Sesungguhnya termasuk di antara keistimewaan Islam adalah menjaga kesucian dengan cara menyaring agama ini daripada perkara-perkara batil. Allah c berfirman:

Maksudnya: (Dan demikianlah Kami terangkan ayat-ayat Al-Quran satu persatu dan dan supaya jelas pula jalan orang-orang yang berdosa.) [Al-An’am: 55]

Allah Yang Maha Agung Penyebutan-Nya telah berfirman menukilan ucapan orang yang telah Dia selamatkan daripada kecelaruan (syubhat) rakannya yang musyrik:

Maksudnya: (Dia berkata (kepada rakan-rakannya dari kalangan penghuni syurga): “Mahukah kamu semua untuk melihat-lihat (mencari rakanku yang kafir)?” Lalu dia memandang (ke arah neraka), dan dia melihat rakannya ada di tengah-tengah neraka Jahim. Dia berkata: “Demi Allah, sungguh nyaris-nyaris engkau menceburkan diriku ke dalam kebinasaan (seandainya aku mentaati dirimu). Kalau tidak kerana kenikmatan daripada Rabbku (dengan memberikan kepadaku hidayah keimanan), nescaya aku juga termasuk dari kalangan orang-orang yang dihadirkan ke dalam neraka”.) [Al-Saffat: 54-57]

Al-Imam Al-Hasan Al-Basri r berkata: “Wahai anak Adam, jagalah agamamu, peliharalah agamamu kerana sesungguhnya ia adalah darah dan dagingmu. Sekiranya kamu selamat, maka alangkah besarnya ketenteraman dan alangkah agungnya kenikmatan. Akan tetapi, sekiranya yang berlaku adalah selain itu (agamamu tidak selamat), maka kita berlindung kepada Allah, kerana yang ada hanyalah api yang tidak padam, batu yang tidak dingin dan jiwa yang tidak mati.” (Diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Firyabi di dalam “Sifatu Al-Munafiqin”/49/sanadnya sahih).

Al-Imam Ibnu Jum’ah r berkata: “… kerana Islam adalah agama kekekalan. Termasuk di antara tuntutan daripada kekekalannya -dan hanya ia satu-satunya yang benar- ialah dengan menetapkan segala hakikat, menolak segala pemikiran yang sesat atau akidah yang rosak yang tumbuh di tengah-tengah umat Islam atau aliran sesat yang dijauhi oleh akidah Islam, keyakinan-keyakinannya dan para pemeluknya serta berusaha untuk memperbanyakkan cahayanya di hati manusia seluruhnya dengan izin Allah c.” (“Idhah Al-Dalil ‘Ala Qath’i Hujaj Ahli Ta’thil”/10)

Sekiranya Ahlul Haq menjadi lemah dan malas dalam memperingatkan umat daripada keburukan, sudah tentulah Ahlul Batil akan bersemangat dalam menyebarluaskan kebatilan mereka, maka rosaklah agama umat ini. Allah c berfirman:

Maksudnya: (Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah memiliki kurnia (yang sentiasa Dia limpahkan kepada sekalian alam.) [Al-Baqarah: 251]

Al-Imam Ibnu Qutaibah r berkata: “Kebatilan hanya akan menjadi kuat sekiranya kamu melihatnya lalu kamu berdiam diri tentangnya.” (“Al-Ikhtilaf Fi Al-Lafzh”/Ibnu Qutaibah/61/Dar Al-Rayah).

Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah r berkata: “Setiap kali orang yang menegakkan cahaya kenabian lemah, maka akan menjadi kuatlah bid’ah.” (“Majmu’ Al-Fatawa”/3/104)

Al-Imam Ibnu Baz r berkata: “Hanyalah Ahlul Bathil bekerja dan bersemangat tatkala tersembunyinya ilmu dan berleluasanya kejahilan serta kosongnya lapangan daripada orang yang menyebutkan firman Allah dan sabda Rasulullah. Apabila itu terjadi, maka mereka (Ahlul Bathil) pun akan menjadi berani dalam menentang lawannya dan menjadi bersemangat dalam (melakukan) kebatilan mereka disebabkan tidak adanya orang yang mereka takuti dari kalangan Ahlul Haq dan Iman serta Ahlul Bashirah.” (“Majmu’ Fatawa Wa Maqalat Ibnu Baz”/4/75/Dar Al-Sida’ Al-Mujtama’)

