BESARNYA NIKMAT ALLAH KE ATAS PARA HAMBA DENGAN DIUTUSKAN NABI MUHAMMAD

Sesungguhnya Rasulullah s telah diutuskan dengan [membawa] petunjuk dan agama yang benar bertujuan untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan menuju cahaya. Allah menjadikan baginda s sebagai rahmat bagi alam semesta. Firman Allah تَعَالَى:

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

(QS: Al-Anbiya’, 21 : 107)

Keperluan manusia kepada risalah baginda adalah lebih besar berbanding keperluan mereka kepada air dan udara.

Imam Ibn al-Qayyim r berkata:

“Seandainya bukan kerana kenabian, nescaya tidak ada di alam semesta ini ilmu yang bermanfaat, amalan soleh, kebaikan dalam kehidupan, penegakan kerajaan dan sudah tentu manusia akan menjadi seperti halnya binatang ternakan, haiwan buas yang menerkam, anjing-anjing yang berbahaya yang mana sebahagiannya saling menyerang sebahagian yang lain.

Seluruh agama di alam semesta ini merupakan kesan-kesan peninggalan kenabian. Segala sesuatu (iaitu bencana) yang telah berlaku di alam ini atau yang akan berlaku, maka adalah ia disebabkan oleh kesan-kesan peninggalan kenabian yang samar dan sirna. Bermakna roh bagi alam ini adalah kenabian sementara suatu jasad tidak akan tertegak tanpa rohnya.

Oleh sebab itu, apabila telah hilang matahari kenabian daripada alam ini dan tidak ada lagi sisa-sisanya yang tertinggal di bumi, maka pada ketika itu langit-langit akan terpecah, bintang-bintang akan berguguran, matahari akan digulung, bulan akan hilang, gunung-ganang akan dihapuskan, bumi akan digoncangkan dan seluruh yang ada di atasnya akan dibinasakan.

Maka alam ini tidak akan dapat ditegakkan kecuali dengan kesan-kesan peninggalan kenabian. Oleh itu, setiap tempat yang nyata padanya kesan-kesan peninggalan kenabian, maka penghuninya pasti lebih baik keadaannya dan lebih bagus fikirannya berbanding tempat-tempat yang tidak nyata padanya kesan-kesan peninggalan kenabian.

Secara amnya, keperluan alam ini kepada kenabian adalah lebih besar berbanding keperluan mereka kepada cahaya matahari dan lebih besar daripada keperluan mereka kepada air dan udara yang mana mereka tidak akan dapat hidup tanpanya.”

(Miftah Dar Al-Sa’adah, j. 2, h. 118).

Maka kurniaan Allah kepada para hamba dengan diutus Rasul yang mulia ini s adalah sangat agung melebihi apa yang disangkakan oleh manusia. Firman Allah تَعَالَى:

“Sesungguhnya Allah telah mengurniakan kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, dan mensucikan mereka, serta mengajar mereka kitab Allah dan hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”

(QS: Ali Imran, 3 : 164)

Syaikh al-Islam r berkata:

“Kerana diutusnya baginda s merupakan di antara kenikmatan yang paling agung kepada para makhluk. Di dalamnya mengandungi hikmah yang terbesar bagi Pencipta dan rahmat daripada-Nya untuk para hamba-Nya.”

(Majmu’ Al-Fatawa, j. 8, h. 93)

Maka syariat Allah yang agung ini merupakan suatu kenikmatan ke atas para hamba sehingga tidak ada sesuatupun yang disyariatkan kecuali pasti ia untuk kemaslahatan para hamba. Dia mendekatkan kepada mereka apa yang dapat memberikan manfaat, dan menjauhkan daripada mereka apa yang dapat mendatangkan mudarat.

Imam Ibn al-Qayyim r berkata:

“Dasar dan asas bagi syariat ini adalah dibina di atas hikmah dan maslahat para hamba di dunia dan akhirat. Syariat ini adalah adil keseluruhannya, rahmat keseluruhannya, maslahat keseluruhannya dan hikmah keseluruhannya. Maka setiap permasalahan yang keluar daripada keadilan kepada kezaliman, daripada rahmat kepada lawannya, daripada maslahat kepada mafsadah, daripada hikmah kepada sesuatu yang sia-sia, maka bukanlah ia sebahagian daripada syariat ini.”

(I’lam Al-Muwaqqi’in, j. 3, h. 5)

Beliau r juga berkata:

“Secara keseluruhan, maka sungguh telah datang kepada mereka Rasulullah s dengan membawa seluruh kebaikan dunia dan akhirat. Dan Allah tidak menjadikan mereka perlu kepada sesiapapun selain baginda. Oleh itu Allah menutup dewan kenabian, maka Dia tidak menjadikan adanya seorang rasul setelah baginda kerana umat telah cukup dengan baginda dan tidak lagi memerlukan kepada yang lain.


Lalu bagaimana boleh disangka bahawa syariat baginda yang telah sempurna lagi menyempurnakan ini perlu kepada suatu siasah yang keluar daripada lingkup syariat? Atau memerlukan kepada suatu hakikat yang keluar daripada lingkup syariat? Atau memerlukan kepada suatu qiyas yang keluar daripada lingkup syariat? Atau memerlukan kepada suatu akal yang juga keluar daripada lingkup syariat? Barangsiapa yang memiliki persangkaan seperti itu, maka dia ibaratnya seperti orang yang menyangka bahawa manusia memerlukan kepada seorang rasul yang lain setelah baginda. Hal yang menyebabkan itu semua terjadi adalah kerana kaburnya pandangan orang yang memiliki persangkaan tersebut terhadap apa yang dibawa oleh baginda. Firman Allah تَعَالَى:

“Tidakkah cukup bagi mereka bahawa Kami telah menurunkan kepadamu Al-Quran yang dibacakan kepada mereka? Sesungguhnya Al-Quran yang diturunkan itu mengandungi rahmat dan peringatan bagi orang-orang yang beriman.”

(Badai’ Al-Fawaid, j. 3, h. 677)

Syariat Muhammad s datang dalam rangka menghalalkan perkara-perkara yang baik (tayyibat), mengharamkan perkara-perkara yang buruk (khabaith) dan menghilangkan belenggu-belenggu yang berat ke atas para hamba. Maka adakah yang mahu bersyukur? Firman Allah تَعَالَى:

“Iaitu orang-orang yang mengikut Rasul, Nabi yang ummi, yang mereka dapati tertulis di sisi mereka di dalam Taurat dan Injil. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan ke atas mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka.

