SYARAHAN BAGI HADITH “ALLAH MELAKNAT 10 GOLONGAN KERANA ARAK”

Berkata Syaikh kami Al-‘Allamah Al-Nasih Al-Amin ketika mensyarahkan hadith Anas bin Malik daripada kitab Al-Jami’ Al-Sahih karangan Al-Imam Al-Wadi’i –semoga Allah merahmatinya-, beliau –semoga Allah menjaganya– berkata:

“Berkata Al-Imam Al-Tirmidzi (5/244):

“Telah mengkhabarkan kepada kami Abdullah bin Munir, dia berkata: Saya mendengar Abu ‘Asim daripada Syabib bin Bisyr daripada Anas bin Malik –radhiallahu ‘anhu– bahawa beliau berkata:

Maksudnya: «Rasulullah r telah melaknat sepuluh golongan kerana arak: Orang yang memerahnya, orang yang minta untuk diperahkan, orang yang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang minta dibawakan kepadanya, orang yang menuangnya, orang yang menjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang minta dibelikan untuknya.»

Berkata Abu Isa (iaitu Al-Imam Al-Tirmidzi): “Ini adalah hadith yang “gharib” daripada hadith Anas.

Berkata Abu Abdil Rahman (iaitu Al-Syaikh Muqbil Al-Wadi’i): “Ia adalah hadith yang hasan. Syabib bin Bisyr telah dinilai thiqah (terpercaya) oleh Ibnu Ma’in. Abu Hatim berkata mengenainya: dia adalah layyin al-hadith (iaitu yang kurang kedhabitannya), hadithnya adalah hadith para syuyukh (iaitu orang yang terdapat kekurangan pada hafalannya).

Maka yang nampak adalah bahawa hadith ini martabatnya tidak kurang daripada martabat hasan, wallahu a’lam.

Syarahan:

Sabda baginda «Orang yang memerahnya»: Baginda memulakan dengan orang yang memerah kerana dialah yang mula mengadakan musibah ini. Dia yang mempersiapkan (bahan-bahannya) dan memerahnya, maka baginda mulakan dengan orang yang memerahnya.

Sabda baginda «Orang yang minta untuk diperahkan»: Iaitu orang yang minta untuk diperahkan kerana mereka -iaitu tukang perah- dan orang yang minta untuk diperahkan, kedua-duanya saling tolong-menolong dalam membuat dan mengadakannya.

Sabda baginda «Orang yang meminumnya»: Baginda menyebutkan orang yang meminumnya setelah itu dan barangkali juga ini selepas orang yang membawa. Terkadang dia perah dan minum, terkadang dia perah dan jual. Dan kebiasaannya kamu dapati orang yang memerah arak, dia juga akan meminumnya. Oleh sebab itu didahulukan orang yang minum (di dalam hadith ini).

Sabda baginda «Orang yang membawanya»: Iaitu setelah dia minum, dia membawa dan menjualnya. Kebiasaanya kamu dapati orang yang menjual arak, dia juga meminumnya.

Sabda baginda «Orang yang menuangnya»: Apabila ia (arak-arak tersebut) sampai, barangkali ada yang akan meminta agar dituangkan untuknya sebahagian daripada arak tersebut. Maka orang yang menuangnya dilaknat, orang yang meminta untuk dituangkan juga dilaknat. Hanya saja perkataan “orang yang minta untuk dituangkannya” tidak disebutkan di dalam hadith kerana sudah memadai dengan kalimat “orang yang meminumnya” kerana seseorang itu apabila meminta dituangkan arak untuknya bermakna dia minum.

Sabda baginda «Orang yang menjualnya dan orang yang makan hasil jualannya»: Penjual arak itu terkadang dia menjual (arak tersebut) dalam keadaan dia tidak memakan hasil jualannya. Orang yang seperti ini juga dilaknat, sama sahaja baik dia memakan hasil jualan tersebut, atau membina rumah, atau membeli kenderaan atau berkahwin menggunakan hasil jualan arak tersebut. Penjual arak adalah dilaknat dalam setiap keadaan. Ditambah pula dengan dia membelanjakan dan memberi makan kepada orang lain daripada hasil jualan arak, maka semakin bertambahlah dosanya.

Persoalan: Sekiranya kamu mengetahui suatu harta itu adalah hasil daripada penjualan arak. Lalu datang seseorang kemudian menawarkan kepadamu sebahagian daripada harta tersebut, adakah boleh bagi kamu untuk mengambilnya?

