BEBERAPA HAK RASULULLAH KE ATAS ORANG-ORANG YANG BERIMAN (BAHAGIAN 2)

YANG KETIGA: Menolong Baginda Dan Agama Baginda

Firman Allah تَعَالَى:

“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: ‘Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah’, kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.

Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah – membela agamaNya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Kalau kamu tidak menolongnya maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: ‘Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita’. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(QS: Al-Taubah, 9 : 38-40)

Syaikh al-Islam r berkata:

“Maka sungguh Allah telah menjelaskan di dalam Kitab-Nya akan hak-hak Rasul [ke atas kita] seperti: Memberikan ketaatan kepada baginda, mencintai baginda, memuliakan baginda, menghormati baginda, menolong baginda, menjadikan baginda sebagai hakim pemutus, meredai hukum baginda, menyerahkan diri kepada baginda, mengikuti baginda, berselawat dan salam ke atas baginda, mendahulukan baginda melebihi diri, keluarga dan harta, mengembalikan hal yang diperselisihkan kepada baginda dan selain itu daripada hak-hak [yang sabit untuk baginda ke atas kita].”

(Majmu’ al-Fatawa, j. 1, h. 68)

Allah telah menjanjikan orang yang menolong-Nya dan Rasul-Nya dengan pertolongan, keteguhan dan kejayaan. Firman Allah تَعَالَى:

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu menolong (agama) Allah nescaya Allah menolong kamu dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”

(QS: Muhammad, 47 : 7)

Dan firman Allah تَعَالَى:

“Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya, sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.”

(QS: Al-Hajj, 22 : 40)

Imam al-Sa’di r berkata:

“Ini adalah perintah daripada Allah تَعَالَى kepada orang-orang yang beriman, iaitu untuk mereka menolong Allah dengan cara menegakkan agama-Nya, berdakwah kepada-Nya, berjuang melawan musuh-musuh-Nya dan menjadikan tujuan itu semua hanya kerana mengharapkan wajah Allah. Kerana sesungguhnya, apabila mereka melaksanakan perintah tersebut, nescaya Allah akan menolong mereka dan meneguhkan kaki-kaki mereka, iaitu: Mengikat dengan kuat akan hati-hati mereka dengan kesabaran, ketenangan, keteguhan dan menjadikan badan-badan mereka dapat bersabar menempuh hal itu serta memberikan pertolongan kepada mereka dalam melawan musuh-musuh mereka.

Maka ini adalah janji daripada Yang Maha Mulia, jujur janjinya bahawa orang yang menolong-Nya dengan perkataan dan perbuatan, nescaya Maulanya (Tuan-Nya iaitu: Allah) juga akan menolong dirinya pula dan Dia akan memudahkan untuknya sebab-sebab mendapatkan pertolongan berupa keteguhan dan selain itu.”

(Taisir al-Karim al-Rahman, h. 785)

Dan firman Allah سُبحَانَه:

“Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya, mereka itulah orang-orang yang berjaya.”

(QS: Al-A’raf, 7 : 157)

Imam al-Thabari r berkata:

“Dan firman-Nya:

“Juga menolongnya”,

Iaitu: Mereka menolong baginda menghadapi musuh-musuh Allah dan musuh-musuh baginda dengan cara berjuang melawan mereka (para musuh tersebut) dan memajangkan peperangan ke atas mereka.

“Serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya”,

Iaitu: Al-Quran dan Islam.

“Mereka itulah orang-orang yang berjaya”,

Iaitu: Orang-orang yang melaksanakan amal perbuatan yang Allah جَلَّ ثَنَائُهُ sifatkan kepada para pengikut Muhammad s ini, merekalah orang-orang yang berjaya, yang mendapatkan apa yang mereka pinta dan harap dengan perbuatan mereka tersebut.”

(Jami’ al-Bayan, j. 13, h. 169)

YANG KEEMPAT: Mematuhi Perintah Dan Menjauhi Larangan Baginda

Firman Allah تَعَالَى:

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, supaya kamu diberi rahmat.”