Maka orang-orang yang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya, mereka itulah orang-orang yang berjaya.”

(QS: Al-A’raf, 7 : 157)

Imam al-Sam’ani r berkata:

“Firman Allah تَعَالَى:

“Iaitu orang-orang yang mengikut Rasul, Nabi yang ummi”,

Baginda ialah Muhammad dan telah kami jelaskan makna bagi perkataan ‘ummi’ pada perbahasan yang telah lalu.

“Yang mereka dapati tertulis”,

Iaitu: Disifati akan baginda,

“Di sisi mereka di dalam Taurat dan Injil. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik dan melarang mereka daripada perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik”,

Iaitu: Apa yang diharamkan oleh orang-orang kafir berupa al-Sawa’ib, al-Wasa’il, al-Baha’ir, al-Hawami dan yang semisalnya.

“Dan mengharamkan ke atas mereka segala benda yang buruk”,

Yang demikian itu adalah seperti bangkai, darah, daging khinzir dan yang semisalnya.

“Dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban”.

Bebanan ialah segala apa yang memberatkan manusia baik berupa ucapan atau perbuatan. Boleh juga membawa maksud perjanjian yang berat. Beban berat mereka ialah: Allah menjadikan taubat mereka dengan cara membunuh diri mereka sendiri,

“Dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka”.

Yang demikian itu adalah seperti apa yang diwajibkan ke atas mereka dahulu untuk memotong bahagian pakaian yang terkena najis dengan alat pemotong dan tidak boleh menghilangkan najis tersebut dengan cara membasuh. Demikian juga ibadah solat mereka tidak boleh dilakukan melainkan di gereja, tidak boleh mengambil diat atas nama orang yang dibunuh bahkan wajib ke atas mereka untuk menegakkan hukuman qisas. Demikian juga wajib ke atas mereka untuk memotong anggota badan yang melakukan kesalahan, tidak diterima daripada mereka selain itu. Maka Allah menamakan hal ini semua dengan belenggu-belenggu kerana ia ibarat rantai di leher mereka.”

(Tafsir Al-Sam’ani, j. 2, h. 137)

Imam al-Sa’di r berkata:

“Maka orang-orang yang beriman kepadanya, memuliakannya”

Iaitu: Mengagungkan dan menghormati baginda,

“Menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya”,

Iaitu: Al-Quran yang digunakan untuk menerangi -dengannya- akan kegelapan-kegelapan syak dan kejahilan serta diteladani -dengannya- apabila ucapan-ucapan itu saling bertentangan,

“Mereka itulah orang-orang yang berjaya”,

Yang mendapatkan kebaikan dunia dan akhirat, yang selamat daripada keburukan kedua-duanya kerana mereka telah mendatangkan sebab kejayaan yang terbesar. Adapun orang yang tidak beriman dengan Nabi yang ummi ini, tidak memuliakan baginda, tidak menolong baginda dan tidak mengikuti cahaya yang diturunkan bersama baginda, maka mereka ialah orang-orang yang rugi.”

(Taisir Al-Karim Al-Rahman, h. 305)

Syariat Nabi s memerintahkan untuk berkasih sayang. Firman Allah تَعَالَى:

“Kemudian dia termasuk dari orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan kesabaran serta berpesan-pesan dengan kasih sayang.”

(QS: Al-Balad, 90 : 17)

Imam Ibnu Kathir r berkata:

“Dan firman-Nya:

“Dan berpesan-pesan dengan kesabaran serta berpesan-pesan dengan kasih sayang”,

Iaitu: Dia termasuk dari kalangan mukminin yang mengerjakan amalan soleh, yang saling berpesan-pesan dengan kesabaran dalam menghadapi gangguan manusia dan berpesan-pesan untuk bersikap rahmat kepada mereka sebagaimana yang warid di dalam hadith:

“Orang-orang yang penyayang akan disayangi oleh Al-Rahman. Sayangilah yang ada di bumi nescaya kamu akan disayangi oleh Yang di langit.”

Di dalam hadith yang lain:

“Allah tidak menyayangi orang yang tidak menyayangi manusia”

(Tafsir Al-Quran Al-‘Azhim, j. 8, h. 409)

Imam al-Sa’di r berkata:

“Kemudian dia termasuk dari orang-orang yang beriman”,

Iaitu: Beriman dengan hati mereka akan apa yang wajib untuk diimani dan mengerjakan amal soleh dengan anggota badan mereka berupa setiap ucapan dan perbuatan yang wajib atau yang sunat.

“Dan berpesan-pesan dengan kesabaran”,

Di atas ketaatan kepada Allah, sabar daripada mendurhakai-Nya, sabar atas takdir dan ketentuan Allah yang menyakitkan dengan cara mendorong sebahagian mereka akan sebahagian yang lain untuk patuh terhadap hal tersebut dan mendatangkan kesabaran yang sempurna dengan dada yang lapang dan jiwa yang tenang.

“Serta berpesan-pesan dengan kasih sayang”,

Terhadap para hamba seperti memberi kepada orang-orang yang memerlukan, mengajar orang-orang yang jahil, melaksanakan apa yang mereka perlukan dari segenap sisi, membantu mereka dalam hal-hal kemaslahatan agama dan dunia, mencintai untuk mereka apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri dan membenci untuk mereka apa yang dia benci untuk dirinya sendiri.”

(Taisir Al-Karim Al-Rahman, h. 924)

Maka syariat Muhammad ini menyeru kepada kemuliaan akhlak dan kemaslahatan para hamba. Dari Abu Barzah r beliau berkata:

“Saya berkata: ‘Wahai Nabi Allah, ajarkanlah kepada saya sesuatu yang saya dapat mengambil manfaat dengannya.’ Baginda bersabda: ‘Singkirkanlah gangguan daripada jalan-jalan kaum mukminin’.”

(HR Muslim, 2618)

Di dalam hadith ini terdapat peringatan agar jangan meremehkan suatu kebaikan walau sedikit, di dalamnya juga terdapat dalil akan kewajipan melindungi keselamatan kaum muslim selagi berkemampuan.

Mulla ‘Ali al-Qari r berkata:

“… Maka baginda memberikan peringatan dengan cabang keimanan yang paling rendah mengisyaratkan kepada cabangnya yang paling tinggi. Maksudnya: Janganlah kamu meninggalkan walaupun satu pintu daripada kebaikan.”

