FATWA SYEIKH SOLEH AL-FAUZAN, SYEIKH SOLEH AL-LUHAIDAN DAN SYEIKH ‘ABD AL-MUHSIN AL-‘ABBAD TENTANG JEMAAH ISIS

Fatwa Fadhilatu Al-Syaikh Al-‘Allamah Soleh Al-Fauzan –hafizahullah

Saya telah mendengar Fadhilatu Al-Syaikh Soleh Al-Fauzan –hafizahullah– ditanya tentang gerakan Da’isy (ISIS) maka beliau menjawab:

“Mereka yang begini sifatnya, sungguh Rasulullah g telah memperingatkan tentang mereka. Imam-imam Islam juga telah memperingatkan tentang mereka. Yang seharusnya dilakukan adalah memberikan nasihat kepada yang mahu menerima nasihat dari kalangan mereka. Barangsiapa di kalangan mereka yang tidak menerima nasihat, maka pemerintah hendaklah menghalang kejahatan mereka jangan sampai menimpa kaum muslimin, dengan mengambil langkah-langkah untuk mengherdik dan menghentikan mereka dan yang semisal mereka. Agama ini hendaklah dilindungi. Negara-negara umat Islam hendaklah dilindungi. Orang-orang Islam semuanya adalah para pegawai keselamatan. Semuanya bertanggungjawab dalam melindungi agama ini, melindungi negara-negara umat Islam dan kehormatan-kehormatan mereka. Oleh itu, adalah tidak boleh untuk berdiam diri terhadap kelompok ini.

Sebahagian muslimin ada yang memuji dan menyanjung mereka. Yang demikian itu adalah kerana kejahilan mereka atau kerana mereka sendiri bersekutu dengan kelompok tersebut. Barangsiapa yang memuji, menyanjung dan membenarkan mereka, maka hukumnya adalah sama dengan hukum mereka.

(selesai petikan daripada rakaman suara).

Fadhilatu Al-Syaikh Soleh Al-Fauzan –hafizahullah– juga berkata:

“Jamaah Da’isy (ISIS) dan selain mereka yang telah tersesat daripada jalan yang lurus, mereka semuanya adalah bala tentera syaitan sama ada mereka dari kalangan Khawarij ataupun selain itu, yang merupakan para penyeru kepada kesesatan. Mereka tidak akan dapat dilawan dan ditentang melainkan dengan ilmu yang bermanfaat. Mereka termasuk di kalangan orang-orang yang Allah c berfirman tentangnya:

Maksudnya: (Wahai Nabi, berjuanglah melawan orang-orang kafir dan munafik serta bersikap keraslah terhadap mereka. Tempat mereka adalah Jahannam dan ia adalah seburuk-buruk tempat kembali.) [Al-Taubah: 73].

Mereka berada di dalam saf orang-orang munafik kerana mendakwa diri mereka beragama Islam dan mengamalkan beberapa syiar agama ini akan tetapi menjadi penyeru kepada kesesatan. Mereka tidak akan dapat dilawan dan ditentang melainkan dengan ilmu yang bermanfaat dan membantah kecelaruan-kecelaruan (syubhat) dan kebatilan mereka. Kamu semua tidak akan dapat bersatu melainkan di bawah panji pemerintah muslimin.

Maksudnya: (Dan berpegang teguhlah kamu semua dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah.) [Ali Imran: 103].

Seluruh kelompok mendakwa diri mereka sebagai jamaah Islam dan bahawasanya pemimpin mereka adalah pemimpin yang wajib ditaati. Ini semua –kita berlindung kepada Allah– adalah sebahagian daripada perkara yang menghinakan.”

(selesai nukilan).

Fasal 4: Fatwa Fadhilatu Al-Syaikh Soleh Ibnu Muhammad Al-Luhaidan –hafizahullah

Saya mendengar Fadhilatu Al-Syaikh Soleh Ibnu Muhammad Al-Luhaidan –hafizahullah– berkata:

Da’isy (ISIS) adalah suatu perkumpulan yang rosak, tidak ada kebaikan di dalamnya.”

(selesai nukilan).