(QS: Ali ‘Imran, 3 : 132)

Dan firman Allah تَعَالَى:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah dan RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

(QS: Al-Nisa’, 4 : 59)

Imam Ibn al-Qayyim r berkata:

“Maka Allah تَعَالَى memerintahkan [manusia] untuk taat kepada-Nya dan taat kepada Rasul-Nya. Allah mengulangi fi’il (kata kerja iaitu: ‘taatlah kamu’ di dalam ayat di atas) sebagai bentuk pemberitahuan bahawa ketaatan kepada Rasul adalah wajib secara berasingan tanpa harus memaparkan terlebih dahulu apa yang baginda perintahkan itu kepada Al-Quran. Bahkan, apabila baginda telah memerintahkan sesuatu, maka wajib untuk taat kepada baginda secara mutlak, sama sahaja baik perintah baginda tersebut ada di dalam Al-Quran atau tidak ada di dalamnya. Yang demikian itu kerana baginda telah diberikan Al-Quran dan yang semisal dengannya bersama baginda.

Allah tidak memerintahkan [manusia] untuk taat kepada para pemerintah secara berasingan. Bahkan fi’il-nya dihapuskan dan Allah menjadikan ketaatan kepada para pemerintah berada di bawah ketaatan kepada Rasul sebagai bentuk pengumuman bahawa para pemerintah itu hanyalah boleh ditaati dalam rangka taat kepada Rasul. Barangsiapa dari mereka yang memerintahkan untuk taat kepada Rasul, maka wajib ia ditaati dan barangsiapa yang memerintahkan sesuatu yang menyalahi apa yang didatangkan oleh Rasul, maka tidak boleh didengar dan ditaati.”

-sampai kepada ucapan beliau-:

“Kemudian Allah تَعَالَى memerintahkan untuk mengembalikan apa sahaja yang diperselisihkan oleh kaum mukminin kepada Allah dan Rasul-Nya sekiranya benar mereka semua beriman. Dia mengkhabarkan kepada mereka bahawa hal itu adalah lebih baik untuk mereka di dunia dan lebih baik akibatnya di hari akhirat.”

(I’lam al-Muwaqqi’in, j. 1, h. 48)

Barangsiapa yang taat kepada Rasul semata-mata, maka sungguh dia telah taat kepada Allah dan dia termasuk dari kalangan mereka yang berjaya. Barangsiapa yang durhaka kepada baginda maka dia termasuk dari kalangan orang-orang yang merugi. Firman Allah تَعَالَى:

“Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar. Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batasNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekal-lah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.”

(QS: Al-Nisa’, 4 : 13-14)

Dan firman Allah سُبحَانَه:

“Sesungguhnya Kami telah mengutus kepada kamu semua, seorang Rasul yang menjadi saksi terhadap kamu, sebagaimana Kami telah mengutus kepada Firaun seorang Rasul. Maka Firaun menderhaka kepada Rasul itu, lalu Kami menyeksakannya dengan azab seksa yang seberat-beratnya.”

(QS: Al-Muzzammil, 73 : 15-16)

Imam Ibn Kathir r berkata:

“Kemudian Allah berfirman berbicara kepada orang-orang kafir Quraisy dan yang dimaksudkan adalah keseluruhan manusia:

“Sesungguhnya Kami telah mengutus kepada kamu semua, seorang Rasul yang menjadi saksi terhadap kamu”,

Iaitu: [Menjadi saksi] terhadap amal perbuatan kamu,

“Sebagaimana Kami telah mengutus kepada Firaun seorang Rasul. Maka Firaun menderhaka kepada Rasul itu, lalu Kami menyeksakannya dengan azab seksa yang seberat-beratnya.”

Ibn ‘Abbas, Mujahid, Qatadah, al-Suddi dan al-Thauri berkata:

“dengan azab seksa yang seberat-beratnya”,

Iaitu: [Azab] yang keras. Maksudnya: Berjaga-jagalah kamu jika kamu mendustakan Rasul ini, akan ditimpakan ke atas kamu [hukuman] seperti yang ditimpakan ke atas Firaun di mana Allah menghukumnya dengan hukuman Zat Yang Maha Perkasa lagi Maha Kuasa sebagaimana yang Allah تَعَالَى firmankan:

“Maka Allah menyeksanya (Firaun) di akhirat dan di dunia ini.”

Sementara kamu semua adalah lebih layak untuk mendapatkan kebinasaan dan kehancuran sekiranya kamu mendustakan [Rasul tersebut] kerana Rasul kamu adalah lebih mulia dan lebih agung berbanding [Nabi] Musa bin ‘Imran.”