(Mirqat Al-Mafatih, j. 6, h. 202)

Badruddin al-‘Aini r berkata:

“Dan ketahuilah bahawa seseorang itu akan diberikan pahala atas sebab menghilangkan gangguan dan menghilangkan segala apa yang dapat menyakiti manusia di jalan.

Di dalamnya terdapat dalil bahawa sengaja melemparkan duri di atas jalan, atau batu atau kotoran atau air yang dapat merosakkan jalan atau apa sahaja yang mengganggu manusia, dikhawatiri pelakunya akan mendapatkan hukuman disebabkan hal itu di dunia dan akhirat.

Tidak syak lagi bahawa menghilangkan gangguan daripada jalan adalah termasuk di antara amalan kebaikan, sementara amalan kebaikan itu pula dapat menghapuskan kesalahan dan mendatangkan keampunan.

Tidak selayaknya bagi seorang yang berakal untuk meremehkan sedikitpun daripada amalan kebaikan.

Sekiranya gangguan itu berupa batang-batang pokok maka hendaklah ia dipotong dan dibuang. Sekiranya ia berupa barang yang diletakkan di atas jalan, maka hendaklah ia disingkirkan. Dasar bagi hal ini semua ialah firman Allah تَعَالَى:

“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya dia akan melihatnya.”

Menghilangkan gangguan daripada jalan adalah salah satu daripada cabang-cabang keimanan.”

(‘Umdat Al-Qari, j. 19, h. 319)

Daripada Abu Hurairah r, daripada Nabi s bahawa baginda bersabda:

“Sungguh aku telah melihat seorang lelaki berbolak-balik di dalam syurga disebabkan sebatang pokok yang dia memotongnya dari permukaan jalan yang dahulunya mengganggu manusia.”

(HR Muslim, 1914)

Badruddin al-‘Aini r berkata:

“Di dalam hadith ini terdapat dalil akan keutamaan menghilangkan gangguan daripada jalan dan ia merupakan cabang keimanan yang paling rendah. Sekiranya Allah z mensyukuri hamba-Nya dan mengampuniya disebabkan perbuatannya menghilangkan ranting berduri daripada jalan, maka tidaklah diketahui apakah keutamaan yang disediakan untuknya apabila dia melakukan sesuatu yang lebih tinggi daripada itu.”

(‘Umdat Al-Qari, j. 8, h. 257)

Daripada Sahl r, beliau berkata, bahawa Rasulullah s bersabda:

“Aku dan orang yang menguruskan anak yatim di dalam syurga kelak adalah seperti ini.” Baginda mengisyaratkan dengan jari telunjuk dan jari tengah, dan baginda merenggangkan sedikit di antara kedua-duanya.

(HR al-Bukhari, 5304 dan Muslim, 2983)

Al-Hafiz Ibn Hajar r berkata:

“Berkata Syeikh kami di dalam ‘Syarh al-Tirmizi’:

‘Barangkali hikmah daripada penyerupaan orang yang mengurus anak yatim dengan baginda dalam hal memasuki syurga; atau penyerupaan kedudukan orang yang mengurus anak yatim di dalam syurga kelak dekat dengan Nabi atau dekat dengan kedudukan Nabi; adalah kerana Nabi diutuskan kepada kaum yang tidak memahami urusan agama mereka lalu baginda menjadi orang yang mengurus mereka, mengajar dan membimbing mereka. Demikian pula halnya dengan orang yang mengurus anak yatim, dia berusaha mengurus orang yang tidak memahami urusan agamanya dan bahkan urusan dunianya juga. Dia membimbing, mengajar dan memperbaiki adabnya, maka nyatalah [dengan itu] akan kesesuaian di antara mereka berdua (Nabi dan orang yang mengurus anak yatim).”

(Fath Al-Bari, j. 10 h. 437)

Bahkan rahmat syariat ini meliputi juga akan haiwan dan binatang. Daripada Syaddad bin Aus r, beliau berkata:

“Ada dua perkara yang aku hafal daripada Rasulullah s, baginda bersabda: ‘Sesungguhnya Allah telah menetapkan ihsan ke atas segala sesuatu. Apabila kamu membunuh maka bunuhlah dengan cara yang baik dan apabila kamu menyembelih maka sembelihlah dengan cara yang baik. Hendaklah salah seorang dari kamu menajamkan pisau sembelihannya sehingga dengan itu, dia menenangkan binatang sembelihannya’.”

(HR Muslim, 1955)

Imam al-Nawawi r berkata:

“Hendaklah seseorang itu menenangkan binatang sembelihannya dengan cara menajamkan pisau, mempercepat penyembelihannya dan selain itu. Disarankan untuk tidak mengasah pisau di hadapan binatang sembelihannya dan tidak menyembelih seekor binatang di hadapan binatang yang lain dan tidak mengheretnya menuju tempat penyembelihannya. Sabda baginda s:

“Maka bunuhlah dengan cara yang baik”,

adalah am merangkumi seluruh perkara yang dibunuh baik berupa penyembelihan, pembunuhan kerana hukum qisas, penegakan hukum hudud dan yang semisal itu. Hadith ini termasuk di antara hadith-hadith yang mencakup kaedah-kaedah Islam, وَاللَّهُ أَعلَمُ.”

(Al-Minhaj, j. 13, h. 107)

Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar r , bahawa Rasulullah s bersabda:

“Seorang wanita diseksa kerana seekor kucing, dia menahan kucing tersebut sehingga mati lalu dia dimasukkan ke dalam neraka disebabkan itu. Dia tidak memberi makan kepadanya, tidak memberi minum kepadanya tatkala dia menahannya, dan tidak juga dia membiarkannya makan daripada serangga-serangga di tanah.”

(HR al-Bukhari, 3482 dan Muslim, 2242)

Imam al-Nawawi r berkata:

“Di dalam hadith ini terdapat dalil tentang keharaman membunuh kucing dan menahannya tanpa makanan dan minuman. Adapun keadaan di mana wanita tersebut dimasukkan ke dalam neraka disebabkan hal itu, maka zahir daripada hadith ini menunjukkan bahawa dia pada asalnya merupakan seorang muslimah, hanyalah dia dimasukkan ke dalam neraka dengan sebab kucing tersebut.”

