Allah dan semangat pembelaan untuk-Nya dan untuk Rasul-Nya.

Kadar ini, tidak ada yang dapat membangkitkan di dalam hati seorang mukmin kemarahan yang lebih besar daripada itu. Bahkan seorang mukmin yang lurus itu tidak akan marah dengan kemarahan yang sebegini melainkan kerana Allah dan Rasul-Nya. Allah suka untuk memuaskan hati orang-orang yang beriman dan menghilangkan kemarahan di dalam hati mereka. Hal itu hanya dapat dicapai dengan hukuman bunuh ke atas orang yang mencaci tersebut berdasarkan beberapa sisi:

Yang pertama: Bahawa [sekadar] hukuman pukul dan pengajaran [kalau ditimpakan ke atasnya] dapat menghilangkan kemarahan di dalam hati mereka sekiranya dia mencaci salah seorang dari kalangan muslimin. Kalau seandainya hukuman pukul dan pengajaran itu dapat menghilangkan kemarahan mereka sekiranya dia mencaci Rasul, bermakna kemarahan mereka apabila Nabi mereka dicela adalah sama seperti apabila salah seorang daripada mereka dicela. Ini suatu yang batil secara pasti.

Yang kedua: Bahawa cacian kepada baginda adalah lebih besar di sisi mereka (kaum mukminin) berbanding perbuatan menumpahkan darah sebahagian mereka kepada sebahagian yang lain. Kemudian, kalau seandainya salah seorang daripada mereka dibunuh, sudah tentu hati mereka tidak akan puas melainkan dengan dibunuh juga si pembunuh. Maka untuk hati mereka tidak merasa puas melainkan dengan dibunuhnya orang yang mencela baginda adalah lebih utama dan lebih layak lagi.

Yang ketiga: Bahawa Allah telah menjadikan pembunuhan ke atas mereka sebagai sebab dalam mendapatkan kepuasan hati sementara hukum asalnya adalah tidak ada sebab lain yang dapat menghasilkan kepuasan hati. Maka haruslah hukuman bunuh dan peperangan [ke atas] mereka merupakan perkara yang memuaskan hati kaum mukminin daripada perbuatan [celaan kepada Nabi] yang seperti itu.

Yang keempat: Bahawa Nabi ketika pembukaan kota Mekah dan baginda ingin untuk memuaskan hati Bani Khuza’ah -dan mereka adalah kaum mukminin- terhadap Bani Bakr yang telah memerangi mereka, baginda memberikan kepada mereka kesempatan untuk membalas serangan selama setengah hari atau lebih disertai jaminan keamanan baginda terhadap orang-orang lain [yang tidak ikut serta].
Kalau seandainya kepuasan hati mereka dan menghilangkan kemarahan di dalam hati mereka dapat dicapai tanpa peperangan ke atas golongan yang melanggar atau mencerca, sudah tentu baginda tidak akan melakukan yang demikian disertai jaminan keamanan baginda untuk orang-orang lain.

(Ahkam Ahl al-Dzimmah, j. 1, h. 262)

Ibn ‘Abd al-Barr berkata:

“Adapun kafir dzimmi, maka hendaklah dihukum bunuh sekiranya dia mencela Allah atau mencela Rasul-Nya kecuali sekiranya dia memeluk Islam. Ada yang berpandangan bahawa barangsiapa yang mencela Nabi hendaklah dihukum bunuh, sama ada muslim atau kafir dzimmi. Yang penting, kedua-dua pendapat ini telah diriwayatkan daripada Imam Malik, disebutkan oleh Ibn ‘Abd al-Hakim dan selainnya. Seharusnya diletakkan syarat ke atas seluruh kafir dzimmi di dalam perjanjiannya untuk tidak mencela Nabi secara terang-terangan di sisi sesiapapun dari kalangan muslimin. Jika dia melakukannya maka hendaklah dihukum bunuh kerana dia telah membatalkan perjanjian.”

(Al-Kafi, fi al-Fiqh Ahl al-Madinah)