Jawapan: Jangan kamu mengambilnya. Barangsiapa yang mengambilnya akan dilaknat, seperti orang yang memakan hasil riba sedangkan itu haram baginya. Begitu juga orang yang mengambil harta hasil daripada (penjualan) arak juga akan dilaknat. Yang memakan hasil jualan tersebut sama sahaja baik dia yang menjual atau orang lain yang menjual dalam keadaan dia tahu bahawa itu adalah hasil daripada penjualan arak.

Adapun sekiranya dia tidak tahu suatu harta itu bersumber daripada penjualan arak lalu ada seseorang yang memberikan kepadanya sedikit daripada harta tersebut dalam keadaan orang yang diberikan kepadanya harta itu tidak tahu dari mana sumber harta tersebut dan dia menyangka ianya halal lalu dia memakannya, maka orang yang seperti ini tidak dilaknat dan dia tidak masuk dalam sepuluh golongan yang disebutkan di dalam hadith tersebut kerana dia tidak dibebankan kecuali dengan apa yang dia ketahui.

Daripada sini dapat diambil kesimpulan bahawa orang-orang yang tinggal di negara-negara barat dan menjual arak dan khinzir kemudian mereka mengirimkan kepada kamu sedikit daripada harta tersebut yang bersumber daripada penjualan arak, maka janganlah kamu mengambilnya. Sekiranya kamu mengambilnya dalam keadaan kamu tahu dia bekerja di perusahaan arak kemudian kamu mengatakan bahawa kamu sedang menuntut ilmu dan dia memberikan sedikit perbelanjaan kepada kamu, dengan itu kamu telah menawarkan diri kamu untuk mendapatkan laknat.

Sabda baginda «Orang yang membelinya»: Orang yang membelinya walaupun dia tidak meminumnya adalah berdosa dan dilaknat. Walaupun dia pergi membelinya untuk diberi minum kepada orang-orang Nasrani, Yahudi dan golongan kafir yang lain, yang penting dia membelinya. Dia berkata: “Minumlah kamu semua para pekerja di syarikat sekian dan sekian” sekiranya dia merupakan pemilik sesebuah syarikat. Sebahagian pemilik syarikat memiliki para pemandu dan para pekerja yang kafir yang meletakkan syarat ke atas mereka untuk diberikan arak. Maka pemilik syarikat tersebut mengimport arak lalu memberikan kepada mereka untuk diminum sambil dia mengatakan kepada mereka bahawa “saya tidak minum arak”. Dia berkata demikian seakan-akan dia adalah seorang lelaki yang soleh pada ketika itu.

Begitu jugalah keadaan para pemilik hotel-hotel. Sebahagian daripada mereka memiliki para pekerja yang seperti ini dalam keadaan dia menyangka bahawa dia adalah seorang yang soleh, dia tidak minum tetapi sekadar memberikan kepada orang-orang kafir sahaja.

Bahkan telah sampai berita kepada kami bahawa orang-orang Amerika yang berada di Al-Khubar (sebuah daerah di wilayah timur Arab Saudi), biasa mengimport arak-arak mereka dengan pembiayaan orang-orang yang memanggil mereka. Mereka mengatakan importlah (arak-arak tersebut), selama para pekerja masih menginginkan arak maka importlah ia. Dalam keadaan mereka (iaitu pemilik-pemilik syarikat) tahu akan kemasukan arak kepada pekerja-pekerja tersebut dan mendiamkannya.

Ini merupakan satu kesalahan dan kemungkaran. Haram hukumnya bagi seseorang itu untuk membelinya, baik bertujuan untuk dia minum atau diberi minum kepada orang-orang kafir atau dia membelinya lalu dibuang di tengah jalan kecuali bertujuan untuk mengingkari maksiat tersebut. Seperti seseorang yang tidak dapat mengingkari kemungkaran ini melainkan dengan dia mengeluarkan sedikit wangnya demi merampas arak tersebut daripada orang ramai, lalu dengan itu dia mengingkari kemungkaran. Yang seperti ini, keadaannya adalah lebih ringan kerana tujuannya yang baik. Walaupun begitu, tetap kami menasihatinya untuk tidak membelinya sekalipun dengan tujuan untuk membuangnya kerana barangkali perbuatannya itu akan menjadikan dirinya mendapatkan laknat dan hartanya mendapatkan kerugian sedangkan dia tidak dibebankan untuk mengubah suatu kemungkaran dengan cara yang boleh mendatangkan kemudaratan kepadanya, maka janganlah sesekali dia membelinya.