(Al-Minhaj, j. 14, h. 240)

Daripada Sa’id bin Jubair r, beliau berkata:

“Ibn ‘Umar pernah melintasi sekelompok pemuda Quraisy yang telah mengikat seekor burung dalam keadaan mereka melontarkan anak panah kepadanya. Mereka menjadikan habuan untuk pemilik burung tersebut berupa sebatang anak panah setiap kali panahan mereka tidak menepati sasarannya. Tatkala mereka melihat Ibn ‘Umar, segera mereka membubarkan permainan itu. Maka Ibn ‘Umar berkata: ‘Siapakah yang melakukan ini? Semoga Allah melaknat siapa melakukan ini. Sesungguhnya Rasulullah s telah melaknat sesiapa yang menjadikan sesuatu yang bernyawa sebagai sasaran’.”

(HR Muslim, 1958)

Imam Ibn ‘Abdil Barr r berkata:

“Rasulullah s mengharamkan perbuatan mencincang binatang, perbuatan menjadikan sesuatu yang benyawa sebagai sasaran [panah dan sebagainya], dan perbuatan menahan binatang dalam keadaan ia masih hidup.

Hal ini mencakupi binatang yang boleh dimakan dan yang tidak boleh dimakan dan ia telah disepakati oleh para ulama muslimin.”

(Al-Istizkar, j. 4, h. 157)

Hukum membunuh binatang yang berbahaya adalah boleh. Daripada ‘Abdullah bin Mas’ud r, beliau berkata:

“Kami pernah bersama Nabi s di dalam sebuah gua dalam keadaan telah turun ke atas baginda surah Al-Mursalat, maka kami mengambil ayat-ayat itu daripada mulut baginda dalam keadaan masih segar, tiba-tiba keluar seekor ular menuju ke arah kami. Baginda bersabda:

‘Bunuhlah ia’.

Maka kami berlumba-lumba untuk membunuhnya namun ia lebih mendahului kami masuk ke dalam lubangnya. Kemudian Rasulullah s bersabda:

‘Allah telah melindungi ular tersebut daripada keburukan kamu sebagaimana Dia telah melindungi kamu daripada keburukannya.’

(HR al-Bukhari, 3317 dan Muslim, 2234)

Al-Hafiz Ibn Hajar r berkata:

“Sabda baginda:

“Ia dilindungi daripada keburukan kamu dan kamu juga dilindungi daripada keburukannya”

Iaitu: Pembunuhan kamu kepadanya. Yang demikian itu merupakan keburukan jika dilihat dari sudut pandang ular tersebut meskipun ianya baik jika dilihat dari sudut pandang mereka. Di dalam hadith ini terdapat dalil akan bolehnya membunuh ular di tanah suci dan boleh membunuh ular di dalam lubangnya.”

(Fath Al-Bari, j. 6, h. 357)

Kita kembali semula kepada penyebutan rahmat syariat ini terhadap binatang. Daripada Qurrah bin Iyas al-Muzani r:

“Bahawasanya ada seorang lelaki berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya menyembelih kambing dalam keadaan saya mengasihinya’ Atau dia berkata: ‘Sesungguhnya saya benar-benar mengasihi kambing sekiranya saya menyembelihnya.’ Maka baginda bersabda: ‘Kambing itu, sekiranya kamu mengasihinya, nescaya Allah akan mengasihi kamu’.”

(HR Ahmad, 15630 dan al-Bukhari di dalam “Al-Adab Al-Mufrad”, 373. Sanadnya sahih).

Daripada Abu Hurairah r, bahawa Rasulullah s bersabda:

“Ketika seorang lelaki sedang berjalan, dia tertimpa rasa dahaga yang amat sangat. Lalu dia turun ke dalam sebuah perigi dan minum daripadanya. Setelah itu dia keluar dan mendapati ada seekor anjing yang mengeluarkan lidahnya memakan tanah kerana dahaga. Dia berkata:

‘Sungguh anjing ini telah tertimpa dahaga sebagaimana yang menimpa diriku tadi.’

Lalu dia memenuhkan kasutnya dengan air kemudian dia memegang kasutnya tersebut dengan mulutnya lalu memanjat kembali ke atas dan memberi minum kepada anjing tersebut. Dengan sebab itu Allah mensyukurinya dan mengampuninya.” Mereka berkata:

‘Wahai Rasulullah, Adakah kita akan mendapatkan pahala dengan sebab binatang ternakan?’

Baginda bersabda:

‘Pada setiap binatang yang memiliki jantung yang basah, ada pahala’.”

(HR al-Bukhari, 2363 dan Muslim, 2244)

Imam Ibn ‘Abdil Barr r berkata:

“Di dalam hadith ini terdapat dalil bahawa dalam perbuatan ihsan kepada binatang ternakan baik yang dimiliki atau yang tidak dimiliki, ada padanya pahala yang besar yang mana dengan itu Allah menghapuskan dosa dan kesalahan. Di dalamnya juga terdapat dalil bahawa dalam perbuatan jahat kepada binatang-binatang tersebut ada dosa sesuai dengan kadar kejahatan yang dilakukan. Yang demikian itu kerana berbuat ihsan kepada binatang, sekiranya ia membuahkan pahala maka tidak boleh tidak, sudah tentu di dalam berbuat jahat kepadanya akan membuahkan dosa.”

(Al-Istizkar, j. 8, h. 370)

Daripada Abu Hurairah r, beliau berkata bahawa Nabi s bersabda:

“Ketika seekor anjing sedang mengelilingi sebuah perigi, hampir-hampir rasa dahaga membunuhnya, tiba-tiba ia dilihat oleh seorang pelacur dari kalangan para pelacur Bani Israil. Kemudian wanita itu mencabut kasutnya lalu memberi minum kepada anjing tersebut, maka dia diampunkan dengan sebab itu.”

(HR al-Bukhari, 3467)

Daripada Sahl bin Hanzaliyyah al-Ansari sahabat Rasulullah s, beliau berkata:

“… Dan Rasulullah s keluar kerana suatu hajat lalu baginda melalui seekor unta jantan yang sedang melutut di hadapan pintu masjid sejak awal pagi, kemudian baginda melaluinya lagi pada akhir petang dalam keadaan ia seperti itu juga. Lalu baginda bersabda:
‘Di manakah pemilik unta ini?’

Pemiliknya dicari namun tidak didapatkan. Maka Rasulullah s bersabda:

‘Bertakwalah kamu kepada Allah terhadap binatang-binatang ini. Tunggangilah ia dalam keadaan sihat dan tunggangilah ia dalam keadaan gemuk.’

Seakan-akan baginda marah terhadap apa yang berlaku tadi.”