Fasal 5: Fatwa Fadhilatu Al-Syaikh Al-‘Allamah Abdul Muhsin Al-‘Abbad –hafizahullah

Fadhilatu Al-Syaikh Al-‘Allamah Abdul Muhsin Al-‘Abbad –hafizahullah– telah menulis sebuah risalah yang diberikan judul:

«Fitnah Khilafah Yang Didakwa Sebagai Pemerintahan Islam Iraq»

Sungguh telah lahir di Iraq beberapa tahun lalu sebuah kelompok yang menamakan diri mereka dengan “Daulah Islamiyyah Fi Al-Iraq Wa Al-Syam”. Menjadi terkenal penyebutannya dengan empat huruf pertama bagi negara yang palsu tersebut sehingga disebut dengan “Da’isy” (Negara Islam di Iraq Dan Syam) atau ISIS (Islamic State Of Iraq And Syam).

Kepemimpinan mereka telah dipegang silih berganti –sebagaimana yang disebutkan oleh beberapa peneliti akan perihal mereka– oleh sebilangan individu yang dipanggil “Abu Fulan Al-Fulani” atau “Abu Fulan Ibnu Fulan”, menggunakan gelaran (kunyah) disertai sandaran (nisbah) kepada sebuah wilayah atau kabilah sebagaimana hal itu merupakan kebiasaan mereka yang tidak dikenali (majhul) yang bersembunyi di sebalik gelaran (kunyah) dan sandaran (nisbah).

Setelah berlalu beberapa waktu dalam peperangan yang berlaku di Syria di antara tentera pemerintah (pemerintah dari kalangan kelompok Syiah Rafidhah yang kafir) dan pasukan yang memerangi mereka, masuklah sejumlah anggota kelompok ISIS, bukan untuk memerangi pemerintah Syria, akan tetapi untuk memerangi Ahli Sunnah yang melawan pemerintah Syria tersebut. ISIS memerangi dan menghancurkan mereka. Telah masyhur (berita) bahawa gerakan ini, apabila melakukan pembunuhan, mereka melakukannya dengan pisau, yang mana hal itu termasuk di antara cara pembunuhan yang paling keji lagi menyakitkan yang mungkin dilakukan ke atas manusia.

Pada awal bulan Ramadhan baru-baru ini, mereka menggantikan penamaan kelompok mereka kepada “Khilafah Islamiyyah” (Negara Islam/Islamic State). Khalifah mereka yang digelar dengan “Abu Bakr Al-Baghdadi” menyampaikan khutbahnya di masjid jamek  di Maushil dan di antara apa yang dia sebutkan di dalam khutbah tersebut ialah:

Sesungguhnya saya telah dipilih untuk menjadi pemimpin ke atas kamu semua sementara saya bukanlah orang yang terbaik di antara kamu.

Dia berkata benar di sini bahawa dia sememangnya bukanlah orang yang terbaik di antara mereka kerana pembunuhan yang mereka lakukan menggunakan pisau tersebut, sekiranya ia dilakukan dengan perintahnya atau dengan sepengetahuan dan persetujuannya, maka dia merupakan orang yang paling jahat di antara mereka berdasarkan sabda Nabi g:

Maksudnya: «Barangsiapa yang menyeru kepada petunjuk, nescaya dia akan mendapatkan pahala seperti pahala orang-orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi sedikitpun daripada pahala mereka. Barangsiapa yang menyeru kepada kesesatan, nescaya dia akan mendapatkan dosa seperti dosa orang-orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi sedikitpun daripada dosa mereka.» [HR. Muslim (6804)].

Kalimah yang dia ucapkan tersebut telah diucapkan oleh Khalifah yang pertama di dalam Islam setelah Rasulullah g di dalam khutbahnya iaitu: Abu Bakr Al-Siddiq –semoga Allah meredainya dan menjadikannya reda– dan beliau adalah manusia terbaik dari kalangan umat ini yang merupakan umat yang terbaik. Beliau mengucapkannya dalam rangka tawaduk sedangkan beliau tahu dan para sahabat yang lain juga mengetahui bahawa sememangnya beliaulah yang terbaik dari kalangan mereka berdasarkan dalil-dalil yang menunjukkan hal itu daripada sabda Rasulullah g.

Adalah lebih baik bagi kelompok ini untuk menilai diri mereka dan kembali kepada bimbingan yang benar sebelum kekuasaan mereka diterpa angin sebagaimana yang  telah menimpa kelompok-kelompok semisal mereka yang telah mendahului di zaman yang berbeza.