Al-Syaikh Al-‘Allamah Muhammad Al-Basyir Al-Ibrahimi r berkata: “Kewajipan orang alim dalam agama ini adalah untuk bersemangat dalam memberikan petunjuk setiap kali kesesatan itu bersemangat. (Wajib ke atasnya) untuk bersegera dalam menolong kebenaran setiap kali dia melihat kebatilan sedang melawannya. (Wajib ke atasnya) untuk menyerang perkara-perkara bid’ah, kejahatan dan kerosakan sebelum ia menjadi semakin kuat dan memuncak. (Wajib ke atasnya untuk melakukan itu semua) sebelum manusia terbiasa dengannya lalu ia meresap ke dalam hati-hati mereka sehingga menjadi susah untuk dicabut. Oleh itu, wajib ke atas seorang alim untuk terjun ke tengah-tengah lapangan sebagai seorang mujahid. Janganlah dia menjadi orang yang tertinggal di belakang dan sekadar berehat-rehat sahaja. Hendaklah dia juga melakukan sepertimana yang dilakukan oleh doktor-doktor yang memberikan nasihat di tempat-tempat yang tertimpa wabak penyakit dalam rangka menyelamatkan manusia dan menyedarkan orang-orang yang berada dalam kesalahan. Bukan bermaksud agar dia berjalan bersama mereka, akan tetapi hendaklah dia berusaha untuk membubarkan perkumpulan mereka yang berada di atas kesalahan tersebut.” (“Al-Athar”/karya beliau/4/110-111 sebagaimana di dalam kitab “Al-Shawarif ‘An Al-Haq”/143/Dar Al-Imam Ahmad).

Para Singa Allah seharusnya berani untuk menolong agama Allah dan bertawakkal kepada-Nya di jalan-Nya. Allah c berfirman:

Maksudnya: (Orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah dan mereka takut kepada-Nya dan tidak takut kepada sesuatu apapun kecuali kepada Allah dan cukuplah Allah sebagai Penolong.) [Al-Ahzab: 39]

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri t, beliau berkata bahawa Nabi g bersabda:

Maksudnya: «Janganlah sesekali perasaan takut kepada manusia menghalang salah seorang dari kamu untuk bercakap benar apabila dia melihat atau mengetahuinya.»

[HR. Al-Imam Ahmad (11421) dengan sanad yang sahih, disahihkan oleh Al-Imam Al-Albani di dalam “Al-Sahihah” (168) dan Al-Imam Al-Wadi’i di dalam “Al-Sahih Al-Musnad” (414)].

Melarikan diri daripada kematian adalah suatu perbuatan yang tidak bermanfaat. Maju ke hadapan untuk menolong agama Allah tidak akan menyegerakan datangnya kematian. Allah c berfirman:

Maksudnya: (Katakanlah: “Kalaulah kamu melarikan diri dari kematian atau dari pembunuhan maka perbuatan melarikan diri itu tidak sekali-kali mendatangkan faedah kepada kamu; dan kalaulah kamu pada hari ini terlepas sekalipun, maka kamu tidak juga akan menikmati kesenangan hidup melainkan sedikit masa sahaja”.

Katakanlah: “Siapakah yang dapat melindungi kamu daripada Allah sekiranya Allah berkehendak untuk menimpakan keburukan ke atas kamu atau Allah berkehendak untuk memberikan rahmat kepada kamu?” Mereka tidak akan mendapatkan pelindung ataupun penolong bagi diri mereka selain Allah.) [Al-Ahzab: 16-17]

Maka wahai orang-orang yang beriman, juallah diri-diri kamu demi menolong agama Allah. Allah c berfirman:

Maksudnya: (Wahai orang-orang yang beriman, mahukah untuk Aku tunjukkan kepada kamu suatu perniagaan yang akan menyelamatkan kamu daripada seksaan yang pedih?

Iaitu: kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan kamu berjuang di jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu. Yang demikian itu adalah lebih baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui.