(HR Ahmad, 17662 dan ia dinilai sahih oleh Imam al-Wadi’i di dalam ‘Al-Jami’ Al-Sahih Min Ma Laisa Fi Al-Sahihain’, 2210)

Al-Thibi r berkata:

“Di dalam hadith ini terdapat dorongan untuk selalu memeriksa makanan binatang ternakan agar ia terus bersedia dan layak digunakan untuk memenuhi keinginan kamu. Sekiranya kamu ingin menungganginya, maka tunggangilah ia dalam keadaan ia layak ditunggangi, kuat untuk berjalan. Sekiranya kamu ingin membiarkannya untuk dimakan, maka persiapkanlah ia agar menjadi gemuk dan layak untuk dimakan.”

(Mirqat Al-Mafatih, j. 10, h. 367)

Daripada ‘Abdullah bin Ja’far r, beliau berkata:

“Rasulullah s pernah memboncengku pada suatu hari di belakang baginda lalu membisikkan kepadaku sesuatu yang tidak akan aku khabarkan kepada sesiapapun selama-lamanya. Adalah Rasulullah s, perkara yang paling baginda suka untuk menutupi diri ketika membuang hajat ialah timbunan tanah yang tinggi atau dinding pokok kurma. Pada suatu hari, baginda masuk ke dalam salah satu daripada kebun-kebun Ansar dan tiba-tiba sahaja datang seekor unta jantan dalam keadaan melenguh dan mengalir air matanya. Tatkala ia melihat Nabi s, ia berbunyi sambil air matanya berlinangan lalu Rasulullah s mengusap belakang badannya dan belakang telinganya lalu ia tenang. Maka baginda bersabda:

‘Siapakah pemilik unta ini?’

Kemudian datang seorang pemuda dari kalangan Ansar lalu berkata:

‘Ia kepunyaan saya wahai Rasulullah.’

Sabda baginda:

‘Tidakkah kamu bertakwa kepada Allah terhadap binatang ternakan yang telah Allah kuasakan kamu ke atasnya ini? Sesungguhnya ia mengadu kepadaku bahawa kamu membuatnya lapar dan kamu membebaninya dengan bebanan yang berat’.”

(HR Ahmad, 1745 dan ia dinilai sahih oleh Imam al-Wadi’i di dalam ‘Al-Jami’ Al-Sahih Min Ma Laisa Fi Al-Sahihain’, 2264)

Sebagaimana syariat Allah ini merupakan rahmat bagi semesta alam, demikian juga Rasul-Nya yang mulia s. Baginda merupakan seorang yang penyayang lagi penuh belas kasihan. Firman Allah تَعَالَى:

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat bersemangat (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”

(QS: Al-Taubah, 9 : 128)

Imam Ibn Kathir s berkata:

“Firman Allah:

“Yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu”,

Iaitu menjadi berat ke atas baginda apa sahaja yang menyusahkan umat baginda dan menyukarkan mereka.”

(Tafsir Al-Qur’an Al-‘Azhim, j. 4, h. 241)

Perkataan (العَنَت) membawa maksud: Masuknya kesusahan dan bertemu dengan kesukaran sebagaimana yang disebutkan di dalam ‘Lisan al-‘Arab’.

Imam al-Thabari r berkata:

“Ia (العَنَت) adalah: Masuknya kesusahan, perkara yang dibenci dan gangguan ke atas mereka.”

(Jami’ Al-Bayan, j. 14, h. 584)

Imam Ibn Kathir r berkata:

“Firman Allah:

“Yang sangat bersemangat (inginkan) kebaikan bagi kamu”,

Iaitu sangat menginginkan hidayah untuk kamu dan sangat menginginkan agar manfaat di dalam urusan dunia dan akhirat sampai kepada kamu.”

(Tafsir Al-Qur’an Al-‘Azhim, j. 4, h. 241)

Imam al-Qurthubi r berkata:

“Firman Allah:

“Dan ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman”.

Perkataan (رَؤُوف) membawa erti: Seorang yang memiliki sifat kasih sayang dan belas kasihan yang amat sangat.”

(Al-Jami’, j. 8, h. 302)

Al-‘Allamah Ibn Batthal r berkata:

“Dan baginda s sama sekali tidak pernah mencaci seseorang dan tidak pernah mengganggu seseorang kerana ingin berlaku zalim kepadanya.

Hanyalah baginda melakukan sesuatu daripada hal itu menurut apa yang wajib di dalam syariat baginda. Baginda selalu meninggalkan pembalasan [sekiranya gangguan itu ditujukan] kepada baginda secara peribadi disebabkan apa yang telah Allah fitrahkan di dalam diri baginda memiliki sifat memaafkan dan berakhlak mulia, s.”

(Syarh Sahih Al-Bukhari, j. 5, h. 175)

Demikianlah sifat para Nabi s mereka adalah orang-orang yang sangat mengasihi kepada manusia. Antara kerahmatan mereka ialah menunjukkan kepada umat mereka akan apa sahaja kebaikan yang mereka ketahui dan memperingatkan umat mereka akan apa sahaja keburukan yang mereka ketahui.

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Aas r:

“Kami pernah bermusafir bersama-sama Rasulullah s lalu kami singgah di suatu tempat persinggahan maka ada di antara kami yang membaiki khemahnya, ada yang berlatih memanah dan ada juga yang sekadar duduk di atas binatang tunggangannya sehingga tiba-tiba pemanggil Rasulullah menyerukan:

“(Hadirilah) solat berjemaah!”

lalu kami berhimpun di sekeliling Rasulullah s. Baginda bersabda:

“Sesungguhnya tidak ada seorang nabi pun sebelumku melainkan wajib ke atasnya untuk menunjukkan kepada umatnya akan apa sahaja kebaikan yang dia ketahui untuk mereka dan (wajib juga) memperingatkan kepada umatnya akan apa sahaja keburukan yang dia ketahui untuk mereka. Sesungguhnya umat kamu ini dijadikan keselamatannya pada generasi terawalnya. Generasi terakhirnya akan tertimpa bala dan perkara-perkara yang kamu semua ingkari. Akan datang fitnah, lalu sebahagiannya menjadikan sebahagian yang lain terasa ringan. Akan datang fitnah, lalu seorang mukmin mengatakan: ‘Inilah dia fitnah yang akan membinasakan diriku’ Kemudian fitnah tersebut disingkap. Datang pula fitnah yang lain lalu seorang mukmin mengatakan: ‘Inilah dia, inilah dia’. Maka barangsiapa yang suka untuk dirinya dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka hendaklah kematian datang kepadanya dalam keadaan dia beriman kepada Allah dan hari akhir. Dan hendaklah seseorang itu datang kepada manusia yang lain sebagaimana yang dia suka untuk dirinya didatangi…”

