BEBERAPA HAK RASULULLAH KE ATAS ORANG-ORANG YANG BERIMAN (BAHAGIAN 1)

Apabila kita telah mengetahui betapa besarnya kebaikan Rasulullah s kepada kita, jasa baginda ke atas kita dan pengorbanan baginda demi maslahat kita, maka menjadi kewajipan kita untuk berusaha berterima kasih kepada baginda dengan menjalankan hak-hak baginda yang telah diwajibkan ke atas kita semua. Ketahuilah bahawa hak-hak Rasulullah s ke atas kita adalah banyak sekali, antaranya:

YANG PERTAMA: Menghormati Dan Memuliakan Baginda

Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ke atas para hamba semuanya untuk memuliakan baginda s. Firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu meninggikan suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain. (Larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya.”

(QS: Al-Hujurat, 49 : 2)

Dan firman Allah:

“Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu.”

(QS: Al-Nur, 24 : 63)

Syaikh al-Islam r berkata:

“(التَّعزِير) bermaksud pertolongan, pemuliaan dan dukungan. Firman Allah تَعَالَى:

“Sesungguhnya Kami telah mengutusmu sebagai Rasul yang menjadi saksi, dan sebagai pembawa berita gembira, serta pemberi amaran ۞ (Kami mengutusmu) supaya kamu semua beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan supaya kamu semua menghormati serta memuliakan baginda, dan supaya kamu semua bertasbih memuji-Nya pada waktu pagi dan petang.”

Maka ini apa yang berkaitan dengan hak Rasul. Kemudian Allah berfirman tentang hak-Nya تَعَالَى:

“Dan supaya kamu semua bertasbih memuji-Nya pada waktu pagi dan petang”

(Majmu’ al-Fatawa, j. 1, h. 67)

Dan firman Allah تَعَالَى:

“Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut cahaya yang diturunkan bersamanya, mereka itulah orang-orang yang berjaya.”
(QS: Al-A’raf, 7 : 157)

Imam Ibn Kathir r berkata:

“Dan firman Allah:

“Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya”,

Iaitu: Yang mengagungkan dan menghormati baginda,

“Serta mengikut cahaya yang diturunkan bersamanya”,

Iaitu: Al-Quran dan wahyu yang baginda datang dengannya untuk menyampaikannya kepada manusia,

“mereka itulah orang-orang yang berjaya”,

Iaitu: [Berjaya] di dunia dan akhirat.”

(Tafsir al-Qur’an al-‘Azhim, j. 3, h. 489)

YANG KEDUA: Mencintai Baginda

Sesungguhnya [meletakkan] kedudukan cinta kepada Rasulullah s di atas kecintaan kepada selain baginda adalah wajib. Firman Allah تَعَالَى:

“Nabi itu adalah lebih utama bagi orang-orang yang beriman daripada diri-diri mereka sendiri. Dan isteri-isteri baginda adalah ibu-ibu mereka.”

(QS: Al-Ahzab, 33 : 6)

Imam al-Sa’di r berkata:

“Allah mengkhabarkan kepada orang-orang yang beriman dengan suatu pengkhabaran yang mana dengan itu mereka dapat mengetahui akan keadaan Rasul s dan kedudukan baginda, supaya mereka bergaul dengan baginda sesuai dengan kedudukan tersebut, maka Allah berfirman:

“Nabi itu adalah lebih utama bagi orang-orang yang beriman daripada diri-diri mereka sendiri”

Sesuatu yang paling dekat dengan seorang insan dan yang paling utama baginya adalah dirinya sendiri. Maka Rasul adalah lebih utama baginya daripada dirinya sendiri kerana baginda s telah mencurahkan kepada mereka nasihat, belas kasihan dan kasih sayang sebagai makhluk yang paling berbelas kasihan dan paling penyayang.

Rasulullah adalah makhluk yang paling besar jasanya kepada mereka berbanding sesiapapun kerana sesungguhnya, tidaklah sekecil-kecil kebaikan itu sampai kepada mereka, dan tidaklah sekecil-kecil keburukan itu dipalingkan daripada mereka melainkan dengan kedua-dua tangan baginda dan disebabkan oleh baginda.

Oleh itu, menjadi wajib ke atas mereka, apabila keinginan diri sendiri atau keinginan seorang manusia itu bertentangan dengan keinginan Rasul, hendaklah diutamakan kehendak Rasul agar ucapan Rasul tidak ditentang oleh ucapan sesiapapun dari kalangan manusia, tidak kira siapapun dia. Dan agar mereka menebus baginda dengan diri-diri mereka sendiri, harta-harta dan anak-anak mereka serta mendahulukan kecintaan kepada baginda melebihi kecintaan kepada seluruh makhluk yang lain. Hendaklah mereka tidak berkata-berkata kecuali setelah baginda berkata agar mereka tidak mendahului baginda.”

(Taisir al-Karim al-Rahman, j. 659)

Dan firman Allah تَعَالَى:

“Katakanlah: ‘Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik’.”

(QS: Al-Taubah, 9 : 24)

Imam Ibn Kathir r berkata:

“Allah تَعَالَى telah memerintahkan Rasul-Nya untuk memberikan ancaman kepada orang yang lebih mengutamakan keluarga, kaum kerabat dan sanak saudaranya melebihi Allah, Rasul-Nya dan berjihad di jalan-Nya, maka Allah berfirman:

“Katakanlah: ‘Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan..’,

Iaitu: Yang kamu kerjakan dan dapatkan

“Dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai..”,

Iaitu: Yang kamu cintai kerana kesenangan dan keindahannya. Maksudnya: Sekiranya hal ini semua

“Menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah..”,

Iaitu: Nantikanlah apa yang akan menimpa kamu berupa balasan dan hukuman-Nya. Oleh itu Allah berfirman:

“Sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.”