Dan termasuk di antara perkara yang disesalkan adalah bahawasanya fitnah khilafah palsu ini yang baru dilahirkan beberapa hari lalu telah disambut baik oleh sebahagian pemuda di Haramain (Dua Tanah Suci). Mereka menampakkan kegembiraan dan kebahagiaan dengan khilafah ini seperti gembiranya orang yang sedang kehausan apabila melihat bayang-bayang air. Di antara mereka ada yang menyatakan akan disyariatkan untuk memberikan baiat kepada khalifah yang tidak dikenali ini! Bagaimana dapat diharapkan kebaikan daripada orang yang telah terkena fitnah “Takfir” (suka mengkafirkan muslimin) dan “Taqtil” (pembunuhan) dengan cara yang paling buruk, keji lagi mengerikan!?

Menjadi kewajipan ke atas para pemuda tersebut untuk mengasihani diri mereka sendiri agar tidak terpedaya dengan setiap panggilan orang yang memanggil dan hendaklah segala urusan itu dikembalikan kepada apa yang datang dari Allah U dan Rasul-Nya g kerana pada yang demikian itu terdapat perlindungan, keselamatan dan kejayaan di dunia dan di akhirat.

Hendaklah mereka juga merujuk kepada para ulama yang sentiasa memberikan nasihat dan keteguhan hati untuk mereka dan kaum muslimin.

Termasuk di antara contoh orang yang –pada awalnya– memiliki pemikiran yang sesat lalu selamat disebabkan dia merujuk kepada ulama adalah apa yang diriwayatkan oleh Muslim di dalam “Sahihnya” (191):

Maksudnya: Daripada Yazid Al-Faqir, dia berkata: “Dahulu saya telah diliputi oleh salah satu daripada pemikiran puak Khawarij. Maka kami keluar dalam sejumlah kecil orang, ingin menunaikan haji kemudian melakukan pemberontakan ke atas masyarakat. Kemudian kami melintasi Madinah dan ternyata Jabir Ibnu Abdillah sedang duduk bersandar pada sebuah tiang sambil menyampaikan hadith kepada orang ramai, dari Rasulullah g. Beliau menyampaikan hadith tentang “Jahannamiyyun” (iaitu orang-orang yang pada awalnya berada di dalam neraka Jahannam kemudian dibebaskan oleh Allah dan masuk ke dalam syurga). Lalu saya berkata kepada Jabir:

“Wahai sahabat Rasulullah! Hadith apakah yang kamu sampaikan ini? Sedangkan Allah telah berfirman:

Maksudnya: (Sesungguhnya, barangsiapa yang telah Engkau masukkannya ke dalam neraka, maka sungguh Engkau telah menghinakannya.) [Ali Imran: 192].

Maksudnya: (Setiap kali mereka hendak keluar darinya, mereka dikembalikan ke dalamnya.) [Al-Sajdah: 20].

Lalu hadith apakah yang kamu ucapkan ini?”

Jabir menjawab:

“Adakah kamu membaca Al-Quran?”

Saya menjawab:

“Ya”.

Beliau bertanya:

Lalu adakah kamu mendengar tentang kedudukan Muhammad g? Iaitu yang Allah telah mengangkat baginda kepada kedudukan tersebut?

Saya menjawab:

“Ya.”

Beliau berkata:

Sesungguhnya itulah kedudukan Muhammad g yang terpuji yang mana dengan itu Allah mengeluarkan sesiapa yang ingin Dia keluarkan (dari neraka).

Kemudian beliau menyebutkan perihal perletakan “Al-Sirath” (jambatan di atas neraka) dan perjalanan manusia di atasnya cuma saya bimbang tidak menghafalnya dengan baik.

Beliau juga menyebutkan bahawa ada sebilangan manusia yang dikeluarkan dari neraka setelah mereka berada di dalamnya. Mereka dikeluarkan bagaikan kayu hitam yang telah kering kemudian dimasukkan ke dalam salah satu sungai daripada sungai-sungai syurga lalu mereka mandi di dalamnya. Setelah itu mereka keluar bagaikan kertas-kertas putih.

Kemudian kami pulang sambil berkata:

“Adakah kamu semua menyangka bahawa syaikh ini berdusta atas nama Rasulullah g?!”

Kami pulang dan demi Allah! Tidak ada siapa pun dari kalangan kami yang melakukan pemberontakan kecuali seorang sahaja, atau seperti yang diceritakan oleh Abu Nu’aim.”

Abu Nu’aim adalah Al-Fadhl Ibnu Dukain dan beliau adalah salah seorang perawi hadith ini.