(HR Muslim, 1844)

Imam Abu Syamah r berkata:

“Rasul telah menyampaikan risalah dengan penyampaian yang sangat terang dan baginda tidak meninggalkan satu jalan pun yang dapat menyampaikan ke syurga dan dapat menjauhkan dari neraka melainkan pasti telah baginda jelaskannya kepada umat, sebagaimana yang telah sabit di dalam hadith yang sahih daripada ‘Abdullah bin ‘Amru r bahawa Rasulullah s bersabda:

“Sesungguhnya tidak ada seorang nabi pun sebelumku melainkan wajib ke atasnya untuk menunjukkan kepada umatnya akan apa sahaja kebaikan yang dia ketahui untuk mereka dan (wajib juga) memperingatkan kepada umatnya akan apa sahaja keburukan yang dia ketahui untuk mereka.”

Diriwayatkan oleh Muslim di dalam Sahih-nya. Telah dimaklumi bahawa Nabi kita s merupakan Nabi yang paling utama dari kalangan para nabi yang lain, baginda merupakan penutup bagi mereka dan merupakan Nabi yang paling sempurna penyampaian dan nasihatnya.”

(Al-Ba’ith ‘Ala Inkar Al-Bida’ Wa Al-Hawadith, h. 108)

Termasuk di antara perkara yang menunjukkan kepada besarnya kesabaran Rasulullah s atas gangguan di jalan Allah demi kemaslahatan umat adalah hadith Thariq al-Muharibi r, beliau berkata:

“Aku pernah melihat Rasulullah s lalu di pasar Dzi al-Majaz dalam keadaan baginda mengenakan pakaian berwarna merah. Baginda menyeru:

‘Wahai sekalian manusia, ucapkanlah (لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ) nescaya kamu akan beruntung.”

Baginda diikuti oleh seorang lelaki yang melemparkan batu kerikil ke arah baginda sehingga mendarahkan kedua-dua buku lali baginda dan kedua-dua urat yang ada di atasnya. Lelaki tersebut mengatakan:

‘Wahai sekalian manusia, janganlah kamu semua menurutinya kerana sesungguhnya dia ini pendusta.’

Lalu aku bertanya:

‘Siapakah orang ini?’

Mereka menjawab:

‘Dia adalah seorang pemuda Bani Abdul Mutthalib.’

Lalu aku bertanya lagi:

‘Siapakah pula orang yang mengikutinya sambil melemparkan kepadanya batu-batu ini?’

Mereka menjawab:

‘Dia adalah ‘Abdul Uzza, Abu Lahab.’

(HR Ibn Khuzaimah di dalam ‘Al-Sahih’, 159 dan ia dinilai sahih oleh Imam al-Wadi’i di dalam ‘Al-Jami’ Al-Sahih Min Ma Laisa Fi Al-Sahihain’, 2212)

Syaikh al-Islam r berkata:

“Dan sentiasalah Rasulullah s mengumumkan dakwah baginda dan menampilkan risalah baginda serta menyeru para makhluk semuanya kepada risalah tersebut sedang mereka menyakiti baginda, membantah baginda, melukakan baginda, dan menolak baginda dengan seburuk-buruk penolakan dan baginda tetap bersabar atas gangguan mereka tersebut.”

(Al-Jawab Al-Sahih, j. 1, h. 389)

Daripada Abu Sa’id al-Khudri r, beliau berkata:

“Tatkala Rasulullah s memberikan apa yang baginda berikan berupa pemberian [daripada harta rampasan perang] kepada kaum Quraisy dan kabilah-kabilah arab sementara orang-orang Ansar tidak mendapatkan sedikitpun daripada pemberian tersebut, maka penduduk suatu kampung dari kalangan Ansar mendapatkan sesuatu (iaitu: rasa kesal) di dalam diri mereka dan timbul banyak perbincangan di antara mereka tentang hal itu sehingga sebahagian mereka mengatakan:

‘Rasulullah s telah berjumpa dengan kaum baginda.’

Maka Sa’ad bin ‘Ubadah masuk bertemu baginda dengan mengatakan:

‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya penduduk kampung ini telah mendapatkan sesuatu di dalam diri mereka disebabkan apa yang anda lakukan tentang harta fai’ yang anda dapatkan ini, di mana anda memberikannya kepada kaum anda dan anda memberikan pemberian yang sangat banyak kepada kabilah-kabilah arab sementara penduduk kampung dari kalangan Ansar ini tidak mendapatkan sedikitpun daripada pemberian tersebut.’

Baginda bersabda:

‘Maka di manakah kedudukan kamu wahai Sa’ad dalam hal ini?’

Beliau menjawab:

‘Wahai Rasulullah, tidaklah saya melainkan salah seorang daripada ahli kaum saya, siapalah saya ini?’

Baginda bersabda:

‘Kalau begitu, himpunkanlah kaum kamu di dalam kandang ini.’

Sa’ad lalu keluar dan menghimpunkan orang ramai di dalam kandang tersebut. Kemudian datang beberapa orang lelaki dari kalangan Muhajirin dan beliau membiarkan mereka masuk. Datang pula beberapa orang yang lain dan beliau menolak mereka (iaitu: tidak membenarkan mereka masuk). Tatkala mereka semua telah berhimpun, Sa’ad pun mendatangi baginda lalu berkata:

‘Penduduk desa dari kalangan Ansar tersebut telah berhimpun menunggu kedatangan anda.’

Lalu Rasulullah s mendatangi mereka kemudian baginda memuji Allah dan menyanjung-Nya dengan pujian dan sanjungan yang layak bagi-Nya kemudian baginda bersabda:

‘Wahai sekalian orang-orang Ansar, perkataan apakah ini yang telah sampai kepadaku tentang kamu semua? Iaitu rasa kesal yang kamu dapatkan di dalam diri kamu. Bukankah aku telah mendatangi kamu dalam keadaan kamu tersesat lalu Allah memberikan petunjuk hidayah kepada kamu? Miskin lalu Allah menjadikan kamu semua kaya raya? Saling bermusuhan lalu Allah melunakkan di antara hati-hati kamu?’

Mereka mengatakan:

‘Bahkan Allah dan Rasul-Nya lebih banyak limpah kurnia dan lebih utama.’