Dengan itu Allah akan mengampunkan  dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai serta memasukkan kamu ke tempat-tempat tinggal yang baik di dalam syurga-syurga ‘Aden. Yang demikian itu adalah suatu keberuntungan yang sangat besar.

Ada pula balasan lain yang kamu sukai iaitu pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang dekat, berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman.

Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu para penolong Allah sebagaimana ucapan Isa Ibnu Maryam kepada para Hawariyyin: “Siapakah yang mahu menjadi para penolongku menuju kepada Allah?”. Para Hawariyyun berkata: “Kami adalah para penolong Allah.” Maka sepuak dari kalangan Bani Israil beriman dan sepuak lagi tetap kufur. Kami memberikan dukungan kekuatan kepada orang-orang yang beriman untuk melawan musuh-musuh mereka maka jadilah mereka itu golongan yang menang.) [Al-Saff: 10-14]

Allah c berfirman:

Maksudnya: (Ada di antara manusia orang yang menjual dirinya sendiri dalam rangka mencari keredaan Allah dan Allah Maha Mengasihani kepada para hamba.) [Al-Baqarah: 207]

Di dalam hadith Abu Sa’id Al-Khudri t tentang kisah Yakjuj dan Makjuj, Rasulullah g bersabda:

Maksudnya: «…Tatkala mereka dalam keadaan yang seperti itu, Allah mengutuskan binatang seakan-akan ulat belalang (yang selalu menyerang unta dan kambing). Ulat tersebut menjangkiti leher-leher mereka sehingga mereka mati seperti matinya belalang, saling bertindih antara satu dengan yang lain. Pada pagi harinya, orang-orang Islam tidak mendengar sedikitpun suara mereka, lalu mereka berkata: “Siapakah yang mahu menjual dirinya dan melihat apa yang dilakukan oleh Yakjuj dan Makjuj?”. Lalu salah seorang dari mereka turun (untuk melihat di sebalik benteng) dalam keadaan dia telah menyiapkan jiwanya untuk dibunuh oleh Yakjuj dan Makjuj. Ternyata dia mendapati mereka semua telah pun mati. Lalu berserulah dia kepada umat Islam: “Hendaklah kamu semua bergembira kerana musuh kamu telah binasa!”.» (HR. Ibnu Majah (4079) dengan sanad yang hasan).

Maka hendaklah ada usaha untuk maju di jalan Allah bagi menghadapi Ahlul Batil sesuai dengan kadar kemampuan meskipun hanya dengan mengetahui keadaan mereka dan menyampaikannya demi kemaslahatan umat Islam, sebagaimana itu adalah di antara faedah yang dapat diambil daripada hadith ini: “Lalu salah seorang dari mereka turun (untuk melihat di sebalik benteng) dalam keadaan dia telah menyiapkan jiwanya untuk dibunuh oleh Yakjuj dan Makjuj…

Sementara perbuatan menyembunyikan penjelasan dan penerangan pada saat umat sangat memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar, akan menyebabkan kebenaran semakin terasing dan sunnah yang hakiki semakin luntur.

Al-Imam Ibnu Al-Wazir r berkata: “Ada dua perkara yang akan menjadikan kebenaran semakin tersembunyi dan semakin bertambah kesamarannya. Yang pertama: Takutnya Ahli Ma’rifah (para ulama yang benar) -dalam keadaan jumlah mereka sememangnya sedikit- kepada ulama yang jahat, penguasa yang zalim dan para syaitan dari kalangan manusia meskipun tuqiyyah (melindungi diri dengan cara menyembunyikan hakikat) adalah dibolehkan ketika itu berdasarkan ketetapan (nas) Al-Quran dan kesepakatan umat Islam. Perasaan takut akan senantiasa menjadi penghalang (bagi seseorang) dari menampilkan kebenaran kerana orang-orang yang benar akan sentiasa dimusuhi oleh kebanyakan manusia.” (selesai nukilan yang diinginkan daripada “Ithar Al-Haq ‘Ala Al-Khalq”/Ibnu Al-Wazir/141).