Hadith ini menunjukkan bahawa kelompok tersebut tertimpa bala dengan merasa kagum dengan pendapat puak Khawarij yang menghukum kafir pelaku dosa besar dan mengganggap mereka kekal di dalam neraka, dan bahawasanya setelah mereka bertemu dengan Jabir t dan mendengar penerangan beliau, mereka pun mengikuti bimbingan beliau dan meninggalkan kebatilan yang mereka fahami tersebut. Mereka juga membatalkan rencana pemberontakan yang ingin dilakukan setelah selesai menunaikan haji. Ini termasuk di antara faedah yang terbesar yang dapat diambil oleh seorang muslim dengan kembali kepada ahli ilmu.

Begitu juga, di antara yang menunjukkan akan bahaya sikap “ghuluw” (melampaui batas) di dalam agama, bahaya berpaling daripada kebenaran dan bahaya menjauhkan diri daripada apa yang dipegang oleh Ahli Sunnah Wal Jama’ah adalah sabda baginda g di dalam hadith Huzaifah t:

Maksudnya: «Sesungguhnya perkara yang paling aku takut ke atas kamu adalah seseorang yang membaca Al-Quran sehingga terlihat keindahan Al-Quran tersebut pada dirinya dan dia telah menjadi pelindung bagi agama Islam, tiba-tiba dia melepaskan dirinya daripada Al-Quran dan melemparkannya ke belakang badannya serta pergi menyerang jirannya dengan pedang dan menuduhnya melakukan kesyirikan.

Saya (Huzaifah) bertanya: “Wahai Nabi Allah, siapakah di antara kedua-duanya tersebut yang lebih layak melakukan kesyirikan? Yang menuduh ataukah yang dituduh? Baginda menjawab:

Maksudnya: «Bahkan yang menuduh.»

[HR. Al-Bukhari di dalam “Al-Tarikh”, Abu Ya’la, Ibnu Hibban dan Al-Bazzar. Rujuk “Al-Sahihah” karya Al-Albani (3201)].

Usia yang muda merupakan tempat sangkaan akan buruknya pemahaman. Ini ditunjukkan oleh hadith yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari di dalam “Sahihnya” (4495) dengan sanadnya kepada Hisyam Ibnu ‘Urwah, dari ayahnya bahawa beliau berkata:

Maksudnya: “Saya bertanya kepada Aisyah isteri Rasulullah g –dalam keadaan saya pada ketika itu masih muda-: “Khabarkanlah kepada saya tentang firman Allah f:

Maksudnya: (Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian daripada syiar-syiar Allah. Barangsiapa yang menunaikan ibadah haji ke Baitullah atau melakukan umrah, maka tidak ada dosa ke atasnya untuk melakukan sa’i di antara kedua-duanya.) [Al-Baqarah: 158].

Saya tidak berpandangan bahawa seseorang itu akan berdosa sekiranya dia meninggalkan sa’i di antara kedua-duanya. Aisyah i menjawab:

«Bukan begitu, kalau seandainya ia seperti yang kamu katakan, nescaya ayatnya:

… maka tidak ada dosa ke atasnya untuk tidak melakukan sa’i di antara kedua-duanya

Sedangkan ayat ini turun kepada orang-orang Ansar yang memulakan ihlal dari Manah yang terletak di hadapan Qudaid. Mereka beranggapan bahawa berdosa untuk melakukan sa’i di antara Safa dan Marwah. Tatkala datangnya Islam, mereka bertanya kepada Rasulullah g tentang hal itu lalu Allah menurunkan firman-Nya:

Maksudnya: (Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian daripada syiar-syiar Allah. Barangsiapa yang menunaikan ibadah haji ke Baitullah atau melakukan umrah, maka tidak ada dosa ke atasnya untuk melakukan sa’i di antara kedua-duanya.) [Al-Baqarah: 158].”

‘Urwah Ibnu Zubair adalah di antara tabi’in yang terbaik. Beliau merupakan salah seorang daripada tujuh fuqaha’ yang berada di Madinah pada zaman tabi’in. Beliau terlebih dahulu menyatakan uzur dalam kesalahan memahami nas tersebut dengan menyebutkan keadaan beliau yang masih muda umurnya ketika bertanya tentang hal itu. Ini jelas menunjukkan bahawa usia yang muda merupakan tempat sangkaan akan buruknya pemahaman dan bahawasanya kembali kepada ahli ilmu akan mendatangkan kebaikan dan keselamatan.