Baginda bersabda:

‘Kenapakah kamu semua tidak menjawab [pertanyaan]ku wahai sekalian orang-orang Ansar?’

Mereka mengatakan:

‘Dengan apakah kami menjawab [pertanyaan] anda wahai Rasulullah? Milik Allah dan Rasul-Nya limpah kurnia dan keutamaan.’

Baginda bersabda:

‘Demi Allah kalau seandainya kamu semua mahu, nescaya kamu boleh menjawabnya -dan dengan itu kamu telah berkata benar lagi dibenarkan-: ‘Kamu telah mendatangi kami dalam keadaan didustakan lalu kami yang membenarkan kamu. Dalam keadaan ditelantarkan lalu kami yang menolong kamu. Dalam keadaan terusir lalu kami yang melindungi kamu. Dalam keadaan miskin lalu kami yang mencukupkan diri kamu.’

Adakah kamu berasa kesal wahai orang-orang Ansar dalam hal tumbuhan dunia yang dengan itu aku melunakkan hati sebahagian orang agar mereka memeluk Islam sementara aku menyerahkan kamu semua kepada keislaman kamu? Tidakkah kamu semua reda wahai orang-orang Ansar, manusia semuanya membawa pergi kambing dan unta sementara kamu semua membawa pergi Rasulullah di rumah-rumah kamu?

Demi Zat yang jiwa Muhammad di tangan-Nya, kalau bukan kerana hijrah, nescaya aku adalah salah seorang dari kalangan Ansar. Kalau seandainya manusia semuanya menempuh suatu celah, dan orang-orang Ansar menempuh celah yang lain, nescaya aku akan menempuh celah yang ditempuhi oleh orang-orang Ansar. Ya Allah, rahmatilah Ansar, anak-anak Ansar dan cucu-cucu Ansar.’

Maka menangislah mereka semua sehingga membasahi janggut-janggut mereka. Mereka mengatakan:

‘Kami reda dengan Rasulullah sebagai pembahagian untuk kami.’

Kemudian Rasulullah s berlalu pergi dan mereka pun bersurai.”

(HR Ahmad, 11748 dan ia dinilai hasan oleh Imam al-Wadi’i di dalam ‘Al-Jami’ al-Sahih Min Ma Laisa Fi al-Sahihain’, 2409)

Imam Ibn Hajar r berkata:

“Hanyalah hal itu diucapkan oleh baginda s sebagai bentuk tawaduk dan keadilan dari diri baginda kerana pada hakikatnya; hujah yang mendalam serta limpah kurnia yang nyata dalam seluruh perkara yang disebutkan adalah milik baginda yang diberikan kepada mereka kerana kalau seandainya bukan kerana hijrah baginda kepada mereka dan menetapnya baginda di sisi mereka, nescaya tidak ada perbezaan di antara mereka dengan orang-orang lain. Baginda telah memperingatkan akan hal tersebut dengan sabda baginda:

“Tidakkah kamu semua reda …”
-sampai akhir hadith-.

Maka baginda memperingatkan mereka akan hal yang mereka lalai daripadanya, iaitu besarnya apa yang telah dikhususkan untuk mereka dengan baginda dibandingkan apa yang diperolehi oleh orang-orang lain berupa kesenangan dunia yang sirna.”

(Fath Al-Bari, j. 8, h. 51)

Termasuk di antara dalil yang menunjukkan kepada agungnya rahmat Rasulullah s kepada umat baginda adalah hadith ‘Abdullah bin ‘Amru r:

“Bahawa Nabi r membaca firman Allah z di dalam surah Ibrahim:

“Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat ramai dari kalangan umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang mengikutiku, maka ia adalah dari golonganku.”

Dan ucapan ‘Isa s:

“Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Lalu baginda mengangkat kedua-dua tangan dan berdoa:

‘Ya Allah, umatku umatku.’

Dan baginda menangis. Lalu Allah z berfirman:

‘Wahai Jibril, pergilah engkau kepada Muhammad -dan Tuhanmu lebih mengetahui- dan tanyakanlah kepadanya apa yang menyebabkan dirinya menangis.’

Kemudian Jibril a mendatangi baginda lalu bertanyakan hal tersebut. Maka Rasulullah s mengkhabarkan kepadanya tentang apa yang baginda katakan -dan Allah lebih mengetahui-. Lalu Allah berfirman:

‘Wahai Jibril, pergilah engkau kepada Muhammad dan katakanlah kepadanya:

‘Sesungguhnya Kami akan menjadikan engkau reda terhadap umatmu dan Kami tidak akan menyusahkan dirimu’.”

(HR Muslim, 202)

Imam al-Nawawi r berkata:

“Hadith ini meliputi sekian banyak faedah. Antaranya ialah: Penjelasan tentang kesempurnaan belas kasihan Nabi s kepada umat baginda dan keprihatinan baginda terhadap maslahat mereka serta kepedulian baginda terhadap urusan mereka.

Antara faedahnya: Disunnahkan mengangkat kedua-dua tangan dalam berdoa.

Antara faedahnya: Khabar gembira yang sangat besar untuk umat ini -semoga Allah menambahkan kemuliaan untuknya- dengan apa yang dijanjikan oleh Allah تَعَالَى dengan firman-Nya:

“Sesungguhnya Kami akan menjadikan engkau reda terhadap umatmu dan Kami tidak akan menyusahkan dirimu.”

Ini merupakan di antara hadith yang paling memberikan harapan kepada umat ini atau ia sememangnya hadith yang paling memberikan harapan.

Antara faedahnya: Penjelasan akan besarnya kedudukan Nabi s di sisi Allah تَعَالَى dan agungnya kelembutan Allah سُبحَانَه kepada diri baginda s. Hikmah daripada pengutusan Jibril untuk bertanya kepada baginda s ialah untuk menzahirkan kemuliaan Nabi s dan bahawasanya baginda s berada pada kedudukan yang tertinggi sehingga diminta keredaan baginda dan dimuliakan dengan hal yang akan menjadikan diri baginda reda, وَاللَّهُ أَعلَمُ.”