Sabda baginda «Orang yang minta dibelikan untuknya»: Ini juga serupa dengan apa yang diucapkan tadi. Apabila dibelikan untuknya arak, baik dia minum ataupun tidak bahkan kalau dia memberi minum arak tersebut kepada keldai sekalipun tetap dia dilaknat sedangkan keldai yang meminumnya.

La ilaha illallah! Betapa banyaknya orang yang dilaknat kerana arak ini dari kalangan orang yang meminumnya, orang yang tidak meminumnya, orang yang tahu dan orang yang tidak tahu. Sepuluh golongan; yang memerah, yang minta untuk diperah, yang minum, yang membawa, yang dibawakan kepadanya, yang menuang, yang menjual, yang memakan hasil jualannya, yang membeli dan yang minta untuk dibelikan untuknya.

Tidaklah ini semua melainkan kerana dahsyatnya keharaman arak sehingga disekat semua pintu dan dipotong seluruh jalan yang boleh menyampaikan (manusia) kepadanya. Maka barangsiapa yang mendedahkan dirinya kepada sesuatu yang berkaitan dengan arak, menyebarkannya, mengiklankannya di tengah-tengah manusia, mengedarkannya atau mengumumkannya maka dia dilaknat. Yang wajib adalah menjauhkan diri daripada laknat dan sebab-sebab yang boleh menjerumuskan kepada laknat serta memberikan penekanan yang lebih tentang keharamannya disebabkan kemudaratan yang terdapat di dalamnya dan meluasnya penyebaran arak tersebut di tengah-tengah manusia.

Tidak mungkin untuk mereka berhenti daripada kemaksiatan ini melainkan dengan tegahan yang keras yang menjadikan mereka meninggalkan kemudaratan ini yang sangat keras ancamannya. Di antara kemudaratannya ialah:

  1. Ia merupakan amal perbuatan syaitan.
  • Ia menyebabkan timbulnya permusuhan dan kebencian di antara manusia.
  • Ia menghalang manusia daripada berzikir mengingati Allah.
  • Ia menghilangkan akal.
  • Ia boleh menyebabkan timbulnya pelbagai kemudaratan lain di tengah-tengah manusia yang hanya diketahui oleh Allah.

Firman Allah –subhanahu wata’ala-:

Maksudnya: (Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.) [Al-Maidah: 90]

(Di samping) firman Allah di dalam ayat di atas (bahawa arak itu) (kotor), ia juga najis dan kenajisannya adalah bersifat maknawi. Firman Allah: (maka jauhilah ia) barangsiapa yang meminumnya maka dia telah melanggar batasan-batasan Allah. Barangsiapa yang meminumnya, nescaya dia tidak akan beruntung. Betapa ramai manusia yang meminum arak tidak dapat membezakan di antara mahram dan isterinya.

Disebutkan juga tentang seorang peminum arak yang sampai ke tahap mengancam bunuh ibunya sendiri. Sama ada ibunya mahu membiarkan dirinya dikuasai atau kalau tidak demikian maka si anak akan membunuhnya dan membunuh dirinya sendiri. Maka ibunya membiarkan dirinya dikuasai. Apabila dia sedar daripada kemabukan tersebut, tahulah dia bahawa dia telah menyetubuhi ibunya sendiri lalu dia membunuh dirinya sebagai bentuk penyesalan terhadap apa yang telah dia lakukan dan terhadap jenayah yang telah dia langgar.

Apabila seseorang itu meminum arak, dia akan menjadi seorang yang tidak ada harga diri. Terkadang dia melemparkan dirinya di tempat-tempat sampah dan terkadang dia terhuyung-hayang di dinding-dinding bangunan dalam keadaan air liurnya mengalir sampai ke dadanya. Dia menjadi seorang insan yang tidak berakal dan melemparkan dirinya ke jurang kehinaan.

Sebahagian orang yang berbicara tentang hal ini telah menyebutkan di dalam rakaman-rakaman mereka bahawasanya dia terkadang sedar daripada kemabukan di tempat sampah bersama anjing-anjing dan di tengah-tengah kotoran dan sisa-sisa sampah. Lalu dia berusaha untuk membawa dirinya untuk pulang dan mengganti pakaian. Selang beberapa waktu, datang lagi keinginan untuk minum. Begitulah pahitnya kehidupan mereka. Orang yang sudah ketagih dengan arak, kehidupannya amat pahit.

