BAHANA PERBUATAN MEMINUM ARAK DAN MEMBIARKANNYA TERSEBAR

Sesungguhnya perbuatan meminum arak dan tersebarnya ia (di tengah-tengah masyarakat) merupakan pemberi peringatan akan kehancuran umat dan kebinasaannya. Telah sabit daripada Abdullah bin Amru bin ‘Aas –radhiallahu ‘anhu– dia berkata: Rasulullah r telah bersabda:

Maksudnya: «Tidak akan terjadi kiamat melainkan ke atas makhluk-makhluk yang paling jahat, mereka lebih jahat daripada orang-orang (yang hidup di masa) jahiliyyah. Tidaklah mereka berdoa kepada Allah (memohon sesuatu) melainkan pasti Allah menolak permintaannya.»

Ketika mereka berada dalam keadaan seperti itu, tiba-tiba datang ‘Uqbah bin ‘Amir lalu Maslamah berkata kepadanya: “Wahai ‘Uqbah, dengarkanlah apa yang diucapkan oleh Abdullah”. Berkata ‘Uqbah: “Dia yang lebih mengetahui. Adapun saya maka saya telah mendengar Rasulullah r bersabda:

Maksudnya: «Akan ada sekelompok daripada umatku yang akan berperang berdasarkan perintah daripada Allah, mereka mengalahkan musuh mereka. Tidak akan memudaratkan mereka sesiapa yang menyelisihi mereka sehinggalah datang kepada mereka kiamat dalam keadaan mereka tetap berada dalam keadaan tersebut.»

Lalu berkata Abdullah: “Benar, kemudian Allah akan mengirimkan angin yang baunya seperti misk (kasturi) dan sentuhannya seperti sentuhan sutera. Ia tidak akan meninggalkan seseorang yang di dalam hatinya ada sekecil-kecil keimanan pun melainkan pasti ia akan mencabut nyawanya. Kemudian, yang tinggal hanyalah orang-orang yang paling jahat yang ke atas merekalah ditimpakannya hari kiamat”.([1])

Di dalam Al-Sahihain juga daripada Anas –radhiallahu ‘anhu– beliau berkata: “Aku benar-benar akan menceritakan kepada kamu semua tentang suatu hadith yang aku mendengarnya daripada Rasulullah r yang tidak ada sesiapa pun yang akan menceritakan kepada kamu hadith tersebut selainku. Aku mendengar Rasulullah r bersabda:

Maksudnya: «Sesungguhnya termasuk di antara tanda-tanda kiamat adalah diangkatnya ilmu, tersebarnya kejahilan, banyaknya perbuatan zina, banyaknya perbuatan meminum arak, sedikitnya kaum lelaki dan banyaknya kaum wanita sehinggakan seorang lelaki akan menjadi penjaga bagi lima puluh wanita.»([2])

Ini adalah salah satu tanda daripada tanda-tanda kiamat. Tanda bagi orang-orang yang sangat jahat kerana tidak ada yang meminum arak melainkan hanya orang-orang yang jahat. Tidak mungkin bagi seorang yang benar-benar beriman untuk meminumnya. Ini adalah salah satu tanda daripada tanda-tanda kehancuran. Telah datang di dalam Al-Sahihain daripada hadith Abu Hurairah –radhiallahu ‘anhu– belia berkata: Nabi r bersabda:

Maksudnya: «Tidaklah seorang penzina itu beriman ketika dia sedang berzina. Dan tidaklah seorang peminum arak itu beriman ketika dia sedang meminumnya. Dan tidaklah seorang pencuri itu beriman ketika dia sedang mencuri. Dan tidaklah seorang perampas itu beriman ketika dia sedang merampas (sesuatu yang mempunyai nilai yang tinggi sehingga) manusia mengangkat pandangan mereka kepada barang rampasan tersebut.»([3])

Arak adalah minuman yang akan mendatangkan kehancuran dan laknat berdasarkan hadith di dalam Sahih Bukhari daripada Abu Amir -atau dikatakan Abu Malik- Al-Asy’ariy –radhiallahu ‘anhu– bahawasanya dia mendengar Nabi r bersabda:

Maksudnya: «Sungguh akan ada dari kalangan umatku orang-orang yang menghalalkan zina, sutera (bagi kaum lelaki), arak dan alat-alat muzik. Dan sungguh akan ada suatu kaum yang menetap di tepi sebuah bukit lalu datang kepada mereka seorang penggembala kambing yang fakir bersama dengan kambing-kambingnya untuk meminta suatu keperluan. Akan tetapi mereka mengatakan kepadanya: “datanglah semula kepada kami besok”. Lalu Allah membinasakan mereka pada malam hari dan Allah menimpakan bukit tersebut ke atas mereka serta Allah mengubah ciptaan orang-orang yang tersisa daripada mereka kepada bentuk monyet dan khinzir sehinggalah ke hari kiamat.»([4])

Arak adalah minuman yang akan mendatangkan laknat berdasarkan apa yang sabit daripada hadith Anas bin Malik –radhiallahu ‘anhu– beliau berkata:

Maksudnya: «Rasulullah r melaknat sepuluh golongan yang terlibat dengan arak iaitu: Orang yang memerahnya, orang yang meminta untuk diperahkan kepadanya, orang yang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang dibawakan kepadanya, orang yang menuangnya, orang yang menjualnya, orang yang memakan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang minta untuk dibelikan kepadanya.»([5])

Sepuluh golongan yang dilaknat, orang yang meminum arak, orang yang memerah arak, orang yang menjual arak dan orang-orang yang saling tolong menolong dalam mewujudkan arak, semuanya terlaknat berdasarkan nas wahyu yang jelas. Setiap orang yang membawa masuk arak ke suatu tempat atau yang membantu untuk menyebarkannya dan membawanya masuk, orang yang meminumnya, menjualnya dan membelinya telah menawarkan dirinya untuk dilaknat oleh Allah.

Telah sabit di sisi Imam Muslim daripada hadith Jabir bahawasanya ada seorang lelaki yang datang daripada Jaisyaan -dan Jaisyaan adalah satu daerah di Yaman- lalu dia bertanya kepada Nabi r tentang satu jenis minuman yang biasa mereka meminumnya di tempat mereka yang dibuat daripada bijirin yang disebut sebagai Al-Mizr. Maka Nabi r bersabda: «Adakah ia memabukkan?» Dia mengatakan: “Ya”. Kemudian Rasulullah r bersabda: «Setiap yang memabukkan adalah haram, sesungguhnya Allah telah berjanji barangsiapa yang meminum sesuatu yang memabukkan, akan diberikan kepadanya minuman daripada Thinatul Khabal». Mereka mengatakan: “Wahai Rasulullah, apakah itu Thinatul Khabal?” Sabda baginda: «Iaitu peluh penghuni neraka atau kotoran yang keluar daripada penghuni neraka.»([6])

Ini semua menunjukkan bahawa orang yang meminum arak diancam untuk diusir daripada syurga dan disumbat ke dalam neraka berdasarkan hadith yang juga di dalam Al-Sahihain dari hadith Abdullah bin Umar –radhiallahu ‘anhuma– bahawasanya Rasulullah r bersabda:

Maksudnya: «Barangsiapa yang minum arak ketika di dunia kemudian dia tidak bertaubat daripadanya, nescaya akan diharamkan baginya arak di akhirat.»([7])

Hadith Abu Darda dan hadith Abu Musa dan sejumlah hadith yang lain menjelaskan sesungguhnya dia tidak dapat meminum arak (di dalam syurga) membawa maksud dia tidak akan masuk ke dalam syurga berdasarkan apa yang dikatakan oleh Al-Khattabi dan sejumlah ahli ilmu. Telah sabit daripada Abu Darda daripada Nabi r bahawa baginda bersabda:

Maksudnya: «Tidak akan masuk syurga orang yang derhaka (kepada orang tuanya), orang yang percaya kepada (tukang-tukang) sihir, orang yang ketagih dengan arak dan orang yang mendustakan takdir.»([8])

Dan di dalam lafaz yang lain (ada tambahan):

Maksudnya: «dan tidak juga orang yang dayus.»([9])

Arak adalah jalan (menuju) kedayusan, jalan (menuju) kedurhakaan dan jalan (menuju) pelbagai jenis maksiat. Hadith tersebut telah datang daripada Ibnu Abbas([10]), Abu Musa([11]), Abu Darda dan beberapa orang sahabat yang lain([12])radhiallahu ‘anhum-.