Di dalam “Sahih Al-Bukhari” (7152) daripada Jundub Ibnu Abdillah t, beliau berkata:

Maksudnya: «Sesungguhnya bahagian yang pertama sekali akan menjadi busuk dari manusia adalah perutnya. Maka barangsiapa yang mampu untuk tidak makan melainkan makanan yang baik maka hendaklah dia lakukan. Dan barangsiapa yang mampu untuk tidak dihalangi di antara dirinya dengan syurga lantaran sebesar tapak tangan darah yang ditumpahkan, maka hendaklah dia melakukannya.»

Al-Hafiz berkata di dalam “Fathu Al-Bari” (13/130): “Telah sabit riwayat ini secara marfu’ (daripada Nabi), diriwayatkan oleh Al-Thabrani juga daripada jalur Isma’il Ibnu Muslim daripada Al-Hasan, daripada Jundub dengan lafaz:

“Kamu semua mengetahui bahawa saya mendengar Rasulullah g bersabda: «Janganlah sekali-kali salah seorang dari kamu dipisahkan di antara dirinya dengan syurga yang telah dia lihat, oleh sebesar tapak tangan darah seorang muslim yang dia tumpahkan tanpa hal yang menghalalkan (pertumpahan darah tersebut).»”

Dan hadith ini, kalaupun diandaikan ianya tidak datang secara jelas menegaskan akan “marfu’”nya, tetap ianya mendapat hukum “marfu’” (sampai kepada Nabi g) kerana hal yang seperti ini tidak boleh disebutkan atas dasar suatu pendapat semata dan ia adalah ancaman yang keras ke atas mereka yang membunuh seorang muslim tanpa alasan yang benar.

Hadith-hadith dan athar-athar ini adalah sebahagian daripada apa yang telah saya sebutkan di dalam risalah:

«Akal Dan Agama Apakah Yang Menjadikan Peletupan Dan Penghancuran Sebagai Jihad?! Alangkah Kasihannya Kamu Semua, Sedarlah Wahai Para Pemuda»

Di dalamnya disebutkan ayat-ayat dan hadith-hadith dan athar yang banyak tentang (pengharaman) seorang insan daripada membunuh dirinya sendiri dan orang lain tanpa hak. Risalah tersebut telah dicetak secara tunggal pada tahun 1424 H, dan dicetak pula pada tahun 1428 H bersama risalah yang lain dengan tajuk:

«Mencurahkan Nasihat Dan Peringatan Kepada Saki-Baki Mereka Yang Terkena fitnah “Takfir” (Mengkafirkan Umat Islam) Dan “Tafjir” (Peletupan)»

[di dalam himpunan kitab dan risalah saya (6/225-279)].

Para pemuda yang diheret di belakang seruan kelompok ini hendaklah menilai diri mereka, dan bersegera untuk kembali kepada petunjuk. Janganlah salah seorang daripada mereka berfikir untuk ikut serta dengan kelompok ini lalu mereka keluar daripada kehidupan dengan memakai tali pinggang letupan atau menyembelih manusia dengan pisau yang mana hal itu merupakan ciri-ciri khas mereka. Hendaklah mereka iltizam untuk mendengar dan taat kepada negara Arab Saudi (sekiranya mereka merupakan warganegara tersebut) yang mereka, ibu dan ayah mereka serta datuk dan nenek mereka hidup di dalam wilayah kekuasaan negara ini dengan aman dan tenteram. Negara ini hakikatnya adalah negara terbaik dan terutama di alam ini meskipun terdapat di dalamnya beberapa kekurangan yang mana di antara sebab utama kekurangan tersebut ialah fitnah “Taghribiyyin” (golongan yang mengajak untuk mengekor kepada orang-orang barat) di negara ini yang menjulurkan lidah mereka dan mengikut membuta tuli kepada orang-orang barat dalam seluruh perkara yang ada mudarat di dalamnya.

Saya memohon kepada Allah U untuk memperbaiki keadaan umat Islam di setiap tempat, untuk memberikan petunjuk kepada para pemuda lelaki dan perempuan menuju kepada segala kebaikan, untuk memelihara negara “Al-Haramain” (Dua Tanah Suci), pemerintah mahupun rakyatnya daripada segala kejahatan, untuk memberikan kepadanya taufik menuju segala kebaikan, melindunginya daripada kejahatan orang-orang yang jahat dan tipu daya orang-orang yang fajir. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengabulkan Doa.