Di dalam arak juga terdapat pelbagai penyakit yang boleh merosakkan hati walaupun setelah berlalu beberapa waktu. Begitu juga penyakit yang boleh merosakkan akal dan penyakit yang boleh menimbulkan kekejangan pada urat saraf walaupun setelah berlalu beberapa waktu. Arak boleh menyebabkan kerosakan terhadap urat-urat saraf. Termasuk di antara kemudaratannya terhadap badan juga adalah ia dapat menjadikan badan terasa lemah dan lesu. Apabila dia tidak meminumnya, dia akan merasakan kelemahan dan kelesuan. Kalaupun dia meminumnya sekalipun, dia akan merasa semangat buat sementara waktu sahaja kemudian dia akan mabuk.

Maka orang yang meminum arak telah menawarkan dirinya untuk tertimpa bala bencana yang sangat besar ke atas agama, dunia dan badannya. Mereka juga menyebutkan bahawa ada sebahagian orang apabila ia tidak mendapatkan arak -dalam keadaan dia sudah bertaubat daripada perbuatan meminum arak yang dahulunya dia minum dan ketagih dengannya kemudian setelah itu dia bertaubat dan menahan dirinya daripada perkara itu-, barangkali dia meminum petrol (sebagai ganti). Tidak boleh baginya untuk meminum petrol.

Dia mengatakan: “Ini adalah langkah mengambil kemudaratan yang lebih ringan, orang yang tidak meminum arak setelah dia ketagih dengannya sebelum ini, menuang minyak petrol lalu meminumnya.”  Ini juga di dalamnya terdapat bahan yang akan menyebabkan kemabukan. Kalau kamu menghidu bau petrol dalam keadaan kamu berada di dalam kereta sahaja sudah menjadikan kamu pening kepala maka bagaimana pula kalau ia diminum?

Oleh itu, tidak boleh ianya diminum. Apa sahaja yang memabukkan, ia adalah haram. Dan barangkali sebahagian daripada mereka meninggalkan semua itu dan berpindah pula kepada apa yang dinamakan sebagai bir yang telah dicampur dengan beberapa bahan campuran sebagai bentuk keringanan -setelah dia bertaubat-, atau mereka berpindah kepada minyak wangi (cologne). Ini juga tidak dibolehkan.

Taubat yang jujur, penggantinya adalah kembali kepada Allah –‘azza wajalla-. Bukanlah pengganti bagi arak yang murni adalah minuman-minuman yang menyerupai arak atau apa sahaja yang boleh memabukkan walaupun ia tidak dinamakan dengan arak. Arak itu adalah segala apa yang boleh menutupi akal. Maka yang seperti ini bukanlah taubat, ia tidak diterima dan pelakunya masih merupakan seorang peminum arak.

Dan bukanlah hidayah itu dari sisi ini. Bukanlah dia seorang yang mendapatkan petunjuk bahkan dia tetap seorang yang fasik dan durhaka. Begitu juga solatnya tidak diterima. Sekiranya dia menjadikan minyak wangi (cologne) sebagai pengganti daripada minuman yang haram tersebut, sebagai pengganti daripada arak tersebut -yang mana dia juga menjadi mabuk dengannya-, maka solatnya juga tidak diterima selama 40 hari.

Sekiranya dia meminum bir yang dicampur dengan bahan-bahan lain yang memabukkan, sekiranya dia meminum minyak petrol, sekiranya dia meminum segala sesuatu yang memabukkan maka itu adalah haram dan memudaratkan sama seperti arak juga.  Sekiranya dia meminum minyak petrol dan menjadi mabuk disebabkan itu (tetap ia dikira sebagai meminum arak) kerana yang dinamakan arak itu adalah segala sesuatu yang menutupi akal. Sekiranya dia menjadi mabuk disebabkan itu dan sampai menutupi akalnya, maka dia akan dilaknat.

google trends: #instafamousminumaraklangkawi #chivasregal #hukumpegangbotolarak #arakamornsupairi #todiarak #mimpiminumarak #wine air arak #hukumminumarak #botolarak #maksudarak #jenisarak #alkohol #pestaarak #mimpiminumarak #dadah #alcohol #kesanminumarak #artisminumarak #arakdanjudi #beer #hukumanminumarak