(Al-Minhaj, j. 3, h. 78-79)

Termasuk di antara dalil yang menunjukkan akan kedermawanan, kesabaran dan rahmat baginda s juga adalah hadith Jubair bin Muth’im s:

“Bahawa sesungguhnya dirinya pernah berjalan bersama Rasulullah s dan bersama baginda ada orang-orang yang pulang dari Hunain. Lalu orang ramai mula mengerumuni baginda dan meminta hajat kepada baginda sehingga mereka mendesak baginda sampai ke pokok Samur dan selendang baginda turut dirampas. Maka Nabi s berdiri dengan berkata:

‘Berikanlah kepadaku selendangku itu. Kalau seandainya aku memiliki unta sebanyak duri di pokok ini, nescaya aku akan membahagikannya kepada kamu kemudian pasti kamu tidak akan mendapatiku merupakan seorang yang kedekut, pendusta atau pengecut’.”

(HR al-Bukhari, 2821)

Badr al-Din al-‘Aini r berkata:

“Ini termasuk ucapan yang menyeluruh (jawami’ kalim) kerana asas bagi akhlak [yang mulia] ialah kebijaksanaan (hikmah), kedermawanan (karam) dan keberanian (syaja’ah).

Baginda mengisyaratkan dengan ketiadaan sifat dusta untuk menunjukkan kepada kesempurnaan kekuatan akal iaitulah kebijaksanaan (hikmah). Dan baginda mengisyaratkan dengan ketiadaan sifat takut untuk menunjukkan kepada kesempurnaan kekuatan amarah iaitulah keberanian (syaja’ah) dan baginda mengisyaratkan dengan ketiadaan sifat kedekut untuk menunjukkan kepada kesempurnaan kekuatan keinginan iaitulah kedermawanan (karam).

Tiga perkara ini merupakan ibu kepada akhlak yang mulia. Yang pertama ialah martabat orang-orang yang selalu membenarkan (siddiqun). Yang kedua ialah martabat orang-orang yang mendapatkan syahid (syuhada’) dan yang ketiga ialah martabat orang-orang yang taat lagi patuh (salihun). Ya Allah, jadikanlah kami semua dari kalangan mereka.”

(‘Umdat Al-Qari, j. 21, h. 250)

Daripada Anas bin Malik r, beliau berkata:

“Aku pernah berjalan bersama-sama Nabi s dan baginda mengenakan kain burdah dari Najran yang kasar bahagian hujungnya. Kemudian baginda didatangi oleh seorang arab badwi lalu dia menarik kain tersebut dengan kuat sehingga aku dapat melihat kepada sisi bahu Nabi s yang telah berbekas oleh tepi kain tersebut disebabkan kuatnya tarikan. Kemudian arab badwi tersebut berkata:

‘Perintahkanlah kepadaku agar diberikan sebahagian daripada harta Allah yang ada padamu.’

Maka baginda berpaling ke arahnya lalu tertawa. Kemudian baginda memerintahkan agar orang tersebut diberikan pemberian.”

(HR al-Bukhari, 3149 dan Muslim, 1057)

Imam Ibn Hajar r berkata:

“Di dalam hadith ini terdapat penjelasan tentang sifat hilm (iaitu: tidak tergesa-gesa dalam menghukum) bagi Nabi s dan kesabaran baginda terhadap gangguan pada diri dan harta baginda.

Di dalamnya juga terdapat penjelasan tentang pemaafan baginda terhadap kekerasan orang yang baginda ingin untuk melunakkan hatinya kepada Islam, agar para pemimpin setelah itu meneladani baginda dalam berakhlak dengan akhlak yang indah berupa pemaafan, diam dan memaafkan serta menolak [keburukan] dengan cara yang lebih baik.”

(Fath Al-Bari, j. 10, h. 506)

Sesungguhnya penjelasan ini hanyalah setitik daripada lautan kebaikan Rasulullah s yang telah difirmankan oleh Allah kepada baginda:

“Dan sesungguhnya engkau tetap beroleh pahala yang amat besar, yang tidak putus-putus. ۞ Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.”

(QS: Al-Qalam, 68 : 3-4)

Imam Ibn Kathir r berkata:

“Firman Allah:

“Dan sesungguhnya engkau tetap beroleh pahala yang amat besar, yang tidak putus-putus”,

Iaitu: ‘Bahkan engkau akan mendapatkan ganjaran yang sangat besar dan pahala yang sangat banyak yang tidak terputus dan tidak habis disebabkan penyampaianmu terhadap risalah Tuhan-Mu kepada para makhluk dan juga disebabkan kesabaranmu terhadap gangguan mereka.’

-sampai kepada ucapan beliau:-

‘Dan makna ini adalah bahawasanya baginda s; ketaatan kepada Al-Quran -perintah dan larangan- telah menjadi perwatakan bagi diri baginda dan akhlak yang baginda latih sehingga menjadi sebuah tabiat dan baginda meninggalkan tabiat asal (iaitu: tabiat keumuman manusia).

Maka apa sahaja yang diperintahkan oleh Al-Quran kepada baginda, baginda kerjakan dan apa sahaja yang dilarangnya, baginda tinggalkan. Inilah yang telah difitrahkan oleh Allah ke dalam diri baginda berupa akhlak yang agung seperti sifat malu, dermawan, berani, selalu memaafkan dan hilm serta seluruh akhlak yang indah sebagaimana yang telah sabit di dalam Al-Sahihain daripada Anas, beliau berkata:

“Aku telah berkhidmat kepada Rasulullah s selama sepuluh tahun dan baginda tidak pernah sekalipun mengucapkan perkataan ‘Uff’ kepadaku. Baginda juga tidak pernah berkata tentang sesuatu yang aku kerjakan: ‘Kenapa engkau melakukan hal ini?’ Tidak juga berkata tentang sesuatu yang tidak aku kerjakan: ‘Kenapa engkau tidak melakukannya?’.”

“Adalah Rasulullah s merupakan orang yang paling baik akhlaknya.”

“Aku tidak pernah menyentuh kain sutera yang kasar mahupun kain sutera yang licin atau apa sahaja yang lebih lembut daripada telapak tangan Rasulullah s

dan aku tidak pernah menghidu bau kasturi atau minyak wangi yang lebih harum baunya daripada peluh Rasulullah s.”

(Tafsir Al-Qur’an Al-‘Azhim, j. 8, h. 188-189)

Google trends: india hina nabi muhammad, kisah pendek nabi muhammad, hari lahir nabi muhammad 2022, kurniakanlah dapat melihat wajah mulia nabi muhammad, hari kelahiran nabi muhammad 2022, keturunan nabi muhammad, doa nabi muhammad kepada ibnu abbas, tema maulidur rasul 2022, keturunan nabi muhammadd ke-40, maulidur rasul 2022, pakcik nabi muhammad, cicit nabi muhammad, hina nabi muhammad, selawat maulidur rasul