Oleh sebab itu, seorang peminum arak tidak akan diterima solatnya kerana dia melakukan perkara-perkara maksiat. Sama sahaja baik dia solat dalam keadaan sedang minum ataupun bukan dalam keadaan minum, selama dia masih berterusan dalam meminum arak dan tidak bertaubat daripadanya, solatnya tidak akan diterima selama 40 hari berdasarkan apa yang sabit daripada hadith Abdullah bin ‘Amru daripada Nabi r baginda bersabda:

Maksudnya: «Barangsiapa yang minum arak lalu dia mabuk, tidak akan diterima solatnya selama 40 malam.»([13])

Hadith ini juga datang daripada sahabat yang lain([14]). Telah sabit daripada Abdullah bin Umar –radhiallahu ‘anhu– dia berkata bahawasanya Nabi r telah bersabda:

Maksudnya: «Dan tidaklah seseorang itu mati dalam keadaan di dalam pundi kencingnya terdapat sedikit daripadanya (iaitu: arak) melainkan akan diharamkan baginya syurga.»([15])

Sesungguhnya minuman ini wajib untuk ditutup segala pintu yang boleh menjerumuskan seseorang kepadanya sebagaimana yang sabit di dalam Al-Sahihain daripada Abu Jamrah, beliau berkata:

Dahulu aku pernah duduk bersama Ibnu Abbas dan beliau menyuruhku untuk duduk di atas tempat duduknya. Kemudian beliau berkata: “Tinggallah bersamaku supaya aku dapat memberikan untukmu sebahagian daripada hartaku”. Maka aku tinggal bersamanya selama dua bulan. Kemudian dia berkata: “Sesungguhnya utusan Abdul Qais ketika mereka datang kepada Nabi r, baginda bersabda: «Siapakah kaum itu? Atau utusan siapakah itu?» Mereka mengatakan: “(Kami utusan) Rabi’ah”. Baginda bersabda: «Selamat datang wahai kaum -atau utusan- yang datang. Kamu semua sama sekali tidak akan diaibkan dan kamu juga tidak akan menyesal.»

Lalu mereka mengatakan: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami tidak dapat mendatangi anda melainkan pada bulan haram. Di antara kami dan anda ada sebuah perkampungan yang terdiri daripada golongan kuffar Mudhar. Maka perintahkanlah untuk kami dengan suatu urusan yang jelas agar kami dapat memberitahukannya kepada orang-orang yang di kampung kami dan agar kami dapat memasuki syurga dengan sebab perkara tesebut”. Mereka juga bertanya kepada baginda tentang beberapa jenis minuman.

Maka baginda memerintahkan kepada mereka empat perkara dan melarang mereka daripada empat perkara. Baginda memerintahkan mereka untuk beriman hanya kepada Allah semata. Baginda bersabda: «Adakah kamu tahu apakah itu beriman kepada Allah semata?» Mereka mengatakan: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui”. Baginda bersabda: «iaitu bersaksi bahawasanya tidak ada sesembahan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan memberikan seperlima daripada hasil rampasan perang.» Dan baginda melarang mereka daripada empat perkara iaitu daripada: Hantam, Dubba, Naqir dan juga Muzaffat. Barangkali baginda juga menyebutkan: Muqayyar dan baginda bersabda: «ingatlah akan semua ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang di kampung kamu.»([16])

Ini semua adalah bejana-bejana yang biasa mereka gunakan untuk merendam (kurma atau anggur dan lain-lain) di dalamnya. Dan Nabidz (iaitu: air rendaman kurma atau anggur) tersebut akan menjadi cepat memabukkan disebabkan ia adalah bejana-bejana yang panas. Oleh itu Rasulullah r melarang daripada merendam (bahan-bahan tadi) di dalam bejana-bejana yang boleh memabukkan ini atau di dalam bejana-bejana yang boleh mempercepatkan kemabukan (sekiranya direndam) di dalamnya. Kemudian hukum ini dihapuskan -maksud saya dihapus adalah dari segi hukum merendam di dalam bejana-bejana tersebut- berdasarkan hadith Buraidah, beliau berkata: Rasulullah r telah bersabda:

Maksudnya: «Aku telah melarang kamu semua daripada minum dari bejana-bejana yang diperbuat daripada kulit binatang, maka (sekarang) minumlah di dalam setiap bejana dan janganlah minum sesuatu yang memabukkan.»([17])

Di dalam hadith yang lain: daripada Jabir bin Abdillah beliau berkata: Rasulullah g bersabda:

Maksudnya: «Apa sahaja yang memabukkan dengan jumlah yang banyak, maka jumlahnya yang sedikit juga haram.»([18])

Sesungguhnya barangsiapa yang menginginkan keberuntungan maka wajib ke atasnya untuk menjauhi dan mengingkari perkara yang haram ini. Allah –subhanahu wata’ala– telah berfirman:

Maksudnya: (Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.) [Al-Ma’idah: 90]

Mereka bekerja bersama iblis. Orang-orang yang mengedarkan arak serta meminumnya adalah bala tentera syaitan kerana meminum arak itu adalah amalan syaitan. Mereka menyebarkan amalan-amalan syaitan. Ibnu Umar telah berkata perihal arak ini: Aku telah mendengar Umar bin Khattab -radhiallahu ‘anhu- berkata di atas mimbar Rasulullah r:

Maksudnya: «Amma ba’du; Wahai sekalian manusia, sesungguhnya telah turun pengharaman arak dan ia terdiri daripada lima perkara: Anggur, kurma, madu, gandum dan bijirin barli. Arak itu adalah segala apa yang menutupi akal.([19]) Segala apa yang memabukkan maka ia adalah haram.


([1]) Hadith ini diriwayatkan oleh Muslim di dalam kitab Sahihnya pada nombor (1924).

([2]) Hadith ini diriwayatkan oleh Al-Bukhari pada nombor (5577) dan Muslim di bawah nombor (6271).

([3]) Hadith ini diriwayatkan oleh Al-Bukhari pada nombor (5578) dan Muslim pada nombor (57).

([4]) Hadith ini diriwayatkan oleh Al-Bukhari pada nombor (5590).

([5]) Hadith ini diriwayatkan oleh Al-Tirmidzi di dalam Jami’nya pada nombor (12950) dan Ibnu Majah pada nombor (3381).

([6]) Hadith ini diriwayatkan oleh Muslim di dalam Sahihnya pada nombor (2002).

([7]) Hadith ini diriwayatkan oleh Al-Bukhari pada nombor (5575) dan Muslim pada nombor (2003).

([8]) Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya (6/441).

([9]) Lafaz ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad (2/69) daripada hadith Abdullah bin Amru –radhiallahu ‘anhu-.

([10]) Diriwayatkan oleh At-Thabrani di dalam Al-Kabir (11/99) pada nombor (11168).

([11]) Diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya (4/399) dan Abu Ya’la (7248).

([12]) Lihat Al-Targhib wa Al-Tarhib oleh Al-Mundziri (3/211-214).

([13]) Diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya (2/189), Al-Nasa’i pada nombor (5664) dan Ibnu Majah pada nombor (3377).

([14]) Iaitu daripada Ibnu Umar dan ia diriwayatkan oleh Al-Tirmidzi (1862) dan daripada Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh (3680).

([15]) Diriwayatkan oleh Al-Hakim pada nombor (4/174) dan Al-Thabrani di dalam Al-Ausath pada nombor (362).

([16]) Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (4369) dan Muslim pada nombor (17).

([17]) Diriwayatkan oleh Muslim di dalam Sahihnya pada nombor (977).

([18]) Diriwayatkan oleh Imam Ahmad (3/361), diriwayatkan juga oleh Abu Daud di dalam Sunannya pada nombor (3681) dan Ibnu Majah (3393).

([19]) Diriwayatkan oleh Abu Daud (3669).

google trends: #instafamousminumaraklangkawi #chivasregal #hukumpegangbotolarak #arakamornsupairi #todiarak #mimpiminumarak #wine air arak #hukumminumarak #botolarak #maksudarak #jenisarak #alkohol #pestaarak #mimpiminumarak #dadah #alcohol #kesanminumarak #artisminumarak #arakdanjudi #beer #hukumanminumarak