Termasuk di antara sunnah yang dilalaikan oleh kebanyakan manusia –atau mereka pura-pura lalai– adalah: Tidak boleh melakukan pemberontakan ke atas pemerintah muslimin dan pentingnya memperingatkan umat untuk berjaga-jaga daripada gerakan-gerakan kelompok pemberontak. Oleh itu, peringatan dan penjelasan ini hendaklah selalu diulang-ulang –tatkala para ulama memerlukan kerjasama di antara mereka dalam menghadapi hal-hal semisal ini dan pada saat umat memerlukan penerangan– tanpa rasa takut terhadap gangguan orang-orang jahil.

Al-Imam Muhammad Ibnu Isma’il Al-Amir Al-San’ani r berkata: “Adalah sangat wajib untuk menyebarluaskan sunnah, memberitahukan kepada orang yang jahil akan perkara yang tidak dia ketahui dan mengajarkan kepadanya hal-hal syariat. Sunnah tidak boleh ditinggalkan hanya kerana takut kepada orang-orang yang jahil. Sunnah-sunnah itu tidaklah mati melainkan kerana takutnya para ulama kepada orang-orang yang jahil. Yang demikian itu bukanlah uzur kerana sesungguhnya Allah telah memerintahkan (mereka) untuk menyampaikan hal-hal syariat.” (selesai nukilan daripada “Al-‘Uddah ‘Ala Ihkam Al-Ahkam Syarh ‘Umdah Al-Ahkam”/Al-San’ani).

Tidak ada keraguan bahawa hukum asal bagi amalan ini adalah fardhu kifayah bermaksud apabila telah cukup jumlah orang yang menjalankannya, maka tidak ada dosa ke atas yang lain apabila mereka tidak menjalankan amalan itu (berdakwah).

Sekiranya belum lagi mencukupi, maka wajib ke atas yang lain untuk sama-sama membantu menjalankannya sehingga terpenuhi kadar yang cukup.

Al-Imam Al-Nawawi r berkata: “Sesungguhnya amar makruf nahi mungkar itu adalah fardhu kifayah. Apabila ada sebahagian orang yang telah menjalankannya maka gugurlah kewajipan tersebut ke atas  yang lain. Sekiranya mereka semua meninggalkan kewajipan tersebut, maka berdosalah setiap orang yang mampu menjalankannya tetapi meninggalkannya tanpa uzur dan ketakutan. Kadang-kala, kewajipan itu menjadi fardhu ‘ain (wajib ke atas individu tertentu) sekiranya di suatu tempat itu tidak ada yang mengetahui sesuatu perkara melainkan dirinya, atau tidak ada yang mampu menghilangkan sesuatu perkara melainkan dirinya seperti seseorang yang melihat isterinya atau anaknya atau pembantunya melakukan suatu kemungkaran atau bersikap kurang dalam menjalankan perkara yang makruf.

Para ulama j berkata: “Amar makruf nahi mungkar itu tidaklah gugur daripada orang yang dibebankan ke atasnya hanya kerana dia menyangka bahawa amalan tersebut tidak bermanfaat. Bahkan wajib ke atasnya untuk menjalankan amalan tersebut kerana sesungguhnya peringatan itu akan bermanfaat kepada mereka yang beriman.” (selesai nukilan daripada “Al-Minhaj”/Al-Nawawi/2/23).

Al-Imam Ibnu ‘Uthaimin r berkata: “Hukum amar makruf nahi mungkar adalah wajib dan fardhu kifayah. Sekiranya sudah cukup jumlah orang yang menjalankannya, maka tujuannya telah terpenuhi. Akan tetapi, sekiranya belum cukup jumlah orang yang menjalankannya, maka ia menjadi kewajipan ke atas seluruh kaum muslimin.” (“Syarhu Riyadh Al-Salihin”/2/402-403/Madar Al-Wathan).