(Tafsir al-Qur’an al-‘Azhim, j. 4, h. 124)

Hadith-hadith yang menunjukkan akan kewajipan mengutamakan kecintaan kepada Rasul s melebihi kecintaan kepada selain baginda adalah banyak sekali, Antaranya:

Daripada Anas r, beliau berkata bahawa Nabi s bersabda:

“Tidak beriman salah seorang dari kamu sehinggalah aku menjadi orang yang paling dia cintai melebihi (kecintaannya kepada) ayahnya, anaknya dan manusia seluruhnya.”

(HR al-Bukhari, 15 dan Muslim, 44)

Syaikh al-Islam r berkata:

“Tidak ada seorang mukmin pun melainkan pasti dia akan mendapatkan di dalam hatinya rasa cinta kepada Rasul yang tidak dia dapatkan pada selain baginda. Sehinggakan apabila dia mendengar orang yang dia kasihi dari kalangan kaum kerabatnya atau para sahabatnya mencela Rasul, nescaya akan terasa ringan baginya untuk memusuhi orang tersebut, memulaukannya dan bahkan membunuhnya disebabkan cintanya dia kepada Rasul. Sekiranya dia tidak melakukan yang demikian, maka tidaklah dia seorang mukmin. Firman Allah تَعَالَى:

“Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya.”

(Minhaj al-Sunnah, j. 5, h. 210)

Daripada Anas r, bahawa Nabi s bersabda:

“Tiga perkara, barangsiapa yang tiga perkara ini ada di dalam dirinya, maka dia akan merasakan kemanisan iman: (Iaitu) seseorang yang Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai berbanding selainnya. Seseorang yang mencintai seseorang yang lain yang mana tidaklah dia mencintainya melainkan kerana Allah z. Dan seseorang yang benci untuk kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkan dirinya daripada kekufuran tersebut sebagaimana dia benci untuk dihumban ke dalam neraka.”

(HR al-Bukhari, 21 dan Muslim, 43)

Imam Ibn al-Qayyim r berkata:

“Maka baginda mengkhabarkan bahawa seorang hamba itu tidak akan mendapatkan kemanisan iman kecuali dengan menjadikan Allah adalah yang lebih dia cintai berbanding hal yang lain. Kecintaan kepada Rasul-Nya adalah sebahagian daripada kecintaan kepada-Nya.

Demikian juga kecintaannya kepada seseorang [yang lain], sekiranya cintanya itu adalah kerana Allah, maka ia turut termasuk dalam kecintaan kepada Allah. Sekiranya kecintaan tersebut adalah kerana selain Allah, maka hal itu akan mengurangkan kadar kecintaannya kepada Allah dan akan melemahkannya.
Kecintaan ini dikira jujur apabila seseorang itu turut membenci perkara yang paling dibenci oleh Zat yang dicintainya iaitulah kekufuran seperti kebenciannya untuk dihumban ke dalam neraka atau lebih besar lagi.

Tidak diragukan bahawa hal ini termasuk daripada kecintaan yang teragung kerana sesungguhnya seorang insan itu tidak akan mendahulukan sesuatu yang lain melebihi diri dan kehidupannya.

Maka apabila dia sanggup mengutamakan kecintaannya dalam beriman kepada Allah melebihi dirinya sendiri dari sisi; Kalau seandainya dia diberikan pilihan sama ada kufur [kepada Allah] atau dihumban ke dalam neraka, dia akan memilih dirinya untuk dihumban ke dalam neraka dan tidak kufur, maka sungguh Allah adalah yang lebih dia cintai melebihi dirinya sendiri.

Kecintaan yang seperti ini, kedudukannya adalah jauh di atas apa yang didapatkan oleh para (عُشَّاق) (iaitu: orang-orang yang tersangat rindu) dan para (مُحِبِّين) (iaitu: orang-orang yang jatuh cinta) dalam kecintaan kepada kekasih mereka. Bahkan kecintaan ini tidak ada tandingannya sebagaimana Zat yang mana kecintaan ini bergantung pada-Nya juga tidak ada tandingannya.

Ia adalah kecintaan yang mengharuskan orang yang mencintai, untuk mendahulukan Zat yang dicintainya melebihi dirinya sendiri, harta dan anak. Ia turut menuntut adanya kesempurnaan kelazatan, ketundukan, pengagungan, pemuliaan, ketaatan, kepatuhan secara zahir dan batin. Dan ini sama sekali tidak ada tandingan baginya pada kecintaan terhadap makhluk, tidak kira siapapun ia.”

(Raudhah al-Muhibbin, h. 200)

Google trends: india hina nabi muhammad, kisah pendek nabi muhammad, hari lahir nabi muhammad 2022, kurniakanlah dapat melihat wajah mulia nabi muhammad, hari kelahiran nabi muhammad 2022, keturunan nabi muhammad, doa nabi muhammad kepada ibnu abbas, tema maulidur rasul 2022, keturunan nabi muhammadd ke-40, maulidur rasul 2022, pakcik nabi muhammad, cicit nabi muhammad, hina nabi muhammad, selawat maulidur rasul