(Tafsir al-Qur’an al-‘Azhim, j. 8, h. 256)

Daripada Jabir bin ‘Abdillah r, beliau berkata:

“Datang para malaikat kepada Nabi s dalam keadaan baginda sedang tidur. Maka sebahagian mereka berkata: ‘Sesungguhnya dia sedang tidur.’ Dan berkata sebahagian yang lain: ‘Sesungguhnya matanya tidur tetapi hatinya jaga. Lalu mereka berkata: ‘Sesungguhnya pada teman kamu ini ada satu perumpamaan, buatlah untuknya satu perumpamaan.’ Maka sebahagian mereka berkata: ‘Sesungguhnya dia sedang tidur.’ Sebahagian yang lain pula berkata: ‘Sesungguhnya matanya tidur tetapi hatinya jaga.’ Lalu mereka berkata: ‘Perumpamaannya adalah seperti seseorang yang membina sebuah rumah lalu dia mengadakan jamuan di dalamnya. Kemudian dia mengutus seorang pemanggil (untuk menjemput orang ramai). Barangsiapa yang menyahut panggilan pemanggil itu, maka dia dapat masuk ke dalam rumah dan memakan daripada jamuan (yang dihidangkan). Dan barangsiapa yang tidak menyahut panggilan pemanggil itu, maka dia tidak dapat masuk ke dalam rumah dan tidak akan makan daripada jamuan.’ Mereka berkata: ‘Tafsirlah perumpamaan itu untuknya agar dia dapat memahaminya.’ Maka sebahagian mereka berkata: ‘Sesungguhnya dia sedang tidur.’ Dan berkata sebahagian yang lain: ‘Sesungguhnya matanya tidur tetapi hatinya jaga.’ Lalu mereka mengatakan: ‘Rumah itu adalah syurga dan pemanggil itu adalah Muhammad s. Barangsiapa yang taat kepada Muhammad s, maka sungguh dia telah taat kepada Allah. Dan barangsiapa yang durhaka kepada Muhammad s maka sungguh dia telah durhaka kepada Allah. Muhammad adalah pemisah di antara manusia’.”

(HR al-Bukhari, 6282)

Daripada Abu Hurairah r, daripada Rasulullah s bahawa baginda bersabda:

“Perumpamaanku adalah seperti seorang lelaki yang menyalakan api. Tatkala api tersebut telah menerangi apa yang ada di sekelilingnya, mulailah kelekatu dan binatang yang biasa mendatangi api, jatuh ke dalamnya. Maka mulailah lelaki tersebut menghalang mereka daripada masuk ke dalam api akan tetapi mereka dapat mengalahkannya dan tetap jatuh ke dalam api. Maka demikianlah perumpamaan di antara diriku dan kamu semua. Aku menahan kamu dengan memegang sabuk-sabuk kamu daripada jatuh ke dalam neraka: ‘Ke marilah dan menjauhlah dari api itu’. Akan tetapi kamu mengalahkanku dan tetap jatuh ke dalam api.”

(HR al-Bukhari, 6483 dan Muslim, 2284)

Imam al-Qurtubi r berkata:

“Ini adalah perumpamaan yang menunjukkan akan kesungguhan Nabi kita s dalam menyelamatkan kita semua dan semangat baginda dalam membebaskan kita daripada kebinasaan yang ada di hadapan kita. Maka baginda adalah lebih utama [untuk didahulukan] daripada diri-diri kita sendiri.

Disebabkan kejahilan kita tentang nilai hal ini, disebabkan syahwat kita yang telah berjaya mengalahkan kita, disebabkan keberhasilan musuh kita yang terlaknat dalam menewaskan kita, jadilah kita ini lebih hina daripada kelekatu dan lebih rendah, لَا حَولَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ العَلِيِّ العَظِيمِ.”

(Al-Jami’ Li Ahkam al-Qur’an, j. 14, h. 122)

Google trends: india hina nabi muhammad, kisah pendek nabi muhammad, hari lahir nabi muhammad 2022, kurniakanlah dapat melihat wajah mulia nabi muhammad, hari kelahiran nabi muhammad 2022, keturunan nabi muhammad, doa nabi muhammad kepada ibnu abbas, tema maulidur rasul 2022, keturunan nabi muhammadd ke-40, maulidur rasul 2022, pakcik nabi muhammad, cicit nabi muhammad, hina nabi muhammad, selawat maulidur rasul