Berikut ini pula adalah risalah kedua yang disebarkan oleh Fadhilatu Al-Syaikh Abdul Muhsin Al-‘Abbad –hafizahullah– setelah kejadian tersebut, dengan judul:

«Khilafah Palsu ISIS Membunuh Orang-Orang Yang Solat Dan Menyembelih Manusia Dengan Pisau»

Sungguh telah muncul akhir-akhir ini suatu kelompok di Iraq dan Syam yang menamakan diri mereka dengan “Daulah Islamiyyah” (Negara Islam), kemudian “Al-Khilafah Al-Islamiyyah” yang terkenal dengan penyebutkan Da’isy (Negara Islam Di Iraq Dan Syam). Sebahagian pemuda telah terpedaya dengan kelompok yang sesat ini, terutamanya yang masih remaja di Negara “Al-Haramain” (Dua Tanah Suci) sehingga mereka diheret di belakang seruan kelompok tersebut dan mencampakkan diri mereka ke pangkuan kelompok tersebut. Ada di antara mereka yang belum lagi ikut serta dengan kelompok ini dan masih menetap di negeri-negeri mereka sambil mendapatkan pengarahan dan bimbingan kelompok tersebut untuk menjalankan rencana kejahatan mereka.

Telah berlalu tulisan saya yang berjudul:

«Fitnah Khilafah Yang Didakwa Sebagai Pemerintahan Islam Di Iraq»

yang saya sebarkan pada 28/9/1435 H. Saya sebutkan di dalamnya bahawa para pemuda yang mengikut membuta tuli di belakang seruan kelompok ini sedang menunggu waktu untuk berpisah dengan kehidupan dengan cara meletupkan diri mereka sendiri atau menyembelih dengan pisau. Saya katakan (di dalam risalah tersebut):

Para pemuda yang diheret di belakang seruan kelompok ini hendaklah menilai diri mereka, dan bersegera untuk kembali kepada petunjuk. Janganlah salah seorang daripada mereka berfikir untuk ikut serta dengan kelompok ini lalu mereka keluar daripada kehidupan dengan memakai tali pinggang letupan atau menyembelih manusia dengan pisau yang mana hal itu merupakan ciri-ciri khas mereka. Hendaklah mereka iltizam untuk mendengar dan taat kepada negara Arab Saudi (sekiranya mereka merupakan warganegara tersebut) yang mereka, ibu dan ayah mereka serta datuk dan nenek mereka hidup di dalam wilayah kekuasaan negara ini dengan aman dan tenteram”.

Beberapa hari yang lalu, dua remaja bangkit untuk berkhidmat kepada kelompok ini dan kedua-duanya menjalankan misi jahat kelompok tersebut dengan meletupkan diri mereka dengan tali pinggang letupan di dua masjid di wilayah timur pada waktu solat Jumaat dalam masa dua hari bertarikh 4 dan 11 daripada bulan ini, mereka telah membinasakan diri mereka sendiri dengan sebab itu dan membinasakan juga sejumlah orang yang sedang solat. Yang demikian itu adalah amalan yang sangat buruk bukan hanya jahat semata-mata bahkan ia adalah puncak kejahatan. Hal itu jelas dengan beberapa perkara:

  1. Bahawasanya membunuh jiwa yang dipelihara tanpa alasan yang benar adalah sebesar-besar dosa. Menjadi lebih besar dosanya apabila pembunuhan tersebut dilakukan ketika sedang menunaikan solat.
  • Pada asalnya, orang yang berada di dalam masjid berada dalam keadaan tenteram fikirannya dan tenang serta aman daripada segala jenis gangguan dan keganasan. Lalu bagaimana sekiranya seseorang itu melampaui batas sehingga membunuh orang-orang yang sedang solat di dalamnya?
  • Sekiranya syariat telah mengharamkan pembunuhan ke atas para rahib di dalam biara-biara mereka sebagaimana yang disebutkan di dalam “Al-Musnad” (2728)  dan selainnya, maka pembunuhan ke atas orang-orang yang sedang solat di masjid-masjid adalah lebih utama lagi untuk ianya diharamkan.
  • Tidak boleh bagi seorang muslim untuk membunuh dirinya dengan tali pinggang letupan atau dengan selain itu dalam apa jua keadaan sekalipun. Berdasarkan firman Allah c:

Maksudnya: (Dan janganlah kamu membunuh diri-diri kamu sendiri.) [Al-Nisa’: 29].

