MUKADIMAH BUKU MEMBELA NABI MUHAMMAD DARIPADA EJEKAN ORANG-ORANG KAFIR DAN MURTAD

Segala puji bagi Allah Rabb semesta alam yang telah memudahkan penterjemahan sebuah kitab yang sangat bermanfaat karangan Syeikh dan guru kami; Abu Fairuz ‘Abdul Rahman bin Soekojo Al-Jawi -semoga Allah menjaga dan memelihara beliau- iaitulah kitab yang berjudul:

‘Herdikan Ke Atas Orang-Orang Kafir Dan Munafik Yang Mempersendakan Penghulu Para Rasul’

Kemudian diberikan judul bebas:

‘Membela Nabi Muhammad Daripada Ejekan Orang-Orang Kafir & Murtad’

Risalah ini sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Syeikh kami Abu Fairuz حَفِظَهُ اللَّهُ bahawa ia merupakan nasihat umum kepada kaum muslimin tentang:
1) Besarnya kenikmatan yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kita semua dengan diutuskannya Nabi kita Muhammad .

2) Peringatan akan besarnya hak baginda ke atas kita.

3) Penyebutan tentang hukum orang yang menghina dan mencela baginda  baik dari kalangan orang-orang Islam sendiri mahupun orang-orang kafir.

Risalah ini dibahagikan kepada 8 bab penting:

Bab Satu: Besarnya Nikmat Allah Ke Atas Para Hamba Dengan Diutuskan Nabi Muhammad .

Bab Dua: Sebahagian Daripada Hak Rasulullah  Ke Atas Orang- Orang Yang Beriman.

Bab Tiga: Hukum Seorang Muslim Apabila Mencela Rasulullah .

Bab Empat: Surat Imam Ibn Baz  Tentang Isu ‘Surat Khabar Al-Masaa, Mesir’.

Bab Lima: Buruknya Keadaan Orang-Orang Munafik Dan Orang-Orang Kafir.

Bab Enam: Apabila Orang Kafir Mencela Nabi .
Bab Tujuh: Besarnya Kecintaan Kaum Mukminin Kepada Allah Dan Rasulullah  Dan Pengorbanan Mereka Demi Allah Dan Rasul-Nya.

Bab Lapan: Jalan Yang Benar Dalam Menolong Agama.

Para pembaca akan melihat risalah ini sememangnya sarat dengan dalil-dalil daripada Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah  pada setiap perbahasan. Sesiapa yang biasa menelaah karya-karya Syeikh kami Abu Fairuz حَفِظَهُ اللَّهُ pasti akan mengetahui bagaimana beliau sangat memberikan perhatian kepada athar dan nukilan daripada ahli ilmu. Maka setiap perbahasan yang beliau sebutkan di dalam risalah ini juga tidak luput daripada nukilan-nukilan berharga daripada para ulama muslimin semisal:

Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah, Imam Ibn al-Qayyim, Imam al-Nawawi, Al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani, Imam Ibn ‘Abdil Barr, Imam Ibn Kathir, Imam al-Qurthubi, Imam al-Baghawi dan ramai lagi .

Ini menjadikan kita berasa lebih tenang ketika membaca perbahasan-perbahasan yang disebutkan oleh beliau حَفِظَهُ اللَّهُ. Imam Abu Nasr al-Sajzi  (Wafat: 444 H) dalam bantahan beliau ke atas kelompok Asya’irah berkata:

“Barangsiapa yang ingin selamat daripada mereka dan selamat daripada hawa nafsu maka hendaklah timbangannya: Al-Kitab dan athar dalam setiap apa yang dia dengar dan lihat.

Sekiranya dia merupakan orang yang mengetahui tentang kedua-dua perkara itu, maka hendaklah dia memaparkan [tindakannya] kepada kedua-duanya dan kepada ittiba’-nya terhadap jalan Salaf.

Dan janganlah dia menerima suatu pendapat daripada seseorang pun melainkan dengan dia meminta daripada orang itu untuk membuktikan kebenaran pendapatnya dengan ayat [Al-Quran] yang muhkamah (jelas), sunnah yang sabit atau ucapan sahabat melalui sanad yang sahih.”

(Risalah Ila Ahli Zabid Fi Al-Radd ‘Ala Man Ankara Al-Harf Wa Al-Saut, h. 360-361. Nukilan daripada risalah Thulu’ Al-Badrain karangan Syeikh kami Abu Fairuz al-Jawi, h. 74).

Semoga usaha ini menjadi pemberat timbangan amalan buat penulis, penterjemah dan seluruh mereka yang terlibat, walhamdu lillahi Rabb al-’alamin.

Wan Shahir Husairil bin Wan Perwira
Perlis, 2 Rajab 1443

google trends: india hina nabi muhammad, kisah pendek nabi muhammad, hari lahir nabi muhammad 2022, kurniakanlah dapat melihat wajah mulia nabi muhammad, hari kelahiran nabi muhammad 2022, keturunan nabi muhammad, doa nabi muhammad kepada ibnu abbas, tema maulidur rasul 2022, keturunan nabi muhammad ke-40, maulidur rasul 2022, pakcik nabi muhammad, cicit nabi muhammad, hina nabi muhammad, selawat maulidur rasul