Fadhilatu Al-Syaikh Al-Mufti Ahmad Ibnu Yahya Al-Najmi r berkata: “Saya katakan: Yang pertama: Sesungguhnya Allah U telah mewajibkan ke atas para ulama untuk memberikan penerangan kepada manusia dan tidak menyembunyikannya. Tugas memberikan penerangan itu adalah fardhu kifayah, sekiranya sudah ada sebahagian orang yang menjalankannya maka gugurlah kewajipan tersebut daripada yang lain -jika penerangan yang diberikan itu telah cukup dan terpenuhi-. Kalau tidak demikian, maka semua orang (ulama) hendaklah memberikan penerangan sehingga terpenuhi kadar yang cukup. Yang kedua: Kami dan para masyaikh yang kamu sebutkan dan juga selain mereka, semuanya telah dibebankan oleh Allah untuk memberikan penerangan. Barangsiapa yang melaksanakan tugasnya dalam menyampaikan, maka dia telah selamat daripada dosa. Barangsiapa yang bersikap kurang dalam melaksanakan tugas tersebut walhal dia mampu, maka dia akan mendapatkan dosa sesuai dengan kadar kekurangannya. Perlu diketahui bahawa sikap mereka yang diam daripada amar makruf nahi mungkar bukanlah hujah bagi membantah mereka yang melaksanakan kewajipan ini, untuk memaksa mereka agar turut sama berdiam diri. Yang benar, orang yang berdiam diri tersebut perlu melihat: adakah kewajipan menyampaikan penerangan telah dilaksanakan dengan mengingkari kemungkaran yang dilakukan oleh orang yang diingkari tersebut ataukah belum? Sekiranya belum terlaksana, maka wajib ke atas dirinya untuk sama-sama membantu melaksanakannya.” (“Al-Radd Al-Syar’i”/Al-Najmi/230).

Orang yang menunaikan fardhu kifayah memiliki keutamaan yang lebih berbanding orang lain.

Abu Al-Ma’ali Al-Juwaini r berkata: “Tidaklah samar bagi yang memiliki mata hati dan ketakwaan bahawa menegakkan pembelaan untuk Islam dan memelihara batasannya adalah wajib. Orang-orang yang memiliki kemampuan yang baik terkena kewajipan ini. Sekiranya dia mampu melaksanakan kewajipan tersebut dengan kadar yang cukup secara bersendirian, maka gugurlah kewajipan tersebut daripada yang lain. Sekiranya kesemua mereka sekadar duduk dan saling menggantungkan harapan kepada yang lain, maka seluruh mereka yang berkemampuan akan diliputi oleh dosa, sesuai dengan perbezaan kedudukan dan tahapan mereka.

Kemudian saya berpandangan bahawa orang yang menjalankan kewajipan fardhu kifayah adalah lebih layak untuk mendapatkan darjat yang tinggi dan kedudukannya adalah lebih utama daripada mendekatkan diri kepada Allah dengan melaksanakan fardhu ‘ain. Yang demikian adalah kerana fardhu ‘ain yang dibebankan ke atas seorang hamba, andaikata dia meninggalkannya dan tidak menjalankan perintah Allah, maka dosanya khusus untuk dirinya sendiri. Sekiranya dia menjalankannya, maka dia sendiri yang akan mendapatkan pahala.

Akan tetapi, sekiranya ada fardhu kifayah yang diabaikan, sudah tentu dosanya akan meliputi seluruh manusia yang dibebankan tanggungjawab tersebut sesuai dengan perbezaan tahapan dan martabat mereka. Orang yang menjalankan fardhu kifayah telah membebankan tanggungjawab tersebut ke atas dirinya sendiri sehingga gugurlah dosa dan hukuman daripada seluruh mereka yang dibebankan dengan kewajipan tersebut. Orang yang menjalankannya adalah lebih berhak untuk diharapkan agar mendapat pahala yang terbaik. Tidak boleh merendahkan martabat orang yang telah menempati kedudukan seluruh muslimin dalam menjalankan satu tugasan yang penting di dalam agama.

Kemudian, telah ditetapkan bahawa sesuatu yang merupakan fardhu kifayah, kadang-kala boleh menjadi fardhu ‘ain bagi individu tertentu, pada waktu tertentu kerana barangsiapa yang saudaranya meninggal dunia ketika melakukan perjalanan dalam keadaan tidak ada yang menghadiri kematian saudaranya itu melainkan dirinya, maka menjadi fardhu ‘ain baginya untuk memandikan saudaranya tersebut, mengkafankannya dan memakamkannya.