  • Syariat ini datang dengan mengharamkan pembunuhan ke atas anak-anak kecil di dalam peperangan sebagaimana di dalam “Sahih Muslim” (1731) sedangkan sebahagian daripada mereka yang terkorban disebabkan tali ikatan yang berisi bahan letupan tersebut adalah anak-anak kecil.
  • Amalan yang jahat tersebut menyebabkan terhalangnya manusia daripada jalan Allah dan menimbulkan ketakutan ke atas mereka yang pergi ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat sehinggakan telah ada yang bertanya tentang hukum meninggalkan solat Jumaat agar terselamat daripada kejahatan semisal ini. Dan adalah tidak boleh untuk meninggalkan perbuatan pergi ke masjidsecara umum– disebabkan oleh kebimbangan terhadap suatu perkara yang jarang berlaku ini.
  • Bahawasanya perbuatan jenayah ini sangat menyakiti Islam dan kaum muslimin kerana ia merupakan pelaksanaan bagi rencana-rencana jahat kelompok sesat ini yang menamakan diri mereka dengan “Daulah Islamiyyah” (Negara Islam). Tidak ada sebarang kebaikan yang dapat diharapkan bahkan disangka wujudnya daripada “Negara Islam” palsu yang seperti ini contoh kejahatannya.
  • Pembunuhan yang dilakukan ke atas orang-orang yang sedang solat di masjid adalah suatu jenayah yang besar di mana pun ia berlaku. Lalu bagaimana jika kejahatan tersebut berlaku di Negara Arab Saudi yang mana para hakimnya berhukum dengan hukum syariat Islam dan pemerintahnya adalah pemerintah Islam terbaik di kalangan pemerintah-pemerintah Islam yang ada sekarang ini.
  • Bahawa Khilafah palsu ISIS ini tidak hanya membataskan kejahatannya kepada para remaja yang tertipu dengannya dan membinasakan diri mereka sendiri dan orang lain dengan cara melaksanakan rencana-rencananya, bahkan kejahatan kelompok ini sampai ke tahap sangat menyakiti ahli keluarga para remaja tersebut dan durhaka kepada ibu dan ayah mereka dengan apa yang berlaku kepada anak-anak mereka.
  1. Bahawasanya perbuatan seorang lelaki menyerupai wanita dan perbuatan seorang wanita menyerupai lelaki adalah haram berdasarkan sabda baginda g:

Maksudnya: «Rasulullah g melaknat para lelaki yang menyerupakan diri dengan wanita dan para wanita yang menyerupakan diri dengan lelaki.» [HR. Al-Bukhari (5885)].

Sementara salah seorang daripada pemuda tersebut datang dalam keadaan berpakaian wanita demi menjalankan kejahatannya tersebut.

Sebagai penutup, saya mencurahkan nasihat saya kepada seluruh pemuda yang diheret di belakang bayang-bayang kelompok yang sesat ini untuk memperbaiki diri dan terus menetap di kalangan ahli keluarganya, jauh daripada terjatuh ke dalam perkara yang bahayanya akan kembali menghentam dirinya di dunia dan akhirat.

Saya memohon kepada Allah U agar memperbaiki para pemuda muslimin, membimbing mereka kepada jalan-jalan keselamatan, memberikan taufik kepada umat Islam seluruhnya (menuju) kepada perkara yang terpuji akibatnya di dunia dan akhirat, memberikan taufik kepada negara ini, pemerintah dan rakyatnya (menuju) kepada seluruh kebaikan, memeliharanya daripada segala keburukan, dan melindunginya daripada kejahatan orang-orang yang jahat dan tipu daya orang-orang yang fajir, sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengabulkan Doa.

Al-Syaikh Abdul Muhsin Al-‘Abbad –hafizahullah– ditanya tentang pembaiatan kepada Al-Baghdadi? Lalu beliau menjawab: “Mereka memberikan baiat kepada syaitan.

google trends: #isis #is #islamicstate #daesh #iraq #syria #isisiraq #syriaisis #isisvideo #isislatest #isisattack #youtubeisis #whatisisis #isislatestnews #isiswar #isisterkini #isisinmalaysia #israel #terrorist