Demikian juga, barangsiapa yang mendapati ada seseorang yang sedang berada dalam suatu kesusahan yang sangat besar lagi  penuh kelaparan di kalangan kaum muslimin, sementara dirinya berkemampuan untuk menghilangkan kelaparan saudaranya tersebut dan berkemampuan juga untuk mencukupkan keperluannya, yang mana seandainya dia meninggalkan saudaranya itu dan menyerahkan urusannya kepada orang lain, nescaya dapat dipastikan bahawa saudaranya tersebut akan mati kelaparan, maka menjadi fardhu ‘ain bagi dirinya untuk mencukupkan keperluan saudaranya tersebut.” (selesai nukilan daripada “Ghiyath Al-Umam Fi Tiyath Al-Zulm”/Al-Juwaini/142-143).

Al-Imam Abu Ja’far Ibnu Nahhas Al-Dimasyqi r berkata: “Orang yang melaksanakan fardhu kifayah memiliki keistimewaan ke atas orang yang melaksanakan fardhu ‘ain dari sisi bahawa dirinya telah menggugurkan dosa daripada dirinya sendiri dan kaum muslimin.” (“Tanbih Al-Ghafilin Fi Al-Amr Bi Al-Ma’ruf Wa Al-Nahyu ‘An Al-Munkar”([1])/Abu Ja’far Al-Dimasyqi/31).

Maka dari sudut pandangan yang merbahaya ini (iaitu menjelaskan akan bahaya Khawarij ISIS demi menyelamatkan umat manusia), maka melaksanakan fardhu kifayah adalah lebih penting daripada fardhu ‘ain([2]).

Abu ‘Ali Al-Syikhi telah menukilkan daripada para peneliti bahawasanya fardhu kifayah adalah lebih penting daripada fardhu ‘ain dan menyibukkan diri dengannya adalah lebih penting daripada menyibukkan diri dengan menunaikan fardhu ‘ain. (“Tanbih Al-Ghafilin Fi Al-Amr Bi Al-Ma’ruf Wa Al-Nahyu ‘An Al-Munkar”/Abu Ja’far Al-Dimasyqi/32).

Begitu juga: amar makruf nahi mungkar, menolong sunnah dan membantah ahli bid’ah adalah termasuk di antara berjihad di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik daripada sekadar menyibukkan diri dengan membaca Al-Quran, berzikir dan semisalnya pada waktu di mana agama ini sedang memerlukan pertolongan untuk ia dilindungi, dibela dan ditapis.

Daripada Abu Hurairah t:

Maksudnya:  “Bahawasanya ada salah seorang daripada sahabat Nabi g melalui suatu celah gunung yang di situ terdapat mata air yang segar sehingga menakjubkan dirinya. Lalu dia berkata: “Sebaiknya saya menetap dan menyendiri di sini”. Lalu dia berkata: “Tidak, sehinggalah saya bertanya dahulu kepada Nabi g”. Dia pun pergi bertanya kepada baginda dan baginda bersabda: «Tetapnya salah seorang dari kamu iaitu: di jalan Allah adalah lebih baik daripada ibadah yang dilakukan oleh salah seorang dari kamu di tengah-tengah keluarganya selama enam puluh tahun. Adakah kamu tidak suka untuk Allah mengampunkan kamu dan kamu memasuki syurga? Berjihadlah kamu semua di jalan Allah. Barangsiapa yang berperang di jalan Allah selama masa pemerahan susu unta, nescaya wajib baginya memasuki syurga.» (HR. Al-Imam Ahmad (9761)/sahih).


([1]) Ini adalah kitab Al-‘Allamah Abu Ja’far Ibnu Al-Nahhas Al-Dimasyqi, dicetak oleh Haiah Al-Amru Bi Al-Ma’ruf Wa Al-Nahyu ‘An Al-Munkar Kerajaan Arab Saudi. Ia tidak sama dengan kitab “Tanbih Al-Ghafilin” karya Abu Al-Laith Al-Samarqandi yang penuh dengan tahyul.

([2]) Bukan dari seluruh sisi.

google trends: #isis #is #islamicstate #daesh #iraq #syria #isisiraq #syriaisis #isisvideo #isislatest #isisattack #youtubeisis #whatisisis #isislatestnews #isiswar #isisterkini #isisinmalaysia #israel #terrorist